Friday, 20 December 2013

Ancaman COMANGO dan Realiti Malaysia

Tuntutan COMANGO mengajak kita untuk memikirkan sejenak kedudukan dan peranan hidup sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Oleh itu, kita harus merenung perjalanan hidup umat ini dalam perspektif sejarah kerana umur kita hanyalah umpama sedetik dari sejarah manusia yg sangat panjang. 

Pemikiran kita membawa kita kepada suasana di Mekah lebih 1400 tahun dahulu. Tiada siapa akan menjangka perubahan tamadun manusia moden akan bermula di sebuah kawasan kering kontang sebegitu. Tiada siapa yang menyangka, dalam kurang daripada 50 tahun 2 tamadun besar dan berpengaruh di rantau Arab - Parsi dan Byzantine (Rom Timur) akan tewas kepada tamadun Islam. Tiada siapa akan menyangka, mesej tauhid dari kawasan padang pasir tersebut akan bergema ke seluruh pelusuk dunia dengan ajaran aqidah yg jelas dan mudah - tiada Ilah melainkan Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Ajaran Islam datang menjelaskan hak-hak kemanusiaan, menerangkan tanggungjawab kemanusiaan dan membataskan kehendak nafsu kemanusiaan. Islam membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada keluasan penyembahan tuhan Yang Maha Tunggal, Allah swt.

Namun, zaman kegemilangan tamadun Islam ketika dunia Eropah masih bergelumang dengan Zaman Kegelapan (Dark Ages) adalah sangat pendek dibandingkan dengan sejarah kemanusiaan secara keseluruhan. Jika kita meneliti sejarah manusia berpandukan keimanan kepada Allah, kita akan dapati dunia ini lebih menyerupai pemabuk dan tempoh mabuk sebenarnya lebih panjang dari tempoh sedar.


Selepas interaksi dengan tamadun Islam di Andalus (Sepanyol) dan Palestin, tamadun barat mula mempersoalkan pemerintahan theokratik gereja. Tamadun mereka melalui zaman Renainsance, Reformation dan Industrial Revolution seterusnya bangkit dan meninggalkan tamadun Islam di belakang. Materialisme (cinta kekayaan) dan hedonisme (kepuasan nafsu) menjadi asas kepada tamadun mereka manakala umat Islam semakin alpa dan meninggalkan ajaran Islam yang sebenar. Zaman Imperialisme datang lalu menguburkan payung pemerintahan Islam. Umat Islam berpecah dan sedikit demi sedikit negara umat Islam dijajah tamadun barat. Giliran tamadun Islam pula melalui zaman kegelapan akibat kelalaian umat Islam sendiri.

Namun, kegelapan tersebut umpama gerhana matahari yang berlaku sebentar sahaja. Umat Islam mula mengenali jati diri mereka lalu mula berjuang mencapai kemerdekaan. Ketika umat Islam sedang memperjuangkan kemerdekaan sambil mencari identiti Islam kembali, tamadun Barat memperkenalkan Hak-hak Kemanusiaan Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) pada tahun 1948. Mulai 1965 hingga 2008 hak-hak kemanusiaan tersebut telah melalui proses evolusi dan pada hari ini ia terdiri dari 9 perkara asas yang terangkum kepada Hak Asasi Kemanusiaan Sejagat (Core International Human Rights). Badan-badan ditubuhkan untuk memantau perlaksanaan hak sejagat ini dan setiap negara 4 tahun sekali akan melaporkan perkembangan hak-hak kemanusiaan melalui proses Universal Periodic Review (UPR) yang diasaskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. Majlis Hak Asasi Manusia (Human Rights Council HRC) PBB adalah pengelola kepada proses ini. Maka melalui forum inilah, COMANGO yang terdiri daripada 54 Pertubuhan Bukan Kerajaan menjadi kumpulan sukarelawan yang mendesak kerajaan Malaysia agar menandatangani kesemua 9 perkara Hak Asasi Kemanusiaan Sejagat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

Mungkin ada yang akan mengatakan, apa salahnya perkara-perkara asas tersebut? Kesemuanya baik dan bersesuaian dengan fitrah manusia. Tiada yang salah pada tuntutan COMANGO tersebut. Namun, mereka yang beriman dan mengamatinya akan mendapati bahawa ada unsur tersembunyi terkandung di dalam tuntutan tersebut yang bertentangan dengan ajaran Islam dan menggugat kepemimpinan Islam di bumi Malaysia.

Kebatilan tidak tersebar dalam kehidupan manusia di dalam keadaan ia menzahirkan kepalsuannya atau mendedahkan kebatilannya. Itu tidak akan berlaku sama sekali. Sebaliknya kebatilan melindungi kejahatannya dengan pakaian kesungguhan dan meminjam pakaian kebenaran. Kadangkala kebatilan ini mengambil sebahagian daripada kebenaran dan sebahagian dari natijahnya seperti bermula dengan hak-hak wanita, kanak-kanak, pekerja dan sebagainya. Ia mempunyai sekelumit kebenaran namun apabila dilihat lebih mendalam terdapat padanya gugusan kepalsuan yang ingin merobek-robek jati diri Islam umat ini - dalam bentuk yang akhirnya akan memesongkan manusia daripada Allah swt.

Tuntutan COMANGO menyerang umat Islam bukan dengan jelas seperti lebah menyerang bunga yg tumbuh mekar untuk menghasilkan sesuatu yang baik seperti madu. Tetapi ia menyerang umpama ulat dan belalang menyerang kebun yang subur menjadi parang jarak padang tekukur.

Inilah rahsia kenapa mereka akan mendakwa bahawa tuntutan mereka tidak bertentangan dengan Islam dan mereka akan secara am mengatakan bahawa Islam tidak tergugat dengan perlaksanaan tuntutan mereka. Inilah juga rahsia mengapa ada umat Islam yang terpedaya dengan tuntutan mereka.

Masakan tidak tergugat? Di dalam laporan COMANGO kepada HRC;
http://www.hurights.or.jp/archives/focus/section2/2008/09/asean-and-human-rights.html

  1. Bukankah mereka menggesa di dalam perkara 10 laporan mereka tersebut agar Malaysia menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) dan di dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi hak kebebasan beragama. Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Malah antara contoh yang diberi adalah perlunya menolak atau mengurangkan kuasa mahkamah syariah (perkara 9.5) dan memberi kebebasan untuk ajaran syiah berkembang di Malaysia (perkara 10.1.6).
  2. Bukankah mereka juga menggesa (perkara 6.2) agar Malaysia menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat di dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.
  3. Bukankah mereka juga menggesa (perkara 6.1) agar Malaysia mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, bisexsual, gay, transgender, inter-sexed, queer (LGBTIQ). Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis. Malah, contoh yang dikemukakan (perkara 6.1.1) yang mereka kesali adalah bagaimana pusat urut di Pulau Pinang yang menawarkan perkhidmatan “gay” diserbu pihak berkuasa sebanyak 4 kali.

Soalan penting - apakah jalan keluar?
Sebagai umat Islam kita harus menolak tuntutan-tuntutan COMANGO  yang bertentangan dengan prinsip Islam. Ada perkara yang kerajaan Malaysia boleh ratifikasi namun ada perkara yang kerajaan Malaysia harus berhati-hati dengan tipu helah tuntutan mereka. Hakikatnya, kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia khususnya harus melihat tuntutan COMANGO sebagai usaha untuk menukar rupa bentuk jati diri negara Malaysia kepada acuan barat yang akan mengancam keharmonian negara.

Cukuplah dengan Titah Raja Nazrin Shah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah 19 Februari 2013 Kuala Lumpur sebagai peringatan tentang asas jati diri dan asal usul negara Malaysia:

"Ketika bangsa bagaikan mabuk dilambung ombak globalisasi, amatlah perlu untuk bangsa diperingatkan kepada fakta sejarah, agar Melayu kekal dijadikan konsep yang hidup, tidak di hanyutkan oleh arus globalisasi. Konsep Melayu hendaklah kekal diaktifkan dengan menghormati bahasa Melayu, menghargai budaya Melayu, menghayati ajaran Islam, mengekalkan kedaulatan bangsa yang dilambangkan oleh takhta pemerintahan beraja. Sejauh mana Beta melaut, Beta senantiasa menjadikan pedoman akan ungkap kata yang pernah dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, Hakim Raja Tan Sri Azlan Shah ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya, pada 30 Jun 1979;

Petikan:“ ...bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah,
 
Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka...; Perkataan ‘Negeri Melayu Bersekutu’, ‘Negeri Melayu Tidak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu....Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia”.

Wallahua’lam.