- Pakatan rakyat masih di takuk yang lama. Kemenangan mereka pada pilihanraya yang lepas telah hampir 1.5 tahun berlalu tetapi belum kelihatan usaha yang konkrit untuk menjadikan usahasama parti-parti tersebut sebagai gerakan yang komprehensif. Parti-parti tersebut, masih bergerak secara berasingan. Sekalipun apabila media statement dikeluarkan kita akan nampak pemimpin ketiga-tiga parti bersama, namun secara dasarnya di lapangan sama ada di pasar, di jalanan, di desa dan kampung apatah lagi di kotaraya rakyat tidak merasakan kesatuan ini. Malah, kekalahan di Bagan Pinang saya rasakan sebahagian besarnya disebabkan komponen PR gagal bersama dan mempamerkan kepada rakyat bahawa mereka satu alternatif yang kuat kepada Tan Sri Isa Samad. Ini setelah 1.5 tahun bersama!
- Saya bukannya nak hentam Pakatan Rakyat secara sembrono. Saya secara ikhlas mahu melihat suasana politik di Malaysia lebih matang. Saya inginkan rakyat Malaysia yang lebih bersikap terbuka dalam hal memilih pemimpin rakyat. Ini kerana pemilihan pemimpin ialah soal survival umat dan negara, bukannya memilih siapa yang boleh buat jambatan atas sungai atau buat sungai bawah jambatan. Usaha pematangan pemikiran ini pada hemat saya boleh terlaksana andaikata Pakatan Rakyat bergerak sebagai satu gerakan yang mantap manakala BN pula harus membersihkan diri dari amalan korupsi lantaran terlalu lama berkuasa.
- Saya merasakan usaha Dato’ Zaid Ibrahim untuk membentuk kerangka Pakatan Rakyat adalah satu usaha yang murni. Saya cuma dapat membayangkan usaha penyatuan ketiga-tiga komponen parti ini akan dimulai dengan unsur universal seperti human rights, equality, civility, transparency and freedom. Di sini, sedikit sebanyak ada persamaan antara PAS, DAP dan PKR. Bezanya adalah tunjang dasar-dasar tersebut. Untuk umat Islam, dasarnya jelas - aqidah Islamiyyah. Oleh itu, batasan dan hadnya harus dipelihara.
- Andaikata usaha Dato’ Zaid berjaya di atas kertas, usaha seterusnya adalah menghidupkan nilai-nilai ini di jalanan. Markas PAS, DAP mahupun PKR dijadikan pusat penerangan yang mesra rakyat tanpa mengira kaum mahupun parti. Tenaga-tenaga muda digunakan untuk menghidupkan suasana tersebut. Jadikan suasana di markas-markas tampak lebih mesra dan ceria. Terasa hidup suasana harmoni di pusat penerangan tersebut. Orang tua dan wanita suka ke sana kerana sikap pendokong Pakatan Rakyat yang senantiasa positif dan mahu menolong. Kanak-kanak pun tak takut nak kesana kerana ada suasana riang dan ceria. Sudah pasti ini semua memerlukan wang...di sinilah kepentingan memberi penerangan kepada rakyat dan menjadikan pusat-pusat tersebut mesra rakyat dan mempunyai prasarana yang berguna untuk rakyat. Apabila rakyat yakin PR tidak menyalahgunakan kemudahan ini, mereka lebih bersedia berkorban dan menghulurkan wang untuk menjadikan tempat tersebut lebih bermutu...kerana mereka tahu, yang datang adalah rakyat bukannya orang keparat.
- Teringat saya di kampung saya, takut betul nak berbasikal dekat markas PAS sebab suasana kelam dan penuh pokok-pokok tinggi macam hutan rimba. Kat atas pokok ada ler bendera PAS. Apatah lagi nak ke markas DAP sebab kebiasaannya atas restoran Cina dan apabila kita nak naik ke atas rasa macam pergi rumah urut lak kerana ramai di restoran tersebut tengok kita macam semacam. Markas PKR tak yah citer la...sampai sekarang saya tak tau kat mana kat Bandar Batu Gajah.
- Biarlah apabila orang sebut jer Pakatan Rakyat, langsung klik di minda ini adalah gerakan keadilan dan gerakan rakyat Malaysia secara keseluruhan. PR bukan lagi gerakan individu atu parti tertentu. Apabila ini dirasai rakyat, baru rakyat memandang Pakatan Rakyat sebagai alternatif yang sebenar dan barulah BN melihat PR sebagai kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh.
- Walaubagaimanapun, nasihat saya agar PAS memainkan peranan yang lebih dalam pembentukan kerangka ini. Jangan biarkan pembentukan kerangka ini tanpa memberikan input yang positif ke dalamnya. Majlis syura PAS harus meletakkan individu-individu yang sesuai untuk membantu pembentukan kerangka ini. PAS juga harus menekankan bahawa prinsip usahasama tidak sama sekali akan menggadaikan unsur-unsur hak kebebasan manusia bertunjangkan aqidah Islamiyyah.
- PR terutama PKR juga harus berhenti mendekati minoriti dengan ala-ala teknik pecah dan perintah. Cara ini boleh menjejaskan PR seperti apa yang dikatakan berlaku di Sabah dan apa yang dialami oleh beberapa pemimpin kaum India di beberapa tempat.
- PAS pula harus meletakkan lebih ramai calon-calon Cina, India, Iban, Kadazan etc yang beragama Islam serta berkaliber sebagai wakil rakyat. Oleh itu, lujnah dakwah PAS harus lebih kerap mendekati dan membina golongan ini. Apabila rakyat melihat hal ini, barulah mereka akan merasakan PAS benar-benar Islam malah satu kekuatan yang benar-benar 1Malaysia dari segi perlaksanaannya berbanding BN.
- DAP pula harus bersedia untuk bertolak ansur dalam hal ini. Kebanyakan umat Islam yang mengundi DAP pada pilihanraya yang lepas adalah kerana DAP kelihatan sudah toleran dalam isu-isu Islam dan melayu dengan bersedia bekerjasama dengan PAS.
- Dari segi pembangunan gunakan pendekatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, kerana pada pandangan saya visi Dr Mahathir kebanyakannya berpandangan jauh dalam membina negara. Saya rasa tak salah kerana beliau masih bekas Perdana Menteri dan seorang tokoh yang amat dihormati, kawan mahupun lawan. Jangan ambil kedudukan beliau sebagai pemimpin sebuah parti tetapi ambillah peranan beliau sebagai pemimpin negara.
- Di peringkat negeri terutama negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, pertingkatkan usaha untuk rakyat merasakan ketiga-tiga parti ini bersama dan serius dalam mentadbir negeri. Jangan terikut dengan politik kampungan oleh pihak lawan. Perkukuhkan jentera politik dan pentadbiran. Perubahan ini harus dirasai di jalan-jalan dan kampung-kampung dan tidak hanya di pejabat. Jadikan DUN atau parlimen PR di luar negeri Pakatan Rakyat yang tidak mendapat bantuan negeri sebagai DUN atau Parlimen angkat dengan DUN atau Parlimen Pakatan Rakyat. E.g. Parlimen Titiwangsa bekerjasama dengan Parlimen Kota Bharu etc. Gunakan pendekatan yang lebih inovatif dan jangan terikat dengan cara demokrasi barat.
- Rancakkan usaha setempat dalam aktiviti sosial, kebajikan, keagamaan malah sukan. Apalah salahnya di negeri buat pertandingan bola sepak piala Pakatan Rakyat…bezanya, apabila tiba waktu solat berhenti untuk solat. Dari segi sosial, persiapkan bengkel komputer untuk anak-anak kampong atau berikan tugasan kepada mat-mat rempit untuk membuat website-website Pakatan Rakyat peringkat cawangan mahupun negeri. Pertingkatkan usaha membina sikap keusahawanan di kalangan pemuda-pemudi khususnya Melayu.
- With all due respect to Dato' Seri Anwar Ibrahim, saya merasakan pendekatan beliau sudah tidak relevan lagi dengan suasana semasa. Ramai suka mendengar beliau berpidato, tetapi tidak kurang juga yang masih tidak dapat menerima hujah dan pendekatan beliau. Zaman pidato sudah berakhir. Zaman mengumpulkan beribu-ribu manusia dalam stadium untuk mendengar ceramah sudah berakhir. Ini adalah era bertindak. Ini adalah era perlaksanaan. Golongan pemuda dan pemudi dari PAS, AMK dan DAP harus bergerak lebih aktif dan memainkan peranan yang lebih andaikata mereka ingin meraih sokongan rakyat secara menyeluruh...dan tidak ada pendekatan yang terbaik selain to demonstrate to the masses that PR really means what they say when it comes to civil liberty, transparency and human rights. PR really cares about the basic needs of the society. Kesemua ini dilakukan tanpa menjejaskan aqidah umat Islam.
- Apabila PR berjaya dalam hal ini, barulah saya akan memilih mereka untuk menjadi wakil saya di sidang Parlimen untuk pilihanraya ke 13 nanti. Andaikata usaha transformasi dan formalisasi PR tidak berjaya....anggaplah pilihanraya yang lalu sebagai pilihanraya terakhir rakyat menerima kerjasama PAS-PKR-DAP.
- Sama-samalah pikirkan.
Blog ini adalah rentetan dari blog yang awal...moga-moga membawa manfaat buat keluarga dan diri ini.
Saturday, 17 October 2009
Nasihat buat Pakatan Rakyat
Labels:
DAP,
Pakatan Rakyat,
PAS,
PKR,
Politik,
Zaid Ibrahim