Saturday, 9 May 2009

Because we're too late...

Ketika saya membaca tulisan mutakhir Ustaz Abdul Halim (jadilah hamba sebelum ketua) di blog beliau, terdapat satu gambar yang menggusarkan. Gambar seorang bayi yang dicampak dari tingkat 17. Anak-anak saya, Amin dan Muslih pun bertanya kepada saya "Is this in Gaza?"

Mungkin kerana biasa melihat kezaliman rejim zionis di Gaza secara spontan mereka kaitkan
 gambar tersebut di Gaza. Saya pun jawab, "Tak, nih kat Malaysia".

Amin bertanya lagi, "Why, why we don't go and save them?". Terdiam saya sebentar. Puas saya nak fikir apa nak jawab. Mujur adiknya Muslih menjawab dulu, "Because we're too late." Jawapan yang mudah tetapi tepat. 

Sebak jugak saya mendengar jawapan anak kedua saya tersebut,
because we're too late. Tiba-tiba segala isu sosial yang diketahui umum muncul satu-persatu. Dari keruntuhan aqidah dan pemahaman Islam, budaya pergaulan bebas, budaya kelab malam, budaya anak remaja berpeleseran, sindrom anak-anak yang kurang ajar di sekolah dan rumah, sindrom masjid yang semakin lengang dan lesu dari tenaga muda, ramainya umat Islam yang ditahan di institusi pemulihan akhlak atau penjara, kes-kes penculikan anak kecil, krisis pengangguran dan budaya tidak peduli di kalangan anak-anak muda. Last but not least, gejala pembuangan bayi hasil dari hubungan luar nikah.

Dari kaca mata anak-anak kecil, mereka pun sedar seharusnya kita saling membantu dan menghalang tragedi pembuangan bayi dari berlaku. Begitu juga dengan amar makruf nahi mungkar. Selain dari membimbing diri sendiri, kita sebagai golongan dewasa harus membantu mereka yang memerlukan bimbingan dan dorongan manakala kita wajib mencegah mereka yang terlibat dalam gejala sosial. Di sinilah kepentingan takwa di dalam kehidupan seharian.

Dari satu sudut, saya yakin kalau pihak yang berkuasa dan wakil rakyat saling bekerjasama permasalahan umat ini boleh dikurangkan kalau tidak dibasmi sama sekali. Ini telah saya tulis dalam topik yang lepas (Hit me Perak one more time). 
Apa yang dimaksudkan di sini mungkin boleh diistilahkan sebagai muqabalah atau pertemuan antara mereka yang berkenaan dalam konsep yang lebih luas (secara khusus pemimpin-pemimpin muslim di dalam parti UMNO, PAS, PKR dan NGO-NGO Islam yang lain). Manakala dasar muqabalah tersebut harus ditunjangi dengan prinsip aqidah Islam yang jelas dan bukannya atas dasar assabiyyah kepada mana-mana bangsa atau pertubuhan. 
Kesemua komponen yang berjumpa harus bersetuju atas dasar tersebut. Pengaruh kuasa dan kekayaan harus ditolak di dalam perjumpaan tersebut manakala sikap tolak ansur dan saling bekerjasama harus dipupuk. Unsur jahilliyah yang kita hadapi ini tidak menyerang terhad kepada anak-anak ahli UMNO sahaja contohnya. Anak-anak dari pertubuhan lain juga terdedah 
- anak-anak ahli PAS, PKR, JIM, ABIM, ISMA etc kerana suasana persekitaran yang negatif tidak mengenal parti dan pertubuhan. Oleh sebab yang demikian, perjumpaan tersebut harus dibuat atas dasar aqidah Islamiyyah. Tenaga umat Islam yang ada harus digembling dan diselaraskan agar isu-isu yang hinggap di kalangan umat Islam ini dapat dibanteras secara berkesan.

Andaikata ada parti atau pertubuhan yang menolak syarat utama tersebut, maka teruskan perjumpaan agar kerangka gerakan Islam yang menyeluruh tersebut dapat dibina. Saya yakin, andaikata perbincangan ini diadakan secara ikhlas kita akan dapati bahawa akhirnya kesemua pihak akan bersetuju bahawa kerangka gerakan Islam ini akan bermula dari tarbiyyah individu, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan seterusnya
 ustaziatul alam. Sejarah telah menyaksikan bagaimana generasi para sahabat dan para tabiin terbentuk dari usaha murni rasulullah saw ketika menjalankan dakwah sepanjang 23 tahun di Mekah dan Madinah. Generasi inilah yang seterusnya mengembangkan payung keadilan Islam hampir seluruh pelusuk dunia dan menjadi tunggak kepada 3 pemerintahan Islam yang terkemuka - Umayyah, Abbasiyyah dan Othmaniyyah. 

Akhirnya, Khalifah Islamiyyah dan tamadun Islam ini sedikit demi sedikit menuju kehancuran akibat unsur-unsur jahilyyah yang meresap masuk kembali ke dalam jiwa umat Islam pada waktu tersebut. Saya tidak mahu mengupas secara panjang faktor-faktor kejatuhan umat Islam. Banyak bahan bacaan yang mudah didapati mengupas faktor-faktor tersebut secara terperinci. Saya cuma akan nukilkan beberapa faktor secara ringkas berdasarkan risalah Al-Imam As-Syahid Hassan Al Banna bertajuk  بين اليوم والامس (antara semalam dan hari ini), Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwy bertajuk ماذ اخسر العالم بانحطاط المسلمين (kerugian dunia kerana kemunduran Umat Islam) dan jawapan Amir Shakib Arslan dari Lubnan kepada Syeikh Muhammad Bisyooni Umran di Indonesia pada tahun 1928 bertajuk لماذ تاخر المسلمون ولماذ تقدم غيرهم - (mengapa umat Islam ketinggalan dan bangsa selain Islam maju). Faktor-faktor tersebut sebenarnya terbahagi dua, faktor dalaman dan faktor luaran. Saya hanya akan fokus kepada faktor dalaman dan ringkaskan seperti berikut: 

  • Percakaran politik dan sikap fanatik selain perebutan kuasa dan pangkat sesama umat Islam
  • Perselisihan dalam soal asas agama dan mazhab serta mengalih hakikat agama ini daripada sebagai aqidah dan amalan kepada hanya istilah yang kaku tanpa roh dan nyawa melalui pengabaian kitab Al-Quran dan AsSunnah. Akhirnya umat Islam bersikap jumud dan fanatik dalam sesuatu pandangan serta suka berdebat
  • Tenggelam dalam pelbagai bentuk kemewahan, kesenangan dan hanyut dalam keseronokan syahwat
  • Perpindahan serta pegangan tampuk pemerintahan kuasa kepemimpinan beralih kepada bangsa atau pihak yang tidak menghayati Islam yang sebenar
  • Mengabaikan ilmu-ilmu berbentuk praktikal dan ilmu dunia sebaliknya membazirkan masa menumpukan perhatian kepada ilmu berbentuk falsafah, teori dan fantasi semata-mata
  • Kealpaan pemerintah dengan kuasa yang dimiliki serta terpedaya dengan kuasa yang ada. Ini menyebabkan pemerintah alpa dengan perkembangan masyarakat atau negara lain
  • Tertipu dengan helah musuh agar hidup dengan gaya hidup musuh
  • Ketidakmampuan pemimpin Islam membuat keputusan disebabkan kurang pengetahuan serta tidak berani bertindak
  • Menjauhkan cara hidup Islam dari gelanggang politik
  • Para penguasa tidak memberikan contoh baik tentang Islam
  • Tindakan belot di kalangan umat Islam terhadap ajaran Islam sendiri lalu timbulnya bidaah dan kesesatan yang menyebabkan ajaran sebenar Islam tidak dilaksanakan berdasarkan kemurniaannya
  • Umat Islam merasa senang dengan kehidupan dunia dan tidak peduli dengan keadaan yang serba rosak dan keterlaluan. Dunia Islam sudah tidak terkejut melihat penyelewengan dan kemungkaran asalkan soal makanan dan pakaian mereka tidak terganggu
  • Hilang keyakinan terhadap jati diri dan sejarah umat Islam 
  • Meninggalkan jihad dalam erti kata sikap berani berkorban (nyawa dan harta) untuk masa depan umat
Begitulah juga permasalahan yang kita hadapi kini khususnya di negara kita. Faktor-faktor yang kita hadapi tidak banyak beza dari suasana jahilliyah yang diislah oleh Islam satu masa dahulu serta suasana jahiliyyah yang menyebabkan kejatuhan khalifah Islamiyyah secara rasmi pada 3 March 1924, hampir 85 tahun dahulu. Mungkin bentuk jahiliyyah kini tampak lebih canggih dan moden, tetapi intipatinya tetap tidak berbeza - lari dari pengabdian kepada Allah swt kepada kecintaan terhadap kehidupan dunia. 

Berbalik kepada muqabalah yang dicadangkan tadi, moga-moga dari pertemuan tersebut barulah akan lahir daripada permasalahan yang dibincangkan objektif serta usaha bersepadu untuk pemulihan aqidah dan akhlak orang Islam. Gerakan islah ini akan menjadi lebih fokus dan bertenaga. Usaha-usaha murni ini akan merangkumi pelbagai pihak dan akan dipandang serius oleh masyarakat awam. Akhirnya jiwa rakyat umumnya akan terkesan untuk bersama-sama mengislah diri, keluarga serta masyarakat dalam mencapai keredhaan Allah swt sebelum datang hari apabila seseorang tidak akan mengingati lagi seseorang yang lain.

Riwayat Abu Dawuud dan Hakim daripada Aisyah r.a. berkata:

"Aku mengingati neraka kemudian aku menangis, maka bertanya Rasul saw "apakah yang menyebabkan engkau menangis?" Aku berkata, "Aku mengingati neraka lalu aku menangis, maka adakah kamu akan mengingati ahli kamu pada hari kiamat?". Maka sabda baginda: "Adapun pada tiga tempat, maka tiada seseorang pun yang akan mengingati seseorang yang lain.

Pertama: Ketika di sisi timbangan sehinggalah diketahui apakah timbangannya itu ringan atau berat?

Keduanya: Ketika buku catatan (suhuf) itu berterbangan mencari tuannya sehinggalah diketahui di manakah jatuhnya buku catatan tersebut, sama ada kanan, kiri atau di belakangnya?

Ketiga: di sisi titian sirat. Apabila telah diletakkan di antara dua tebing neraka jahanam sehinggalah ia telah dapat menyeberanginya dengan selamat."

Langkah ke arah perubahan ini harus bermula sebelum situasi sedia ada menjadi lebih buruk. 
Seorang pujangga berkata, "Dua perkara yang tidak dapat diketahui saat terjadinya dengan tepat iaitu tidur dalam hidup seseorang dan satu keruntuhan sesuatu umat. Keduanya tidak dapat dirasakan kecuali jika benar-benar telah terjadi." Apabila keruntuhan umat sudah berlaku, mungkin sudah terlambat untuk sesiapa melakukan sebarang perubahan kerana ketentuan Allah swt tiba tanpa amaran....dan pada waktu itu, hati kita pasti akan berbisik kenapa semua ini terjadi. Jawapannya mudah dan tepat "because we're too late".

Sama-samalah kita berfikir.