Friday, 4 May 2012

PAS tidak boleh bersama UMNO?

Memang sudah lama saya tak menulis blog (what a cliche). Sebabnya bukan untuk entri kali ini.

Hari ini, Insya-Allah saya mulakan semula entri saya. Entri saya ini agak pendek. Almaklumla, baru nak masuk balik gear 1.

Tadi, saya terbaca entri YB Khalid Samad memberi tamsilan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO. Beliau memberikan tamsilan bahawa "Andaikata ada orang Melayu-A menjemput seorang Melayu-B yang lain ke kelab malam untuk minum beer. Tetapi, pada masa yang sama ada seorang bukan Melayu menjemputnya ke kedai mamak untuk minum teh tarik. Maka Melayu-B memilih untuk bersama yang bukan Melayu untuk ke kedai mamak". Boleh dibaca dengan lebih lanjut di blog YB di sini. http://www.khalidsamad.com/2012/05/mengapa-pas-tidak-boleh-bersama-umno.html

Saya tidak bersetuju dengan perumpamaan tersebut. Ia terlampau mudah untuk dijadikan alasan kenapa kita harus menolak kerjasama dengan UMNO. Menggunakan perumpamaan tersebut untuk menolak kerjasama PAS dengan UMNO pada saya adalah tdak tepat.

Pertama sekali, kalau ada org Islam ajak saya minum beer adalah wajib saya untuk menolak ajakan tersebut.Sebagai orang Islam, sudah semestinya saya akan menegur dosa beliau atas prinsip ukhuwwah Islamiyyah dan melarang setakat mampu kerana minum arak adalah dosa yg jelas. Saya akan cuba halang beliau menzalimi diri sendiri dan apatah lagi ada kemungkinan menzalimi keluarga beliau sendiri.


Keduanya, kawan saya yang mengajak untuk minum beer tersebut masih Islam selagi beliau tidak melanggar prinsip aqidah, maka prinsip interaksi saya dan beliau harus berpandukan alquran dan assunnah. Saya tidak boleh sama sekali terus memutuskan silaturrahim dengan beliau dan menolak segala bentuk kerjasama di masa hadapan dengan beliau semata-,mata kerana dosa tersebut. Pokoknya, titik pertemuan masih aqidah. Manusia mana tidak berdosa? Susahla macam tuh kalau seseorang buat dosa terus putuskan untuk menolak kerjasama dengan beliau dalam perkara lain. Prinsip Islam jelas dalam hal ini.

Ketiganya, saya tidak akan pula bekerjasama dengan kawan kawan bukan Islam saya yg tidak minum beer utk menghalang kemaksiatan peribadi beliau dengan menyebarkan kesalahan beliau dan memburukkan beliau di depan org ramai. Ini bukan caranya. Apatah lagi, tindakan sebegini takut-takut, ada pihak bukan Islam ambik kesempatan atas pergaduhan ini.

Di sini saya bersetuju dengan pandangan Ustaz Hazizi di blog nya. "Isu ini adalah isu hukum syarak. Ia bukan isu logik minum arak dengan orang Islam dan minum teh dengan orang kafir. Analogi jahil syariah itu mampu memesongkan pemikiran anak muda yang tidak belajar fekah dan usul fekah, dan mereka itu ramai bilangannya. Sikap pandang ringan dan mudah-mudah mengeluarkan analogi yang bertentangan dengan hukum syarak adalah sikap yang merbahaya dan kurang beradab kepada syarak." http://ustazhazizi.wordpress.com/2012/04/29/sampaikanlah-pandanganku-ini/

Akhir kata, niat untuk bekerjasama dengan bukan Islam untuk menghalang kawan kita minum beer mungkin baik, tetapi caranya harus berpandukan alquran dan assunnah. Saya ingin mengambil langsung pandangan Ustaz Fauzi yang beliau lontarkan di FB seperti berikut:

~~~~~~~Mula entri Ustaz Fauzi~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Wala'

Wala' bukan terhad kepada wala' kepada pimpinan Islam shj. Ia lebih luas merangkumi hubungan kasih sayang antara orang-orang beriman. Yang berjihad dan berdakwah dibantu. Yang salah ditegur. Yang maksiat dibimbing ke arah kebaikan. Yang fasik diajak bertaubat dengan perasaan kasih macam ayah nasihat anaknya si penagih dadah.

Kalau saya tegur PAS dalam masalah tahaluf siasi, ia dibuat atas dasar hubungan wala' bukan untuk mengisytiharkan bara' (permusuhan).

Atas dasar wala' juga saya bersimpati terhadap Azmin atas pendedahan yang dilakukan oleh Utusan ke atasnya.

Atas dasar wala' juga saya memohon agar semua pengkomen isu Bersih 3.0 menggunakan bahasa yang beradab dalam berbicara sesama mukmin.

Atas dasar wala' juga sepatutnya kita menjadikan pemimpin muslim yang zalim sebagai sasaran dakwah sebelum disasarkan sebagai musuh. Perbezaan politik sesama mukmin tidak mengeluarkan kita dari hubungan wala'.

Bara'

Hubungan kita dengan non muslim dibina atas dasar bara'; berlepas diri dari perbuatan mereka mensyirikkan Allah, membenci perbuatan tersebut dan mengisytiharkan permusuhan terhadap jenayah syirik dan sebarang pencabulan terhadap hak-hak Allah.

Kalau mereka memusuhi Islam, kita akan memusuhi mereka. Di antara bentuk permusuhan adalah usaha menukar status negara kepada status yang lebih jauh dari status negara Islam. Suka saya tegaskan, ciri utama negara Islam adalah kedudukan Al-Quran / Hadis sebagai rujukan tertinggi negara dan bukan setakat isu-isu ketelusan, keadilan dsb (walau pun tidak dinafikan kepentingan isu-isu tersebut di dalam negara Islam).

Kalau mereka tidak memusuhi Islam, kita wajib bermuamalah dengan baik terhadap mereka. Tetapi muamalah yang baik tidak membatalkan kewajipan bara' terhadap syirik tersebut. Kalau kita kasihan pada mereka sebab mereka syirik kerana jahil, agenda menerangkan akidah Islam dan kedudukan hak-hak Allah dalam kekuasaan menjadi kewajipan nombor 1 dalam hubungan mukmin-non mukmin tersebut.

Tahaluf Siasi (pakatan politik)

Hukum asal bagi pakatan politik adalah kewajipan melakukan pakatan atau persepakatan antara parti-parti dan badan-badan orang Islam. Jika tidak berlaku, mesti dengan alasan yang kukuh kenapa tidak boleh berlaku.

Hukum asal adalah tidak harus melakukan pakatan antara badan / parti Islam dan badan / parti bukan Islam. Jika berlaku, ia adalah hukum pengecualiaan yang mesti dilakukan dengan alasan yang kuat (tabrir syar'ie). Sebagaimana hukum ini terkena atas UMNO maka begitu jugalah hukumnya atas PAS. Kalau UMNO buat, PAS tak boleh gunakan alasan itu untuk dia juga buat.

Tahaluf boleh membawa kepada wala' kalau tak hati-hati. Maksud tahaluf adalah saling berbantu; badan Islam tolong badan bukan Islam dan balasannya adalah badan bukan Islam memberikan balasan sekian-sekian. Begitu juga badan bukan Islam tolong badan Islam dan badan Islam memberikan balasan sekian-sekian kepada badan bukan Islam.

Saya tidak percaya jika orang kata badan bukan Islam tak minta apa-apa dari badan Islam dalam tahaluf siyasi ini. Apa yang UMNO dan PAS janji kepada badan bukan Islam akan menjadi salah satu ciri yang menentukan hukum halal haram tahaluf.

Kerana itu selama-lamanya saya menyeru agar badan/parti Islam serta seluruh umat Islam mengusahakan kesepakatan sesama kita melebihi usaha berpakat dengan badan / parti bukan Islam untuk memusuhi badan / parti orang Islam yang lain.

Wallahu a'lam.

~~~~~~berakhir entri Ustaz Fauzi~~~~~~~~~~~~~~

Teringat saya kisah Ibnu Kathir ketika Saidina Ali ra berperang ngan Muawwiyyah ra di dalam Perang Siffin. Pihak musuh Islam ingin mengambil kesempatan untuk menyerang umat Islam. Muawwiyyah ra mengetahuinya lalu beliau menghantar surat kepada Maharaja Byzantine, 'By God, if you do not stop your design and go back to your place, I will end my dispute with my cousin and will drive you out of the entire land you rule, until I make the earth too tight for you.'

Pikir-pikirlah.