Friday, 25 June 2010

Ke Mana Melayu?

Begitulah luahan bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir di pada entri blognya Melayu Ke Mana? (http://chedet.co.cc/chedetblog/2010/06/melayu-kemana.html#more)

Umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya ketika ini dikelilingi dengan pelbagai kemelut dan permasalahan tetapi masih kekal dengan tanda tanya tanpa jawapan dan arah tuju yang konkrit.  Malaysia bumi yang subur, kedudukan yang strategik di Asia Tenggara, berkemahiran dan berkebudayaan. Kita memiliki sumber asli, bahan-bahan industri, ilmu pengetahuan, kemahiran dan jumlah rakyat yang saya rasa sudah cukup untuk menjadikan negara kita menjadi sebuah negara yang kuat dan mampu berdikari serta memimpin negara serantau ke arah kesejahteraan.

Tetapi  apa yang terjadi masih sebaliknya. Dari segi pertanian, kita masih bergantung pada negara luar. Pendapatan bulanan majoriti rakyat, masih belum cukup untuk negara melupuskan subsidi-subsidi yang sedia ada secara drastik mahupun secara beransur-ansur.  Syarikat-syarikat yang melabur dari luar negeri,  hanya berminat untuk melabur untuk mendapatkan buruh-buruh kasar yang rata-rata bukan anak tempatan malah pendatang dari negara luar. Tidak perlu kita sentuh tentang gejala sosial kerana dada akhbar harian saban hari memaparkan kisah remaja buang anak, kes pukul, kes ragut. Ini belum lagi diambil kira kes salah guna dadah, minum arak, berjudi, loteri, berjoli dalam kemaksiatan. Belum lagi dikira perkara khurafat yang bermaharajalela sampai sejadah berdiri pun sudah takjub sedangkan mukjizat Al-Quran di depan mata lebih menakjubkan.

Setelah kita kehilangan segala keupayaan, kekayaan dan kemampuan, apa lagi yang tinggal? Negara semakin kaya di atas kertas dan segelintir rakyatnya semakin berkemampuan, namun rakyat semakin dibebani hutang, rasa rendah diri, daif, hilang sifat keberanian, hilang identiti dan sifat keusahawanan dan semakin jahil di dalam cara hidup Islam. Rakyat hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila tiba musim cuti, hiburan-hiburan yang melalaikan menjadi pengisian hati. Akhirnya, rata-rata umat Islam khususnya hidup tanpa memahami dan menghayati nilai mereka sebagai seorang insan di sisi Allah swt.

Apa yang tinggal, hanyalah masjid yang tersergam indah seperti masjid kristal yang dihuni yang sudah bersara dan menjadi tempat lawatan untuk bergambar. Apa yang tinggal, hanya ritual solat tetapi solat yang kontang dari nilai rohani dan rasa takut kepada Allah melainkan segelintir yang ikhlas. Bulan ramadhan, menjadi musim melayan dan melampias nafsu untuk membeli barangan jualan murah atau pelbagai makanan lazat untuk juadah berbuka puasa…bukan untuk memperbaharui diri atau membersihkan jiwa. Segala penampilan sungguh mempersona – cara berpakaian, istiadat, janggut, upacara dan istilah yang digunakan. Tetapi adakah ini Islam yang Allah swt jadikan sebagai rahmat-Nya yang teragung buat sekalian alam? Inikah ajaran Muhammad saw untuk mengeluarkan manusia dari kezaliman kegelapan kepada keadilan yang terang benderang? Inikah ajaran Al-Quran yang dijadikan peringatan buat manusia dan hidayah buat mereka yang beriman?

Apa yang Tun Dr Mahathir tulis tentang “melayu ke mana”, Allah swt telah lama berfirman di dalam Al-Quran surah At-Takwir, ayat ke 26:
فأين تذهبون
Maka ke manakah kamu akan pergi?
إن هو إلا ذكر للعالمين
Al-Quran itu hanyalah peringatan bagi semesta alam
لمن شاء منكم أن يستقيم
Iaitu bagi sesiapa yang mahu menempuh jalan yang lurus
أن يشاء الله رب العالمين  وما تشاءون إلا
Dan kamu tidak akan dapat mengkehendaki (jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, tuhan semesta alam

Islam datang sebagai satu sistem dan sebagai pemimpin, sebagai agama dan negara, sebagai undang-undang dan pengamalan. Namun yang tinggal hanyalah sistem sementara kepemimpinan telah lenyap, apa yang kekal hanyalah agama sementara negara telah pupus. Apa yang berkembang ialah undang-undang sementara pengamalan telah terhakis.

Umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya semakin celaru dengan kerenah ahli politik dan pemimpin tempatan.  Pemikiran semakin kusut dengan hingar-bingar kepemimpinan masyarakat dan negara. Semakin bingung, ke mana sebenarnya hendak di bawa arah tuju negara. Jika diteliti, kedua-dua Pakatan dan Barisan tidak meletakkan Islam sebagai agenda utama. Yang beza, satu pihak inginkan keadilan, ketelusan manakala satu lagi pihak mengutamakan kestabilan dan kemakmuran. Sedangkan keempat-empat elemen, telah lama disatukan dalam cara hidup Islam. Kesannya, kedua-dua belah yang majoritinya beragama Islam menjadi minoriti disebabkan perpecahan ini.

KESAN SEJARAH PEMBENTUKAN MALAYSIA
Jika kita teliti sejarah, jelas asas pembentukan Malaysia merupakan antara sebab kekeliruan di kalangan umat Islam khususnya pendakwah Islam. Di dalam sesebuah negara berteraskan perlembagaan Islam yang sebenar, hubungan dalam masyarakat adalah berdasarkan hubungan antara Islam dan bukan Islam. Bukannya berdasarkan hubungan perkauman. Imperialis barat, tahu akan hakikat ini. Oleh sebab itu, apabila negara-negara terjajah dimerdekakan pada tahun 1940an hingga 1950an, konsep negara bangsa pula timbul. Pada waktu kemerdekaan tanah melayu, hubungan masyarakat yang terjalin adalah atas dasar 3 kaum majoriti – melayu, cina dan india. Konsep negara bangsa sebegini pada awal waktu kemerdekaan tidak menjadi permasalahan kerana kaum-kaum lain pada waktu tersebut memperakui kepemimpinan melayu sekaligus Islam sebagai “ketuanan” di tanah Melayu. Malahan, sekalipun kepemimpinan awal melayu pada waktu tersebut kelihatan secara kasar sekular, tetapi perlaksanaan undang-undang masih matang dan bertanggungjawab.

Masuk hampir 60 tahun setelah merdeka, sekurang-kurangnya 2 generasi telah berlalu. Kerana asas pembentukan negara berdasarkan hubungan antara bangsa, sudah pasti cucu bangsa-bangsa lain akan mula mempersoalkan konsep negara bangsa dan perhubungan masyarakat yang telah terjalin. Sudah pasti mereka akan mempersoalkan kepemimpinan bangsa melayu di bumi Malaysia apatah lagi kelihatan seperti beberapa unsur ketidakadilan dan ketidak telusan apabila disbanding dengan negara barat dan negara jiran. Bangsa-bangsa lain pasti sekali inginkan kepemimpinan bangsa Malaysia sebagai keutamaan – tanpa mengira bangsa dan agama sebagai peneraju “ketuanan” negara. Ini bukan isu tetapi apabila yang terancam adalah ketuanan Islam akibat tergugatnya kedudukan kepemimpinan melayu di tanah air sendiri – kesan krisis ini jika tidak ditangani secara bijaksana adalah besar.

JALAN KELUAR
Apabila sudah sampai kepada persimpangan sebegini, tidak ada jalan keluar bagi umat ini selain kembali bersatu dan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah.  Jalan sebaiknya, adalah memperbetulkan sistem yang sedia ada berdasarkan syariat Islam. Apapun, dalam hal sebegini umat Islam harus bersatu semula – bukan atas dasar perkauman semata tanpa batasan syariah tetapi atas dasar Islam yang berpaksikan neraca keadilan dan kebenaran tauhid. Antara cara penyelesaian:
-          PAS atau UMNO selaku 2 parti terbesar bangsa Melayu dan seterusnya umat Islam di negara memainkan peranan lebih aktif untuk menyatukan perbezaan yang sedia ada
-          Jika kedua-dua pihak saling tidak mempercayai, lantik pihak ketiga sama ada dari kalangan NGO tempatan seperti ISMA, JIM, ABIM, IKRAM etc untuk menentukan landasan penyatuan umat Islam. Atau ambil ulama tempatan atau luar negeri sebagai orang tengah
-          Antara kriteria yang harus diketengahkan dalam penyatuan umat Islam adalah:
o   Teraju kepemimpinan yang sedia ada kekal dengan sedikit perubahan termasuk menggugurkan pemimpin yang terbukti dalam penyalahgunaan kuasa
o   Kepemimpinan peringkat kawasan setempat, harus melalui perlantikan dan undian terbuka agar membuka jalan kepada mereka yang benar-benar ikhlas untuk memimpin masyarakat.
o   Konsep Ketua Bahagian sesuatu parti yang lebih berkuasa dari District Officer atau Ketua Kampung, harus dihentikan
o   Sistem politik yang merealisasikan kehendak Allah swt tanpa mengikut hawa nafsu dan kecenderungan peribadi semata-mata
o   Sistem pendidikan dan pembelajaran yang menghapuskan kejahilan serta taklid buta tanpa pemahaman yang mendalam tentang asas akidah islamiyyah
o   Sistem keluarga, rumah tangga, kemasyarakatan yang dapat membesarkan pemuda pemudi Islam dalam biah islamiyyah yang sebenar
o   Sistem yang berhubung dengan individu yang membawa ke arah kejayaan dan pembentukan peribadi yang cemerlang
o   Sistem media yang tidak terbawa-bawa dengan hiburan semata-mata tetapi mengutamakan ilmu, laporan yang adil, sederhana dan saksama

SETELAH BERSATU
Apabila umat Islam bersatu, baru mudah dan jelas dakwah kepada bukan Islam. Siapa lagi majoriti umat Islam di Malaysia selain bangsa melayu sendiri? Maka, apabila bangsa melayu ini ada nilai Islam di dalam jiwa, rumah tangga dan segala urusan kehidupan dunia rahmat Insya-Allah akan dapat dilimpahkan kepada bangsa lain apatah lagi dari segi dakwah Islamiyyah.

Apabila asas pembentukan negara diperbetulkan, jalan ke  arah penyelesaian pertelingkahan umat Islam dan rakyat Malaysia khususnya semakin jelas.Hubungan antara bangsa lain tidak terjejas, malah lebih baik kerana titik tolak perhubungan adalah berdasarkan sistem yang diredhai Allah swt  dan keadilan yang terbukti di dalam lipatan sejarah. Tiada lagi rasa penindasan dan kezaliman.

Kesimpulannya, isu di Malaysia hanya dapat diselesaikan apabila umat Islam kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah – bersatu atas dasar aqidah yang sahih dan prinsip yang jelas. Konteks di Malaysia, ini bermakna penyatuan umat melayu beragama Islam di dalam PAS, UMNO, PKR dan pertubuhan bukan politik yang lain di dalam kesatuan yang jelas tanpa ada muslihat mengaut kekayaan serta kuasa dan kepentingan politik peribadi. Sebarang teguran dan kritikan sesama pemimpin Islam adalah di dalam kesatuan ini tanpa menjejaskan perpaduan ummah dan ketuanan Islam. Urusan rumah tangga umat Islam, diselesaikan oleh umat Islam sendiri tanpa campur tangan bukan Islam.

PERSOALAN AKHIR
Persoalan penutup sekarang, siapakah di kalangan umat Islam khususnya pemimpin atau ulama Islam yang mahu melakar sejarah dan meneraju kea rah perubahan dan kesatuan umat yang menyeluruh ini? Sebelum menuding jari ke arah orang lain, kita harus sedar siapa lagi kalau bukan umat Islam sendiri yang harus bangkit dan sedar. Siapakah majoriti umat Islam tersebut dalam konteks Malaysia? Tidak lain tidak bukan Melayu.

Fikir-fikirkanlah. Wallahua’lam.