Di dalam lipatan sejarah terutama abad ke 20 dan 21 ini, kita akan mendapati begitu banyak contoh golongan kaum "muda" menentang kaum "tua". Begitu banyak gerakan yang kita tahu atau pernah terlibat sesuatu masa dulu terhasil dari kecenderungan kita semasa remaja dan awal dewasa terhadap sesuatu prinsip. Pada peringkat tersebut, kita mudah tertarik dengan panggilan prinsip. Gerakan-gerakan yang ada pada waktu itu datang membawa perhatian kita kepada sesuatu yang sebenarnya menarik jiwa dan akal kita. Prinsip keadilan, prinsip kesamarataan, prinsip kesejagatan, prinsip pemuliharaan hak-hak minoriti, prinsip persaudaraan, prinsip kecintaan...dan macam-macam lagi. Gerakan-gerakan ini datang sama ada sebagai gerakan ekonomi, gerakan nasionalis, gerakan sosialis, gerakan feminis, gerakan sosial dan macam-macam lagi.
Islam, sebenarnya secara sejarah merupakan salah satu gerakan menentang "kaum tua" ini. Islam pada suatu masa dulu mencabar sistem kepercayaan tradisi turun temurun. Pada waktu tersebut, Islam datang sebagai prinsip dan bukan tradisi. Islam membawa prinsip ketuhanan yang paling mudah tapi kukuh dasarnya. Islam membawa prinsip Ubudiyyah dan Uluhiyyah yang jelas, Allah itu Satu, Allah tidak bergantung kepada sesiapa, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan sama sekali tidak menyerupai satupun makhluknya. Bacalah sejarah Nabi Nuh, Saleh, Musa, Hud, Ibrahim, Isa dan Muhammad (peace and blessing be upon them all)....kita akan dapati para rasul ini mencabar tradisi kepercayaan manusia yang menyembah berhala dan menyekutukan Allah swt pada waktu tersebut. Apabila diajak mempercayai Allah yang Esa, pimpinan umat di kalangan kaum tua mereka menjawab "Tidak, tetapi kami hanya akan mengikuti apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami".
Islam pada waktu tersebut datang membawa prinsip keadilan berpaksikan kepercayaan Allah swt itu Satu dan menciptakan kita semua dari Nabi Adam AS. Islam datang mematahkan unsur perkauman dan membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada hamba Yang Maha Agung, Allah yang Esa. Islam menyambung persaudaraan kemanusiaan tidak kira kaum dan bangsa. Islam mengajak manusia kembali kepada fitrah semulajadi ini berdasarkan prinsip tauhid yang luhur. Islam datang membawa prinsip-prinsip kemanusiaan yang berasal dari pencipta manusia. Ya, ruh prinsip Islam adalah aqidah. Di kalangan kaum tua pada waktu kedatangan para rasul, ini adalah pemecah tradisi dan warisan. Bagaimanakah seorang bangsawan boleh makan satu talam dengan seorang hamba? Bagaimanakah seorang bangsawan yang memakai baju dari kain berjenama boleh menyembah tuhannya apabila kiri kanan diapit oleh golongan kelas bawahan yang berpakaian mudah dan daif?
Bagaimanakah struktur lapisan kemasyarakatan yang telah diamal sekian lama boleh dipecah dengan sekelip mata? Bagaimanakah dengan sistem ekonomi yang mengkayakan yang kaya dan memiskinkan yang miskin ini berhenti begitu sahaja? Sudah pasti golongan kaum tua tidak mahu adat ini dipecahkan kerana Islam datang memecahkan semua ini. Kaum Nabi Nuh, Firaun serta Haman dan umat Mesir, kaum Tsamud, kaum Aad, Kaum Madyan dan kaum Quraisy merupakan contoh-contoh di dalam sejarah yang sering menentang suara kaum "muda" yang berprinsip tersebut.
Begitu juga para salafussoleh dan tabiin. Mereka mengamalkan Islam secara prinsip lalu membawa prinsip Islam ini melepasi sempadan jazirah Arab dan melangkau bumi Rom dan Parsi. Satu persatu, minda manusia mula merdeka. Merdeka dari cengkaman golongan pendeta yang menafsirkan agama mengikut tradisi. Merdeka dari golongan pemimpin yang gemar memerintah melalui konsep pecah dan perintah. Merdeka dari kepercayaan taghut yang memerangkap manusia dengan amalan jumud dan khurafat. Islam memerdekaan fikiran manusia dari konsep ketuhanan yang kompleks kepada konsep yang mudah. Mengapa Islam tersebar luas? Jawapannya Islam berkembang atas dasar prinsip bukan dasar warisan. Setelah ratusan tahun berlalu, kesan ini dirasai umat dari negara jiran...terutama di Andalus malah bangsa Tartar setelah menakluk bumi Baghdad juga terkesan dengan Islam. Kebebasan berfikir dan bersuara mendapat tempat di hati mereka yang bukan Islam. Konsep aqidah yang mudah menarik jiwa mereka. Konsep-konsep ini dirasai seharusnya digunapakai di dalam kehidupan seharian.
Akhirnya beberapa prinsip ini dibawa ke barat melalui penterjemahan dan pembahasan ilmu di Italy (Alma Mater Studiorum Università di Bologna dianggap universiti tertua di barat yang melahirkan banyak tokoh Renainsance). Namun sayang seribu kali sayang hanya prinsip-prinsip yang dibawa tetapi ruh Islam ditinggalkan. Prinsip kebebasan berfikir dibawa tetapi asasnya dari tauhid uluhiyyah dan rubbubiyyah diabaikan. Akhirnya, lahirlah dari natijah ini zaman renainsance, reformasi protestan, era revolusi dan akhirnya era revolusi industri. Kemuncak yang dikatakan era moden ini adalah kelahiran pelbagai gerakan sosial hasil dari pemikiran manusia tanpa panduan ruh tauhid yang shahih.
Manakala pada waktu yang sama, di sebelah hadharah Islamiyyah (tamadun Islam) stagnancy dan complacency mulai berlaku. Umat Islam mula mentradisikan prinsip Islam. Umat Islam yang sentiasa berjiwa muda melalui islah dan jihad ini secara perlahan-lahan menjadi tua akibat cinta dunia dan perasaan takutkan mati. Umat Islam, mulai melakukan kesalahan yang dilakukan oleh umat terdahulu, seperti umat selepas nabi Idris AS.
Jiwa dan minda umat Islam dikekang dengan alasan mudah, "ini amalan tok nenek moyang kita, tak payah soal banyak". Tidak diberi ruang untuk umat Islam ini memahami Islam atas dasar aqidah yang syumul sebaliknya hanya menekankan amalan ritual semata-mata. Pintu ijtihad ditutup dan sistem muamalat menjadi penuh birokrasi. Penekanan hanya ditumpukan kepada amalan solat, puasa, zakat, haji dan munakahat. Sistem muamalat Islam mula ditinggalkan, sistem pendidikan Islam ditinggalkan, prinsip keadilan Islam mula ditinggalkan, prinsip ukhuwwah mula ditinggalkan, malah solat jemaah juga ditinggalkan....umat jihad ini perlahan-lahan menjadikan dunia sebagai tempat persinggahan utama.
Antara sebab ini berlaku apabila umat Islam hanya tahu Allah sebagai nama, tetapi tidak tahu apa yang datang sebagai penunaian terhadap hak Allah swt. Kita hanya mengetahui Allah swt sebagai rabb, tetapi kita telah lupa Allah swt sebagai ilah! Keimanan kebanyakan umat Islam akhirnya berkisar dengan taqlid semata-mata. Lalu jiwa ini tidak lagi memahami dan mengenali Allah swt sebagaimana para rasul dan para sahabat rasul saw memahaminya.
Terutama di negara kita Malaysia, sesetengah ajaran khurafat mulai meresap masuk. Kepercayaan kepada puaka, bomoh dan misteri menjadi-jadi. Semakin teruk, apabila sesuatu ajaran dikaitkan dengan mazhab Syafiee. Tidak salah bermazhab, malah sesetengah ulama mewajibkan bermazhab bagi masyarakat umum (saya bersetuju dengan pandangan ini) namun yang menjadi masalah apabila "authority" sesuatu pihak dinisbahkan kepada ajaran Mazhab Syafiee sedangkan Imam Syafiee dalam ijtihadnya tidak membincangkan perkara tersebut. Maka lahir dari sini umat Islam yang bertaklid kepada pihak yang berkuasa secara buta. Akhirnya, golongan yang ikhlas bermazhab menjadi keliru apatah lagi sekarang timbul golongan la mazhabiyya pula. Ini sekali lagi menjadikan umat Islam khususnya di Malaysia semakin mempertahankan Islam sebagai tradisi dan bukannya prinsip. Umat Islam khususnya golongan muda semakin hilang arah. Keadaan di Malaysia semakin parah apabila umat Islam sering bersikap "defensive" dan seakan-akan tidak ada hujjah dalam amalan Islam. Lidah menjadi kelu kerana jahil Islam lalu kebebasan berbincang ditolak mentah-mentah. Keadaan semakin kelam apabila ketidakfahaman tentang Islam menterhadkan penggunaan nama Allah swt untuk umat Islam sahaja. Mereka lupa, isu sebenar bukan sebutan nama Allah swt tetapi isu menyekutukan Allah swt.
Bukankah itu kesempatan terbaik menerangkan kepada mereka bahawa Allah swt yang sebenar adalah Satu? Bukankah itu kesempatan terbaik untuk berhujah kepada mereka dengan surah Al-Ikhlas? "Pemahaman kamu tentang Allah swt adalah berbeza dengan apa yang diberitahu oleh Allah swt. Marilah kita beriman kepada Allah swt Yang Satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan, Allah yang tidak menyerupai satu pun makhluk ciptaan-Nya." Sebenarnya, bukan kita yang harus risau orang lain menggunakan nama Allah swt, tetapi merekalah harus risau menggunakan nama Allah swt kerana hujah Islam adalah jelas, dari Al-Quran. Manakala Al-Quran dari siapa? Allah swt tanpa dapat dicacatkan oleh sesiapapun. Itulah asas prinsip Islam.
Berbalik kepada sejarah. Generasi-demi generasi berlalu. Sekarang sekali lagi, golongan muda yang secara naluri sentiasa mencari-cari sesuatu yang serasi dengan jiwa dan aqalnya mula mencari gerakan yang membawa makna dalam hidupnya. Mereka mencari-mencari gerakan yang berprinsip, bukan gerakan bertradisi. Ini kerana fitrah manusia sebenarnya mencari prinsip dan makna dalam kehidupan.
Sedihnya kali ini, golongan muda ini menemui rata-rata umat Islam yang mengamalkan Islam secara warisan. Mereka hanya menemui gerakan-gerakan berprinsip dari negara barat sedangkan gerakan-gerakan barat ini tandus dari ruh tauhid. Tidak sedikit di kalangan mereka yang mulai lari dari Islam sekalipun masih mengekalkan nama Islam. Ini kerana pada pandangan mereka Islam hanya amalan luaran seperti solat, puasa, zakat, haji dan munakahat. Tidak lebih dari itu. Mereka tidak menemui pada umat Islam kini, Islam yang dibawa oleh rasul SAW. Islam yang hidup secara prinsip dan ruhnya adalah tauhid Ilahi. Islam yang membebaskan aqal manusia dari segala ikatan tradisi. Islam yang mana sistem dan perundangannya adalah berdasarkan prinsip. Islam yang memberi khabar gembira melalui janji syurga dan amaran siksa neraka. Islam yang bersifat mahabbah dan berakhlak. Prinsip yang tertegak di atas dasar pemikiran dan aqal. Prinsip Islam, berbeza dengan prinsip yang lahir/tercipta hanya dari aqal manusia kerana sumber yang mensyariatkan prinsip Islam adalah Pencipta aqal dan pemikiran. Prinsip Islam yang menjadi garis yang mengatur perkembangan zaman, bukan sebaliknya.
Tepatlah kata-kata Imam Hasan Al-Banna:
الإسلإم نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا
"Islam adalah satu sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan.
فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة
Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat,
وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة
Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan,
وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء
Islam adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman,
وهو مادة وثروة أو كسب وغنى
Islam adalah material dan harta benda atau usaha dan kekayaan,
وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة
Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah
كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء
sebagaimana ia juga adalah aqidah yang benar dan ibadat yang sah".