Pada suatu masa dahulu, selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871 perebutan kuasa mula berlaku antara Raja Abdullah dan Raja Ismail. Pertelingkahan berlaku disebabkan krisis sistem peralihan kuasa di negeri Perak yang agak rumit. Pada masa yang sama, berlaku pertelingkahan antara kumpulan Hai San (海山) dan Ghee Hin (義興私會黨) disebabkan isu perebutan hak biji timah di Larut.
Akhirnya, Kerajaan British melalui Kesatuan/Syarikat Hindia Timur Inggeris - KHTI (British East India Company) dan Gabenor Sir Andrew Clerk mengambil kesempatan untuk bertapak di Perak secara rasmi pada tahun 1874. Sejarawan menganggap inilah detik permulaan campur tangan Inggeris di luar dari kawasan negeri-negeri Selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura).
Suasana Perak yang sedang berlaku kini menyebabkan kita harus merenung semula sejarah. Bak kata Allahyarham Profesor Hamka, sejarah tidak berulang tetapi sikap manusia yang berulang. Maksud beliau sejarah akan berulang bukanlah jalan ceritanya yang sama. Tetapi sikap manusia itu yang menyerupai tingkah laku manusia di zaman silam. Zaman jahiliah contohnya. Ia sudah beratus abad berlalu. Tetapi perangai dan cara hidup mereka masih ada hingga hari ini - cuma nampak moden dan canggih dari kaca mata dunia. Di satu sudut, kita nampak Ir Nizar vs Dr Zambry sebagai MB Perak. Satu lagi sudut, PR vs BN sebagai kumpulan tersebut.
Jalan penyelesaian, selain jalan terbaik dengan mengembalikan rakyat hak untuk memilih siapa yang mereka ingini untuk mengurus pentadbiran negeri adalah satu bentuk permuafakatan antara kedua-dua belah pihak. Mungkin boleh dibentuk kerajaan campuran sementara PR dan BN manakala Menteri Besar dilantik dari tokoh luar yang mempunyai kelayakan, dipercayai Sultan dan dilihat berkecuali tidak akan memihak kepada BN atau PR. Tak taulah secara constitutional boleh dilakukan atau tidak tapi ia mungkin boleh menyelesaikan kemelut yang sedang melanda. Sekurang-kurangnya, rakyat Perak ada satu MB dan bukannya 2 atau takder langsung seperti ketika ini.
Mungkin kalau sesuatu out of the box dilaksanakan, instead of menjadi pencetus kepada "penjajahan luar", krisis ini boleh dimanfaatkan agar menjadi pencetus kepada sistem yang lebih adil dan telus di bumi Malaysia? Apa salahnya. Andaikata ini berlaku, satu sejarah yang lebih baik seperti yang pernah berlaku di suatu tempat akan berulang. Tapi bukan di Malaysia. Sejarah apa tuh?
Sejarah Yang Akan Berulang?
Mesir pada suatu masa pernah mengalami kemarau yang agak panjang - 7 tahun lamanya. Walaupun kemarau tersebut berpusat di Mesir, negara-negara jiran seperti kawasan Syam terasa bahang dan teriknya. Walaupun pusat kemarau di Mesir, namun rakyat Mesir masih mendapat cukup bekalan makanan manakala negara jiran dari Syam terpaksa pergi ke pusat kemarau untuk memperoleh bekalan makanan. Itulah zaman Nabi Yusuf AS. Sekalipun bumi dilanda kemarau, berkat keadilan yang terlaksana dan ilmu yang dikurniakan Allah swt kepada Nabi Yusuf AS, rakyat Mesir masih cukup bekalan makanan. Manakala negara yang tidak "adil" dan pengurusan negara tidak diberikan kepada yang berkelayakan, terpaksa meminta dari Mesir untuk mendapatkan bekalan. Itulah keberkatan dalam Islam.
Sekarang, sesuatu negara mungkin kaya dengan perbendaharaan, tetapi kerana ketidakadilan dan ketidakcekapan maka hilang keberkatan - rakyat masih ada yang merana dan hidup menderita.
Adakah sejarah kegemilangan Mesir akan berulang di bumi ini ataupun adakah sebaliknya akan berlaku? Kita tidak mahu kisah JWW Birch suatu masa dahulu yang menjadi pencetus kepada Britain Perak War 1875-1876 berulang. Saya yakin, setiap insan yang melalui ujian ada 2 pilihan. Satu pilihan, ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Satu lagi, kesenangan dunia yang sementara dan sebentar sahaja manakala akhirat kosong sahaja.
Dalam hal ini, bukan senang nak memilih sebab yang bahagia atau merana adalah rakyat. Andaikata sikap yang sama diambil seperti ketika tahun 1874-1876, saya risau akhirnya rakyat Perak dan seterusnya rakyat Malaysia yang rugi. Tetapi andaikata kita belajar dari sejarah dan mengambil sikap positif, Insya-Allah boleh menjadikan Malaysia sebagai pencetus sistem pemerintahan yang adil dan saksama di rantau ini. Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui dan Maha Merancang akan kesudahan episod di negeri Darul Ridzuan ini.
Wallahua'lam.