Sebelum 1970, negara Oman yang dikenali sekarang secara rasminya belum wujud. Antara 1856 dan 1970, nama negara tersebut sebenarnya negara “Muscat dan Oman” (مسقط وعمان). Ia berasal dari penggabungan dua kerajaan - Kesultanan Muscat di persisiran pantai yang merangkumi persisiran Oman sekarang, UAE, Baluchistan, Zanzibar serta persisiran Kenya, Tanzania dan Mozambique dengan kerajaan pedalaman Oman yang merangkumi kawasan pedalaman dan pergunungan Oman (terutama wilayah Ad-Dakhilliyah, Wusta) yang dikuasai oleh golongan beragama mazhab Ibadi (nak kupas pasal Ibadi nih panjang lak). Kerajaan perpaduan ini terbentuk selepas krisis politik yang berlaku dengan kematian Sultan Sayyid Said Ibn Sultan dan campurtangan British pada tahun 1856.
Kehidupan di kawasan di selatan timur pula kebiasaannya tak banyak diganggu kerana cara hidup penduduk di kawasan tersebut masih asli dan berbeza berbanding di Muscat. Malah, bahasa mereka pula berbeza dengan bahasa arab biasa di wilayah Oman lain. Namun, perbezaan ini jugalah menyebabkan mereka ketinggalan berbanding dengan wilayah lain. Dengan bantuan kerajaan negara-negara jiran dan sokongan pemimpin buangan kerajaan pedalaman Oman, gerakan penentangan bersenjata bermula pada tahun 1962 di wilayah Dhofar.
Apabila sultan yang ada sekarang menjadi pemerintah yang rasmi pada tahun 1970, beliau telah menukar nama negara “Muscat dan Oman” ini kepada Kesultanan Oman sekarang. Kalau ikut sejarah, patutnya ibu negara kesultanan ini ditukar kepada Nizwa di wilayah Ad-Dakhiliyyah yang merupakan pusat kerajaan pedalaman Oman ataupun Sohar di wilayah AlBatinah yang merupakan ibu kota Oman purba (utusan rasul SAW Amr bin As ra menghadap Raja Oman dan saudaranya, Jaifer dan Abd al-Jalandi di Sohar), tapi adala hikmahnya kut. Gerakan bersenjata di Dhofar juga dihapuskan pada tahun 1976-1979. UAE, yang sudah lama mempunyai persefahaman dengan British (Trucial Oman) pula menjadi sebuah negara secara rasmi setahun kemudian pada tahun 1971. Tertinggal ler Musandam di hujung teluk masih menjadi sebahagian dari Oman.
Apabila kita faham sejarah mereka, baru kita faham mengapa rakyat Oman secara umum lebih merendah diri berbanding umat Arab di jazirah ini. Mereka lebih mudah dan banyak terdedah dengan kebudayaan luar Arab seperti Parsi, Afrika, Portugis, British dan India. Berbanding negara Arab khaliji yang lain, pembangunan mereka agak perlahan. Komposisi rakyat mereka dari segi kehidupan bandar dan kehidupan highlander juga masih ada. Dhofar pula, sebelum 1970an masih mengamalkan cara hidup pergunungan Arab yang asli. Mungkin kerana faktor tersebut bermacam kepercayaan masyarakat masih menebal seperti kepercayaan masyarakat tempatan wujudnya maqam Nabi Ayyub as, maqam Al-Imran, tapak unta & maqam Nabi Saleh as dan kota ratu Balqis di kawasan sekitar Salalah. Secara peribadi, saya susah sikit nak percaya sebab Nabi Ayyub as hidup di kawasan sekitar Syria, keluarga Al-Imran pula hidup di sekitar Palestin, kaum Tsamud Nabi Saleh as pula hidup di kawasan sekitar Hijaz dan Syam dan kota Ratu Balqis adalah di Ma’rib Yaman. Tentang kota Ratu Balqis, mungkin apa yang nak dimaksudkan adalah pelabuhan beliau di Salalah untuk mengeksport frankincense atau olibanum. Wallahua’lam.
Apapun, satu sahaja yang saya rasa benar berlaku di kawasan berhampiran Salalah ini. Penemuan kota lama kaum Aad, Iram di Al-Ahqaf (rujuk penerangan tentang penemuan dokumen Ebla oleh Harun Yahaya atau kupasan beliau di website Quran dan Sains). Ini logik kerana maqam Nabi Hud as yang sebenar terletak di timur Hadralmaut walaupun ada yang mengatakan maqam nabi Hud ada di Palestin malah ada juga di sekitar Salalah. Wallahua’lam. Di mana maqam Nabi Hud as bagaimanapun tidak penting. Apa yang penting, iktibar yang harus diambil tentang kisah kaum Aad ini. Satu bangsa yang dahulu bermegah dengan kehidupan dan binaan yang hebat, akhirnya hilang begitu sahaja sehinggakan hampir tidak ada peninggalan kaum ini. Kekayaan dan kekuatan yang mereka miliki akhirnya tidak mampu menandingi ketetapan Allah swt, apabila mereka masih enggan beriman kepada Allah swt dan rasul-Nya, Nabi Hud as. Kisah kaum Aad dan Nabi Hud as telah diabadikan di dalam Al-Quran. Mari kita renungi dialog antara Nabi Hud as dan kaumnya di dalam surah Al-A'raf:
(7:65)
Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya ?"
(7:66)
Pemuka-pemuka yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang orang yang berdusta."
(7:67)
Hud herkata "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku ini adalah utusan dari Tuhan semesta alam.
(7:68)
Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu".
(7:69)
Apakah kamu (tidak percaya) dan hairan bahawa datang kepadamu peringatan dari Tuhanmu yang dibawa oleh seorang laki-laki di antaramu untuk memberi peringatan kepadamu? Dan ingatlah oleh kamu sekalian di waktu Allah menjadikan kamu sebagai pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah lenyapnya kaum Nuh, dan Tuhan telah melebihkan kekuatan tubuh dan perawakanmu (daripada kaum Nuh itu). Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.
(7:70)
Mereka berkata: "Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah saja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapak-bapak kami? maka datangkanlah azab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar."
(7:71)
Ia berkata: "Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Tuhanmu". Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu beserta nenek moyangmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujjah untuk itu? Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yamg menunggu bersama kamu".
(7:72)
Maka kami selamatkan Hud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari Kami, dan Kami tumpas orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan tiadalah mereka orang-orang yang beriman.
Oman, seperti negara-negara di rantau ini mempunyai sejarah yang agak panjang. Sejarah Oman menunjukkan umat manusia dan khususnya umat Islam ini kaya dengan sejarah dan kesannya meluas. Sejarah sesebuah negara sebegini, secara tidak langsung telah mempengaruhi sejarah dan pembentukan negara sekitarnya. Malah dalam kes Oman, kawasan persisiran timur Afrika dan sebelah barat India/Pakistan juga terasa. Di dalam kita mengembara, janganlah kita lupa untuk merenung sejarah yang tersirat dengan pandangan basirah dan juga menghayati keagungan ciptaan Allah swt. Apatah lagi di Oman dan Salalah khususnya sudah pasti terlekat dengan musim khareef (monsoon) setiap kali musim panas tiba di Jazirah Arab ini. Pemandangan yang Insya-Allah memberikan ketenangan kepada mereka yang lama duduk di negeri padang pasir ini apatah lagi setelah menelaah sejarah sebuah negara yang kompleks ini. Satu nikmat hidup dan kawasan yang mungkin dinikmati oleh Kaum Aad, namun disebabkan kedegilan mereka mengimani Allah swt, mereka dan kota mereka akhirnya hancur akibat azab Allah swt.
"Sungguh, telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), karena itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)." 3:137