- Ramadhan 1431H atau 2010 masihi ini pergi membawa erti. Pada mulanya, saya berasa malas mahu berpuasa di Malaysia kerana dugaan dan cabaran di Malaysia agak luar biasa. Akhirnya, saya menetapkan untuk pulang awal dan menyambut ramadhan di tanahair tercinta.
- Tibanya saya di bumi tercinta, saya berjumpa dengan rakan dan keluarga. Sudah pasti, setelah hampir setahun tak berjumpa kemesraan ukhuwwah terjalin semula. Namun. keseronokan berjumpa teman dan sanak saudara sering terganggu apabila pemikiran saya cuba memahami keadaan persekitaran di Malaysia yang semakin membimbangkan.
- Bermula dengan keadaan segelintir anak-anak muda Terengganu yang semakin liar dan berjinak dengan budaya samseng dan gejala dadah, berita akhbar yang saban hari menceritakan gejala pembuangan anak, kemaksiatan yang semakin terbuka sekalipun di bulan ramadhan yang mulia, cerita-cerita TV yang dipenuhi dengan cerita hantu tahyul dan khurafat, amalan bidaah yang dimulakan sebelum solat terawih, kedudukan ekonomi umat Islam dan rakyat Malaysia amnya yang semakin terhimpit, budaya mat rempit yang bermaharajalela di Pulau Pinang dengan aksi berani mati, budaya berhibur yang ekstreme di kalangan umat Islam, fitnah sesama orang Islam…kehidupan di Malaysia tidak seindah dahulu. Perasaan terhiris itu, hanya dilunakkan dengan amalan qiyamullail, menjalin silaturrahim bersama keluarga serta sahabat handai dan ibadah di bulan puasa.
- Ketika saya berada di salah sebuah pasaraya di Ipoh, saya terfikir sejenak apabila melihat seorang gadis beragama Islam terpaksa bekerja makan gaji sebagai cashier di kedai bukan milik umat Islam. Para pembeli pula rata-rata bukan Islam, yang tanpa segan silu makan dan minum di hadapan beliau. Saya terhimbau bagaimana suasana di Qatar, takkan dapat kita lihat seorang wanita Qatari bekerja sebagai cashier di Lulu Hypermarket. Apa yang terjadi?
- Dalam saya cuba menyelami keadaan di Malaysia, saya cuba mencari erti melalui pembacaan buku dan blog Zaid Ibrahim, Dr Mahathir, Dr Mujahid, Malcolm Gladwell, Tengku Razaleigh, Barry Wain, Dr Asri, Ustaz Abdullah Zaik dan John Kotter. Saya berjumpa sahabat-sahabat lama dan membincangkan masalah yang sedia ada serta apa penyelesaiannya.
- Semakin saya baca penulisan mereka, semakin saya yakin suasana di Malaysia adalah unik dan tidak boleh diselesaikan dengan cara yang sama kita lalui 50 tahun lepas. Method yang telah diformulasasikan oleh pemimpin terdahulu, sebenarnya berada di penghujung jalan.
- Saya meminati cara DSAI berpidato, saya mengagumi pemikiran Tengku Razaleigh, saya rasa pemandangan jauh Dr Mahathir harus dicontohi, beberapa prinsip kemanusiaan Zaid Ibrahim perlu dicontohi, kezuhudan Nik Aziz menjadi neraca pembentukan peribadi…tetapi nama-nama yang disebut adalah pemimpin negara yang sudah hidup lebih separuh abad. Mereka telah melakar nama di pentas politik negara dan saya merasakan jasa mereka akan merentasi zaman.
- Namun, isu-isu yang kita hadapi sekarang memerlukan kepemimpinan yang mampu melakukan perubahan secara menyeluruh dan bukan juziyyah, satu organisasi yang mampu menjawab persoalan-persoalan dan dilemma masyarakat secara hakiki, satu kesatuan yang ahlinya mampu berdebat secara pragmatic dan terbuka. Kita mahukan satu formula baru untuk menyelesaikan kemelut masyarakat yang melanda. Kita meletakkan Islam sebagai prinsip yang pada waktu yang sama meraikan kepelbagaian kaum dan peranan setiap bangsa.
- Kalau satu masa dulu, kepemimpinan umat dipegang oleh para guru dan aristocrat negara – mereka dikira sebagai elitist negara
- Kini, golongan cerdik pandai adalah terdiri dari para professional, para blogger, para celik IT dan seumpamanya. Merekalah yang harus melakar umat melayu di bumi Malaysia. Merekalah yang harus mengorak langkah.
- Jari-jari yang dituding, kini menuju ke arah kita untuk mencorakkan masyarakat.
- Islam, kini bermasalah dengan pelbagai penafsiran tanpa merujuk al-Quran dan As-Sunnah. Tanpa melihat perjalanan hidup baginda saw.
- Umat kini tersepit, jalan apa yang harus dilalui? Prinsip humanism yang meleburkan identiti bangsa secara menyeluruh tanpa ada paksi yang membataskannya atau prinsip dakwah Islamiyyah yang meraikan kepelbagaian kaum atas prinsip untuk saling kenal mengenal dan bukan untuk saling menzalimi. Kekeliruan inilah yang harus dijelaskan.
- Ramadhan telah lama berlalu, moga memberi semangat untuk pengislahan masyarakat.
Blog ini adalah rentetan dari blog yang awal...moga-moga membawa manfaat buat keluarga dan diri ini.