- Hampir lebih 1.5 tahun tak pulang ke Malaysia. Tidaklah lama sangat berbanding sebelum-sebelum ini, tetapi balik bercuti kali nih penuh bermakna. Banyak urusan dapat dilangsaikan, banyak pelaburan dapat dilaksanakan, banyak hak silaturrahim yang ditunaikan.
- Alhamdulillah, memang sebelum balik ke Malaysia September baru nih, saya dah meletakkan beberapa perancangan. Siap dengan tulis nama keluarga dan member-member yang nak ditemui. Almaklumla, balik sekali setahun tetapi begitu banyak perkara kena settle. Tambah lagi kena pulak dengan cuti raya, jadi urusan bank, KWSP, takaful etc kena diselesaikan seberapa segera. Saya tak nak ceritakan tentang pelaburan dan tips-tips terutama bagi yang bercuti sebulan dua kat Mesia, itu saya tengah buat blog baru untuk diringkaskan.
- Apa yang saya nak cerita secara ringkas adalah tak tau kenapa, tetapi cuti kali ini saya rasa sangat bermakna. Mungkin kerana ini kali pertama saya berjumpa keluarga setelah menunaikan fardhu haji tahun lepas. Mungkin juga kerana ini kali pertama berjumpa kakak saya setelah didiagnose menghidap kanser. Mungkin kerana kali ini kami sekeluarga bercuti di Pulau Redang yang subhanallah penuh dengan keindahan ciptaan Allah swt.
- Mungkin juga kerana berasa sedih, kerana 2 jiran berhampiran di kampung saya, meninggal dunia secara tiba-tiba. Kedua-duanya di bulan puasa. Terutama arwah pakcik razak yang saya amat kenali semenjak dari sekolah rendah lagi, baru berumur 63 tahun dan beliau meninggal dunia pada malam ramadhan, malam 23. Kagum saya melihat kawan sekampung saya Bab, yang begitu cekal dan tabah walaupun masih muda, mungkin kerana beliau anak lelaki tunggal dalam keluarga.
- Mungkin juga kerana saya kembali ke sekolah lama bersama rakan-rakan sebaya, untuk memberikan tips-tips tentang kerjaya kepada anak-anak muda. Apatah lagi berjumpa cikgu-cikgu veteran, terasa diri muda seketika.
- Mungkin juga kerana kepuasan membeli rumah pertama bersama isteri tercinta, walaupun siap Insya-Allah dalam masa setahun dua. Mungkin juga kerana situasi tidak banyak berbeza, apabila dibandingkan dengan suasana 1.5 tahun lepas.
- Mungkin juga kerana sms-sms yang diterima dari sahabat-sahabat Arab di Qatar, bertanya khabar bila nak balik ke Qatar. Rindu kerana lama tak bersembang, apatah lagi berjumpa dengan megat yang sorang.
- Mungkin juga kerana ukhuwwah yang sedia ada, berjumpa sahabat di Kuala Lumpur, Perak, Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan membuatkan saya menghimbau kisah lama. Ia juga membuatkan saya terfikir, bahawa suatu hari saya sekeluarga harus kembali ke Malaysia....kerana medan amal dan dakwah kami lebih sesuai di Malaysia. Tanpa mengurangkan kebaikan berada di Qatar, jauh di sudut hati kelihatan semakin jelas, bahawa usaha dakwah semakin giat di bumi Malaysia. Adalah satu kerugian, andaikata peluang tersebut tidak digarap.
- Benar, banyak cabaran di bumi Malaysia. Gaya hidup dan pemikiran majoriti rakyat malaysia masih di tahap yang sama. Akhlak segelintir remaja sangat mengecewakan kita. Suasana politik pula tidak begitu memberangsangkan minda. Hidup rata-rata kosong dari ruh dan prinsip perjuangan seorang muslim. Media massa dan pengisian pendidikan hanya mengutamakan kosmetik dan bukannya pembentukan sakhsiah mulia.
- Sekembalinya saya sekeluarga ke Malaysia suatu hari nanti Insya-Allah, belum tentu saya akan berada di jalan yang saya inginkan. Mungkin juga akan tenggelam dalam dunia hiburan dan hedonisma.
- Namun, apabila seorang sahabat saya sanggup memandu dan berjumpa saya di Cheras setibanya dari lapangan terbang KLIA untuk berjumpa tak sampai satu jam, atau apabila seorang ikhwah yang memandu dari Seremban ke KLIA untuk berjumpa dan menghadiahkan saya sebuah buku, apabila seorang ustaz sanggup menerima kami ke rumah walau agak lewat malam berjumpa, apabila silatturahim yang terjalin dengan mudah walau tidak pernah berjumpa...mengingatkan saya bahawa alhamdulillah saya sekeluarga dikelilingi dengan insan-insan yang juga inginkan perubahan, yang Insya-Allah akan memberikan kami sekeluarga peringatan apabila tersesat jalan.
- Tiba-tiba hati yang pada mulanya takut untuk kembali ke Malaysia berasa tenang dan tenteram, mengenangkan sahabat-sahabat dan keluarga yang dikasihi & yakin bahawa mereka akan memberikan saya sekeluarga kekuatan untuk terus bersama di atas jalan yang diredhai Allah swt.
- Ya, mungkin itulah menyebabkan cuti saya kali ini lebih bermakna. Saya terkenangkan kata-kata seorang tabiin tentang 3 perkara yang indah dalam kehidupan di dunia. Jawapan beliau, solat tahajud, solat berjemaah dan ukhuwwah islamiyyah. Moga ukhuwwah yang terjalin kekal selamanya Insya-Allah.
Blog ini adalah rentetan dari blog yang awal...moga-moga membawa manfaat buat keluarga dan diri ini.
Friday, 16 October 2009
Pulang berlibur, hati terhibur
Labels:
Kenangan