Sunday, 14 June 2009

Dilema Kerajaan Perpaduan - Satu Analisa

Beberapa hari lepas, heboh suratkhabar tentang kerajaan perpaduan. Sama ada ia sesuatu yang benar atau tidak, saya percaya ini adalah dilema yang sedang PAS lalui sekarang sebagai parti Islam di bumi Malaysia.

Saya tidak tahu apa yang telah diputuskan oleh majlis syura PAS, namun saya yakin kesemua ahli syura akan menghormati keputusan syura yang dibincangkan. Kita juga harus menghormati keputusan dan pendirian mereka. Pada pandangan saya, ada 4 senario yang PAS perlu teliti yang akan menentukan ke arah mana hala tuju PAS dalam masa 15-20 tahun akan datang. Senario tersebut adalah:

  1. PAS terus kekal sebagai komponen Pakatan Rakyat dalam usaha memecahkan dominasi BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang
  2. PAS bersatu dengan UMNO dengan syarat UMNO harus meletakkan Islam sebagai dasar kesatuan
  3. PAS bersama Pakatan Rakyat duduk berbincang bersama UMNO dan BN untuk mengutarakan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya hala tuju Malaysia dalam kancah krisis ekonomi kini
  4. PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sebagai suatu pertubuhan Islam yang mampu menjadi alternatif padu kepada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional

Saya akan bincangkan satu persatu senario tersebut:

1. PAS terus kekal sebagai komponen Pakatan Rakyat dalam usaha memecahkan dominasi BN dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang

- PAS telah banyak melalui pelbagai pahit manis dalam perjuangan parti mereka. Sepak terajang politik tempatan, saya rasa PAS sudah dikira matang untuk menilai yang mana muslihat yang mana maslahat. Berdasarkan pengamalan tersebut tidak hairan, ada di kalangan ahli PAS yang mahu dominasi BN dalam politik negara harus dipatahkan agar orang Islam khususnya yang berbangsa melayu melihat PAS bukan sahaja sebagai sebuah parti tetapi sebuah gerakan Islam. Hasil "propaganda" BN ataupun tindakan sesetengah ahli PAS sendiri, sebarang kegiatan agama dilihat sebagai usaha politik. Dikotomi politik ini sudah tentu menjadikan sesiapa yang meminati Islam terutama di kalangan ahli UMNO, keberatan menghadiri ceramah PAS sekalipun tidak ada langsung mesej politik dalam tazkirah mereka.

- Oleh sebab yang demikianlah, ada di kalangan ahli PAS yang mahu kerjasama dengan Pakatan Rakyat dikekalkan agar tembok BN yang menghalang PAS berjaya dipecahkan. Ini tidak menjadi masalah, asalkan dasar persepakatan adalah berdasarkan di atas hak-hak kemanusiaan yang asas. Persepakatan ini harus dijadikan sebagai satu strategi jangka masa pendek, selagi mana objektif tidak tercapai.

- Di sini walaubagaimanapun terdapat satu masalah besar. Apakah kita akan menutup langsung ruang perbincangan dengan saudara seislam kita semata-mata kerana kesetiaan dengan Pakatan Rakyat? Bukankah Islam mengajar kita bersikap berlapang dada sesama manusia khususnya umat Islam? Mengapa kita harus menterhadkan diri kita hanya dengan satu sistem politik yang asasnya dicipta bukan untuk menyatukan sesama umat Islam? Bukankah kita sebagai umat Islam khususnya di Malaysia telah begitu lama mengikut tradisi politik ala Barat ini? Sebenarnya sekalipun senario 1 praktikal dari segi strategi buat jangka masa pendek, tetapi akan kelihatan membelakangkan prinsip Islam asas dalam hal ukhuwwah Islamiyyah. Strategi ini juga akan menjadikan sesetengah ahli PAS yang tidak memahami strategi ini secara menyeluruh memusuhi kesemua ahli UMNO atas dasar parti, yang sebenarnya pada pandangan saya adalah mirip assabiyyah versi moden. Maka timbullah senario kedua.

2. PAS bersatu dengan UMNO dengan syarat UMNO harus meletakkan Islam sebagai dasar kesatuan

- Mana-mana ahli PAS ataupun ahli UMNO malah orang Islam yang tidak berparti/parti lain sudah pasti menunggu saat ini. PAS dan UMNO bersatu atas ukhuwwah Islamiyyah. Dasarnya juga Al-Quran dan AsSunnah. Ia umpama mimpi indah yang saya rasa tidak jauh dari kenyataan andaikata kedua-dua belah pihak ikhlas dalam hal ini.

- Namun, sering kedengaran bahawa satu pihak tidak akan berjumpa atas dasar Islam kerana ini negara masyarakat majmuk. Saya hairan kenapa alasan sebegini dikemukakan. Islam diturunkan sebagai rahmat buat kesekalian alam. Hak-hak masyarakat bukan Islam, dijamin dan akan dipelihara di bawah dustur Islam yang hakiki. Tidak akan ada pengabaian hak-hak mereka sama ada kaya atau miskin, buddha, hindu atau kristian. Malah, sistem Islam akan memastikan hak-hak mereka terlaksana. Tidak ada lagi sistem kelas. Sesiapa yang kaya atau berkuasa, akan diadili sepenuhnya tanpa mengira agama atau bangsa. Sistem pendidikan akan memastikan identiti setiap bangsa dikekalkan. Teras-teras akhlak Islam akan ditanam di kalangan umat Islam agar umat Islam lebih berhemah, bersopan, menepati masa, tidak membuang masa, bersikap berlapang dada, berlaku adil, berbudi bahasa dan pelbagai pekerti mulia. Sistem pentadbiran dan ekonomi dikemaskinikan agar Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini. Jadi, apa masalahnya dengan senario ini?

- Masalahnya mudah. Sekalipun ini berlaku, dengan sistem politik sekarang Pakatan UMNO dan PAS adalah sangat rapuh. Kerajaan yang terbentuk, mungkin sebuah kerajaan minoriti yang goyah dan tidak stabil. Ada kemungkinan, orang Islam sendiri belum bersedia untuk mendokong rancangan ini kerana ramai di kalangan kita sendiri belum bersedia untuk bersusah kerana Islam. Strategi ini, hanya akan mengundang malapetaka dan tidak strategik untuk jangka masa pendek. Tambahan, UMNO sama sekali tidak akan membelakangkan Barisan Nasional kerana formula ini terbukti berjaya mentadbir Malaysia selama berdekad lamanya. Maka, kali ini timbullah senario ketiga.

3. PAS bersama Pakatan Rakyat duduk berbincang bersama UMNO dan BN untuk mengutarakan kerajaan perpaduan atau sekurang-kurangnya hala tuju Malaysia yang bersepadu dalam kancah krisis ekonomi kini

- Mungkin kelihatan naive, tetapi saya rasa untuk jangka masa pendek pendekatan ini mungkin yang terbaik. Saya kira tidak salah kalau PR dan BN saling berbincang secara aman di kedai kopi daripada bertengkar di Parlimen. Impian saya, buat jangka masa pendek BN memberikan PR beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara sama ada sebahagian dari kabinet atau committee tertentu. Saya yakin, ada ramai di kalangan wakil rakyat PR berkelayakan untuk duduk sama-sama berbincang memperbaiki situasi negara.

- Tubuhkan satu jawatankuasa yang ditugaskan untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keamanan dan ketenteraman negara. Apa salahnya letak Mahfuz Omar sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut. Berikan jawatankuasa tersebut kuasa melalui kementerian dalam negeri untuk melakukan perubahan dan tidak semata-mata terhad dengan hasilkan kertas kerja sahaja.

- Tubuhkan inisiatif ekonomi negara disertai oleh pelbagai pakar ekonomi dari pelbagai pihak. Jangan hanya letakkan dari kalangan ahli yang tidak berkelayakan.

- Pada waktu yang sama, mulakan persepakatan secara dasar sistem-sistem yang harus diperbaiki. Hulurkan tangan untuk sama-sama bekerjasama memperbaiki situasi negara. Sudah terlalu lama kita hidup bersengketa. Bukankah sudah tiba masanya kita berlapang dada dalam mencapai visi 2020 negara yang hanya tinggal 11 tahun sahaja lagi? Pertelingkahan yang berlaku, hanya menyebabkan perkembangan negara terbantut selama 10-20 tahun jika dibandingkan dengan negara lain. Jangan biarkan ini terjadi.

- Visi 2020 walaubagaimanapun ada kekurangannya. Dasarnya bukan aqidah. Bukan atas dasar tauhid. Bukan atas dasar kepercayaan Allah itu Satu. Disinilah datangnya senario keempat.

4. PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sebagai suatu pertubuhan atau gerakan Islam yang mampu menjadi alternatif padu kepada Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional

- Pilihan ini merupakan pilihan yang paling extreme tetapi mungkin sebenarnya terbaik untuk jangka masa panjang. PAS harus keluar dan berdiri atas kaki sendiri. Atas pendirian sendiri. Barangsiapa yang ingin bekerjasama dengan PAS, harus bersetuju dengan dasar PAS. Tidak ada kompromi. Ini kerana PAS sebagai gerakan Islam sudah pasti harus ada keyakinan untuk berdepan dengan PR mahupun BN.

- Ini juga bermakna PAS harus melakukan perubahan menyeluruh di dalam parti. Pas harus berfikiran jauh menjadikan PAS sebagai satu parti yang mampu menandingi komponen BN atau PR. Tampak mustahil tetapi sebenarnya tidak. Islam di zaman rasul dan khulafa’ ar-rasyidin mampu berkembang sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan tamadun Parsi atau Rom. Malah, tamadun muda Islam tersebut berjaya menundukkan kedua-dua tamadun gergasi tersebut. Kenapa? Atas keyakinan Allah swt bersama kita.

- Untuk mencapai tahap ini, PAS harus mengembangkan sayapnya melangkau hanya memenangi pilihanraya. Tawani hati dan aqal yang belum memeluk Islam agar mereka melihat Islam yang hidup dan bukannya slogan kosong yang dilaungkan ketika ceramah politik. Hidupkan suasana Islam dengan akhlak islamiyyah dan sikap keterbukaan di dalam isu-isu kemanusiaan. Kemukakan kepada masyarakat Malaysia bahawa Islam adalah alternatif kepada sistem politik yang sedia ada. Tingkatkan mutu ahli dengan mengadakan sistem pengkaderan yang berkesan.

- Tinggalkan sikap/pemikiran lama seperti seakan-akan katak di bawah tempurung kerana visi Islam bukan hanya di Malaysia, tetapi seantero alam. Lahirkan ahli-ahli PAS yang mampu berhadapan dengan pemimpin dunia sebagaimana Rabie bin Amir ra ketika berbicara dengan panglima perang Parsi Rostam Farrokhzād semasa perang Qadisiyyah dengan ucapan terkenal beliau tentang Islam,

وأخرج بها الناس من الظلمات إلى النور, ومن عبادة العباد إللى عبادة الله

“Dan ia (Islam) mengeluarkan manusia dari kegelapan, dari penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah swt”

- Ini bermakna harus ada sistem tarbiyyah yang benar-benar berkesan untuk melahirkan pendokong berkualiti seterusnya tampak kesannya di kalangan masyarakat Malaysia. Hasilnya, umat Islam secara am dan bukan Islam Malaysia akan mendokong PAS dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan hanya laungkan konsep-konsep haraki dari buku-buku harakah Islamiyyah Musytafa Mashur dan seumpamanya tetapi secara dasar masih jauh dari perlaksaan manhaj mereka. Bersihkan parti dari unsur-unsur Islam yang tidak asli dan tidak menepati aqidah ahlussunnah wal jamaah. Bukalah hati untuk menerima kritikan dan teguran dari sesiapa tanpa terus menghukum mereka. Dengarlah pandangan mereka, manalah tau ada kebenaran dari kata-kata mereka. Kalau tak bersedia menerima teguran, samala macam UMNO umpama “pot calling kettle black”.

- Banyak boleh dikupas tentang hal ini apatah lagi tanggungjawab PAS berjuang atas dasar Islam sebenarnya besar dan bermakna. Janganlah pula PAS mengambil sikap tak endah. Saya kira Allahyarham Fathi Yakan telah memberi beberapa peringatan dalam analisa beliau tentang 7 faktor utama kehancuran harakah (terjemahan di ringkaskan dan diambil dari blog Ahmad Akhyari bin Ismail @ Abu Amjad Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta) :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu.

2. Pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini terjadi lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik dan ideologi dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki kesedaran politik yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan keadaan politik antarabangsa.


Saya harap sahabat-sahabat saya di kalangan ahli dan pimpinan PAS tidak salah faham dari penulisan ini. Saya menghormati perjuangan, pengorbanan dan jalan yang mereka lalui. Penulisan ini walaubagaimanapun adalah pandangan ikhlas saya dari pilihan-pilihan yang ada di tangan PAS buat masa kini. Kesemua jalan ada baik dan buruknya, namun pilihan yang tepat Insya-Allah akan membawa PAS dan Malaysia khususnya umat Islam ke mercu kejayaan dan keredhaan Allah swt.

Wallahu’alam.