Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

Friday, 4 May 2012

PAS tidak boleh bersama UMNO?

Memang sudah lama saya tak menulis blog (what a cliche). Sebabnya bukan untuk entri kali ini.

Hari ini, Insya-Allah saya mulakan semula entri saya. Entri saya ini agak pendek. Almaklumla, baru nak masuk balik gear 1.

Tadi, saya terbaca entri YB Khalid Samad memberi tamsilan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO. Beliau memberikan tamsilan bahawa "Andaikata ada orang Melayu-A menjemput seorang Melayu-B yang lain ke kelab malam untuk minum beer. Tetapi, pada masa yang sama ada seorang bukan Melayu menjemputnya ke kedai mamak untuk minum teh tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke kedai mamak". Boleh dibaca dengan lebih lanjut di blog YB di sini. http://www.khalidsamad.com/2012/05/mengapa-pas-tidak-boleh-bersama-umno.html

Saya tidak bersetuju dengan perumpamaan tersebut. Ia terlampau mudah untuk dijadikan alasan kenapa kita harus menolak kerjasama dengan UMNO. Menggunakan perumpamaan tersebut untuk menolak kerjasama PAS dengan UMNO pada saya adalah tdak tepat.

Pertama sekali, kalau ada org Islam ajak saya minum beer adalah wajib saya untuk menolak ajakan tersebut.Sebagai orang Islam, sudah semestinya saya akan menegur dosa beliau atas prinsip ukhuwwah Islamiyyah dan melarang setakat mampu kerana minum arak adalah dosa yg jelas. Saya akan cuba halang beliau menzalimi diri sendiri dan apatah lagi ada kemungkinan menzalimi keluarga beliau sendiri.


Keduanya, kawan saya yang mengajak untuk minum beer tersebut masih Islam selagi beliau tidak melanggar prinsip aqidah, maka prinsip interaksi saya dan beliau harus berpandukan alquran dan assunnah. Saya tidak boleh sama sekali terus memutuskan silaturrahim dengan beliau dan menolak segala bentuk kerjasama di masa hadapan dengan beliau semata-,mata kerana dosa tersebut. Pokoknya, titik pertemuan masih aqidah. Manusia mana tidak berdosa? Susahla macam tuh kalau seseorang buat dosa terus putuskan untuk menolak kerjasama dengan beliau dalam perkara lain. Prinsip Islam jelas dalam hal ini.

Ketiganya, saya tidak akan pula bekerjasama dengan kawan kawan bukan Islam saya yg tidak minum beer utk menghalang kemaksiatan peribadi beliau dengan menyebarkan kesalahan beliau dan memburukkan beliau di depan org ramai. Ini bukan caranya. Apatah lagi, tindakan sebegini takut-takut, ada pihak bukan Islam ambik kesempatan atas pergaduhan ini.

Di sini saya bersetuju dengan pandangan Ustaz Hazizi di blog nya. "Isu ini adalah isu hukum syarak. Ia bukan isu logik minum arak dengan orang Islam dan minum teh dengan orang kafir. Analogi jahil syariah itu mampu memesongkan pemikiran anak muda yang tidak belajar fekah dan usul fekah, dan mereka itu ramai bilangannya. Sikap pandang ringan dan mudah-mudah mengeluarkan analogi yang bertentangan dengan hukum syarak adalah sikap yang merbahaya dan kurang beradab kepada syarak." http://ustazhazizi.wordpress.com/2012/04/29/sampaikanlah-pandanganku-ini/

Akhir kata, niat untuk bekerjasama dengan bukan Islam untuk menghalang kawan kita minum beer mungkin baik, tetapi caranya harus berpandukan alquran dan assunnah. Saya ingin mengambil langsung pandangan Ustaz Fauzi yang beliau lontarkan di FB seperti berikut:

~~~~~~~Mula entri Ustaz Fauzi~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Wala'

Wala' bukan terhad kepada wala' kepada pimpinan Islam shj. Ia lebih luas merangkumi hubungan kasih sayang antara orang-orang beriman. Yang berjihad dan berdakwah dibantu. Yang salah ditegur. Yang maksiat dibimbing ke arah kebaikan. Yang fasik diajak bertaubat dengan perasaan kasih macam ayah nasihat anaknya si penagih dadah.

Kalau saya tegur PAS dalam masalah tahaluf siasi, ia dibuat atas dasar hubungan wala' bukan untuk mengisytiharkan bara' (permusuhan).

Atas dasar wala' juga saya bersimpati terhadap Azmin atas pendedahan yang dilakukan oleh Utusan ke atasnya.

Atas dasar wala' juga saya memohon agar semua pengkomen isu Bersih 3.0 menggunakan bahasa yang beradab dalam berbicara sesama mukmin.

Atas dasar wala' juga sepatutnya kita menjadikan pemimpin muslim yang zalim sebagai sasaran dakwah sebelum disasarkan sebagai musuh. Perbezaan politik sesama mukmin tidak mengeluarkan kita dari hubungan wala'.

Bara'

Hubungan kita dengan non muslim dibina atas dasar bara'; berlepas diri dari perbuatan mereka mensyirikkan Allah, membenci perbuatan tersebut dan mengisytiharkan permusuhan terhadap jenayah syirik dan sebarang pencabulan terhadap hak-hak Allah.

Kalau mereka memusuhi Islam, kita akan memusuhi mereka. Di antara bentuk permusuhan adalah usaha menukar status negara kepada status yang lebih jauh dari status negara Islam. Suka saya tegaskan, ciri utama negara Islam adalah kedudukan Al-Quran / Hadis sebagai rujukan tertinggi negara dan bukan setakat isu-isu ketelusan, keadilan dsb (walau pun tidak dinafikan kepentingan isu-isu tersebut di dalam negara Islam).

Kalau mereka tidak memusuhi Islam, kita wajib bermuamalah dengan baik terhadap mereka. Tetapi muamalah yang baik tidak membatalkan kewajipan bara' terhadap syirik tersebut. Kalau kita kasihan pada mereka sebab mereka syirik kerana jahil, agenda menerangkan akidah Islam dan kedudukan hak-hak Allah dalam kekuasaan menjadi kewajipan nombor 1 dalam hubungan mukmin-non mukmin tersebut.

Tahaluf Siasi (pakatan politik)

Hukum asal bagi pakatan politik adalah kewajipan melakukan pakatan atau persepakatan antara parti-parti dan badan-badan orang Islam. Jika tidak berlaku, mesti dengan alasan yang kukuh kenapa tidak boleh berlaku.

Hukum asal adalah tidak harus melakukan pakatan antara badan / parti Islam dan badan / parti bukan Islam. Jika berlaku, ia adalah hukum pengecualiaan yang mesti dilakukan dengan alasan yang kuat (tabrir syar'ie). Sebagaimana hukum ini terkena atas UMNO maka begitu jugalah hukumnya atas PAS. Kalau UMNO buat, PAS tak boleh gunakan alasan itu untuk dia juga buat.

Tahaluf boleh membawa kepada wala' kalau tak hati-hati. Maksud tahaluf adalah saling berbantu; badan Islam tolong badan bukan Islam dan balasannya adalah badan bukan Islam memberikan balasan sekian-sekian. Begitu juga badan bukan Islam tolong badan Islam dan badan Islam memberikan balasan sekian-sekian kepada badan bukan Islam.

Saya tidak percaya jika orang kata badan bukan Islam tak minta apa-apa dari badan Islam dalam tahaluf siyasi ini. Apa yang UMNO dan PAS janji kepada badan bukan Islam akan menjadi salah satu ciri yang menentukan hukum halal haram tahaluf.

Kerana itu selama-lamanya saya menyeru agar badan/parti Islam serta seluruh umat Islam mengusahakan kesepakatan sesama kita melebihi usaha berpakat dengan badan / parti bukan Islam untuk memusuhi badan / parti orang Islam yang lain.

Wallahu a'lam.

~~~~~~berakhir entri Ustaz Fauzi~~~~~~~~~~~~~~

Teringat saya kisah Ibnu Kathir ketika Saidina Ali ra berperang ngan Muawwiyyah ra di dalam Perang Siffin. Pihak musuh Islam ingin mengambil kesempatan untuk menyerang umat Islam. Muawwiyyah ra mengetahuinya lalu beliau menghantar surat kepada Maharaja Byzantine, 'By God, if you do not stop your design and go back to your place, I will end my dispute with my cousin and will drive you out of the entire land you rule, until I make the earth too tight for you.'

Pikir-pikirlah.


Wednesday, 15 December 2010

Ketuanan Melayu – Antara Sandiwara dan Cabaran Masa Depan

Saya tertarik dengan 2 artikel daripada Tuan Guru Nik Aziz dan Dr Ridhuan Tee.

Tazkirah Tuan Guru boleh dibaca di http://www.harakahdaily.my/ketuanan-melayu-sandiwara-di-hujung-hayat-umno Manakala blog Dr Ridhuan boleh diamati di 

Sekali baca, kita merasakan seakan-akan ada perbezaan besar antara apa yang disampaikan oleh kedua-dua tokoh tersebut. Namun, apabila kita baca dengan hati terbuka kita akan dapati mesej utama adalah sama.

Apa yang sama? Satu tolak Ketuanan Melayu manakala satu lagi menerima. Tak sama langsung.

Pada saya, kedua-dua individu tersebut matlamat akhir adalah untuk kemenangan Islam dan masalah utama adalah UMNO. Cuma cara nak uruskan UMNO tuh jer berbeza….

Dalam kesimpulan tulisan terakhir Dr Ridhuan,

“Kesimpulannya, istilah ketuanan Melayu, tidak perlu dipertikaikan selagi mana matlamat perjuangan kebangsaan tersebut adalah untuk menegakkan Islam. Kepincangan dalam mempertahankan ketuanan Melayu oleh Umno misalnya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak ketuanan Melayu tanpa memahami sejarah bumi bertuah ini. Jika Umno yang bersalah sehingga menjadikan ketuanan Melayu seolah-olah ketuanan Umno, yang bersalah adalah Umno dan bukannya identiti ketuanan bangsa Melayu itu di buminya sendiri termasuk mereka yang berada di dalam Pas dan PKR. Justeru, janganlah dilihat bahawa mempertahankan ketuanan Melayu adalah untuk mempertahankan ketuanan Umno kerana ulamak terdahulu turut mempertahankan Melayu dan Islam walaupun ketika itu Umno masih belum wujud.”

Dr Ridhuan adalah di kalangan bukan Melayu dan bukan penyokong UMNO tetapi mencintai Islam melihat slogan “Ketuanan Melayu” ini disalah gunakan oleh UMNO dan tidak harus dibuang begitu sahaja kerana kesalahan UMNO. 

Apabila kita lihat selepas rasulullah saw wafat, kepemimpinan diserahkan kepada bangsa Quraisy kerana konteks pada masa tersebut orang Arab masih memandang tinggi bangsa Quraisy yang mampu memimpin umat. Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar (radiallahuanhuma) boleh sahaja menerima pencalonan Aus dan Khazraj sebagai khalifah pertama. Malah, boleh sahaja diserahkan tugas kepemimpinan kepada Salman Al Farsi atau Suhaib Ar-Rumi yang bukan berbangsa Arab agar tidak nampak assabiyyah sewaktu perbincangan hebat di Madinah untuk memilih khalifah pertama umat Islam. Hakikatnya, mereka tidak dipilih kerana konteks pada masa tersebut. 
 
Itulah konteks yang hendak dibawa oleh Dr Ridhuan Tee seperti kupasan beliau di bawah. 
 
“Menurut Ibn Khaldun (2006: 199-208), bangsa Quraisy dimuliakan kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa terutama dalam hal ehwal politik dan kenegaraan, selain daripada keturunan Nabi. Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan. Tidak mustahil akan terjadi peperangan sesama umat Islam yang tidak berkesudahan. Golongan Quraisy akan terus dipilih selagi mana asabiyyah (kekitaan), kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipertahankan. Para pemerintah umat Islam mesti terdiri daripada kaum atau bangsa yang mempunyai kekuatan asabiyyah (kekitaan) dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik.”

Ini bermakna, andaikata 10 tahun lagi scenario, komposisi sosio-politik perkauman di malaysia berbeza, e.g. kaum Filipina Islam majoriti dan memegang kekuasaan ekonomi dan politik di tanahair, konteks tersebut membawa kepada ketuanan Filipina Islam di Malaysia selagi mana istilah tersebut membawa makna ketuanan Islam di bumi Malaysia.

Pada saya, itulah Itulah yang Dr Ridhuan nak maksudkan. Bukan senang untuk berada pada kedudukan beliau. Dicerca oleh bangsa beliau sendiri (beliau bangsa cina), dihentam segolongan besar penyokong Pakatan dan dituduh sebagai pengampu kerajaan BN. Ketuanan Melayu yang beliau maksudkan tidak bermakna DS Najib atau orang UMNO sahaja menjadi pemimpin. Ketuanan Melayu bermakna memastikan orang Islam dan dalam konteks ini pada waktu sekarang orang Melayu memimpin di Malaysia. Beliau yang berbangsa Cina tetapi beragama Islam sanggup menerima bangsa Melayu sebagai “tuan” selagi ia membawa maksud Islam sebagai tunggak pemerintahan.

Contoh terbaik adalah apabila PR meletakkan Ir Nizar sebagai MB Perak sekalipun PAS bukan majoriti di Perak. Tidak tahulah sama ada sebab Sultan yang menitahkan agar MB seorang melayu atau termaktub dalam perlembagaan tetapi Sultan Perak dan rakyat Perak terutama yang beragama Islam sekurang-kurangnya boleh terima kerana kepemimpinan teratas masih milik orang Islam. Secara peribadi, saya lega sebab waktu tuh tak tau sapa akan dipilih jadik MB. Macam-macam rumours keluar. Ternyata, Ir Nizar pilihan yang terbaik. Tapi seperti biasa, pihak tertentu memfitnah Ir Nizar dengan pelbagai tuduhan dan pelbagai cabaran dihadapi etc. The rest is history.

Persoalannya, adakah next election andaikata DAP menang besar di Perak mereka bersedia nak letak orang PAS sebagai MB lagi sekalipun PAS tidak menang kerusi langsung? Apakah yang memastikan DAP akan meletakkan orang Islam (dalam konteks ini orang Melayu) sebagai pemimpin tanpa mengira siapa menang pilihanraya?

Andaikata DAP dan PKR mengisytiharkan secara rasmi, “walaupun PAS hanya menang satu kerusi dalam Parlimen atau tak menang kami pasti akan memastikan orang melayu beragama Islam menjadi Perdana Menteri kerana menghormati konteks ketuanan Melayu Islam di bumi Malaysia atas faktor sejarah, saya rasa ada orang yang mungkin lega dan mungkin lebih ramai terbukak hati undi PR. Namun, adakah scenario politik sebegini?

Itulah pentingnya kena bezakan definisi ketuanan melayu UMNO dan ketuanan melayu Islam. Itulah makna saya tulisan Dr Ridhuan Tee dan Tuan Guru Nik Aziz lebih banyak persamaan dari perbezaan. Dalam satu aspek ia adalah sandiwara politik, namun di satu senario adakah DAP atau PKR bersedia menerima ketuanan Islam (dalam konteks Malaysia majoritinya berbangsa melayu) jika PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi?

Fikir-fikirkanlah.

Wallahua’lam.

Saturday, 31 October 2009

Perjalanan Yang Panjang

  1. Gelagat ahli-ahli politik di tanahair meyakinkan saya bahawa jalan siyasah yang dilalui oleh ramai aktivis Islam di Malaysia belum sampai tahap kematangannya. Bukan aktivis yang tak matang, tapi waqi' setempat pada marhalah kini yang belum matang. Tak menghairankan, kalau rakyat makin pening. Dilihat dari satu konteks, seakan-akan "demokrasi" hidup pada parti-parti yang nampak bermasalah...tetapi persoalan sebenar adalah kenapa perkara sebegini terjadi?
  2. Saya tak mau kupas panjang tentang masalah PAS, UMNO mahupun PKR. Apa lagi parti-parti lain. Dari satu sudut sekali pandang, cabaran dalaman PAS adalah kecil berbanding UMNO dan PKR....tetapi kalau kita analisa dengan lebih mendalam, cabaran PAS itu menunjukkan satu luka yang lebih dalam dan melibatkan kepemimpinan teratas. Saya yakin, majlis syura PAS akan menangani masalah ini dengan teliti dan berwaspada.
  3. Apabila ini semua terjadi, saya semakin yakin bahawa permasalahan umat dan negara kita hanya dapat diselesaikan dengan jalan panjang, yakni jalan tarbawi. Itulah sunnatullah dalam mengubah masyarakat. Umpama menanam padi. Di samping bertawakkal kepada Allah, insan penanam padi harus berilmu dalam kaedah penanaman padi. Kerjanya berperingkat dan berfasa. Begitu juga jemaah yang inginkan perubahan Islam di dalam masyarakat. Di samping bertawakkal kepada Allah, jemaah tersebut harus memahami sosiologi sesuatu masyarakat. Dakwah harus mengikut peringkat. Rujukilah seerah rasulullah saw. Ramai yang akan mengatakan, kalau tak habis-habis tarbiyyah, sampai bila nak ambil kisah isu negara? Apabila itu terjadi, bukan salah pentarbiyyahan, tetapi lebih kepada methodology dan hasil dari tarbiyyah.
  4. Insan-insan yang lahir dari sistem tarbiyyah yang jitu, mampu membawa diri dan seterusnya keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah swt.  Individu-individu ini yang tadinya bergerak dalam satu jemaah tarbiyyah yang mantap seterusnya berbakti kepada masyarakat dan mendidik masyarakat dengan ajaran Islam secara praktikal dari segi ruh dan amalan. Jemaah ini memfokuskan gerakan tarbiyyah di setiap fasa kehidupan bermula dari peringkat anak-anak kecil, remaja dan muda-mudi melalui platform-platform yang positif serta membina peribadi. Malah, tidak dikatakan keterlaluan jemaah juga menitikberatkan pemilihan pasangan suami atau isteri yang sesuai untuk melakar kehidupan sebagai pasangan yang ikhlas bersama kerana Allah swt. Apabila sudah lahir tenaga-tenaga baru, maka kekuatan sudah ada untuk membina pusat-pusat kebajikan masyarakat yang menawarkan khidmat kaunseling, pengajian, dakwah dan pendidikan kepada seluruh anggota masyarakat. Di sini, tidak kira apa latar belakang atau parti politik, sesiapapun boleh diterima sebagai pelawat atau memberi sumbangan. 
  5. Barulah perubahan akan terasa. Barulah masyarakat merasa bahawa ada nafas dan ruh Islam di persekitaran mereka. Barulah masyarakat terasa ada alternatif baru yang lebih lengkap dari yang sedia ada. Barulah masyarakat bukan Islam tertanya-tanya apa yang merawat perubahan masyarakat Islam ini. Barulah mereka lebih ikhlas bertanya tentang ajaran Islam. Semakin lama, semakin ramai yang memeluk Islam. Sokongan masyarakat semakin nyata. Nah, waktu itu masyarakat sudah bersedia untuk bersama. Datang badai mahupun ombak, sokongan mereka pasti ada. Waktu itu, marhalah dakwah berbeza. Barulah kesatuan umat Islam di atas bendera tauhid boleh digarap. 
  6. Umpama rama-rama. Bermula dari ulat yang hanya mampu bergerak secara perlahan-lahan makan daun, sekali tengok macam slow jer. Tetapi apabila sudah cukup masa dan bekalannya, ia keluar dengan bersusah payah dari kepompongnya yang kecil itu mampu menjangkau kawasan yang jauh tanpa ada batasan.
  7. Namun, apa yang terjadi di Malaysia adalah sebaiknya. Kebanyakan aktivis politik hanya ingin gerakan atau pertubuhan mereka terus menjadi rama-rama tanpa bekalan dan persiapan yang cukup. Masyarakat apatah lagi individu belum memahami Islam secara praktikal dan nyata. Isu-isu kecil, masih bermain di bibir dan benak pemikiran kita. Ruh masyarakat masih berkecamuk dengan idea-idea barat dan humanisme. Malah, ada yang melihat Islam hanya sebagai ritual dan adat semata. Politik pula dipraktikkan secara licik dan penuh tipu daya. Umat Islam yang satu bangsa, berpecah belah dengan pelbagai jemaah dan kesatuan. Umat yang sama, hidup tidak berpendirian dan ambil sikap tidak peduli dengan masalah masyarakat, asalkan tak kena kat batang hidung sendiri. Masing-masing hanya dengan kepentingan diri sendiri. Maka lahirlah umat yang pemimpin-pemimpin menjerit terpekik terlolong berkenaan isu-isu besar, manakala rakyat di bawah bergaduh tentang perkara-perkara kecil. Umat ini, akhirnya hidup tanpa panduan....tanpa tujuan. Jiwa semakin kosong, ruh semakin malap. Dakyah agama lain menyusup masuk, amalan syirik makin bercambah. Masyarakat hilang panduan. Itulah Malaysia.
  8. Beruntunglah jemaah yang memahami hal ini dan tabah melalui jalan yang panjang ini. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang mahu mengikut sunnatullah dalam perubahan masyarakat. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang tsabat dalam perjuangan. Semoga Allah swt memberi kemenangan kepada jemaah yang mahu mengikut perjalanan yang panjang, mengikut sunnah rasulullah saw. Semoga Allah swt melindungi jemaah tersebut dari 5 ancaman yakni:

  مؤمن يحسده
mukmin yang mendengkinya

ومنافق يبغضه
Munafiq yang membencinya


 , وكافر يقاتله
Kafir yang memeranginya 


, وشيطان يضله
Syaitan yang menyesatkannya


 ونفس تنازعه
Nafsu yang melawannya

Saturday, 17 October 2009

Nasihat buat Pakatan Rakyat

  1. Pakatan rakyat masih di takuk yang lama. Kemenangan mereka pada pilihanraya yang lepas telah hampir 1.5 tahun berlalu tetapi belum kelihatan usaha yang konkrit untuk menjadikan usahasama parti-parti tersebut sebagai gerakan yang komprehensif. Parti-parti tersebut, masih bergerak secara berasingan. Sekalipun apabila media statement dikeluarkan kita akan nampak pemimpin ketiga-tiga parti bersama, namun secara dasarnya di lapangan sama ada di pasar, di jalanan, di desa dan kampung apatah lagi di kotaraya rakyat tidak merasakan kesatuan ini. Malah, kekalahan di Bagan Pinang saya rasakan sebahagian besarnya disebabkan komponen PR gagal bersama dan mempamerkan kepada rakyat bahawa mereka satu alternatif yang kuat kepada Tan Sri Isa Samad. Ini setelah 1.5 tahun bersama!
  2. Saya bukannya nak hentam Pakatan Rakyat secara sembrono. Saya secara ikhlas mahu melihat suasana politik di Malaysia lebih matang. Saya inginkan rakyat Malaysia yang lebih bersikap terbuka dalam hal memilih pemimpin rakyat. Ini kerana pemilihan pemimpin ialah soal survival umat dan negara, bukannya memilih siapa yang boleh buat jambatan atas sungai atau buat sungai bawah jambatan. Usaha pematangan pemikiran ini pada hemat saya boleh terlaksana andaikata Pakatan Rakyat bergerak sebagai satu gerakan yang mantap manakala BN pula harus membersihkan diri dari amalan korupsi lantaran terlalu lama berkuasa.
  3. Saya merasakan usaha Dato’ Zaid Ibrahim untuk membentuk kerangka Pakatan Rakyat adalah satu usaha yang murni. Saya cuma dapat membayangkan usaha penyatuan ketiga-tiga komponen parti ini akan dimulai dengan unsur universal seperti human rights, equality, civility, transparency and freedom. Di sini, sedikit sebanyak ada persamaan antara PAS, DAP dan PKR. Bezanya adalah tunjang dasar-dasar tersebut. Untuk umat Islam, dasarnya jelas - aqidah Islamiyyah. Oleh itu, batasan dan hadnya harus dipelihara.
  4. Andaikata usaha Dato’ Zaid berjaya di atas kertas, usaha seterusnya adalah menghidupkan nilai-nilai ini di jalanan. Markas PAS, DAP mahupun PKR dijadikan pusat penerangan yang mesra rakyat tanpa mengira kaum mahupun parti. Tenaga-tenaga muda digunakan untuk menghidupkan suasana tersebut. Jadikan suasana di markas-markas tampak lebih mesra dan ceria. Terasa hidup suasana harmoni di pusat penerangan tersebut. Orang tua dan wanita suka ke sana kerana sikap pendokong Pakatan Rakyat yang senantiasa positif dan mahu menolong. Kanak-kanak pun tak takut nak kesana kerana ada suasana riang dan ceria. Sudah pasti ini semua memerlukan wang...di sinilah kepentingan memberi penerangan kepada rakyat dan menjadikan pusat-pusat tersebut mesra rakyat dan mempunyai prasarana yang berguna untuk rakyat. Apabila rakyat yakin PR tidak menyalahgunakan kemudahan ini, mereka lebih bersedia berkorban dan menghulurkan wang untuk menjadikan tempat tersebut lebih bermutu...kerana mereka tahu, yang datang adalah rakyat bukannya orang keparat.
  5. Teringat saya di kampung saya, takut betul nak berbasikal dekat markas PAS sebab suasana kelam dan penuh pokok-pokok tinggi macam hutan rimba. Kat atas pokok ada ler bendera PAS. Apatah lagi nak ke markas DAP sebab kebiasaannya atas restoran Cina dan apabila kita nak naik ke atas rasa macam pergi rumah urut lak kerana ramai di restoran tersebut tengok kita macam semacam. Markas PKR tak yah citer la...sampai sekarang saya tak tau kat mana kat Bandar Batu Gajah.
  6. Biarlah apabila orang sebut jer Pakatan Rakyat, langsung klik di minda ini adalah gerakan keadilan dan gerakan rakyat Malaysia secara keseluruhan. PR bukan lagi gerakan individu atu parti tertentu. Apabila ini dirasai rakyat, baru rakyat memandang Pakatan Rakyat sebagai alternatif yang sebenar dan barulah BN melihat PR sebagai kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh.
  7. Walaubagaimanapun, nasihat saya agar PAS memainkan peranan yang lebih dalam pembentukan kerangka ini. Jangan biarkan pembentukan kerangka ini tanpa memberikan input yang positif ke dalamnya. Majlis syura PAS harus meletakkan individu-individu yang sesuai untuk membantu pembentukan kerangka ini. PAS juga harus menekankan bahawa prinsip usahasama tidak sama sekali akan menggadaikan unsur-unsur hak kebebasan manusia bertunjangkan aqidah Islamiyyah.
  8. PR terutama PKR juga harus berhenti mendekati minoriti dengan ala-ala teknik pecah dan perintah. Cara ini boleh menjejaskan PR seperti apa yang dikatakan berlaku di Sabah dan apa yang dialami oleh beberapa pemimpin kaum India di beberapa tempat.
  9. PAS pula harus meletakkan lebih ramai calon-calon Cina, India, Iban, Kadazan etc yang beragama Islam serta berkaliber sebagai wakil rakyat. Oleh itu, lujnah dakwah PAS harus lebih kerap mendekati dan membina golongan ini. Apabila rakyat melihat hal ini, barulah mereka akan merasakan PAS benar-benar Islam malah satu kekuatan yang benar-benar 1Malaysia dari segi perlaksanaannya berbanding BN.
  10. DAP pula harus bersedia untuk bertolak ansur dalam hal ini. Kebanyakan umat Islam yang mengundi DAP pada pilihanraya yang lepas adalah kerana DAP kelihatan sudah toleran dalam isu-isu Islam dan melayu dengan bersedia bekerjasama dengan PAS.
  11. Dari segi pembangunan gunakan pendekatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, kerana pada pandangan saya visi Dr Mahathir kebanyakannya berpandangan jauh dalam membina negara. Saya rasa tak salah kerana beliau masih bekas Perdana Menteri dan seorang tokoh yang amat dihormati, kawan mahupun lawan. Jangan ambil kedudukan beliau sebagai pemimpin sebuah parti tetapi ambillah peranan beliau sebagai pemimpin negara.
  12. Di peringkat negeri terutama negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, pertingkatkan usaha untuk rakyat merasakan ketiga-tiga parti ini bersama dan serius dalam mentadbir negeri. Jangan terikut dengan politik kampungan oleh pihak lawan. Perkukuhkan jentera politik dan pentadbiran. Perubahan ini harus dirasai di jalan-jalan dan kampung-kampung dan tidak hanya di pejabat. Jadikan DUN atau parlimen PR di luar negeri Pakatan Rakyat yang tidak mendapat bantuan negeri sebagai DUN atau Parlimen angkat dengan DUN atau Parlimen Pakatan Rakyat. E.g. Parlimen Titiwangsa bekerjasama dengan Parlimen Kota Bharu etc. Gunakan pendekatan yang lebih inovatif dan jangan terikat dengan cara demokrasi barat.
  13. Rancakkan usaha setempat dalam aktiviti sosial, kebajikan, keagamaan malah sukan. Apalah salahnya di negeri buat pertandingan bola sepak piala Pakatan Rakyat…bezanya, apabila tiba waktu solat berhenti untuk solat. Dari segi sosial, persiapkan bengkel komputer untuk anak-anak kampong atau berikan tugasan kepada mat-mat rempit untuk membuat website-website Pakatan Rakyat peringkat cawangan mahupun negeri. Pertingkatkan usaha membina sikap keusahawanan di kalangan pemuda-pemudi khususnya Melayu.
  14. With all due respect to Dato' Seri Anwar Ibrahim, saya merasakan pendekatan beliau sudah tidak relevan lagi dengan suasana semasa. Ramai suka mendengar beliau berpidato, tetapi tidak kurang juga yang masih tidak dapat menerima hujah dan pendekatan beliau. Zaman pidato sudah berakhir. Zaman mengumpulkan beribu-ribu manusia dalam stadium untuk mendengar ceramah sudah berakhir. Ini adalah era bertindak. Ini adalah era perlaksanaan. Golongan pemuda dan pemudi dari PAS, AMK dan DAP harus bergerak lebih aktif dan memainkan peranan yang lebih andaikata mereka ingin meraih sokongan rakyat secara menyeluruh...dan tidak ada pendekatan yang terbaik selain to demonstrate to the masses that PR really means what they say when it comes to civil liberty, transparency and human rights. PR really cares about the basic needs of the society. Kesemua ini dilakukan tanpa menjejaskan aqidah umat Islam.
  15. Apabila PR berjaya dalam hal ini, barulah saya akan memilih mereka untuk menjadi wakil saya di sidang Parlimen untuk pilihanraya ke 13 nanti. Andaikata usaha transformasi dan formalisasi PR tidak berjaya....anggaplah pilihanraya yang lalu sebagai pilihanraya terakhir rakyat menerima kerjasama PAS-PKR-DAP.
  16. Sama-samalah pikirkan.