Dalam banyak-banyak tempat yang saya tulis dalam blog ini, Houston memang nama orang. Houston diberi nama sempena nama General Sam Houston. Apabila bercakap tentang beliau, perkara pertama yang saya ingat adalah lakonan Dennis Quaid dalam cerita “The Alamo” yang melakonkan watak General Sam Houston.
Kita sering memandang Amerika sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berprinsip. Mungkin ini adalah kesan dari cerita-cerita yang sering dipaparkan di kaca TV yang mempamerkan hero atau heroin yang sering mengorbankan kesenangan dan berjuang mendapatkan keadilan dan hak-hak asasi mereka. Hampir kesemua genre filem Hollywood pasti ada tersembunyi prinsip-prinsip kemanusiaan sama ada filem aksi, adventure, drama, sejarah, peperangan dan biopic. Cerita kanak-kanak pasal Fat Camp pun diletakkan unsure membela diri dan berani kerana benar. Dalam cerita Hollywood, mereka yang dikatakan pejuang kelihatan cool walaupun pakai kilt, pakai baju yang sama berbulan-bulan dan pakai topi senget-senget kerana yang penting, hidup perlu ada prinsip. Kebanyakan pembikin filem Hollywood apabila membuat filem, mahu ada suatu mesej yang sampai kepada audience di samping berhibur. Agak berbeza sedikit dengan cerita di Malaysia, filem dibikin untuk berhibur bukan menyampaikan mesej. Kalau ada mesej pun, agak sama – cinta tak mengenal darjat.
Kenapa begini? Adakah kerana sejarah Amerika dipenuhi dan bermula dengan revolusi serta mereka yang berjuang dan hidup sebegitu? Mungkin juga. Peperangan di Alamo mungkin menjadi salah satu tema inspirasi perjuangan mereka. Kekalahan askar mereka berjumlah ratusan selepas 13 hari dikepung oleh askar Mexico yang seramai 1500 orang di bawah pimpinan President General Antonio López de Santa Anna. Akhirnya kekalahan tersebut berjaya ditebusi ketika peperangan San Jacinto apabila General Sam Houston menewaskan askar-askar Mexico yang sama hampir 6 minggu setelah peristiwa di Alamo. Peperangan tersebut dikatakan berlangsung hanya 18 minit hasil dari serangan mengejut General Sam Houston sejumlah hampir 900 orang dan satu kesilapan Santa Anna – tidak meletakkan sentry pada waktu serangan. Sejak peperangan tersebut, kisah Alamo dan San Jacinto sering di bibir sejarawan Amerika Syarikat khususnya mereka yang berasal dari Texas.
Persoalannya, mengapa kita tidak begitu? Mengapa kita tidak pula berbangga dengan sejarah umat Islam sendiri? Bukankah seharusnya sirah perjuangan rasul SAW dijadikan semangat untuk kita terus berjuang? Kisah halangan terhadap dakwah Islam sewaktu 13 tahun pertama di Mekah harus dijadikan peringatan bahawa perjuangan Islam itu mengambil masa yang panjang. Peristiwa perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar, Hunain, Muktah, Yarmuk dan pelbagai lagi harus menjadi pendorong dan pembakar semangat. Sebelum orang kata, itu kat bumi Arab…maka saya katakana tengoklah para pejuang nusantara pula. Tidak lupa juga sejarah perjuangan negara kita. Jangan hanya difokuskan kepada perjuangan menuntut kemerdekaan semasa Dato’ Onn sahaja tetapi juga perjuangan Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Tok Bahaman, Mat Kilau, Dol Said, Mat Salleh, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong, Syarif Masahor, Dato’ Sagor, Tengku Anom dan ramai lagi. Sejarah kita dihiasi dengan mereka yang hidup berprinsip, berani, berdisiplin dan tegas. Sejarah kita dihiasi dengan mereka yang berjuang bermati-matian demi agama dan tanah air. Mengapa sejarah-sejarah sebegini tidak dipaparkan? Mengapa cerita sebegini tidak ditayangkan? Ramai yang akan kata, “penonton di Malaysia takder selera sangat tengok cerita-cerita sebegini. Tak caya tengok karya Dato’ Jins Samsudin pasal Pasir Salak.” Mungkin betul, tapi jangan lupa cerita Bukit Kepong. Kejayaan cerita tersebut sampai masa saya sekolah rendah selalu berlakon jadi pejuang dan askar di Bukit Kepong dan mengacau sesiapa rakan kami yang muka macam peniup trumpet askar komunis dalam cerita tersebut. Kenapa cerita sebegini dengan teknologi zaman 80an boleh berjaya meninggalkan kesan yang positif?
Sudah sampai masanya kita menjadi umat yang “principle centred”. Kita harus keluar dari politik sentimen ini ke arah politik BERPRINSIP. Kita harus keluar dari belengu definisi Melayu yang sempit yakni UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO kepada definisi yang lebih luas.
Ingin saya pinjam kata-kata akhi Aminuddin di blognya,
“Melayu yang kita inginkan ialah Melayu yang mempunyai semangat patriotik seperti Tun Razak dan Tun Dr Ismail, yang mati tanpa meninggalkan sebarang harta, kita mahu Melayu yang memperjuangkan islam seperti Dr Burhanudin Helmi yang sanggup di penjara di atas prinsip yg di perjuangkan, kita mahu Melayu yang kental semangatnya seperti Mat Kilau yang sanggup bekorban segala harta utk menentang penjajah, kita mahu Melayu seperti Syeikh Abdul Hadi yang menyerapkan semangat jihad di kalangan belia tetapi kemudiannya di tentang inggeris, kita mahu Melayu seperti Tok Kenali yang alim lagi zuhud, kita mahu Melayu yang pintar seperti Pendita Zaaba, kita mahu Melayu yang pakar seperti Prof Ahmad Ibrahim yang melakarkan perlembagaan islam untuk negara Brunei.”
Baru bermakna nama yang diberi.