Thursday, 7 May 2009

Hit Me Perak One More Time

Perak Darul Ridzuan, negeri indah permai, penduduknya hidup aman damai, dinaungi keadilan sultan......

Terngiang-ngiang lagu Perak Darul Ridzuan yang sering berkumandang di kaca TV tahun 1980an. Saya rasa lagu nih lagu paling sedap dan komprehensif tentang sesebuah negeri di Malaysia.

20 tahun selepas lagu di atas, realiti Perak berbeza dengan apa yang dinyanyikan dalam lagu tersebut. Beberapa bulan lepas, Perak menjadi fokus politik di tanah air.

Hari ini sekali lagi Perak menjadi fokus berita di tanahair. Kalau berita tentang kebaikan takper gak, alangkah best kalau keluar berita seperti terjumpanya reservoir minyak atau gas dekat Batu Gajah ker, berita seluruh rakyat Perak tak payah bayar cukai, Ipoh bandaraya paling bersih di dunia, Lumut destinasi pelancongan nombor 3 dunia selepas Maldives dan Mauritius, Parit digelar bandar berkembar Paris atau pemain bola sepak di Kota Bharu (ye, ada Kota Bharu kat Perak...tempat kelahiran Dato' Mohd Nor Khalid atau dikenali dengan Lat) dibeli oleh New Castle....sedap la jugak hati. Ini tidak, keluar berita tentang "rampasan kuasa" dan kemelut politik yang tak selesai-selesai berbulan-bulan lamanya.

Saya masih berpegang pada pendapat seharusnya pilihanraya diadakan semula di Perak, as a fresh start. Ini kerana hak tersebut harus dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih masa depan mereka. Majoriti rakyat Perak mengundi perubahan pada 8 Mac 2008. Maka adalah wajar rakyat Perak jugalah yang harus memilih siapa yang harus mentadbir urusan negeri selepas kes ADUN lompat beberapa bulan yang lepas. Rakyat kini menjadi mangsa kerana wakil-wakil rakyat lebih sibuk mendapatkan tampuk pemerintahan dari menjaga hal ehwal kebajikan rakyat. Dalam suasana sebegitu, pelabur-pelabur sudah pasti tak berminat nak melabur di negeri Perak, belanjawan negeri akhirnya terperap tanpa dijanakan ke arah pembangunan seadanya dan struktur pentadbiran daerah dan jabatan pembangunan negeri menjadi terencat. Apa yang pasti, pergelutan kuasa secara tidak demokratik ini hanya akan meninggalkan perasaan dendam, dengki dan hilang kepercayaan di kalangan ahli dewan undangan negeri dan rakyat negeri Perak. Kemelut ini juga akan meninggalkan kesan negatif terhadap anak-anak muda...sama ada mereka semakin menjauhi isu-isu politik lalu lebih menyibukkan diri dengan budaya tidak peduli, hilang identiti dan buta politik. Anak-anak ini akhirnya akan menghabiskan masa mendengar muzik, menonton TV, membaca majalah picisan dan lebih teruk membabitkan diri dalam budaya negatif serta hidup dalam kemaksiatan kerana bosan dengan kerenah mereka yang dikatakan pemimpin ini.

Malangnya dengan sistem yang sedia ada kita tidak ada jalan keluar. Apa yang saya mahu katakan kepada kedua-dua pihak, "CUKUP!".

Ada lebih banyak isu yang harus kita hadapi bersama. Dalam kita terlampau sibuk berpolitik rakyat hidup dalam ketakutan daripada peragut yang semakin mengganas. Pada hari ini akhbar Utusan Malaysia melaporkan dalam masa kurang dari 48 jam, 3 wanita terbunuh akibat jenayah ragut ini. CUKUPLAH kita mendengar kes-kes sebegini. Rakyat kini hidup ketakutan di negara sendiri. Apalah gunanya berebut kuasa politik apabila jalan-jalan di bandar dan kampung dikuasai perompak, samseng, kaki buli, penipu, penyamun, mat rempit, perogol, bohsia dan pelacur? Apalah gunanya menang sorak kalau kampung tergadai?

Dalam kita sibuk berpolitik kes zina dan pembuangan bayi semakin berleluasa. CUKUPLAH! Bayi-bayi yang tidak bersalah dan berdosa menjadi mangsa kerana tidak ada sistem untuk memberi sokongan kepada gadis-gadis yang ingin kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah swt. Apalah salahnya jika satu inisiatif besar-besaran seperti kempen anti dadah dilakukan? Buat kempen anti zina dan kempen anti buang anak. Janganla pergi tunjukkan iklan stesyen minyak terkemuka yang membiayai sukan litar F1 sahaja. Tunjukkan sebelum atau semasa berita utama jam 8 atau 9 malam iklan-iklan yang menginsafkan akibat membuang anak. Iklankan secara meluas pusat-pusat kebajikan yang menerima gadis-gadis yang inginkan bantuan. Berikan bantuan dan dorongan kepada pusat-pusat sebegini.

Di sinilah saya amat bersetuju dengan pandangan sebuah NGO di Malaysia, ISMA agar CUKUPLAH umat melayu ini bertarung sesama sendiri. Sudahlah kita bergaduh sesama kita sendiri, hak-hak bangsa lain untuk mengenali Islam yang syumul juga terabai. Sudah sampai masanya untuk umat Islam yang bergaduh ini duduk semeja dan berbincang secara serius tentang perkara-perkara berikut:

  1. Sikap Islam yang sebenar terhadap konsep ISA, OSA dan kebebasan bersuara

  2. Sikap Islam yang sebenar terhadap konsep kuota dalam pendidikan dan pembahagian biasiswa

  3. Sikap Islam yang sebenar di dalam ketidakberkesanan pusat-pusat Islam menangani masalah birokratik

  4. Sikap Islam yang sebenar terhadap isu-isu seperti penggunaan nama Allah, hak penjagaan anak-anak kecil apabila ibu bapa keluar dari agama asal

  5. Sikap umat Islam yang terlalu defensif dan seperti hilang keyakinan untuk berbincang tentang unsur-unsur penting dalam Islam terutama unsur aqidah

  6. Sikap Islam yang sebenar terhadap keutamaan permasalahan yang menimpa rakyat kini dari segi ekonomi, sosial, keselamatan dan rohani

  7. Sikap Islam yang sebenar terhadap isu keadilan, ketelusan dan kebebasan beragama

Panggillah golongan NGO, para ilmuan, ahli politik Islam dari dalam dan luar negara untuk sama-sama duduk berbincang tentang kerangka politik baru umat Islam di Malaysia ini. Buangkanlah dari dalam diri sikap kepentingan diri, taasub kepada kaum dan budaya, jumud dalam hal siyasah dan bersikap terlampau terbuka tentang isu aqidah serta ibadah. Isikan kekosongan tersebut dengan perasaan hamba kepada Allah swt, taasub kepada keadilan, pragmatik dalam hal siyasah dan muamalat serta tegas dalam isu aqidah serta ibadah. Binalah satu sistem politik yang lebih adil dan telus dari sistem demokrasi ini. Satu sistem yang membantu orang yang lemah di kalangan rakyat mendapatkan haknya dan memastikan hak orang yang kuat diambil supaya tidak melampaui batas dan dikembalikan kepada yang berhak. Sejarah umat Islam terutama khulafa ar-Rasyidin kaya dengan ibrah serta pengajaran pemimpin yang melaksanakan sistem penuh hemah dan adil.


CUKUPLAH dengan kita menunggu perubahan setiap 4-5 tahun sekali melalui sistem demokrasi ini. Sudah sampai masa kita semua bersama dan berubah dalam mencari keredhaan Allah swt. CUKUPLAH dengan mengharapkan sistem yang gagal menyatukan umat ini. Sudah sampai masa kita keluar dari sistem ini dan kembali kepada sistem yang syumul. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia hidup dengan penuh tenteram, rasa selamat dan kehidupan yang penuh kasih sayang serta rahmat.

Saya akhiri dengan lagu HIT tentang Perak, negeri tercinta. Boleh download lagu di link ini. Perak Darul Ridzuan


Perak Darul Ridzuan


Negeri indah permai


Penduduknya hidup aman damai


Dinaungi keadilan sultan


Kuala Kangsar Bandar Diraja


Iskandariah istana ternama


Tempat bersemayam Baginda Paduka Seri


Menjadi lambang tunggak negeri




Bukit Larut


Waktu malam... berkelipan


Udaranya sejuk nyaman menyegarkan


Indahnya ciptaan Tuhan



Di tengah samudera biru


Pulau Pangkor dengan pantai yang bersih


Tempat bersukaria tumpuan para pelancong


Pemandangan indah yang terbentang



Lihat padi menguning


Menambah seri Daerah Kerian


Di Hilir Perak


Nyiur melambai-lambai


Oh sungguh subur tanah airku



Kinta daerah tengah


Hasilnya bijih timah


Batu Gajah bandar yang bertuah


Tempat Keputeraan Seri Sultan


Hulu Perak nun di utara


Kaya dengan sumber hasil hutannya


Tersergam empangan tinggi menjulang


Segagah wira di perbatasan


Pasir Salak Bersejarah dan berdarah


Dato Sagor, Dato Maharajalela


Gugur pertahankan bangsa



SITC maktab tertua


Gedung ilmu bakti suluh budiman


Lahirkan cendekiawan


Pejuang bangsa negara


Kekal abadi sepanjang zaman


Perak makmur bahagia


Dengan sembilan daerah yang ada


Betapa indah tanah air tercinta


Sejahteralah Perak


Oh negeriku


Perak… Perak…Oh negeriku