Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, 26 December 2010

2010, A Year Passed - Montage of Memories


A montage dedicated to the activities throughout 2010 with families and friends, hanya kepada Allah swt ucapan syukur atas nikmat Nya yang tidak terhingga. Semoga tahun mendatang dipenuhi dengan berkah dan redha Ilahi.


فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا


Celebrate the praises of thy Lord, and pray for His Forgiveness: For He is Oft-Returning (in Grace and Mercy).

Friday, 17 December 2010

Khutbah Jumaat Inland Sea - 17 Disember 2010

Khutbah Sand Dune Dec 2010

Wednesday, 15 December 2010

Ketuanan Melayu – Antara Sandiwara dan Cabaran Masa Depan

Saya tertarik dengan 2 artikel daripada Tuan Guru Nik Aziz dan Dr Ridhuan Tee.

Tazkirah Tuan Guru boleh dibaca di http://www.harakahdaily.my/ketuanan-melayu-sandiwara-di-hujung-hayat-umno Manakala blog Dr Ridhuan boleh diamati di 

Sekali baca, kita merasakan seakan-akan ada perbezaan besar antara apa yang disampaikan oleh kedua-dua tokoh tersebut. Namun, apabila kita baca dengan hati terbuka kita akan dapati mesej utama adalah sama.

Apa yang sama? Satu tolak Ketuanan Melayu manakala satu lagi menerima. Tak sama langsung.

Pada saya, kedua-dua individu tersebut matlamat akhir adalah untuk kemenangan Islam dan masalah utama adalah UMNO. Cuma cara nak uruskan UMNO tuh jer berbeza….

Dalam kesimpulan tulisan terakhir Dr Ridhuan,

“Kesimpulannya, istilah ketuanan Melayu, tidak perlu dipertikaikan selagi mana matlamat perjuangan kebangsaan tersebut adalah untuk menegakkan Islam. Kepincangan dalam mempertahankan ketuanan Melayu oleh Umno misalnya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak ketuanan Melayu tanpa memahami sejarah bumi bertuah ini. Jika Umno yang bersalah sehingga menjadikan ketuanan Melayu seolah-olah ketuanan Umno, yang bersalah adalah Umno dan bukannya identiti ketuanan bangsa Melayu itu di buminya sendiri termasuk mereka yang berada di dalam Pas dan PKR. Justeru, janganlah dilihat bahawa mempertahankan ketuanan Melayu adalah untuk mempertahankan ketuanan Umno kerana ulamak terdahulu turut mempertahankan Melayu dan Islam walaupun ketika itu Umno masih belum wujud.”

Dr Ridhuan adalah di kalangan bukan Melayu dan bukan penyokong UMNO tetapi mencintai Islam melihat slogan “Ketuanan Melayu” ini disalah gunakan oleh UMNO dan tidak harus dibuang begitu sahaja kerana kesalahan UMNO. 

Apabila kita lihat selepas rasulullah saw wafat, kepemimpinan diserahkan kepada bangsa Quraisy kerana konteks pada masa tersebut orang Arab masih memandang tinggi bangsa Quraisy yang mampu memimpin umat. Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar (radiallahuanhuma) boleh sahaja menerima pencalonan Aus dan Khazraj sebagai khalifah pertama. Malah, boleh sahaja diserahkan tugas kepemimpinan kepada Salman Al Farsi atau Suhaib Ar-Rumi yang bukan berbangsa Arab agar tidak nampak assabiyyah sewaktu perbincangan hebat di Madinah untuk memilih khalifah pertama umat Islam. Hakikatnya, mereka tidak dipilih kerana konteks pada masa tersebut. 
 
Itulah konteks yang hendak dibawa oleh Dr Ridhuan Tee seperti kupasan beliau di bawah. 
 
“Menurut Ibn Khaldun (2006: 199-208), bangsa Quraisy dimuliakan kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa terutama dalam hal ehwal politik dan kenegaraan, selain daripada keturunan Nabi. Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan. Tidak mustahil akan terjadi peperangan sesama umat Islam yang tidak berkesudahan. Golongan Quraisy akan terus dipilih selagi mana asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipertahankan. Para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.”

Ini bermakna, andaikata 10 tahun lagi scenario, komposisi sosio-politik perkauman di malaysia berbeza, e.g. kaum Filipina Islam majoriti dan memegang kekuasaan ekonomi dan politik di tanahair, konteks tersebut membawa kepada ketuanan Filipina Islam di Malaysia selagi mana istilah tersebut membawa makna ketuanan Islam di bumi Malaysia.

Pada saya, itulah Itulah yang Dr Ridhuan nak maksudkan. Bukan senang untuk berada pada kedudukan beliau. Dicerca oleh bangsa beliau sendiri (beliau bangsa cina), dihentam segolongan besar penyokong Pakatan dan dituduh sebagai pengampu kerajaan BN. Ketuanan Melayu yang beliau maksudkan tidak bermakna DS Najib atau orang UMNO sahaja menjadi pemimpin. Ketuanan Melayu bermakna memastikan orang Islam dan dalam konteks ini pada waktu sekarang orang Melayu memimpin di Malaysia. Beliau yang berbangsa Cina tetapi beragama Islam sanggup menerima bangsa Melayu sebagai “tuan” selagi ia membawa maksud Islam sebagai tunggak pemerintahan.

Contoh terbaik adalah apabila PR meletakkan Ir Nizar sebagai MB Perak sekalipun PAS bukan majoriti di Perak. Tidak tahulah sama ada sebab Sultan yang menitahkan agar MB seorang melayu atau termaktub dalam perlembagaan tetapi Sultan Perak dan rakyat Perak terutama yang beragama Islam sekurang-kurangnya boleh terima kerana kepemimpinan teratas masih milik orang Islam. Secara peribadi, saya lega sebab waktu tuh tak tau sapa akan dipilih jadik MB. Macam-macam rumours keluar. Ternyata, Ir Nizar pilihan yang terbaik. Tapi seperti biasa, pihak tertentu memfitnah Ir Nizar dengan pelbagai tuduhan dan pelbagai cabaran dihadapi etc. The rest is history.

Persoalannya, adakah next election andaikata DAP menang besar di Perak mereka bersedia nak letak orang PAS sebagai MB lagi sekalipun PAS tidak menang kerusi langsung? Apakah yang memastikan DAP akan meletakkan orang Islam (dalam konteks ini orang Melayu) sebagai pemimpin tanpa mengira siapa menang pilihanraya?

Andaikata DAP dan PKR mengisytiharkan secara rasmi, “walaupun PAS hanya menang satu kerusi dalam Parlimen atau tak menang kami pasti akan memastikan orang melayu beragama Islam menjadi Perdana Menteri kerana menghormati konteks ketuanan Melayu Islam di bumi Malaysia atas faktor sejarah, saya rasa ada orang yang mungkin lega dan mungkin lebih ramai terbukak hati undi PR. Namun, adakah scenario politik sebegini?

Itulah pentingnya kena bezakan definisi ketuanan melayu UMNO dan ketuanan melayu Islam. Itulah makna saya tulisan Dr Ridhuan Tee dan Tuan Guru Nik Aziz lebih banyak persamaan dari perbezaan. Dalam satu aspek ia adalah sandiwara politik, namun di satu senario adakah DAP atau PKR bersedia menerima ketuanan Islam (dalam konteks Malaysia majoritinya berbangsa melayu) jika PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi?

Fikir-fikirkanlah.

Wallahua’lam.

Friday, 10 December 2010

Isu Ketuanan Melayu

  • Perbincangan isu ketuanan melayu semakin rancak di alam maya ini. Saya tidak mahu mengupas panjang, cukuplah saya letakkan asas pemahaman saya sendiri tentang isu ketuanan melayu.
  • Isu ketuanan melayu ini memerlukan pemahaman dan bentuk perbincangan yang lebih konstruktif. Pada saya, pertama sekali kena letakkan benchmark apa yang dimaksudkan dengan istilah ketuanan melayu. 
  • Andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan umat Islam kekal sebagai peneraju kepemimpinan politik di tanahair, kita setuju. Andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan orang melayu beragama Islam menunjangi sektor perbankan Islam, ekonomi Islam, pendidikan, pertahanan dan sosio-ekonomi di tanahair, kita setuju. 
  • Andaikata yang dimaksudkan dengan ketuanan melayu adalah mengajak dan berdakwah kepada majoriti umat Islam di tanahair yang rata-rata berbangsa melayu agar tidak dominan di dalam "sektor" yang menghasilkan Mat Rempit, penagih dadah, keciciran sekolah, pengangguran, pelacuran, kemiskinan tegar dan perpecahan antara satu sama lain, kita setuju.
  • Namun, apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan hanya segelintir umat melayu kaya melalui sistem penindasan tidak telus, kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan bererti menzalimi bangsa lain yang tidak beragama Islam, ini kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan bererti kita mendiskriminasikan kaum-kaum lain di tanahair dalam kerangka sistem pemerintahan sekarang, ini kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu bererti kita tidak menghormati cara hidup bangsa lain, meminggirkan bangsa lain dan meniru mirip penindasan apartheid, Nazism, zionism etc, kami bangkang sekeras-kerasnya. 
  • Andaikata ketuanan melayu dimaksudkan sebagai mengagung-agungkan bangsa melayu mengatasi agama Islam, kami tolak sama sekali. Andaikata ketuanan melayu menolak hak-hak asasi bangsa-bangsa lain di tanah air, ini kita tidak setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna membiarkan pemimpin Islam yang zalim menguasai tampuk pemerintahan, ini kita tidak setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna Islam eksklusif untuk bangsa melayu, ini kita tolak seratus peratus.
  • Namun, andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memperjuangkan dan menaikkan martabat orang Melayu yang seagama, supaya ia menjadi satu bangsa yang kuat, maju, bersatu dan disegani di tanah air, ini kita setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna menjadikan bangsa melayu beragama Islam sebagai bangsa utama yang menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, ini kita setuju. 
  • Sama ada ini digunakan sebagai talian hayat oleh sesebuah parti politik, terpulanglah kepada parti tersebut. Moga prinsip-prinsip yang dinyatakan adalah jelas. Wallahua'lam.

Thursday, 21 October 2010

Ramadhan Pergi Membawa Erti

  • Ramadhan 1431H atau 2010 masihi ini pergi membawa erti. Pada mulanya, saya berasa malas mahu berpuasa di Malaysia kerana dugaan dan cabaran di Malaysia agak luar biasa. Akhirnya, saya menetapkan untuk pulang awal dan menyambut ramadhan di tanahair tercinta.
  • Tibanya saya di bumi tercinta, saya berjumpa dengan rakan dan keluarga. Sudah pasti, setelah hampir setahun tak berjumpa kemesraan ukhuwwah terjalin semula. Namun. keseronokan berjumpa teman dan sanak saudara sering terganggu apabila pemikiran saya cuba memahami keadaan persekitaran di Malaysia yang semakin membimbangkan.
  • Bermula dengan keadaan segelintir anak-anak muda Terengganu yang semakin liar dan berjinak dengan budaya samseng dan gejala dadah, berita akhbar yang saban hari menceritakan gejala pembuangan anak, kemaksiatan yang semakin terbuka sekalipun di bulan ramadhan yang mulia, cerita-cerita TV yang dipenuhi dengan cerita hantu tahyul dan khurafat, amalan bidaah yang dimulakan sebelum solat terawih, kedudukan ekonomi umat Islam dan rakyat Malaysia amnya yang semakin terhimpit, budaya mat rempit yang bermaharajalela di Pulau Pinang dengan aksi berani mati, budaya berhibur yang ekstreme di kalangan umat Islam, fitnah sesama orang Islam…kehidupan di Malaysia tidak seindah dahulu. Perasaan terhiris itu, hanya dilunakkan dengan amalan qiyamullail, menjalin silaturrahim bersama keluarga serta sahabat handai dan ibadah di bulan puasa.
  • Ketika saya berada di salah sebuah pasaraya di Ipoh, saya terfikir sejenak apabila melihat seorang gadis beragama Islam terpaksa bekerja makan gaji sebagai cashier di kedai bukan milik umat Islam. Para pembeli pula rata-rata bukan Islam, yang tanpa segan silu makan dan minum di hadapan beliau. Saya terhimbau bagaimana suasana di Qatar, takkan dapat kita lihat seorang wanita Qatari bekerja sebagai cashier di Lulu Hypermarket. Apa yang terjadi?
  • Dalam saya cuba menyelami keadaan di Malaysia, saya cuba mencari erti melalui pembacaan buku dan blog Zaid Ibrahim, Dr Mahathir, Dr Mujahid, Malcolm Gladwell, Tengku Razaleigh, Barry Wain, Dr Asri, Ustaz Abdullah Zaik dan John Kotter. Saya berjumpa sahabat-sahabat lama dan membincangkan masalah yang sedia ada serta apa penyelesaiannya.
  • Semakin saya baca penulisan mereka, semakin saya yakin suasana di Malaysia adalah unik dan tidak boleh diselesaikan dengan cara yang sama kita lalui 50 tahun lepas. Method yang telah diformulasasikan oleh pemimpin terdahulu, sebenarnya berada di penghujung jalan.
  •  Saya meminati cara DSAI berpidato, saya mengagumi pemikiran Tengku Razaleigh, saya rasa pemandangan jauh Dr Mahathir harus dicontohi, beberapa prinsip kemanusiaan Zaid Ibrahim perlu dicontohi, kezuhudan Nik Aziz menjadi neraca pembentukan peribadi…tetapi nama-nama yang disebut adalah pemimpin negara yang sudah hidup lebih separuh abad. Mereka telah melakar nama di pentas politik negara dan saya merasakan jasa mereka akan merentasi zaman.
  •  Namun, isu-isu yang kita hadapi sekarang memerlukan kepemimpinan yang mampu melakukan perubahan secara menyeluruh dan bukan juziyyah, satu organisasi yang mampu menjawab persoalan-persoalan dan dilemma masyarakat secara hakiki, satu kesatuan yang ahlinya mampu berdebat secara pragmatic dan terbuka. Kita mahukan satu formula baru untuk menyelesaikan kemelut masyarakat yang melanda. Kita meletakkan Islam sebagai prinsip yang pada waktu yang sama meraikan kepelbagaian kaum dan peranan setiap bangsa.
  • Kalau satu masa dulu, kepemimpinan umat dipegang oleh para guru dan aristocrat negara – mereka dikira sebagai elitist negara
  • Kini, golongan cerdik pandai adalah terdiri dari para professional, para blogger, para celik IT dan seumpamanya. Merekalah yang harus melakar umat melayu di bumi Malaysia. Merekalah yang harus mengorak langkah.
  •  Jari-jari yang dituding, kini menuju ke arah kita untuk mencorakkan masyarakat.
  •  Islam, kini bermasalah dengan pelbagai penafsiran tanpa merujuk al-Quran dan As-Sunnah. Tanpa melihat perjalanan hidup baginda saw.
  • Umat kini tersepit, jalan apa yang harus dilalui? Prinsip humanism yang meleburkan identiti bangsa secara menyeluruh tanpa ada paksi yang membataskannya atau prinsip dakwah Islamiyyah yang meraikan kepelbagaian kaum atas prinsip untuk saling kenal mengenal dan bukan untuk saling menzalimi. Kekeliruan inilah yang harus dijelaskan.
  • Ramadhan telah lama berlalu, moga memberi semangat untuk pengislahan masyarakat. 

Friday, 23 July 2010

Kesatuan Umat – Tidak Perlu Pembubaran Parti

Rata-rata sekarang semua mulai berbicara semula berkenaan penyatuan umat Islam di Melayu.

Beberapa kupasan menarik yang saya jumpa:

1.                   - Ustaz Harussani
“Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.”

“Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.”

“Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.
Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63

"Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

2.                   - Dr Ridhuan Tee
“Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.”

“Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.”

“Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?”

“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh. Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita.” 

3.                   - Ustaz Nasrudin Hassan An-Tantawi
“Ringkasnya , dunia hari ini khasnya negara kita juga perlukan surat atau risalah Rasulullah saw ini iaitu Aslim Taslam . Ianya sesuai dihantar sewaktu UMNO dan BN ghairah mengajak PAS bersatu . Saya kata : Pelan Damai untuk ummat ini ialah Islam atau dalam erti kata lain ialah Aslim Taslam . Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Pastinya ia merupakan seruan kepada semua bukan terhenti antara PAS dan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat dalam negara ini dan juga semua parti dan NGO .

Dengan itu , saya berlepas diri ini dengan apa jua percubaan siapa jua untuk memesongkan dan menyalah tafsirkan maksud saya dalam Pelan Damai yang saya cadangkan kepada seluruh ummat Manusia dalam negara ini . Pelan saya mudah :Aslim Taslam : Islamlah nescaya kamu selamat . selebihnya : 
No Islam No Talk”

Begitulah beberapa bahagian yang saya ambil dari penerangan 3 tokoh di atas.

Alhamdulillah dengan niat ikhlas mereka yang mahukan umat ini bersatu.

Majlis Kesatuan Islam Peringkat Kebangsaan
Sama ada kupasan-kupasan di atas hanya strategi atau mainan politik, kita harus melihat ini dengan minda terbuka. Pada pandangan saya, seperti entri-entri peribadi sebelum ini saya menyokong sepenuhnya penyatuan umat Islam melayu di dalam satu platform yang khusus. Dari sudut geo-politik negara Malaysia, kedudukan Islam bergantung kepada kesatuan ini.

Pada saya, tidak perlulah ambil keputusan drastik dengan membubarkan parti-parti politik terbesar bangsa melayu untuk menyatukan umat ini. Seruan ini pada saya tidak praktikal, terlalu beremosi dan hanya menimbulkan lebih banyak permasalahan pada waktu ini. Kesatuan umat ini sebenarnya mudah terbina hanya melalui pembentukan satu majlis gabungan umat Islam peringkat kebangsaan di atas platform Islam. Penaung secara tidak langsung adalah DYMM Yang Dipertuan Agung dan anggota utama adalah dari majlis tertinggi kedua-dua parti, tokoh Islam yang berpengaruh dari parti lain atau NGO lain, majlis penasihat terdiri dari para ulama dan tokoh ilmuan Islam tempatan. Dasar majlis gabungan ini ringkas dan mudah, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Apabila sudah terbentuk kesatuan, janganlah menjumudkan konteks majlis ini dengan membincangkan tentang hukuman memakai baju Manchester United, yoga, isu bertudung atau berjanggut, isu fiqh baca Yasin malam jumaat dan amalan nisfu syaban dan perkara-perkara dari segi awlawiyyatnya (keutamaannya) adalah kecil berbanding dengan isu-isu seperti pembuangan anak, isu hak asasi manusia dan akta ISA dari segi Islam, isu pecah amanah, isu korupsi, isu pembaziran dana negara, isu penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. 

Objektif awal majlis kesatuan ini sekurang-kurangnya dari 3 asas:
·         Tanggungjawab pemerintah dari sudut Islam
·         Menghormati aspirasi rakyat dari sudut Islam
·         Memelihara perpaduan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia

Selepas berbincang tentang isu, bentuk langkah penyelesaian yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Langkah-langkah penyelesain dan aspek perbincangan sekurang-kurangnya merangkumi 3 aspek – aspek sosial, politik dan ekonomi.

Entri-entri yang lepas saya memfokuskan kepentingan perpaduan umat dari segi politik dan sosial. Entri kali ini, saya akan menyentuh kepentingan perpaduan umat Islam dari segi ekonomi.

Asas Ekonomi Islam
Asas terpenting ekonomi Islam adalah harta yang halal dan baik sebagai tunggak kehidupan. Islam mengajar kita mencari rezeki yang halal. Zuhud di dalam Islam tidak bererti sanggup hidup dalam kemiskinan dan melarat. Zuhud di dalam Islam bererti jangan terlalu mengejar dunia, pembaziran atau menggunakan harta untuk tujuan kemaksiatan dan mengkufuri nikmat Allah. Konsep Islam,

فسير في لأرض واستبق الخيرات
“Maka berjalanlah atas muka bumi mencari pencarian kehidupan dan berlumba-lumbalah beramal kebajikan”
Konsep Islam bukan sebaliknya, yakni  berlumba-lumbalah di atas muka bumi dalam mengejar pangkat, harta dan kemewahan manakala berjalanlah dengan perlahan dalam beramal kebajikan.

Antara asas ekonomi Islam adalah bekerja bagi yang mampu dan mentadbir urusan kewangan mengikut lunas Islam. Islam menggalakkan manusia bekerja malah bagi yang berkemampuan, wajib bekerja. Islam inginkan umatnya mahir dan berprofesional atau itqan dari konteks Islam. Islam mengecam umatnya yang menganggur sekalipun alasan untuk tujuan beribadat. Islam mengecam umatnya yang menyalahtafsirkan konsep tawakkal kepada Allah swt. Rezeki, berkait dengan usaha yang berterusan. Pentadbiran urusan kewangan sama ada personal finance atau corporate finance harus terbina dan memelihara kepentingan individu atau masyarakat.

Antara asas ekonomi Islam adalah memastikan keperluan asasi rakyat dibina di dalam negara oleh rakyat atau syarikat tempatan. Tanah dan asset, sistem pengangkutan, perhubungan, makanan asasi seperti daging, gula, garam dan sebagainya harus disokong sama ada melalui pembangunan industri kecil atau besar. Begitu banyak tanah yang terbiar, begitu banyak pemilikan tanah di ibukota dimiliki oleh rakyat negara luar tanpa kawalan yang jelas, begitu banyak keperluan rakyat diimport dari negara jiran.

Antara asas ekonomi Islam adalah mengembangkan industri pertanian, perladangan, penternakan, perusahaan besar atau perusahaan kecil serta membina kepakaran di dalam negara oleh rakyat tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping menjalin hubungan akrab dengan negara Islam lain.

Antara asas ekonomi Islam adalah melaksanakan sistem cukai dan zakat serta pengagihan kekayaan dengan adil dan saksama. Islam menghalang konsep monopoli dan penimbunan harta yang menghalang aliran matawang secara rasional. Islam menetapkan konsep zakat yang jelas bagi memastikan aset individu dan masyarakat sentiasa bersih dari sifat tamak haloba. Islam memastikan konsep cukai tidak membebankan rakyat. Islam mahu sebarang dasar perubahan ekonomi tidak drastik dan membebankan masyarakat terutamanya yang masih tidak berkemampuan. Mungkin salah satu cara adalah mengenakan cukai import yang tinggi kepada kereta mewah kerana pembelinya adalah dari golongan kaya manakala kereta-kereta biasa tidak perlu dikenakan cukai import yang tinggi agar memudahkan sesiapa yang berpendapatan kecil serta sederhana merasai kereta yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Alangkah indahnya, apabila ekonomi islam terlaksana…maka sikap yang diambil oleh pemerintah mencerminkan keadilan sistem ekonomi Islam. Apabila menyebut keindahan ekonomi Islam, terkenang saya kepada kehidupan khalifah rasulullah saw saidina Abu Bakr dan Saidina Umar radiallahuanhuma. Terkenang cerita Saidina Abu Bakar ra yang masih memerah susu kambing sekalipun sudah menjadi khalifah umat yang mampu menewaskan tentera Parsi dan Rom. Terkenang cerita Saidina Umar ra ketika terserempak dengan seorang Yahudi dalam keadaan meminta sedekah. Saidina Umar ra, menegurnya kenapa meminta sedekah. Apabila Saidina Umar ra mengetahui ketidakupayaan yahudi tersebut mencari rezeki, khalifah umat ini mengucapkan sesuatu yang menyentuh hati,

ما أنصفناك يا هذا، أخذنا منك الجزية قوياً وأهملناك ضعيفاً، افرضوا له من بيت
المال ما يكفيه
“Alangkah tidak adilnya kami kepada engkau, kami ambil jizyah ketika engkau kuat dan kami abaikan engkau ketika lemah. Berikanlah kepadanya sumbangan Baitul Mal yang secukupnya”

Apakah ada demonstrasi keadilan dan bersifat kemanusiaan yang lebih baik dari ini?

Perlaksanaan Prinsip-prinsip Islam Melalui Kekuatan Perpaduan Umat

Kesatuan umat tidak perlu pembubaran parti-parti yang sedia ada. Permuafakatan dapat dibina melalui unit-unit kecil yang bersatu. Oleh sebab itulah, Islam pada peringkat awal menyatukan aqidah terlebih dahulu. Apabila kita sudah cukup pengalaman bekerjasama atas prinsip persaudaraan, barulah dapat dibina perpaduan yang mutlak.
Ekonomi prinsip Islam hanya dapat terlaksana apabila umat Islam mempunyai kekuatan. Antara pra-syarat kekuatan adalah kesatuan umat. Di dalam konteks geo-politik di Malaysia, ini bermakna umat melayu yang beragama Islam.

Kita tahu di mana kedudukan ekonomi kita. Kita sedar di mana kedudukan politik kita. Kita insaf di mana kedudukan sosial kita. Namun tahu, sedar dan insaf belum mencukupi. Melakukan pengislahan dalam keadaan umat Islam berpecah dengan dikotomi politik juga menyebabkan umat ini terdedah kepada ancaman musuh Islam yang bersatu. Saya yakin dan pasti, ramai di kalangan umat Islam sama ada di dalam PAS, PKR atau UMNO serta non-partisan mencintai agama Islam.

Yang tinggal, hanyalah untuk kita berlumba ke arah kebaikan sistem Islam secara syumul. Yang tinggal, hanyalah perpaduan umat.

Fikir-fikirkanlah. Wallahua’lam.

Friday, 16 July 2010

Bermuslihat Dalam Bersatu atau Bersatu Dalam Bermuslihat?

Beberapa kali, media perdana berbahasa Melayu sering memainkan cerita umat Melayu harus bersatu. Tetapi, apa yang saya baca tidak dapat lari dari prasangka bahawa ini semua hanya muslihat dalam bersatu.

Mengapa tidak? 

Apabila diutarakan melayu bersatu, fokusnya hanyalah PAS dan UMNO sedangkan ada banyak lagi parti lain dan badan lain yang ramai di kalangan ahli mereka orang Melayu. Apabila diutarakan Melayu bersatu, cepat menolak parti lain kerana dikatakan parti yang satu lagi memperjuangkan kepentingan individu tertentu? Sedangkan konsep bersatu yang diinginkan adalah menyatukan semua umat melayu di atas satu dasar aqidah tanpa prejudis kepada prinsip perjuangan. Apabila diutarakan melayu bersatu, begitu mudah dikatakan Pakatan antara PAS/DAP/PKR tidak akan dapat menegakkan Islam. Bagaimana pula Barisan UMNO/MCA/MIC etc? Adakah mereka juga dapat mempraktikkan Islam secara menyeluruh? Mengapa adanya “double standard” apabila dibuat perbandingan antara kedua-dua pihak?

Janganlah mengajak umat Islam bersatu di sebelah kanan tetapi di sebelah kiri mahu menghancurkan kesatuan pakatan tertentu untuk kepentingan politik parti lawan. Andaikata ikhlas mahu bersatu, ada banyak cara yang boleh dilakukan sebagai demonstrasi bahawa penyatuan umat Melayu Islam di Malaysia tidak akan mengganggu gugat kedudukan mana-mana umat bukan Islam di negara dan rantau ini. Malah, kita sebagai umat Islam harus menghormati kedudukan dan prinsip kemanusiaan yang diajar dalam Islam.

Janganlah bermuslihat dalam bersatu. Bagai kata Saidina Ali ra kepada sekumpulan manusia yang menjulang al-Quran dengan pedang menggesa agar perdamaian dilaksanakan,

كلمة الحق ولكن باطل
Kalimah yang hak, tetapi di sebalik itu terkandung niat yang batil.

Mengapa mahu merosakkan kebenaran penyatuan umat Islam untuk kepentingan politik tertentu? Bukankah suasana sosial masyarakat Islam kini benar-benar tergugat dan ini bukan lagi masa untuk bermuslihat bagi memastikan kedudukan untuk pilihanraya akan datang? Mengapa tidak diaturkan satu rundingan bulat bersama pemimpin-pemimpin Islam di negara untuk melihat jalan keluar permasalahan ini? Kalau untuk pemansuhan UPSR dan PMR boleh dipanggil tokoh-tokoh pendidik di dalam satu rundingan, bukankah kesatuan umat ini lebih utama? Mengapa begitu takut untuk bersatu atas dasar aqidah secara tulus?

Penegasan di sini adalah umat Melayu harus bersatu atas prinsip aqidah dan bukan hanya prinsip bangsa kerana kesatuan atas prinsip aqidah menjamin keadilan dan rahmat dari Allah swt manakala kesatuan hanya atas prinsip bangsa akan menjurus ke arah kefanatikan kaum tertentu. Kesatuan atas prinsip aqidah menjamin bahawa yang bersalah tetap dihukum hatta dari adik beradik atau anak sendiri kerana takut akan kemurkaan Allah swt manakala kesatuan hanya atas dasar bangsa cepat-cepat mempertahankan kaum sendiri sekalipun merekalah sebenarnya yang bertindak zalim terhadap bangsa lain. Kesatuan atas dasar aqidah, menjamin prinsip keimanan dan ketakwaan dalam muamalah kehidupan manakala atas dasar bangsa membuka pintu kepada perjuangan assabiyyah yang ekstrim.

Ada perbezaan antara bangsa yang bersatu atas dasar aqidah dan kesatuan hanya atas dasar bangsa. Yang satu, menjurus kepada bersatu dalam kebenaran manakala yang satu membuka jalan kepada bersatu dalam bermuslihat dalam erti kata menipu daya. Satu jalan, membuka peluang untuk berdakwah di atas kebenaran manakala yang satu hanya menyebabkan bangsa lain yang belum beragama Islam lari dari agama yang syumul ini. Bersatu atas dasar aqidah, memastikan tindak-tanduk bangsa tersebut terhad berpandukan dasar, hukum dan perundangan Islam manakala bersatu atas dasar bangsa semata membuka ruang untuk bertindak berpandukan nafsu dan pandangan peribadi .

Bersatu atas dasar aqidah, tidak perlu  bangkit menjerit menghunus keris mengajak umat bersatu sebagai retorik dan drama semata. Bersatu atas dasar aqidah membawa rahmat ke sekalian alam dan menutup pintu-pintu kezaliman ke atas bangsa lain.

Gejala-gejala sosial yang melanda kini menolak mereka yang mahu bermuslihat dalam bersatu atau ingin bersatu untuk bermuslihat. Ini bukan masanya dan Islam tidak memberi tempat kepada golongan sebegini.

Tidak cukupkah bayi-bayi yang tidak bersalah terbuang untuk kita masih lena? Sudah lah bayi terbuang, kini timbul pula sindiket jual bayi pula.

Tidak cukupkah melihat anak bangsa sendiri yang beragama Islam di bandar dan luar bandar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk kita masih bercakaran dan bermuslihat sesama kita?

Tidak cukupkah melihat anak anak remaja melayu yang berjalan terhoyong hayang, terpekik terlolong dalam keadaan mabuk di tengah malam minggu di Bukit Bintang dan kelab-kelab malam untuk kita bertindak?

Tidak cukupkah dengan statistik kes-kes pelacuran, pembunuhan, rogol, ragut, rompak, penderaan etc yang menghiris hati melihat ke mana bangsa ini dalam masa 10-15 tahun lagi?

Tidak cukupkah kita melihat sikap kurang ajar, lemah disiplin dan gemar membuang masa anak-anak bangsa kita untuk kita bangkit dan bersatu?

Tidak pedihkah hati melihat bangsa Islam sendiri di dalam keadaan tidak berdaya saing, lemah dari segi ekonomi dan terpaksa menjual tanah untuk menyara hidup di bumi sendiri?

Tidak pedihkah melihat bangsa Islam ini, hidup dalam keadaan terpaksa berpiutang apatah lagi setelah langsai hutangnya dipaksa hidup berhutang lagi untuk menyara anak-anak yang masih belum mahu hidup atas inisiatif sendiri?

Apakah lagi kerosakan yang kita mahu lihat untuk menggesa kita bersatu? Apakah lagi kemusnahan akhlak yang mahu mendorong kita agar ikhlas berjuang di dalam satu saf? Apa lagi yang kita mahu lalui untuk membuka mata hati yang sudah gelap pekat dengan unsur materialisme dan hiburan ala Hollywood?

Abad ini, bangsa melayu ini memerlukan Islam lebih dari Islam memerlukan kita. Islam tetap berada di kedudukan tinggi di sisi Allah swt tanpa melayu….tetapi melayu tanpa Islam, hanya umpama kelakatu malam mencari jalan untuk sampai ke cahaya api di tengah rimba.

Fikir-fikirkanlah.
Wallahu’alam.


Monday, 12 July 2010

Ekonomi dan Akhlak - Dua Statistik Berbeza

Alhamdulillah, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan bursa saham Malaysia statistik ekonomi negara berdasarkan unjuran pelaburan setakat ini Nampak agak positif. Kerajaan juga pasti mewar-warkan pertumbuhan positif ekonomi dari segi pelaburan luar apabila dibandingkan dengan kedudukan ekonomi 2-3 tahun lepas. Masya-Allah (penggunaan masya-Allah cara sunnah), andaikata statistik ini benar suasana sebegini seharusnya bermakna banyak peluang pekerjaan untuk “expat” seperti saya pulang dan bekerja di industri yang sama.

Namun, apabila kita memalingkan pandangan kepada statistik akhlak, nauzubillah. Saya yang berada di luar negara rasa masih belum sesuai untuk saya pulang ke kampung.

Ekonomi dikatakan unjuran positif tetapi akhlak unjuran negatif.

Baru-baru ini, The Star mendedahkan statistik berikut 
  •  A study done by Universiti Putra Malaysia revealed that more than 300 Malay teens aged between 13 and 25 admitted to having had sex, with 85% stating that they did not regret their actions and found sex very enjoyable.
  • This was followed by a news report of a nine-year-old girl in Penang who allegedly gave birth in a hospital after sleeping with her 14-year-old neighbour.
  • Welfare Department statistics reveal that by April this year, a total of 111 young girls have sought help for their pregnancies. Last year, there were 131 cases received while in 2008, there were 107 teenage girls who got pregnant.
  • Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM) co-chair Rashidah Abdullah points out that the trend of pre-marital sex among young people has been growing for more than two decades.
  • Quoting the country report of Malaysia from the International Conference on Population and Development (ICPD) 15 Monitoring and Advocacy on Sexual and Reproductive Health and Rights, she highlights a media survey by the National Population and Family Development Board (LPPKN), which showed that between 1994 and 1996, about 24% of 13- to 19-year-olds had engaged in sexual intercourse and 18.4% had their first intercourse between the ages of 15 and 18 years.
  • A study by the Malaysian Aids Council in 1999/2000 revealed that the youngest to have had sexual intercourse was nine years old. In its 2004 Malaysian Population and Family Survey (MPFS), LPPKN found that about 2.2% of the population have had sexual intercourse out of wedlock.
  • The board also drew attention to reports from government clinics and hospitals, which showed that cases of unwanted pregnancies and consensual sex among teens have increased: about 19% of cases of unmarried mothers involve teens below 18.
  • According to Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, a 2004 survey conducted on 1,700 young adults aged between 13 and 24 revealed that more than 50% of the respondents did not know in detail about the functions of reproductive organs. Teenagers lack information and access to birth control methods. Many teenagers are also not taught about ways to deal with peer pressure and how to say ‘no’ to sex before they are ready,” she said at a recent press conference.
  • 2004 MPFS showed that a little less than half of young people aged 13-24 had heard of at least one contraceptive method. “Surprisingly, although condoms are available at pharmacies, only one in four knew about the method.”

Bagi umat Islam, penyelesaian isu akhlak di atas bukan hanya dengan cara barat kerana permasalahan ini hanya timbul apabila kita mencedok tamadun mereka. Penyelesaian adalah kembali kepada ajaran AlQuran dan Sunnah.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, “sesungguhnya aku diutuskan untuk memperbaiki akhlak”. Baginda tidak diutuskan bukan untuk meningkatkan taraf ekonomi. Bukan untuk memastikan KLSE berada di atas 1300 mata. Bukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara sekurang-kurangnya 8% setiap tahun. Tidak, rasulullah saw diutuskan untuk memperbaiki akhlak yang rosak umat jahiliyyah ketika itu. Islam yang sama ketika 1400 tahun dahulu, Islam yang sama untuk rakyat Malaysia beragama Islam pada tahun 2010. Tetapi bagaimana mahu mempraktikkan ajaran Islam di Malaysia?

Malaysia mudah amal dasar Islam jika bersatu?

Satu forum telah diadakan di Kelantan baru ini membincangkan bolehkah umat melayu bersatu. Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang dibincangkan oleh ahli panel tetapi saya bersyukur sudah ada usaha mahu membincangkan perkara sebegini di peringkat tempatan.

Akhbar Utusan Malaysia (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm)  mungkin tidak membincangkan sepenuhnya isu perbincangan serta apa yang diperkatakan oleh ahli panel lain, tetapi saya ingin membawa perhatian kepada pandangan Dr Mohd. Asri:


“bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna kecuali ia berasaskan visi perjuangan Islam tulen.”
“Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan sebenar.”
“Buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah-belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam”


Di dalam hal ini, saya kemukakan beberapa perkara dasar untuk mana-mana ahli parti yang beragama Islam sama ada PAS, PKR, UMNO, DAP atau parti-parti lain yang inginkan kesatuan ini berjaya menilai dan menjawab persediaan ini:
·         Bersediakah menerima kritikan dan menjawab tohmahan bahawa perlaksanaan Islam tidak mungkin tercapai di zaman moden ini yang hampir keseluruh elemen kehidupan tidak langsung berdasarkan agama?
·         Bersediakah menerima kritikan dan menjawab tohmahan perlaksanaan Islam adalah kolot serta membawa tamadun 1000 tahun ke belakang?
·         Bersediakah menerima kenyataan serta kemungkinan bahawa kesatuan ini atau usaha untuk kembali kepada perlaksanaan Islam akan membimbangkan jiran serantau secara khusus atau negara barat secara umum?
·         Bersediakah menerima bantahan minoriti bukan Islam di semenanjung dan majoriti bukan Islam di Sabah dan Sarawak?
·         Bersediakah untuk mengisytiharkan dan mengiktiraf hak kebebasan manusia secara umum – iaitu hak yang diberikan kepada individu, bangsa dan komuniti dalam bentuk paling mulia tanpa mengutamakan perkauman?
·         Bersediakah untuk menerima dan memelihara prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian negara berdasarkan prinsip Islam?
·         Bersediakah untuk mengurangkan pergantungan kepada negara asing tetapi mengutamakan pergantungan kepada hasil pengeluaran sendiri, negara Islam dan negara sahabat?
·         Bersediakah yang mempunyai kuasa, melepaskan kuasa – mengurangkan sikap materialisme dan hedonisme?
·         Bersediakah memberikan mahkamah kuasa sepenuhnya untuk mengadili sebarang penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang melibatkan harta negara?
·         Bersediakah untuk melepaskan perasaan tamak haloba dan berlumba-lumba mengejar kekayaan demi kebaikan dan survival aqidah umat?
·         Dan yang terakhir, bersediakah menolak politik kepartian dan bersatu di bawah satu payung atau ruang yang merangkumi kesatuan umat Islam?

Persoalan-persoalan di atas hanya sedikit dari perkara dasar yang harus dijawab. Andaikata jawapan di atas kesemuanya ya, maka kita telah bersedia.


Saya yakin umat Islam mahu melihat kesatuan ini. Rakyat Malaysia yang beragama Islam sudah lama menantikan penyatuan ini. Saya yakin, umat Islam bersedia berkorban sepenuhnya tetapi dengan cara yang betul dan teratur, di bawah pimpinan kerajaan yang mantap, jelas visinya serta tidak teragak-agak dan keliru.


Apatah lagi dengan pelbagai isu gejala akhlak di atas telah meletakkan peri pentingnya untuk umat Islam bersatu agar isu gejala sosial ini dapat diselesaikan. Malah, sebenarnya kita berhadapan dengan pelbagai isu. Kesemua isu ini hanya dapat diselesaikan apabila umat melayu bersatu atas dasar keimanan dan bukannya atas dasar assabiyyah perkauman. Umat melayu bersatu dan kembali semula kepada perkara yang diwajibkan kepada umat islam di zaman awal. Kita perlu bergabung dan bersatu. Melayu bersatu bukan atas dasar perkauman buta semata, tetapi atas dasar aqidah islamiyyah yang sahih. Kita harus bersatu, untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam sepenuhnya agar dapat memperbaiki akhlak umat Islam khususnya di Malaysia. Hanya dengan kekuatan perpaduan dan penyatuan umat Melayu atas dasar akidah yang tuntas, kita dapat berhadapan dengan gejala sosial di Malaysia dengan lebih efektif.


Semua pihak yang beragama Islam bertanggungjawab sama ada badan kerajaan, parti pemerintah atau parti alternatif. Begitu juga kita sebagai pendokong pembaharuan sama ada melalui NGO atau tidak. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia?


Pikir-pikirkanlah.

Friday, 25 June 2010

Ke Mana Melayu?

Begitulah luahan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir di pada entri blognya Melayu Ke Mana? (http://chedet.co.cc/chedetblog/2010/06/melayu-kemana.html#more)

Umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya ketika ini dikelilingi dengan pelbagai kemelut dan permasalahan tetapi masih kekal dengan tanda tanya tanpa jawapan dan arah tuju yang konkrit.  Malaysia bumi yang subur, kedudukan yang strategik di Asia Tenggara, berkemahiran dan berkebudayaan. Kita memiliki sumber asli, bahan-bahan industri, ilmu pengetahuan, kemahiran dan jumlah rakyat yang saya rasa sudah cukup untuk menjadikan negara kita menjadi sebuah negara yang kuat dan mampu berdikari serta memimpin negara serantau ke arah kesejahteraan.

Tetapi  apa yang terjadi masih sebaliknya. Dari segi pertanian, kita masih bergantung pada negara luar. Pendapatan bulanan majoriti rakyat, masih belum cukup untuk negara melupuskan subsidi-subsidi yang sedia ada secara drastik mahupun secara beransur-ansur.  Syarikat-syarikat yang melabur dari luar negeri,  hanya berminat untuk melabur untuk mendapatkan buruh-buruh kasar yang rata-rata bukan anak tempatan malah pendatang dari negara luar. Tidak perlu kita sentuh tentang gejala sosial kerana dada akhbar harian saban hari memaparkan kisah remaja buang anak, kes pukul, kes ragut. Ini belum lagi diambil kira kes salah guna dadah, minum arak, berjudi, loteri, berjoli dalam kemaksiatan. Belum lagi dikira perkara khurafat yang bermaharajalela sampai sejadah berdiri pun sudah takjub sedangkan mukjizat Al-Quran di depan mata lebih menakjubkan.

Setelah kita kehilangan segala keupayaan, kekayaan dan kemampuan, apa lagi yang tinggal? Negara semakin kaya di atas kertas dan segelintir rakyatnya semakin berkemampuan, namun rakyat semakin dibebani hutang, rasa rendah diri, daif, hilang sifat keberanian, hilang identiti dan sifat keusahawanan dan semakin jahil di dalam cara hidup Islam. Rakyat hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila tiba musim cuti, hiburan-hiburan yang melalaikan menjadi pengisian hati. Akhirnya, rata-rata umat Islam khususnya hidup tanpa memahami dan menghayati nilai mereka sebagai seorang insan di sisi Allah swt.

Apa yang tinggal, hanyalah masjid yang tersergam indah seperti masjid kristal yang dihuni yang sudah bersara dan menjadi tempat lawatan untuk bergambar. Apa yang tinggal, hanya ritual solat tetapi solat yang kontang dari nilai rohani dan rasa takut kepada Allah melainkan segelintir yang ikhlas. Bulan ramadhan, menjadi musim melayan dan melampias nafsu untuk membeli barangan jualan murah atau pelbagai makanan lazat untuk juadah berbuka puasa…bukan untuk memperbaharui diri atau membersihkan jiwa. Segala penampilan sungguh mempersona – cara berpakaian, istiadat, janggut, upacara dan istilah yang digunakan. Tetapi adakah ini Islam yang Allah swt jadikan sebagai rahmat-Nya yang teragung buat sekalian alam? Inikah ajaran Muhammad saw untuk mengeluarkan manusia dari kezaliman kegelapan kepada keadilan yang terang benderang? Inikah ajaran Al-Quran yang dijadikan peringatan buat manusia dan hidayah buat mereka yang beriman?

Apa yang Tun Dr Mahathir tulis tentang “melayu ke mana”, Allah swt telah lama berfirman di dalam Al-Quran surah At-Takwir, ayat ke 26:
فأين تذهبون
Maka ke manakah kamu akan pergi?
إن هو إلا ذكر للعالمين
Al-Quran itu hanyalah peringatan bagi semesta alam
لمن شاء منكم أن يستقيم
Iaitu bagi sesiapa yang mahu menempuh jalan yang lurus
أن يشاء الله رب العالمين  وما تشاءون إلا
Dan kamu tidak akan dapat mengkehendaki (jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, tuhan semesta alam

Islam datang sebagai satu sistem dan sebagai pemimpin, sebagai agama dan negara, sebagai undang-undang dan pengamalan. Namun yang tinggal hanyalah sistem sementara kepemimpinan telah lenyap, apa yang kekal hanyalah agama sementara negara telah pupus. Apa yang berkembang ialah undang-undang sementara pengamalan telah terhakis.

Umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya semakin celaru dengan kerenah ahli politik dan pemimpin tempatan.  Pemikiran semakin kusut dengan hingar-bingar kepemimpinan masyarakat dan negara. Semakin bingung, ke mana sebenarnya hendak di bawa arah tuju negara. Jika diteliti, kedua-dua Pakatan dan Barisan tidak meletakkan Islam sebagai agenda utama. Yang beza, satu pihak inginkan keadilan, ketelusan manakala satu lagi pihak mengutamakan kestabilan dan kemakmuran. Sedangkan keempat-empat elemen, telah lama disatukan dalam cara hidup Islam. Kesannya, kedua-dua belah yang majoritinya beragama Islam menjadi minoriti disebabkan perpecahan ini.

KESAN SEJARAH PEMBENTUKAN MALAYSIA
Jika kita teliti sejarah, jelas asas pembentukan Malaysia merupakan antara sebab kekeliruan di kalangan umat Islam khususnya pendakwah Islam. Di dalam sesebuah negara berteraskan perlembagaan Islam yang sebenar, hubungan dalam masyarakat adalah berdasarkan hubungan antara Islam dan bukan Islam. Bukannya berdasarkan hubungan perkauman. Imperialis barat, tahu akan hakikat ini. Oleh sebab itu, apabila negara-negara terjajah dimerdekakan pada tahun 1940an hingga 1950an, konsep negara bangsa pula timbul. Pada waktu kemerdekaan tanah melayu, hubungan masyarakat yang terjalin adalah atas dasar 3 kaum majoriti – melayu, cina dan india. Konsep negara bangsa sebegini pada awal waktu kemerdekaan tidak menjadi permasalahan kerana kaum-kaum lain pada waktu tersebut memperakui kepemimpinan melayu sekaligus Islam sebagai “ketuanan” di tanah Melayu. Malahan, sekalipun kepemimpinan awal melayu pada waktu tersebut kelihatan secara kasar sekular, tetapi perlaksanaan undang-undang masih matang dan bertanggungjawab.

Masuk hampir 60 tahun setelah merdeka, sekurang-kurangnya 2 generasi telah berlalu. Kerana asas pembentukan negara berdasarkan hubungan antara bangsa, sudah pasti cucu bangsa-bangsa lain akan mula mempersoalkan konsep negara bangsa dan perhubungan masyarakat yang telah terjalin. Sudah pasti mereka akan mempersoalkan kepemimpinan bangsa melayu di bumi Malaysia apatah lagi kelihatan seperti beberapa unsur ketidakadilan dan ketidak telusan apabila disbanding dengan negara barat dan negara jiran. Bangsa-bangsa lain pasti sekali inginkan kepemimpinan bangsa Malaysia sebagai keutamaan – tanpa mengira bangsa dan agama sebagai peneraju “ketuanan” negara. Ini bukan isu tetapi apabila yang terancam adalah ketuanan Islam akibat tergugatnya kedudukan kepemimpinan melayu di tanah air sendiri – kesan krisis ini jika tidak ditangani secara bijaksana adalah besar.

JALAN KELUAR
Apabila sudah sampai kepada persimpangan sebegini, tidak ada jalan keluar bagi umat ini selain kembali bersatu dan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah.  Jalan sebaiknya, adalah memperbetulkan sistem yang sedia ada berdasarkan syariat Islam. Apapun, dalam hal sebegini umat Islam harus bersatu semula – bukan atas dasar perkauman semata tanpa batasan syariah tetapi atas dasar Islam yang berpaksikan neraca keadilan dan kebenaran tauhid. Antara cara penyelesaian:
-          PAS atau UMNO selaku 2 parti terbesar bangsa Melayu dan seterusnya umat Islam di negara memainkan peranan lebih aktif untuk menyatukan perbezaan yang sedia ada
-          Jika kedua-dua pihak saling tidak mempercayai, lantik pihak ketiga sama ada dari kalangan NGO tempatan seperti ISMA, JIM, ABIM, IKRAM etc untuk menentukan landasan penyatuan umat Islam. Atau ambil ulama tempatan atau luar negeri sebagai orang tengah
-          Antara kriteria yang harus diketengahkan dalam penyatuan umat Islam adalah:
o   Teraju kepemimpinan yang sedia ada kekal dengan sedikit perubahan termasuk menggugurkan pemimpin yang terbukti dalam penyalahgunaan kuasa
o   Kepemimpinan peringkat kawasan setempat, harus melalui perlantikan dan undian terbuka agar membuka jalan kepada mereka yang benar-benar ikhlas untuk memimpin masyarakat.
o   Konsep Ketua Bahagian sesuatu parti yang lebih berkuasa dari District Officer atau Ketua Kampung, harus dihentikan
o   Sistem politik yang merealisasikan kehendak Allah swt tanpa mengikut hawa nafsu dan kecenderungan peribadi semata-mata
o   Sistem pendidikan dan pembelajaran yang menghapuskan kejahilan serta taklid buta tanpa pemahaman yang mendalam tentang asas akidah islamiyyah
o   Sistem keluarga, rumah tangga, kemasyarakatan yang dapat membesarkan pemuda pemudi Islam dalam biah islamiyyah yang sebenar
o   Sistem yang berhubung dengan individu yang membawa ke arah kejayaan dan pembentukan peribadi yang cemerlang
o   Sistem media yang tidak terbawa-bawa dengan hiburan semata-mata tetapi mengutamakan ilmu, laporan yang adil, sederhana dan saksama

SETELAH BERSATU
Apabila umat Islam bersatu, baru mudah dan jelas dakwah kepada bukan Islam. Siapa lagi majoriti umat Islam di Malaysia selain bangsa melayu sendiri? Maka, apabila bangsa melayu ini ada nilai Islam di dalam jiwa, rumah tangga dan segala urusan kehidupan dunia rahmat Insya-Allah akan dapat dilimpahkan kepada bangsa lain apatah lagi dari segi dakwah Islamiyyah.

Apabila asas pembentukan negara diperbetulkan, jalan ke  arah penyelesaian pertelingkahan umat Islam dan rakyat Malaysia khususnya semakin jelas.Hubungan antara bangsa lain tidak terjejas, malah lebih baik kerana titik tolak perhubungan adalah berdasarkan sistem yang diredhai Allah swt  dan keadilan yang terbukti di dalam lipatan sejarah. Tiada lagi rasa penindasan dan kezaliman.

Kesimpulannya, isu di Malaysia hanya dapat diselesaikan apabila umat Islam kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah – bersatu atas dasar aqidah yang sahih dan prinsip yang jelas. Konteks di Malaysia, ini bermakna penyatuan umat melayu beragama Islam di dalam PAS, UMNO, PKR dan pertubuhan bukan politik yang lain di dalam kesatuan yang jelas tanpa ada muslihat mengaut kekayaan serta kuasa dan kepentingan politik peribadi. Sebarang teguran dan kritikan sesama pemimpin Islam adalah di dalam kesatuan ini tanpa menjejaskan perpaduan ummah dan ketuanan Islam. Urusan rumah tangga umat Islam, diselesaikan oleh umat Islam sendiri tanpa campur tangan bukan Islam.

PERSOALAN AKHIR
Persoalan penutup sekarang, siapakah di kalangan umat Islam khususnya pemimpin atau ulama Islam yang mahu melakar sejarah dan meneraju kea rah perubahan dan kesatuan umat yang menyeluruh ini? Sebelum menuding jari ke arah orang lain, kita harus sedar siapa lagi kalau bukan umat Islam sendiri yang harus bangkit dan sedar. Siapakah majoriti umat Islam tersebut dalam konteks Malaysia? Tidak lain tidak bukan Melayu.

Fikir-fikirkanlah. Wallahua’lam.