Tuesday, 8 September 2009

Sebelum ke Sana

Tinggal beberapa jam lagik, saya sekeluarga akan balik ke Malaysia untuk bercuti. Begitu banyak yang berlaku di Malaysia sejak kali terakhir saya pulang March 2008. Sekurang-kurangnya 8 pilihanraya kecil telah diadakan, beberapa tunjuk perasaan dibuat, negeri kelahiran bertukar-tukar Menteri Besar dalam masa seminggu. Ada lompat parti, ada terjun parti, ada takder parti. Jangan lupa yang mati ketika ditahan MACC. Juga tak dilupa mereka yang sudah meninggalkan kita. Pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia semula, ekonomi Malaysia agak terjejas kesan kejatuhan ekonomi seluruh dunia walaupun secara relatif masih stabil, ramai yang terkorban oleh swine flu, harga minyak naik lagi dan peristiwa kepala lembu yang pada pandangan saya kedua-dua pihak memandang ringan kesannya. Yang pencaci dan pemaki pula hanya menambahkan keruh suasana yang sedia ada.

Yang pasti, rakyat masih hidup macam tuh. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Majoriti rakyat masih mengambil sikap tidak peduli...mungkin kerana rungsing dengan masalah sendiri apatah lagi nak pikif masalah negara. Kalau ikut statistik kasar di blog MalaysiaToday, ada 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi. Hanya separuh dari jumlah ini yang mengundi. Selebihnya, 7.5 juta tak mengundi dan 4 juta dari ini langsung tak mendaftar mengundi. Kalau kita tolak expat Malaysia di luar negara (katakan 100,000 orang), ini bermakna 7.4 juta rakyat Malaysia tak kisah langsung tentang perkembangan politik negara.

Tak mahu salahkan sesiapa. Kehidupan di Malaysia walaupun lebih baik dari 20 tahun dahulu...masih ada yang terpaksa menjual tanah untuk mencari sara hidup. Kes penyalahgunaan dadah semakin berleluasa. Kes-kes pembunuhan, salah laku, rompakan semakin meningkat dan macam-macam lagi. Seakan-akan tidak ada jalan keluar buat kemelut yang berlaku di Malaysia.
Jadi, apakah peranan kita sebenarnya? Apakah peranan kita sebagai rakyat Malaysia dalam hal ini terutama sekali yang bekerja di luar negara? Begitu banyak jalan sampai rakyat pun boleh naik bingung. Satu pihak terlampau dominan dalam permuafakatannya dengan parti lain. Satu pihak pula terlampau demokratik dalam pakatannya dengan parti lain. Satu pihak, terlampau ke hadapan dalam isu nasionalismanya. Satu pihak pula, ada di kalangan mereka yang terlampau jumud tentang politik keislamannya. Satu pihak pula, seakan-akan membawa ke arah jalan kesama-rataan berkiblatkan sistem demokrasi di Amerika, satu pihak pula membawa kepada satu negara yang sekular tanpa agama sebagai panduan dan rujukan. Kita juga dapati, ada di kalangan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat yang tidak mampu menyokong perubahan kerana walaupun majoriti penduduk setempat menyokong mereka....tetapi ruh perjuangan tersebut tidak didokong sepenuhnya. Dengan lain kata, rakyat yang mengundi sebahagian dari mereka hanya undi simpati...tetapi tidak mengundi atas dasar prinsip dan belum bersedia bersusah-susah bersama pemimpin yang diundi.

Persoalan-persoalan mudah tetapi berat ini semakin memenuhi benak pemikiran saya. Mengapa ini terjadi? Mengapa masyarakat kita sebegini? Ke arah mana negara kita nak pergi? Ramai yang menjawab terutama yang beragama Islam bahawa semua masalah ini akan selesai apabila kita menjadi negara Islam sepenuhnya. Saya bersetuju dan mereka yang beragama Islam tidak boleh menolak hakikat ini. Namun, sudah bersediakah masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam dengan konsep negara Islam? Apakah apabila sesuatu parti itu menang pilihanraya dan negara Islam terbentuk akan tenteram dan aman negara? Tidakkah kita lupa apa yang berlaku di Turki, Algeria, Somalia?

Ya, sebelum kita menjadi negara Islam kita harus sedar bahawa nilai agama, hidup berprinsip dan pemikiran keadilan masyarakat di Malaysia masih di tahap yang rendah. Saya bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Haji Hadi dan Dr Asri dalam hal ini. Sebelum hukuman ditegakkan, suasana setempat harus mengizinkan hukuman itu dilaksanakan. Kata Dr Asri di blognya:

"Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina. Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran."

Ya, sebelum kita ke sana kesedaran masyarakat tentang nilai hidup agama dan berprinsip harus ditegakkan. Islam harus ditrampilkan dengan ajarannya yang sahih serta suci - tanpa kekeliruan dan campur aduk dari perkara bidaah, khurafat dan tafsiran yang sesat. Islam harus diamalkan dengan mesej yang mudah dan melangkau batasan dikotomi politik Malaysia yang sedia ada. Umat Islam harus mampu berdiri atas kaki sendiri dan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi. Umat Islam harus berani menempuh cabaran datang ribut dan badai sekalipun terpaksa berkorban. Umat Islam harus faham, bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada makhluk yang menyerupai Allah.

Demi masa, sesungguhnya seluruh manusia di dalam kerugian melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, bersama-sama dalam masyarakat menegakkan kebenaran dan berpesan dalam kesabaran.

Ya, sebelum kita ke sana kita harus sedar di mana kita berada kini. Usaha dakwah harus didasari dengan situasi masyarakat dan bergerak dengan tsabat untuk menuju kejayaan hakiki. Ya, sebelum kita ke sana mesej Islam harus dihayati. Akidah Islam harus diterapi. Ajaran Islam harus diamali. Di sinilah kepentingan tarbiyyah. Di sinilah kepentingan aqidah Islamiyyah. Di sinilah kepentingan seerah Nabawiyyah.

Ya, sebelum kita ke sana kita harus sedar dan ingat akan peranan kita di atas muka bumi ini. Kita harus kenal diri kita dan apakah peranan kita kepada masyarakat.

Saya terkenang kata-kata As-Syahid Imam Hassan AlBanna apabila ada orang bertanya beliau siapakah beliau. Beliau menjawab:
"
أنا سائح يطلب الحقيقه
Akulah unsur yang mencari kebenaran.

وانسان يبحث عن مدلول الانسانيه بين الناس
Akulah manusia yang mencari makna dan hakikat kemanusiaannya di tengah manusia.

ومواطن ينشد لوطنه الكرامه والحريه والاستقرار والحياه الطيبه فى ظل الاسلام الحنيف
Akulah patriot yang berjuang menegakkan kehormatan, kebebasan, ketenangan dan kehidupan yang baik bagi tanah air di bawah naungan Islam yang hanif.

أنا متجرد أدرك سر وجوده
Akulah lelaki bebas yang telah mengetahui rahsia wujudnya

فنادى
maka ia pun berseru -

قل ان صلاتى ونسكى ومحياى ومماتى لله رب العالمين لا شريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين
sesungguhnya salatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan semesta Alam yang tiada sekutu bagi-Nya. Kepada demikianlah aku diperintahkan dan aku termasuk orang yang berserah diri."

Ya, sebelum kita ke sana kita harus mampu mengatakan apa Hassan AlBanna kata apabila menutup pernyataaannya di atas dengan bertanya satu soalan kepada wartawan tersebut,

هذا انا فمن انت؟
"Inilah aku....dan kamu sendiri siapa?"