Beberapa kali, media perdana berbahasa Melayu sering memainkan cerita umat Melayu harus bersatu. Tetapi, apa yang saya baca tidak dapat lari dari prasangka bahawa ini semua hanya muslihat dalam bersatu.
Mengapa tidak?
Apabila diutarakan melayu bersatu, fokusnya hanyalah PAS dan UMNO sedangkan ada banyak lagi parti lain dan badan lain yang ramai di kalangan ahli mereka orang Melayu. Apabila diutarakan Melayu bersatu, cepat menolak parti lain kerana dikatakan parti yang satu lagi memperjuangkan kepentingan individu tertentu? Sedangkan konsep bersatu yang diinginkan adalah menyatukan semua umat melayu di atas satu dasar aqidah tanpa prejudis kepada prinsip perjuangan. Apabila diutarakan melayu bersatu, begitu mudah dikatakan Pakatan antara PAS/DAP/PKR tidak akan dapat menegakkan Islam. Bagaimana pula Barisan UMNO/MCA/MIC etc? Adakah mereka juga dapat mempraktikkan Islam secara menyeluruh? Mengapa adanya “double standard” apabila dibuat perbandingan antara kedua-dua pihak?
Janganlah mengajak umat Islam bersatu di sebelah kanan tetapi di sebelah kiri mahu menghancurkan kesatuan pakatan tertentu untuk kepentingan politik parti lawan. Andaikata ikhlas mahu bersatu, ada banyak cara yang boleh dilakukan sebagai demonstrasi bahawa penyatuan umat Melayu Islam di Malaysia tidak akan mengganggu gugat kedudukan mana-mana umat bukan Islam di negara dan rantau ini. Malah, kita sebagai umat Islam harus menghormati kedudukan dan prinsip kemanusiaan yang diajar dalam Islam.
Janganlah bermuslihat dalam bersatu. Bagai kata Saidina Ali ra kepada sekumpulan manusia yang menjulang al-Quran dengan pedang menggesa agar perdamaian dilaksanakan,
كلمة الحق ولكن باطل
Kalimah yang hak, tetapi di sebalik itu terkandung niat yang batil.
Mengapa mahu merosakkan kebenaran penyatuan umat Islam untuk kepentingan politik tertentu? Bukankah suasana sosial masyarakat Islam kini benar-benar tergugat dan ini bukan lagi masa untuk bermuslihat bagi memastikan kedudukan untuk pilihanraya akan datang? Mengapa tidak diaturkan satu rundingan bulat bersama pemimpin-pemimpin Islam di negara untuk melihat jalan keluar permasalahan ini? Kalau untuk pemansuhan UPSR dan PMR boleh dipanggil tokoh-tokoh pendidik di dalam satu rundingan, bukankah kesatuan umat ini lebih utama? Mengapa begitu takut untuk bersatu atas dasar aqidah secara tulus?
Penegasan di sini adalah umat Melayu harus bersatu atas prinsip aqidah dan bukan hanya prinsip bangsa kerana kesatuan atas prinsip aqidah menjamin keadilan dan rahmat dari Allah swt manakala kesatuan hanya atas prinsip bangsa akan menjurus ke arah kefanatikan kaum tertentu. Kesatuan atas prinsip aqidah menjamin bahawa yang bersalah tetap dihukum hatta dari adik beradik atau anak sendiri kerana takut akan kemurkaan Allah swt manakala kesatuan hanya atas dasar bangsa cepat-cepat mempertahankan kaum sendiri sekalipun merekalah sebenarnya yang bertindak zalim terhadap bangsa lain. Kesatuan atas dasar aqidah, menjamin prinsip keimanan dan ketakwaan dalam muamalah kehidupan manakala atas dasar bangsa membuka pintu kepada perjuangan assabiyyah yang ekstrim.
Ada perbezaan antara bangsa yang bersatu atas dasar aqidah dan kesatuan hanya atas dasar bangsa. Yang satu, menjurus kepada bersatu dalam kebenaran manakala yang satu membuka jalan kepada bersatu dalam bermuslihat dalam erti kata menipu daya. Satu jalan, membuka peluang untuk berdakwah di atas kebenaran manakala yang satu hanya menyebabkan bangsa lain yang belum beragama Islam lari dari agama yang syumul ini. Bersatu atas dasar aqidah, memastikan tindak-tanduk bangsa tersebut terhad berpandukan dasar, hukum dan perundangan Islam manakala bersatu atas dasar bangsa semata membuka ruang untuk bertindak berpandukan nafsu dan pandangan peribadi .
Bersatu atas dasar aqidah, tidak perlu bangkit menjerit menghunus keris mengajak umat bersatu sebagai retorik dan drama semata. Bersatu atas dasar aqidah membawa rahmat ke sekalian alam dan menutup pintu-pintu kezaliman ke atas bangsa lain.
Gejala-gejala sosial yang melanda kini menolak mereka yang mahu bermuslihat dalam bersatu atau ingin bersatu untuk bermuslihat. Ini bukan masanya dan Islam tidak memberi tempat kepada golongan sebegini.
Tidak cukupkah bayi-bayi yang tidak bersalah terbuang untuk kita masih lena? Sudah lah bayi terbuang, kini timbul pula sindiket jual bayi pula.
Tidak cukupkah melihat anak bangsa sendiri yang beragama Islam di bandar dan luar bandar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk kita masih bercakaran dan bermuslihat sesama kita?
Tidak cukupkah melihat anak anak remaja melayu yang berjalan terhoyong hayang, terpekik terlolong dalam keadaan mabuk di tengah malam minggu di Bukit Bintang dan kelab-kelab malam untuk kita bertindak?
Tidak cukupkah dengan statistik kes-kes pelacuran, pembunuhan, rogol, ragut, rompak, penderaan etc yang menghiris hati melihat ke mana bangsa ini dalam masa 10-15 tahun lagi?
Tidak cukupkah kita melihat sikap kurang ajar, lemah disiplin dan gemar membuang masa anak-anak bangsa kita untuk kita bangkit dan bersatu?
Tidak pedihkah hati melihat bangsa Islam sendiri di dalam keadaan tidak berdaya saing, lemah dari segi ekonomi dan terpaksa menjual tanah untuk menyara hidup di bumi sendiri?
Tidak pedihkah melihat bangsa Islam ini, hidup dalam keadaan terpaksa berpiutang apatah lagi setelah langsai hutangnya dipaksa hidup berhutang lagi untuk menyara anak-anak yang masih belum mahu hidup atas inisiatif sendiri?
Apakah lagi kerosakan yang kita mahu lihat untuk menggesa kita bersatu? Apakah lagi kemusnahan akhlak yang mahu mendorong kita agar ikhlas berjuang di dalam satu saf? Apa lagi yang kita mahu lalui untuk membuka mata hati yang sudah gelap pekat dengan unsur materialisme dan hiburan ala Hollywood?
Abad ini, bangsa melayu ini memerlukan Islam lebih dari Islam memerlukan kita. Islam tetap berada di kedudukan tinggi di sisi Allah swt tanpa melayu….tetapi melayu tanpa Islam, hanya umpama kelakatu malam mencari jalan untuk sampai ke cahaya api di tengah rimba.
Fikir-fikirkanlah.
Wallahu’alam.