Dalam hal ini, nama telah menyatukan beberapa negara yang sering berperang sesama mereka. Bermula dengan penyatuan England, Wales dan Scotland pada 1707, diikuti dengan Ireland pada 1800 (pada tahun 1922 Ireland keluar dari United Kingdom, namun sehari kemudian Ireland Utara pula keluar dari Ireland dan bersatu semula dengan United Kingdom). Nama kerajaan ini asalnya agak panjang – United Kingdom of Great Britain & Northern Ireland, tapi dipendekkan menjadi UK atau Britain.
Udahla nama pun panjang, sejarah negara ini pun agak panjang. Namun, secara ringkasnya kejatuhan khilafah uthmaniyyah dan penaklukan begitu banyak negara pasti terkait dengan negara ini. Sejarah rantau Asia, Australia, Amerika Utara pasti tersentuh oleh kerajaan United Kingdom ini. Ironiknya, negara yang dahulunya bergaduh sesama sendiri apabila bersatu pernah menjadi sebuah empayar yang begitu kuat di mata dunia.
Atas unsur apakah negara yang bergaduh ini bersatu? Percubaan penyatuan Scotland dan England, sama ada melalui peperangan atau usaha diplomasi mengambil masa beratus tahun. Akhirnya, kedua-dua negara bersatu atas dasar muslihat politik dan ekonomi negara pemerintah masing-masing. Penyatuan yang berlaku itupun tidak diterima secara menyeluruh terutama rakyat Scotland. Itulah adat manusia, bukan mudah untuk menyatukan 2 negara, pasti mengambil masa beratus tahun kalau tunjang penyatuan negara itu tidak meliputi perubahan dasar di dalam masyarakat itu sendiri.
Nah, kita bayangkan dan kenangkan pula sejarah awal umat Islam di Madinah. Aus dan Khazraj sudah berperang dan bergaduh selama hampir 120 tahun dan akhirnya bersatu dengan satu usaha pembersihan aqidah dan penyatuan ummah oleh Rasulullah saw. Peperangan terakhir antara Aus dan Khazraj adalah perang Buath yang telah menyaksikan kematian pemimpin besar kedua-dua kabilah pada perang tersebut berlaku hanya beberapa tahun sebelum hijrah rasulullah saw ke madinah. Aus dan Khazraj ini bukanlah 2 negara besar seperti England dan Scotland. Mereka hanya kabilah yang duduk di satu kawasan bernama Yathrib. Apabila aqidah menerangi jiwa dan hati, permusuhan yang ada hilang begitu sahaja. Tidak perlu berbincang di parlimen. Tidak perlu perkongsian dan pertukaran kuasa antara 2 kabilah tersebut. Tidak perlu rakyat mengundi membuat pilihan. Hanya atas dasar aqidah tauhid islamiyyah – mempercayai bahawa Allah swt itu Esa, rasul saw adalah rasul terakhir dan hari kebangkitan pasti ada.
Penyatuan Aus dan Khazraj, telah menjadi batu loncatan untuk terwujudnya negara Islam Madinah Munawwarah. Setelah terbentuk negara Madinay melalui satu perlembagaan bernama sahifah madinah, syiar Islam berkembang hampir ke 2/3 benua di dunia. Empayar Islam dan hadharah Islamiyyah menjadi penaung serta obor cahaya kemanusiaan selama beratus tahun. Empayar-empayar Parsi dan Rom Timur tewas dengan kekuatan empayar Islam hanya selepas 15-20 tahun kewafatan Rasulullah saw. Empayar China dan Jepun, saling berhubung bersama Empayar Islam manakala India menjadi taklukan kerajaan Mogul Islam. Kerajaan-kerajaan Eropah dan Rom Barat, selepas tewas beberapa kali di dalam perang salib akhirnya menceduk ilmu dari tamadun Islam melalui pertemuan semasa perang salib di Asia Barat dan toleransi kerajaan Islam di Sepanyol.
Barat yang sekian lama berada di dalam arus kegelapan dan tidak tahan diasak oleh struktur pemerintahan feudal dan gereja, mula mencari jalan keluar. Bermula dengan penterjamahan ilmu di Italy, diikuti dengan perkembangan empayar kristian Spain, Portugal, Belanda dan akhir sekali Britain yang tercetus dari Renainsance, gerakan Reformation dan akhirnya Industrial Revolution….seterusnya menjadi sejarah dunia.
Kesemuanya saling berkait. Tapi apa yang menarik, empayar dari UK inilah yang akhirnya menewaskan dan memecahkan empayar Turki Othmaniyyah. Hanya dengan desakan dan muslihat Lawrence of Arabia, negara-negara Arab memulakan penentangan bersenjata terhadap saudara seagama. Kesatuan atas dasar politik ini akhirnya memecahkan kesatuan atas dasar aqidah. Sebuah negara yang hanya bersatu atas dasar nama berjaya menewaskan sebuah empayar yang bersatu adas dasar tauhid. Empayar-empayar barat ketika itu penuh dengan perancangan dan wawasan untuk memperbesarkan tanah jajahan di samping merampas harta kekayaan tempatan.
Mungkin dalam banyak-banyak nama, nama negara inilah yang paling tragis dalam sejarah Islam. Ia hanya membuktikan, sesebuah kesatuan walaupun batil tetapi terancang, pasti dapat menewaskan kesatuan yang benar tetapi tidak berwawasan. Semoga nama UK ini, menjadi iktibar kepada negara-negara Islam untuk kembali bersatu. Mungkin sudah sampai masa, negara-negara Islam bersatu semula, bukan sahaja di atas kertas dan perhimpunan kosong tetapi melalui pembentukan gerakan yang berwawasan berdasarkan aqidah tauhid Islamiyyah. Satu gerakan tajdid yang merangkumi keseluruhan lapisan masyarakat dan meletakkan agenda serta program Islah yang jelas dan mudah difahami umat.
Mungkin pada waktu itu, satu istilah negara baru pula akan digunapakai – e.g. United Islamic Nation atau الإسلامية المتحدة دولة.
Mana-mana negara Islam yang mahu bersatu dengan gerakan ini, harus memastikan sekurang-kurangnya dasar pentadbiran negara serta program pembinaan masyarakat dibina atas perancangan yang bersesuaian dengan struktur dan budaya masyarakat setempat. Kita bina sistem kewangan dan mata wang tersendiri. Kita bina sistem pendidikan tersendiri. Kita bina sistem politik dan pemilihan pemimpin secara tersendiri. Kita bina sistem ketenteraan dan kehakiman tersendiri. Kita bina kekuatan media massa yang tersendiri. Kita bina kekuatan industri tersendiri. Kita bina satu sistem sosial yang matlamat utama adalah mencari keredhaan Allah swt. Kita bina semula tamadun yang telah hilang sinarannya akibat cinta dunia dan perasaan takutkan mati. Negara-negara lain, tidak harus berasa terancam dengan kewujudan الإسلامية المتحدة دولة kerana matlamat negara baru ini, tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan alam. Hak-hak kemanusiaan sama ada lelaki mahupun wanita, arab atau bukan arab, kanak-kanak mahupun orang tua pasti terjamin di bawah sistem Islam yang adil dan saksama.
Kita bina satu sistem hidup yang kesemuanya, atas dasar Islam yang jelas dan paksi yang nyata. Barulah ada makna pada nama kesatuan Islam yang ingin dibentuk tersebut. Saya yakin, kesatuan ini akan muncul semula dan usaha harus bermula dengan penerapan nilai Islam pada individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam. Apabila masyarakat sudah membudayakan nilai Islam ini, maka Insya-Allah akan terbentuk negara Islam yang akhirnya pasti membawa ke arah daulah Islamiyyah. Moga, saya dan keluarga dapat hidup melihat ia menjadi kenyataan. Moga saya dan keluarga, menjadi salah seorang yang menyumbang ke arah usaha islah ini.
Ada apa pada nama? Kali ini, nama sangat bermakna. Ia adalah impian dan wawasan. Ia adalah cita-cita dan kehidupan. Ia adalah matlamat dan hakikat kemerdekaan.