Showing posts with label Kerajaan Perpaduan. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Perpaduan. Show all posts

Friday, 5 November 2010

DSAI Bersara, Galas, Batu Sapi dan Masa Depan Malaysia

·         DSAI bersara
– secara logiknya, kita merasakan memang patut mereka yang seangkatan dengan DSAI untuk bersara dari politik. Ini termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Najib, Ku Li dan ramai lagi.  Malah, ulama yang saya hormati Dr Mohd Asri juga menekankan sedemikian buat DSAI, buat pihak Pakatan mahupun Barisan.

·         Pada saya, hakikat ini sebenarnya lebih baik dipakai untuk kabinet kerajaan persekutuan sekarang. Sewaktu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, rata-rata barisan kabinet negara terdiri dari mereka yang berusia 20-30an. Purata umur mereka, di bawah 30 tahun.  Tun Razak waktu tersebut 28 tahun manakala Tun Dr Ismail 30 tahun. Sekarang, umur termuda menteri kabinet adalah 45 tahun! Saya suka dengan kata-kata Ku Li:

"If they tell you the future is in your hands kindly request that they hand that future over first.  Ask them how come the youngest member of our cabinet is 45 and is full of discredited hacks? Our Merdeka cabinet had an average age below thirty. You’re not the first generation to be bright. Mine wasn’t too stupid. But you could be the first generation of students and young graduates in fifty years to push this nation through a major transformation. And it is a transformation we need desperately."

·         Apabila ada suara mengatakan DSAI patut bersara, saya berpendapat marilah kita terlebih dahulu melihat dari sudut DSAI sebagai seorang insan biasa. DSAI telah ditangkap, dipukul, dimaki, dihina, dicerca, dipenjara, dibogelkan, difitnah, dimalukan lebih daripada mana-mana rakyat Malaysia dalam sejarah Malaysia sendiri. Tidak ada sesiapa dalam sejarah Malaysia yang telah melalui apa yang beliau dan keluarga beliau lalui selama bertahun-tahun lamanya. Sistem yang bertanggungjawab dalam tindakan tersebut, masih berkuasa dan berdiri dengan kukuh. Andaikata kita yang menjadi mangsa seperti DSAI, adakah kita akan menyerah kalah dengan mudah lalu bersara sedangkan “the powers that be” masih dengan takbur melakukan kemungkaran? Sentuhan politik DSAI mungkin kurang berkesan, tetapi sebagai seorang insan biasa beliau ada hak untuk memperjuangkan keadilan berdasarkan pengalaman yang telah beliau lalui. Tiada siapa dapat menafikan hak tersebut. Sama ada beliau berjaya atau tidak, sama ada beliau berpura-pura atau ikhlas, itu hak beliau sebagai mempertahankan maruah beliau. Hanya kebetulan, beliau dulu TPM. Hanya kebetulan, beliau Ketua Umum Pakatan. Sekalipun beliau keluar, beliau menjadi simbol bahawa wujudnya kepincangan dalam sistem kehakiman, perundangan, media massa, penguatkuasaan undang-undang dan struktur sosio-ekonomi. Pada saya, DSAI mempunyai hak untuk tidak bersara dari politik kerana pengalaman peribadi beliau, yang telah melalui satu proses yang sangat pedih dan berat untuk ditanggung.

·         Pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi telah berlalu
– apa maknanya? Saya melihat terdapat banyaknya pengajaran buat kesemua pihak yang terbabit.

·         Buat Pakatan Rakyat, ini seharusnya menjadi mesej bahawa Pakatan Rakyat harus mempunyai kekuatan tersendiri dari hanya bergantung dengan kelemahan parti lawan. Pakatan Rakyat harus berhenti dari hanya mengeksplotasi korupsi dan kesalahan BN tetapi memfokuskan daya serta usaha kepada isi yang benar-benar rakyat boleh melihat dengan mata kepala rakyat sendiri. Pakatan Rakyat harus berhenti dari mengeluarkan slogan-slogan tidak bermakna seperti BN. PR harus berhenti dari ceramah politik sensasi tetapi menumpukan kekuatan yang dapat dirasakan oleh rakyat di peringkat kawasan luar bandar dan bandar.  Pakatan harus berusaha meyakinkan pengundi tegar BN dan pengundi atas pagar bahawa ini masa perubahan dan ini bukti kemampuan kami. Jangan hanya penuhi ceramah dengan retorik panas tetapi kosong. Hanya sekadar hiburan sewaktu pilihanraya sebegini.

·         Pakatan Rakyat juga harus mula berfikiran jauh. Andaikata Pakatan Rakyat mahu kekal sebagai suatu permuafakatan, mereka harus melihat era selepas DSAI, selepas TG Nik Aziz, selepas Lim Kit Siang. Penyokong Pakatan, tidak melihat usaha konkrit ke arah ini. Yang ada di sebalik selimut, seakan-akan cerita permusuhan, pengkhianatan dan saling berebut kuasa.

·         BN terutama UMNO pula jangan menyangka rakyat sudah mula menyokong kembali. Rakyat masih mual. Penyokong tegar BN sendiri, apabila saya bertanya mengakui hakikat BN itu umpama kapal karam…namun lebih baik tinggal di kapal karam selagi tak nampak bayang pulau atau daratan.  BN harus berubah. UMNO harus berubah. Tiada perubahan terbaik, selain kembali ke pangkal perjuangan Islam. 

·         “Kami memang pejuang agama”, kata sesetengah pihak.

·         “Kami pertahankan nama Allah! PAS tak pun.”

·         Islam bukan sahaja bererti pertahankan nama Allah, tetapi mempertahankan sistem dan cara hidup yang Allah swt syariatkan. Itu lebih utama.  Ini bermakna sistem yang adil, telus dan saksama tanpa kompromi kepada aqidah Islam dan penganutnya. Sistem yang adil dan diisi dengan penguasa yang berjiwa adil serta bertakwa kepada Allah. Mempunyai sistem yang adil, tetapi penguasa yang berhati jahat – hanya akan melahirkan rakyat yang membenci sistem hatta kesalahan sebenarnya adalah cara penguasa melaksanakan sistem tersebut.


·         Forum Perdana
– baru-baru ini, Qatar telah mengatur program forum perdana bertajuk “Islam, Melayu dan Masa Depan Malaysia.” Ada kata ini tajuk kontroversi, ada kata tajuk ini tepat, tak kurang pula kata ini tajuk tak tepat sebab ada perkataan melayu. Dalam ramai-ramai, saya tertarik dengan pandangan seorang sahabat yang saya kasihi.

“Moral atau pengajaran yang kita perolehi dari forum ini sebenarnya mudah, nasib melayu dan masa depan Malaysia bergantung kepada kembalinya kita kepada cara hidup Islam. Kalau ini pun orang tak nampak, saya sedih.”

·         Kalau kita nak bincang tajuk ini, sebenarnya boleh buat thesis. Dalam forum pun tak habis modal bincangkan, apatah pula di sini. Biarlah saya ringkaskan apa yang saya faham.

·         Pada saya mesej dari forum tersebut, ada sekurang-kurangnya 3 formula pendekatan yang akan menentukan masa depan Malaysia:
o   Pertama – Islam untuk semua
o   Kedua – Islam, Melayu
o   Ketiga – Melayu, Islam

1.       Islam untuk semua –
a.       ini adalah benar dan ideal.  Untuk masyarakat majmuk, ini sebenarnya satu pendekatan mulia dan terbaik. Cuma, adakah pintu pendekatan kepada masyarakat majmuk ini melalui pintu politik? Adakah kita mahu berdakwah kepada masyarakat majmuk melalui pintu politik? Andaikata pintu politik yang terbaik, adakah rasul saw berdakwah kepada masyarakat di Mekah melalui pintu politik?
b.      Saya tidak mempunyai masalah dalam hal ini, dengan syarat DAP dan PKR bersetuju untuk hidup di bawah sistem Islam. Saya tidak mempunyai masalah andaikata parti-parti lain mengiktiraf sanggup berada di bawah sistem pemerintahan Islam. Kesukaran di sini, DAP dan PKR juga membawa falsafah politik mereka yang tersendiri. Kedua-dua mereka, saya nampak membawa falsafah demokrasi ala barat yang bertunjangkan hak-hak asasi manusia. Sedangkan kita tahu, definisi hak-hak asasi kemanusiaan Islam terletak di dalam pagar al-quran dan as-sunnah. Yang memburukkan lagi keadaan, ada di kalangan mereka yang agak liberal dalam definisi hak-hak kemanusiaan lalu meletakkan agama sama antara semua. Sedangkan di dalam aqidah Islam, agama ini tidak berdiri sama tinggi dan sama rendah dengan agama lain. Di situ sebenarnya ada titik pertemuan antara cara hidup Islam dan konsep liberal yang dibawa oleh PKR dan DAP. Namun, titik pertemuan itu harus berhenti apabila ia menyentuh soal aqidah.
c.       Ada juga mahu membawa formula parti Islam turki yang mencairkan imej Islamnya lalu mengaku sekular. Di dalam konteks Turki pada saya tidak menjadi masalah, kerana komposisi masyarakat mereka tidak pelbagai seperti di Malaysia. Lebih 95% di Turki masih mahu mengaku Islam sekalipun ia bukan cara hidup mereka. Tetapi konteks di Malaysia, hanya tidak lebih 55% yang beragama Islam. Mencairkan identiti Islam hanya menggugat kedudukan umat Islam

2.       Islam, Melayu –
a.       Ini bererti kita letakkan Islam sebagai platform tetapi pada waktu yang sama memastikan beberapa “hak-hak” melayu terpelihara.
b.      Saya boleh bersetuju dengan cara ini, andaikata pimpinan tertinggi persatuan atau parti tersebut sama ada peringkat Pusat, negeri dan daerah terdiri dari masyarakat majmuk. Jelas kelihatan komposisi majmuk di dalam persatuan atau parti tersebut. Presiden bangsa Iban, Naib presiden Bidayuh, Bendahari melayu, setiausaha Melanau, Mursyidul Am Cina. Ia tidak mustahil. Alangkah indahnya dan ini yang saya impikan. Ini bermakna, tunjang kekuatan Islam di Malaysia terdiri dari bangsa Malaysia. Identiti Islam di Malaysia, adalah bangsa Malaysia yang majmuk. Barulah mudah untuk kita pamerkan kepada PKR atau DAP, bahawa ini adalah alternative yang sebaiknya kepada sistem yang mereka ingin bawa. Ternyata dan terbukti, pembentukan satu identiti di bawah nama bangsa Malaysia bertunjangkan Islam.
c.       Tetapi itulah hakikatnya, ia hanya impian.
d.      Sebelum kita mahu ke sana, kita harus bawa masuk pemimpin-pemimpin bangsa lain yang  beragama Islam sebagai pimpinan persatuan atau parti. Ahli-ahli muallaf, kita tarbiyyah dan hantar ke timur tengah sebagai kekuatan baru nanti. Kita juga harus menguasai pelbagai bahasa. Pelbagai pagar rintangan harus diredahi dan dikuasai. Kita sebenarnya mahu mengubah struktur sosial di Malaysia, dalam acuan Islam melalui cara ini.

3.       Melayu, Islam –
a.       Ini bererti melalui platform melayu, wadah Islam diperjuangkan. Tanpa mengorbankan identiti melayu dan pada waktu yang sama berprinsip bahawa budaya melayu adalah tunjang kepada kekuatan Islam di Malaysia sebagaimana budaya Arab adalah tunjang kepada kekuatan Islam di bumi Arab.
b.      Kesukaran besar melalui jalan ini, saya nampak ada 4 cabaran:
                                                               i.      Seakan-akan seperti UMNO dan berunsur nasionalis
                                                             ii.      Seakan-akan dakwah Islam itu ekslusif untuk Melayu
                                                            iii.      Seakan-akan meletakkan hanya bangsa Melayu memerintah Malaysia
                                                           iv.      Seakan-akan membantutkan usaha progresif mentajdid minda masyarakat. Pada waktu meritokrasi dan liberalisasi semakin dibudayakan, gerakan sebegini membawa gerakan menentang arus. Ini juga seakan-akan mahu membantutkan usaha perpaduan nasional

c.       Untuk 5 persoalan di atas, saya lihat ini sebagai jawapan:

                                                               i.            Apabila berjuang atas wadah bangsa, seakan-akan seperti UMNO dan berunsur nasionalis
a.       UMNO – saya suka mengambil kata-kata ustaz anuar salleh dalam hal ini “Cuma apabila saya bercakap tentang Melayu bukan bermaksud menyokong pimpinan UMNO yang korup disebabkan mereka meninggalkan dasar-dasar Islam dan apabila saya memperjuangkan Islam saya tidak lupa kepada keperluan menyatukan ummah termasuk Melayu. Sebenarnya yang menjadi ahli UMNO atau PAS tidak sampai 4 Juta umat Islam di Malaysia dan umat Islam yang lebih 10 juta masih belum mempunyai halatuju perjuangan hidup di dunia ini. Kepada mereka saya tujukan seruan ini..”
b.      Nasionalis – di mesir, nasionalis di Mesir mahu meninggalkan budaya Islam sebagai asas kehidupan. Di Malaysia, ultra nasionalis melayu yang paling ekstrem pun membudayakan Islam kerana melayu dan Islam amat berkait rapat. Cuma mungkin Islam yang difahaminya hanya bertumpu kepada soal ibadah dan isu pembebasan palestin. Di mesir, golongan nasionalis membawa ke budaya kegemilangan sebelum zaman Islam yakni zaman kegemilangan tamadun Firaun. Nasionalis di Malaysia tidak membawa kepada kegemilangan kerajaan Srivijaya dan Majapahit…tetapi kerajaan melayu Islam Melaka!
                                                             ii.            Apabila memperjuangkan Islam atas wadah bangsa, seakan-akan dakwah Islam itu eksklusif untuk melayu
a.       Saya tidak nafikan, apabila kita merentasi jalan ini kita akan kelihatan seperti mengeksklusifkan Islam untuk melayu. Malah, ini merupakan persoalan pertama yang muncul di dalam minda saya. Mungkin ini yang membuatkan muslim Cina, India etc tidak mahu mencampuri urusan politik melayu kerana tidak melibatkan Islam.
b.      Namun apabila kita fikirkan, urusan politik melayu sebenarnya berkait langsung dengan kekuatan Islam di bumi Malaysia. Mahu tidak mahu, walau apapun perjanjian yang diletakkan kedudukan Islam di bumi Malaysia terancam apabila kedudukan melayu dipersoalkan kerana yang akan mempertahankan Islam di bumi Malaysia adalah melayu hanya kerana kita majoriti umat Islam.
c.       Tambahan lagi apabila saya renung secara mendalam, sebenarnya ini secara lumrah kita sudah lama lakukan. Selama kita berdakwah, kita sering mendahului bangsa sendiri dalam dakwah, kerana ia lebih senang disebabkan satu bahasa, satu realiti dan latarbelakang.
d.      Di dalam konteks AS atau Australia, dakwah kepada bangsa asing lebih mudah kerana struktur sosial di sana secara langsung telah meleburkan identiti bangsa kepada negara bangsa baru, sama ada warganegara AS, Britain atau Australia. Konsep negara bangsa mereka telah sekular dan agama adalah hak peribadi. Secara langsung, tidak ada sifat eksklusif Islam hanya untuk bangsa tertentu di negara tersebut.
e.      Di dalam konteks Malaysia, kita belum sampai kepada tahap penegasan identiti bangsa Malaysia sebagai identiti Islam. Strata sosial kita, masih bercirikan bangsa sama ada kita suka atau tidak.
f.        Apabila struktur sosial ini berubah, pada waktu tersebut kesesuaian pendekatan melalui wadah bangsa harus diambil kira.
                                                            iii.            Apabila memperjuangkan Islam atas wadah bangsa, seakan-akan hanya bangsa melayu boleh memerintah Malaysia
a.        Isu kepimpinan, berbeza dengan isu pendakwahan kepada kaum sebangsa dan kecintaan kpd tanahair yang merupakan fitrah. Kepimpinan berkait dengan komposisi umat, realiti semasa, tempat, suasana dsb.
b.      Tidak menjadi masalah untuk bangsa lain beragama Islam memimpin Malaysia. Andaikata  masyarakat India Muslim berjaya menguasai kepimpinan MIC, Cina Islam menguasai semua parti-parti Cina dan kaum Melayu yang faham dan kommited menguasai UMNO, PKR dan PAS. Kemudian mereka sepakat memilik perdana menteri dari kalangan Cina atau India yang lebih bertakwa dan berilmu jika tidak ada orang Melayu yang layak. Itulah idealnya. Namun, kita masih jauh untuk sampai ke tahap itu. Maka dalam konteks sekarang, kedaulatan Islam berkait rapat dengan kebolehan bangsa Melayu memerintah Malaysia
c.       Umat melayu perlu kembali kepada Islam tulen dan menginsafi bahawa orang Melayu bertanggungjawab terlebih dahulu membetulkan bangsa dan keturunannya sebelum mengutamakan bagsa-bangsa lain daripada menunggu agar bangsa Cina dan India Muslim akan berdakwah dan mendidik orang-orang Melayu.

                                                           iv.            Apabila berjuang atas wadah bangsa, seakan-akan membantutkan usaha progresif minda masyarakat. Pada waktu meritokrasi dan liberalisasi semakin dibudayakan, gerakan “communalism” sebegini membawa gerakan menentang arus. Ini juga seakan-akan mahu membantutkan perpaduan nasional
a.       isu perjuangan bangsa Melayu dan mengajak mereka kembali kepada Islam tulen bermaksud membawa idea pertengahan antara perjuangan Melayu berasaskan idea sekular dan perjuangan Islam yang kadang-kadang membawa arus melupakan ruh persaudaraan Islam, ukhuwwah, mahabbah, bersifat duah, murabbi tetapi kadang-kadang terlebih menampakkan sayang kepada rakan seperjuangan yang tidak seagama dan sebangsa.
b.      Apabila memperjuangkan hak umat Islam yang masih ada dalam perlembagaan sedia ada, mempertahankannya agar tidak diubah dan diperkemaskan bukan bermaksud ingin mengenepikan hak-hak kemanusiaan bangsa-bangsa lain yang tidak seagama tetapi yakin hanya Islam mampu memberi keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

·         Pada saya, sudah jelas jalan yang harus dilalui. Daripada 3 pilihan yang ada, pilihan yang ketiga itulah pada pandangan saya tepat dengan suasana politik di Malaysia sekalipun kelihatan menentang arus

·         Saya mengimpikan Malaysia that had come together “through our own free will and desire in the true spirit of brotherhood and love of freedom”, in a union arrived at “by mutual consent by debate and discussion…through friendly argument and compromise,” and “in the spirit of co-operation and concord.”

·         Saya mengimpikan rakyat Malaysia yang terpelihara hak-hak kesihatan, pendidikan dan keselamatan. Saya mengimpikan zaman kita bersama-sama dalam sikap kesukanan apabila nama-nama Soh Chin Aun, Arumugam, Isa Bakar, Santokh Singh, James Wong and Mokhtar Dahari menjadi sebutan di kalangan anak muda. Saya meingimpikan zaman kesukanan apabila rakyat Malaysia, satu sorakan menyokong pasukan badminton Piala Thomas 1992.

·         Saya mengimpikan sistem politik dan pemerintahan yang adil tanpa perlu memanipulasi unsur perkauman dan sikap keagamaan yang terlampau.

·         Namun, saya percaya di dalam konteks Malaysia sekarang, usaha ini hanya akan berjaya apabila umat melayu yang menjadi teras politik di negara ini bersama-sama bekerja berpandukan dakwah islamiyyah yang asli berasaskan quran dan sunnah.

·         Ketepikan permusuhan yang sedia ada dan letak kerangka untuk satu muafakat umat Islam tanpa menjejaskan parti-parti yang sedia ada. Di dalam muafakat umat Islam ini,  bersusun nelayan dan pemborong, peniaga kecil dan usahawan, berbaris petani di samping doktor, buruh di sebelah jurutera, pelajar dengan guru, hakim serta peguam, wanita mahupun lelaki, ahli PAS, UMNO, PKR mahupun DAP, pimpinan PR mahupun BN yang beragama Islam di dalam satu saf Islam. Isu-isu pokok Islam menjadi kebersamaan antara pelbagai aliran di kalangan umat melayu ini. Dari situ insya-Allah, barulah akan lahir umat Islam yang beragenda dan masa depan Malaysia yang cemerlang.

Friday, 23 July 2010

Kesatuan Umat – Tidak Perlu Pembubaran Parti

Rata-rata sekarang semua mulai berbicara semula berkenaan penyatuan umat Islam di Melayu.

Beberapa kupasan menarik yang saya jumpa:

1.                   - Ustaz Harussani
“Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.”

“Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.”

“Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.
Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63

"Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

2.                   - Dr Ridhuan Tee
“Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.”

“Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.”

“Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?”

“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh. Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita.” 

3.                   - Ustaz Nasrudin Hassan An-Tantawi
“Ringkasnya , dunia hari ini khasnya negara kita juga perlukan surat atau risalah Rasulullah saw ini iaitu Aslim Taslam . Ianya sesuai dihantar sewaktu UMNO dan BN ghairah mengajak PAS bersatu . Saya kata : Pelan Damai untuk ummat ini ialah Islam atau dalam erti kata lain ialah Aslim Taslam . Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Pastinya ia merupakan seruan kepada semua bukan terhenti antara PAS dan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat dalam negara ini dan juga semua parti dan NGO .

Dengan itu , saya berlepas diri ini dengan apa jua percubaan siapa jua untuk memesongkan dan menyalah tafsirkan maksud saya dalam Pelan Damai yang saya cadangkan kepada seluruh ummat Manusia dalam negara ini . Pelan saya mudah :Aslim Taslam : Islamlah nescaya kamu selamat . selebihnya : 
No Islam No Talk”

Begitulah beberapa bahagian yang saya ambil dari penerangan 3 tokoh di atas.

Alhamdulillah dengan niat ikhlas mereka yang mahukan umat ini bersatu.

Majlis Kesatuan Islam Peringkat Kebangsaan
Sama ada kupasan-kupasan di atas hanya strategi atau mainan politik, kita harus melihat ini dengan minda terbuka. Pada pandangan saya, seperti entri-entri peribadi sebelum ini saya menyokong sepenuhnya penyatuan umat Islam melayu di dalam satu platform yang khusus. Dari sudut geo-politik negara Malaysia, kedudukan Islam bergantung kepada kesatuan ini.

Pada saya, tidak perlulah ambil keputusan drastik dengan membubarkan parti-parti politik terbesar bangsa melayu untuk menyatukan umat ini. Seruan ini pada saya tidak praktikal, terlalu beremosi dan hanya menimbulkan lebih banyak permasalahan pada waktu ini. Kesatuan umat ini sebenarnya mudah terbina hanya melalui pembentukan satu majlis gabungan umat Islam peringkat kebangsaan di atas platform Islam. Penaung secara tidak langsung adalah DYMM Yang Dipertuan Agung dan anggota utama adalah dari majlis tertinggi kedua-dua parti, tokoh Islam yang berpengaruh dari parti lain atau NGO lain, majlis penasihat terdiri dari para ulama dan tokoh ilmuan Islam tempatan. Dasar majlis gabungan ini ringkas dan mudah, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Apabila sudah terbentuk kesatuan, janganlah menjumudkan konteks majlis ini dengan membincangkan tentang hukuman memakai baju Manchester United, yoga, isu bertudung atau berjanggut, isu fiqh baca Yasin malam jumaat dan amalan nisfu syaban dan perkara-perkara dari segi awlawiyyatnya (keutamaannya) adalah kecil berbanding dengan isu-isu seperti pembuangan anak, isu hak asasi manusia dan akta ISA dari segi Islam, isu pecah amanah, isu korupsi, isu pembaziran dana negara, isu penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. 

Objektif awal majlis kesatuan ini sekurang-kurangnya dari 3 asas:
·         Tanggungjawab pemerintah dari sudut Islam
·         Menghormati aspirasi rakyat dari sudut Islam
·         Memelihara perpaduan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia

Selepas berbincang tentang isu, bentuk langkah penyelesaian yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Langkah-langkah penyelesain dan aspek perbincangan sekurang-kurangnya merangkumi 3 aspek – aspek sosial, politik dan ekonomi.

Entri-entri yang lepas saya memfokuskan kepentingan perpaduan umat dari segi politik dan sosial. Entri kali ini, saya akan menyentuh kepentingan perpaduan umat Islam dari segi ekonomi.

Asas Ekonomi Islam
Asas terpenting ekonomi Islam adalah harta yang halal dan baik sebagai tunggak kehidupan. Islam mengajar kita mencari rezeki yang halal. Zuhud di dalam Islam tidak bererti sanggup hidup dalam kemiskinan dan melarat. Zuhud di dalam Islam bererti jangan terlalu mengejar dunia, pembaziran atau menggunakan harta untuk tujuan kemaksiatan dan mengkufuri nikmat Allah. Konsep Islam,

فسير في لأرض واستبق الخيرات
“Maka berjalanlah atas muka bumi mencari pencarian kehidupan dan berlumba-lumbalah beramal kebajikan”
Konsep Islam bukan sebaliknya, yakni  berlumba-lumbalah di atas muka bumi dalam mengejar pangkat, harta dan kemewahan manakala berjalanlah dengan perlahan dalam beramal kebajikan.

Antara asas ekonomi Islam adalah bekerja bagi yang mampu dan mentadbir urusan kewangan mengikut lunas Islam. Islam menggalakkan manusia bekerja malah bagi yang berkemampuan, wajib bekerja. Islam inginkan umatnya mahir dan berprofesional atau itqan dari konteks Islam. Islam mengecam umatnya yang menganggur sekalipun alasan untuk tujuan beribadat. Islam mengecam umatnya yang menyalahtafsirkan konsep tawakkal kepada Allah swt. Rezeki, berkait dengan usaha yang berterusan. Pentadbiran urusan kewangan sama ada personal finance atau corporate finance harus terbina dan memelihara kepentingan individu atau masyarakat.

Antara asas ekonomi Islam adalah memastikan keperluan asasi rakyat dibina di dalam negara oleh rakyat atau syarikat tempatan. Tanah dan asset, sistem pengangkutan, perhubungan, makanan asasi seperti daging, gula, garam dan sebagainya harus disokong sama ada melalui pembangunan industri kecil atau besar. Begitu banyak tanah yang terbiar, begitu banyak pemilikan tanah di ibukota dimiliki oleh rakyat negara luar tanpa kawalan yang jelas, begitu banyak keperluan rakyat diimport dari negara jiran.

Antara asas ekonomi Islam adalah mengembangkan industri pertanian, perladangan, penternakan, perusahaan besar atau perusahaan kecil serta membina kepakaran di dalam negara oleh rakyat tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping menjalin hubungan akrab dengan negara Islam lain.

Antara asas ekonomi Islam adalah melaksanakan sistem cukai dan zakat serta pengagihan kekayaan dengan adil dan saksama. Islam menghalang konsep monopoli dan penimbunan harta yang menghalang aliran matawang secara rasional. Islam menetapkan konsep zakat yang jelas bagi memastikan aset individu dan masyarakat sentiasa bersih dari sifat tamak haloba. Islam memastikan konsep cukai tidak membebankan rakyat. Islam mahu sebarang dasar perubahan ekonomi tidak drastik dan membebankan masyarakat terutamanya yang masih tidak berkemampuan. Mungkin salah satu cara adalah mengenakan cukai import yang tinggi kepada kereta mewah kerana pembelinya adalah dari golongan kaya manakala kereta-kereta biasa tidak perlu dikenakan cukai import yang tinggi agar memudahkan sesiapa yang berpendapatan kecil serta sederhana merasai kereta yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Alangkah indahnya, apabila ekonomi islam terlaksana…maka sikap yang diambil oleh pemerintah mencerminkan keadilan sistem ekonomi Islam. Apabila menyebut keindahan ekonomi Islam, terkenang saya kepada kehidupan khalifah rasulullah saw saidina Abu Bakr dan Saidina Umar radiallahuanhuma. Terkenang cerita Saidina Abu Bakar ra yang masih memerah susu kambing sekalipun sudah menjadi khalifah umat yang mampu menewaskan tentera Parsi dan Rom. Terkenang cerita Saidina Umar ra ketika terserempak dengan seorang Yahudi dalam keadaan meminta sedekah. Saidina Umar ra, menegurnya kenapa meminta sedekah. Apabila Saidina Umar ra mengetahui ketidakupayaan yahudi tersebut mencari rezeki, khalifah umat ini mengucapkan sesuatu yang menyentuh hati,

ما أنصفناك يا هذا، أخذنا منك الجزية قوياً وأهملناك ضعيفاً، افرضوا له من بيت
المال ما يكفيه
“Alangkah tidak adilnya kami kepada engkau, kami ambil jizyah ketika engkau kuat dan kami abaikan engkau ketika lemah. Berikanlah kepadanya sumbangan Baitul Mal yang secukupnya”

Apakah ada demonstrasi keadilan dan bersifat kemanusiaan yang lebih baik dari ini?

Perlaksanaan Prinsip-prinsip Islam Melalui Kekuatan Perpaduan Umat

Kesatuan umat tidak perlu pembubaran parti-parti yang sedia ada. Permuafakatan dapat dibina melalui unit-unit kecil yang bersatu. Oleh sebab itulah, Islam pada peringkat awal menyatukan aqidah terlebih dahulu. Apabila kita sudah cukup pengalaman bekerjasama atas prinsip persaudaraan, barulah dapat dibina perpaduan yang mutlak.
Ekonomi prinsip Islam hanya dapat terlaksana apabila umat Islam mempunyai kekuatan. Antara pra-syarat kekuatan adalah kesatuan umat. Di dalam konteks geo-politik di Malaysia, ini bermakna umat melayu yang beragama Islam.

Kita tahu di mana kedudukan ekonomi kita. Kita sedar di mana kedudukan politik kita. Kita insaf di mana kedudukan sosial kita. Namun tahu, sedar dan insaf belum mencukupi. Melakukan pengislahan dalam keadaan umat Islam berpecah dengan dikotomi politik juga menyebabkan umat ini terdedah kepada ancaman musuh Islam yang bersatu. Saya yakin dan pasti, ramai di kalangan umat Islam sama ada di dalam PAS, PKR atau UMNO serta non-partisan mencintai agama Islam.

Yang tinggal, hanyalah untuk kita berlumba ke arah kebaikan sistem Islam secara syumul. Yang tinggal, hanyalah perpaduan umat.

Fikir-fikirkanlah. Wallahua’lam.

Saturday, 31 October 2009

Perjalanan Yang Panjang

  1. Gelagat ahli-ahli politik di tanahair meyakinkan saya bahawa jalan siyasah yang dilalui oleh ramai aktivis Islam di Malaysia belum sampai tahap kematangannya. Bukan aktivis yang tak matang, tapi waqi' setempat pada marhalah kini yang belum matang. Tak menghairankan, kalau rakyat makin pening. Dilihat dari satu konteks, seakan-akan "demokrasi" hidup pada parti-parti yang nampak bermasalah...tetapi persoalan sebenar adalah kenapa perkara sebegini terjadi?
  2. Saya tak mau kupas panjang tentang masalah PAS, UMNO mahupun PKR. Apa lagi parti-parti lain. Dari satu sudut sekali pandang, cabaran dalaman PAS adalah kecil berbanding UMNO dan PKR....tetapi kalau kita analisa dengan lebih mendalam, cabaran PAS itu menunjukkan satu luka yang lebih dalam dan melibatkan kepemimpinan teratas. Saya yakin, majlis syura PAS akan menangani masalah ini dengan teliti dan berwaspada.
  3. Apabila ini semua terjadi, saya semakin yakin bahawa permasalahan umat dan negara kita hanya dapat diselesaikan dengan jalan panjang, yakni jalan tarbawi. Itulah sunnatullah dalam mengubah masyarakat. Umpama menanam padi. Di samping bertawakkal kepada Allah, insan penanam padi harus berilmu dalam kaedah penanaman padi. Kerjanya berperingkat dan berfasa. Begitu juga jemaah yang inginkan perubahan Islam di dalam masyarakat. Di samping bertawakkal kepada Allah, jemaah tersebut harus memahami sosiologi sesuatu masyarakat. Dakwah harus mengikut peringkat. Rujukilah seerah rasulullah saw. Ramai yang akan mengatakan, kalau tak habis-habis tarbiyyah, sampai bila nak ambil kisah isu negara? Apabila itu terjadi, bukan salah pentarbiyyahan, tetapi lebih kepada methodology dan hasil dari tarbiyyah.
  4. Insan-insan yang lahir dari sistem tarbiyyah yang jitu, mampu membawa diri dan seterusnya keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah swt.  Individu-individu ini yang tadinya bergerak dalam satu jemaah tarbiyyah yang mantap seterusnya berbakti kepada masyarakat dan mendidik masyarakat dengan ajaran Islam secara praktikal dari segi ruh dan amalan. Jemaah ini memfokuskan gerakan tarbiyyah di setiap fasa kehidupan bermula dari peringkat anak-anak kecil, remaja dan muda-mudi melalui platform-platform yang positif serta membina peribadi. Malah, tidak dikatakan keterlaluan jemaah juga menitikberatkan pemilihan pasangan suami atau isteri yang sesuai untuk melakar kehidupan sebagai pasangan yang ikhlas bersama kerana Allah swt. Apabila sudah lahir tenaga-tenaga baru, maka kekuatan sudah ada untuk membina pusat-pusat kebajikan masyarakat yang menawarkan khidmat kaunseling, pengajian, dakwah dan pendidikan kepada seluruh anggota masyarakat. Di sini, tidak kira apa latar belakang atau parti politik, sesiapapun boleh diterima sebagai pelawat atau memberi sumbangan. 
  5. Barulah perubahan akan terasa. Barulah masyarakat merasa bahawa ada nafas dan ruh Islam di persekitaran mereka. Barulah masyarakat terasa ada alternatif baru yang lebih lengkap dari yang sedia ada. Barulah masyarakat bukan Islam tertanya-tanya apa yang merawat perubahan masyarakat Islam ini. Barulah mereka lebih ikhlas bertanya tentang ajaran Islam. Semakin lama, semakin ramai yang memeluk Islam. Sokongan masyarakat semakin nyata. Nah, waktu itu masyarakat sudah bersedia untuk bersama. Datang badai mahupun ombak, sokongan mereka pasti ada. Waktu itu, marhalah dakwah berbeza. Barulah kesatuan umat Islam di atas bendera tauhid boleh digarap. 
  6. Umpama rama-rama. Bermula dari ulat yang hanya mampu bergerak secara perlahan-lahan makan daun, sekali tengok macam slow jer. Tetapi apabila sudah cukup masa dan bekalannya, ia keluar dengan bersusah payah dari kepompongnya yang kecil itu mampu menjangkau kawasan yang jauh tanpa ada batasan.
  7. Namun, apa yang terjadi di Malaysia adalah sebaiknya. Kebanyakan aktivis politik hanya ingin gerakan atau pertubuhan mereka terus menjadi rama-rama tanpa bekalan dan persiapan yang cukup. Masyarakat apatah lagi individu belum memahami Islam secara praktikal dan nyata. Isu-isu kecil, masih bermain di bibir dan benak pemikiran kita. Ruh masyarakat masih berkecamuk dengan idea-idea barat dan humanisme. Malah, ada yang melihat Islam hanya sebagai ritual dan adat semata. Politik pula dipraktikkan secara licik dan penuh tipu daya. Umat Islam yang satu bangsa, berpecah belah dengan pelbagai jemaah dan kesatuan. Umat yang sama, hidup tidak berpendirian dan ambil sikap tidak peduli dengan masalah masyarakat, asalkan tak kena kat batang hidung sendiri. Masing-masing hanya dengan kepentingan diri sendiri. Maka lahirlah umat yang pemimpin-pemimpin menjerit terpekik terlolong berkenaan isu-isu besar, manakala rakyat di bawah bergaduh tentang perkara-perkara kecil. Umat ini, akhirnya hidup tanpa panduan....tanpa tujuan. Jiwa semakin kosong, ruh semakin malap. Dakyah agama lain menyusup masuk, amalan syirik makin bercambah. Masyarakat hilang panduan. Itulah Malaysia.
  8. Beruntunglah jemaah yang memahami hal ini dan tabah melalui jalan yang panjang ini. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang mahu mengikut sunnatullah dalam perubahan masyarakat. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang tsabat dalam perjuangan. Semoga Allah swt memberi kemenangan kepada jemaah yang mahu mengikut perjalanan yang panjang, mengikut sunnah rasulullah saw. Semoga Allah swt melindungi jemaah tersebut dari 5 ancaman yakni:

  مؤمن يحسده
mukmin yang mendengkinya

ومنافق يبغضه
Munafiq yang membencinya


 , وكافر يقاتله
Kafir yang memeranginya 


, وشيطان يضله
Syaitan yang menyesatkannya


 ونفس تنازعه
Nafsu yang melawannya

Sunday, 14 June 2009

Dilema Kerajaan Perpaduan - Satu Analisa

Beberapa hari lepas, heboh suratkhabar tentang kerajaan perpaduan. Sama ada ia sesuatu yang benar atau tidak, saya percaya ini adalah dilema yang sedang PAS lalui sekarang sebagai parti Islam di bumi Malaysia.

Saya tidak tahu apa yang telah diputuskan oleh majlis syura PAS, namun saya yakin kesemua ahli syura akan menghormati keputusan syura yang dibincangkan. Kita juga harus menghormati keputusan dan pendirian mereka. Pada pandangan saya, ada 4 senario yang PAS perlu teliti yang akan menentukan ke arah mana hala tuju PAS dalam masa 15-20 tahun akan datang. Senario tersebut adalah:

  1. PAS terus kekal sebagai komponen Pakatan Rakyat dalam usaha memecahkan dominasi BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang
  2. PAS bersatu dengan UMNO dengan syarat UMNO harus meletakkan Islam sebagai dasar kesatuan
  3. PAS bersama Pakatan Rakyat duduk berbincang bersama UMNO dan BN untuk mengutarakan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya hala tuju Malaysia dalam kancah krisis ekonomi kini
  4. PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sebagai suatu pertubuhan Islam yang mampu menjadi alternatif padu kepada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional

Saya akan bincangkan satu persatu senario tersebut:

1. PAS terus kekal sebagai komponen Pakatan Rakyat dalam usaha memecahkan dominasi BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang

- PAS telah banyak melalui pelbagai pahit manis dalam perjuangan parti mereka. Sepak terajang politik tempatan, saya rasa PAS sudah dikira matang untuk menilai yang mana muslihat yang mana maslahat. Berdasarkan pengamalan tersebut tidak hairan, ada di kalangan ahli PAS yang mahu dominasi BN dalam politik negara harus dipatahkan agar orang Islam khususnya yang berbangsa melayu melihat PAS bukan sahaja sebagai sebuah parti tetapi sebuah gerakan Islam. Hasil "propaganda" BN ataupun tindakan sesetengah ahli PAS sendiri, sebarang kegiatan agama dilihat sebagai usaha politik. Dikotomi politik ini sudah tentu menjadikan sesiapa yang meminati Islam terutama di kalangan ahli UMNO, keberatan menghadiri ceramah PAS sekalipun tidak ada langsung mesej politik dalam tazkirah mereka.

- Oleh sebab yang demikianlah, ada di kalangan ahli PAS yang mahu kerjasama dengan Pakatan Rakyat dikekalkan agar tembok BN yang menghalang PAS berjaya dipecahkan. Ini tidak menjadi masalah, asalkan dasar persepakatan adalah berdasarkan di atas hak-hak kemanusiaan yang asas. Persepakatan ini harus dijadikan sebagai satu strategi jangka masa pendek, selagi mana objektif tidak tercapai.

- Di sini walaubagaimanapun terdapat satu masalah besar. Apakah kita akan menutup langsung ruang perbincangan dengan saudara seislam kita semata-mata kerana kesetiaan dengan Pakatan Rakyat? Bukankah Islam mengajar kita bersikap berlapang dada sesama manusia khususnya umat Islam? Mengapa kita harus menterhadkan diri kita hanya dengan satu sistem politik yang asasnya dicipta bukan untuk menyatukan sesama umat Islam? Bukankah kita sebagai umat Islam khususnya di Malaysia telah begitu lama mengikut tradisi politik ala Barat ini? Sebenarnya sekalipun senario 1 praktikal dari segi strategi buat jangka masa pendek, tetapi akan kelihatan membelakangkan prinsip Islam asas dalam hal ukhuwwah Islamiyyah. Strategi ini juga akan menjadikan sesetengah ahli PAS yang tidak memahami strategi ini secara menyeluruh memusuhi kesemua ahli UMNO atas dasar parti, yang sebenarnya pada pandangan saya adalah mirip assabiyyah versi moden. Maka timbullah senario kedua.

2. PAS bersatu dengan UMNO dengan syarat UMNO harus meletakkan Islam sebagai dasar kesatuan

- Mana-mana ahli PAS ataupun ahli UMNO malah orang Islam yang tidak berparti/parti lain sudah pasti menunggu saat ini. PAS dan UMNO bersatu atas ukhuwwah Islamiyyah. Dasarnya juga Al-Quran dan AsSunnah. Ia umpama mimpi indah yang saya rasa tidak jauh dari kenyataan andaikata kedua-dua belah pihak ikhlas dalam hal ini.

- Namun, sering kedengaran bahawa satu pihak tidak akan berjumpa atas dasar Islam kerana ini negara masyarakat majmuk. Saya hairan kenapa alasan sebegini dikemukakan. Islam diturunkan sebagai rahmat buat kesekalian alam. Hak-hak masyarakat bukan Islam, dijamin dan akan dipelihara di bawah dustur Islam yang hakiki. Tidak akan ada pengabaian hak-hak mereka sama ada kaya atau miskin, buddha, hindu atau kristian. Malah, sistem Islam akan memastikan hak-hak mereka terlaksana. Tidak ada lagi sistem kelas. Sesiapa yang kaya atau berkuasa, akan diadili sepenuhnya tanpa mengira agama atau bangsa. Sistem pendidikan akan memastikan identiti setiap bangsa dikekalkan. Teras-teras akhlak Islam akan ditanam di kalangan umat Islam agar umat Islam lebih berhemah, bersopan, menepati masa, tidak membuang masa, bersikap berlapang dada, berlaku adil, berbudi bahasa dan pelbagai pekerti mulia. Sistem pentadbiran dan ekonomi dikemaskinikan agar Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini. Jadi, apa masalahnya dengan senario ini?

- Masalahnya mudah. Sekalipun ini berlaku, dengan sistem politik sekarang Pakatan UMNO dan PAS adalah sangat rapuh. Kerajaan yang terbentuk, mungkin sebuah kerajaan minoriti yang goyah dan tidak stabil. Ada kemungkinan, orang Islam sendiri belum bersedia untuk mendokong rancangan ini kerana ramai di kalangan kita sendiri belum bersedia untuk bersusah kerana Islam. Strategi ini, hanya akan mengundang malapetaka dan tidak strategik untuk jangka masa pendek. Tambahan, UMNO sama sekali tidak akan membelakangkan Barisan Nasional kerana formula ini terbukti berjaya mentadbir Malaysia selama berdekad lamanya. Maka, kali ini timbullah senario ketiga.

3. PAS bersama Pakatan Rakyat duduk berbincang bersama UMNO dan BN untuk mengutarakan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya hala tuju Malaysia yang bersepadu dalam kancah krisis ekonomi kini

- Mungkin kelihatan naive, tetapi saya rasa untuk jangka masa pendek pendekatan ini mungkin yang terbaik. Saya kira tidak salah kalau PR dan BN saling berbincang secara aman di kedai kopi daripada bertengkar di Parlimen. Impian saya, buat jangka masa pendek BN memberikan PR beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara sama ada sebahagian dari kabinet atau committee tertentu. Saya yakin, ada ramai di kalangan wakil rakyat PR berkelayakan untuk duduk sama-sama berbincang memperbaiki situasi negara.

- Tubuhkan satu jawatankuasa yang ditugaskan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keamanan dan ketenteraman negara. Apa salahnya letak Mahfuz Omar sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut. Berikan jawatankuasa tersebut kuasa melalui kementerian dalam negeri untuk melakukan perubahan dan tidak semata-mata terhad dengan hasilkan kertas kerja sahaja.

- Tubuhkan inisiatif ekonomi negara disertai oleh pelbagai pakar ekonomi dari pelbagai pihak. Jangan hanya letakkan dari kalangan ahli yang tidak berkelayakan.

- Pada waktu yang sama, mulakan persepakatan secara dasar sistem-sistem yang harus diperbaiki. Hulurkan tangan untuk sama-sama bekerjasama memperbaiki situasi negara. Sudah terlalu lama kita hidup bersengketa. Bukankah sudah tiba masanya kita berlapang dada dalam mencapai visi 2020 negara yang hanya tinggal 11 tahun sahaja lagi? Pertelingkahan yang berlaku, hanya menyebabkan perkembangan negara terbantut selama 10-20 tahun jika dibandingkan dengan negara lain. Jangan biarkan ini terjadi.

- Visi 2020 walaubagaimanapun ada kekurangannya. Dasarnya bukan aqidah. Bukan atas dasar tauhid. Bukan atas dasar kepercayaan Allah itu Satu. Disinilah datangnya senario keempat.

4. PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sebagai suatu pertubuhan atau gerakan Islam yang mampu menjadi alternatif padu kepada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional

- Pilihan ini merupakan pilihan yang paling extreme tetapi mungkin sebenarnya terbaik untuk jangka masa panjang. PAS harus keluar dan berdiri atas kaki sendiri. Atas pendirian sendiri. Barangsiapa yang ingin bekerjasama dengan PAS, harus bersetuju dengan dasar PAS. Tidak ada kompromi. Ini kerana PAS sebagai gerakan Islam sudah pasti harus ada keyakinan untuk berdepan dengan PR mahupun BN.

- Ini juga bermakna PAS harus melakukan perubahan menyeluruh di dalam parti. Pas harus berfikiran jauh menjadikan PAS sebagai satu parti yang mampu menandingi komponen BN atau PR. Tampak mustahil tetapi sebenarnya tidak. Islam di zaman rasul dan khulafa’ ar-rasyidin mampu berkembang sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan tamadun Parsi atau Rom. Malah, tamadun muda Islam tersebut berjaya menundukkan kedua-dua tamadun gergasi tersebut. Kenapa? Atas keyakinan Allah swt bersama kita.

- Untuk mencapai tahap ini, PAS harus mengembangkan sayapnya melangkau hanya memenangi pilihanraya. Tawani hati dan aqal yang belum memeluk Islam agar mereka melihat Islam yang hidup dan bukannya slogan kosong yang dilaungkan ketika ceramah politik. Hidupkan suasana Islam dengan akhlak islamiyyah dan sikap keterbukaan di dalam isu-isu kemanusiaan. Kemukakan kepada masyarakat Malaysia bahawa Islam adalah alternatif kepada sistem politik yang sedia ada. Tingkatkan mutu ahli dengan mengadakan sistem pengkaderan yang berkesan.

- Tinggalkan sikap/pemikiran lama seperti seakan-akan katak di bawah tempurung kerana visi Islam bukan hanya di Malaysia, tetapi seantero alam. Lahirkan ahli-ahli PAS yang mampu berhadapan dengan pemimpin dunia sebagaimana Rabie bin Amir ra ketika berbicara dengan panglima perang Parsi Rostam Farrokhzād semasa perang Qadisiyyah dengan ucapan terkenal beliau tentang Islam,

وأخرج بها الناس من الظلمات إلى النور, ومن عبادة العباد إللى عبادة الله

“Dan ia (Islam) mengeluarkan manusia dari kegelapan, dari penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah swt”

- Ini bermakna harus ada sistem tarbiyyah yang benar-benar berkesan untuk melahirkan pendokong berkualiti seterusnya tampak kesannya di kalangan masyarakat Malaysia. Hasilnya, umat Islam secara am dan bukan Islam Malaysia akan mendokong PAS dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan hanya laungkan konsep-konsep haraki dari buku-buku harakah Islamiyyah Musytafa Mashur dan seumpamanya tetapi secara dasar masih jauh dari perlaksaan manhaj mereka. Bersihkan parti dari unsur-unsur Islam yang tidak asli dan tidak menepati aqidah ahlussunnah wal jamaah. Bukalah hati untuk menerima kritikan dan teguran dari sesiapa tanpa terus menghukum mereka. Dengarlah pandangan mereka, manalah tau ada kebenaran dari kata-kata mereka. Kalau tak bersedia menerima teguran, samala macam UMNO umpama “pot calling kettle black”.

- Banyak boleh dikupas tentang hal ini apatah lagi tanggungjawab PAS berjuang atas dasar Islam sebenarnya besar dan bermakna. Janganlah pula PAS mengambil sikap tak endah. Saya kira Allahyarham Fathi Yakan telah memberi beberapa peringatan dalam analisa beliau tentang 7 faktor utama kehancuran harakah (terjemahan di ringkaskan dan diambil dari blog Ahmad Akhyari bin Ismail @ Abu Amjad Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta) :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu.

2. Pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini terjadi lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik dan ideologi dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki kesedaran politik yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan keadaan politik antarabangsa.


Saya harap sahabat-sahabat saya di kalangan ahli dan pimpinan PAS tidak salah faham dari penulisan ini. Saya menghormati perjuangan, pengorbanan dan jalan yang mereka lalui. Penulisan ini walaubagaimanapun adalah pandangan ikhlas saya dari pilihan-pilihan yang ada di tangan PAS buat masa kini. Kesemua jalan ada baik dan buruknya, namun pilihan yang tepat Insya-Allah akan membawa PAS dan Malaysia khususnya umat Islam ke mercu kejayaan dan keredhaan Allah swt.

Wallahu’alam.