Saturday, 31 October 2009

Perjalanan Yang Panjang

  1. Gelagat ahli-ahli politik di tanahair meyakinkan saya bahawa jalan siyasah yang dilalui oleh ramai aktivis Islam di Malaysia belum sampai tahap kematangannya. Bukan aktivis yang tak matang, tapi waqi' setempat pada marhalah kini yang belum matang. Tak menghairankan, kalau rakyat makin pening. Dilihat dari satu konteks, seakan-akan "demokrasi" hidup pada parti-parti yang nampak bermasalah...tetapi persoalan sebenar adalah kenapa perkara sebegini terjadi?
  2. Saya tak mau kupas panjang tentang masalah PAS, UMNO mahupun PKR. Apa lagi parti-parti lain. Dari satu sudut sekali pandang, cabaran dalaman PAS adalah kecil berbanding UMNO dan PKR....tetapi kalau kita analisa dengan lebih mendalam, cabaran PAS itu menunjukkan satu luka yang lebih dalam dan melibatkan kepemimpinan teratas. Saya yakin, majlis syura PAS akan menangani masalah ini dengan teliti dan berwaspada.
  3. Apabila ini semua terjadi, saya semakin yakin bahawa permasalahan umat dan negara kita hanya dapat diselesaikan dengan jalan panjang, yakni jalan tarbawi. Itulah sunnatullah dalam mengubah masyarakat. Umpama menanam padi. Di samping bertawakkal kepada Allah, insan penanam padi harus berilmu dalam kaedah penanaman padi. Kerjanya berperingkat dan berfasa. Begitu juga jemaah yang inginkan perubahan Islam di dalam masyarakat. Di samping bertawakkal kepada Allah, jemaah tersebut harus memahami sosiologi sesuatu masyarakat. Dakwah harus mengikut peringkat. Rujukilah seerah rasulullah saw. Ramai yang akan mengatakan, kalau tak habis-habis tarbiyyah, sampai bila nak ambil kisah isu negara? Apabila itu terjadi, bukan salah pentarbiyyahan, tetapi lebih kepada methodology dan hasil dari tarbiyyah.
  4. Insan-insan yang lahir dari sistem tarbiyyah yang jitu, mampu membawa diri dan seterusnya keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah swt.  Individu-individu ini yang tadinya bergerak dalam satu jemaah tarbiyyah yang mantap seterusnya berbakti kepada masyarakat dan mendidik masyarakat dengan ajaran Islam secara praktikal dari segi ruh dan amalan. Jemaah ini memfokuskan gerakan tarbiyyah di setiap fasa kehidupan bermula dari peringkat anak-anak kecil, remaja dan muda-mudi melalui platform-platform yang positif serta membina peribadi. Malah, tidak dikatakan keterlaluan jemaah juga menitikberatkan pemilihan pasangan suami atau isteri yang sesuai untuk melakar kehidupan sebagai pasangan yang ikhlas bersama kerana Allah swt. Apabila sudah lahir tenaga-tenaga baru, maka kekuatan sudah ada untuk membina pusat-pusat kebajikan masyarakat yang menawarkan khidmat kaunseling, pengajian, dakwah dan pendidikan kepada seluruh anggota masyarakat. Di sini, tidak kira apa latar belakang atau parti politik, sesiapapun boleh diterima sebagai pelawat atau memberi sumbangan. 
  5. Barulah perubahan akan terasa. Barulah masyarakat merasa bahawa ada nafas dan ruh Islam di persekitaran mereka. Barulah masyarakat terasa ada alternatif baru yang lebih lengkap dari yang sedia ada. Barulah masyarakat bukan Islam tertanya-tanya apa yang merawat perubahan masyarakat Islam ini. Barulah mereka lebih ikhlas bertanya tentang ajaran Islam. Semakin lama, semakin ramai yang memeluk Islam. Sokongan masyarakat semakin nyata. Nah, waktu itu masyarakat sudah bersedia untuk bersama. Datang badai mahupun ombak, sokongan mereka pasti ada. Waktu itu, marhalah dakwah berbeza. Barulah kesatuan umat Islam di atas bendera tauhid boleh digarap. 
  6. Umpama rama-rama. Bermula dari ulat yang hanya mampu bergerak secara perlahan-lahan makan daun, sekali tengok macam slow jer. Tetapi apabila sudah cukup masa dan bekalannya, ia keluar dengan bersusah payah dari kepompongnya yang kecil itu mampu menjangkau kawasan yang jauh tanpa ada batasan.
  7. Namun, apa yang terjadi di Malaysia adalah sebaiknya. Kebanyakan aktivis politik hanya ingin gerakan atau pertubuhan mereka terus menjadi rama-rama tanpa bekalan dan persiapan yang cukup. Masyarakat apatah lagi individu belum memahami Islam secara praktikal dan nyata. Isu-isu kecil, masih bermain di bibir dan benak pemikiran kita. Ruh masyarakat masih berkecamuk dengan idea-idea barat dan humanisme. Malah, ada yang melihat Islam hanya sebagai ritual dan adat semata. Politik pula dipraktikkan secara licik dan penuh tipu daya. Umat Islam yang satu bangsa, berpecah belah dengan pelbagai jemaah dan kesatuan. Umat yang sama, hidup tidak berpendirian dan ambil sikap tidak peduli dengan masalah masyarakat, asalkan tak kena kat batang hidung sendiri. Masing-masing hanya dengan kepentingan diri sendiri. Maka lahirlah umat yang pemimpin-pemimpin menjerit terpekik terlolong berkenaan isu-isu besar, manakala rakyat di bawah bergaduh tentang perkara-perkara kecil. Umat ini, akhirnya hidup tanpa panduan....tanpa tujuan. Jiwa semakin kosong, ruh semakin malap. Dakyah agama lain menyusup masuk, amalan syirik makin bercambah. Masyarakat hilang panduan. Itulah Malaysia.
  8. Beruntunglah jemaah yang memahami hal ini dan tabah melalui jalan yang panjang ini. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang mahu mengikut sunnatullah dalam perubahan masyarakat. Semoga Allah swt merahmati jemaah yang tsabat dalam perjuangan. Semoga Allah swt memberi kemenangan kepada jemaah yang mahu mengikut perjalanan yang panjang, mengikut sunnah rasulullah saw. Semoga Allah swt melindungi jemaah tersebut dari 5 ancaman yakni:

  مؤمن يحسده
mukmin yang mendengkinya

ومنافق يبغضه
Munafiq yang membencinya


 , وكافر يقاتله
Kafir yang memeranginya 


, وشيطان يضله
Syaitan yang menyesatkannya


 ونفس تنازعه
Nafsu yang melawannya