Saturday, 28 February 2009

Apa Nak Jadi?

"Malaysia...Malaysia....apa nak jadi?"

Mungkin itulah ungkapan ringkas yang boleh diluahkan bila melihat keadaan sosio ekonomi dan politik di Malaysia. Kalau nak dramatik sikit, bayangkan Tan Sri Dato' SM Salim menyanyi lagu glamer beliau "Apa Nak Jadi" dalam latar belakang tulisan ini, cuma jangan sambung kepada lirik "sampai sekarang tak kahwin lagi" sebab itu kena tulis entry lain pulak. Dengan perbalahan politik yang nampak gayanya semakin "brutal" dan "tahap piawai tanpa kawalan" di Malaysia, krisis perlembagaan yang tidak selesai-selesai di bumi Perak, fitnah dan tuduhan di bumi Selangor, pujukan dan percubaan rasuah di bumi Kedah, budaya ugut-mengugut di parlimen, mencerca, menolak pandangan mereka yang pakar dan ahli dalam bidang mereka, dan tiba-tiba memuji orang yang sudah melompat parti berkali-kali dengan panggilan pejuang rakyat dan bermacam-macam lagi membingungkan masyarakat. Masyarakat akan hilang idola yang syakhsi dan akan mula mengikut idola fantasi. Situasi yang semakin buruk ini sampai kepada tahap Sasterawan Negara A Samad Ismail pun mula bangkit bersuara. Kalau seorang sasterawan bersuara, saya rasa dah teruk sangat la keadaan Malaysia tuh. Teringat karya seorang lagi arwah Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad sewaktu reformasi dulu.

Dalam perbalahan dan kekacauan tersebut, tanpa disedari ekonomi negara sedang perlahan-lahan merudum. Satu ekonomi yang perkasa di Asia Tenggara kini sedar atau tidak semakin tenat. Pertumbuhan ekonomi penghujung tahun 2008, mencatatkan perkembangan sebanyak 0.1% sahaja. Nilai matawang negara juga semakin jatuh, mungkin percubaan menarik para pelabur luar untuk melabur semula di negara Malaysia. Bagi saya seorang expatriate, jatuhnya mata wang negara bagus sebab kadar pertukaran mata wang asing tersebut is an advantage for me apabila saya hantar duit ke Malaysia. Namun, sebenarnya jauh di hati saya saya merasakan ini satu petanda ekonomi negara sudah tidak resilient dan attractive lagi untuk pelabur asing. Percubaan menyuntik dan menjana ekonomi dengan fiscal stimulus pada November 2008 (RM7 Billion) nampaknya tak berapa berjaya, lalu kerajaan terpaksa menyuntik buat kali kedua pada 10 March 2009 nanti. Dianggarkan berjumlah RM10-15 billion khabarnya. Saya rasa, kerajaan seharusnya lebih kreatif dari hanya menyuntik stimulus package sebegini. Kita telah mencubanya ketika kegawatan ekonomi tahun 1997-1998. Berjaya memang berjaya pada waktu tersebut tapi untuk era kegawatan ekonomi yang terasa seluruh dunia kini, masalah ekonomi yang melanda ini tidak hanya boleh diselesaikan dengan cara konvensional tersebut. Harus ada jalan yang lebih inovatif. Dalam hal lain, peralihan kuasa yang diwarwarkan tidak lama lagi, dijangka tidak mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi andaikata barisan muka lama masih ditawarkan sebagai barisan kabinet. Yala, pi mai pi mai tang tu jugaklah jadinya. Kalau muka yang sama dan pemilihan mereka dengan sistem yang sama (pemilihan melalui mesyuarat agung UMNO) rasuah dan korupsi akan semakin berleluasa.

Apabila dalam situasi sebegini, perbalahan yang lebih besar akan berlaku. Pada waktu ini, nafsu dan bisikan syaitan mula memainkan peranan. Mungkin lebih ramai yang akan terpenjara secara fizikal atau secara spiritual. Tenggelam dalam bisikan nafsu, manusia mula kembali kepada sifat "tribal"nya. Akan lahir juga di kalangan manusia ini nanti golongan yang akan mengeksploitasi kegeringan iman. Sama ada berbentuk hiburan atau unsur iman komersial. Akan ada manusia yang cuba menyentuh jiwa manusia yang lain, kononnya dengan pengalaman unik ketika bersendiri di gua, ketika menunaikan ibadah haji, terdengar suara yang memanggil dan bermacam-macam lagi. Malah, ajaran sesat lebih mudah tersebar di dalam suasana sebegini. Tidak lupa juga di kalangan manusia yang akan mengambil kesempatan dari situasi yang negatif ini. Jiwa manusia makin serabut. Jiwa manusia makin mencengkam dan mula menjadi hamba kepada harta, material, hiburan, khurafat dan kuasa. Pandangan iman semakin hilang manakala pandangan nafsu semakin menjadi-jadi. Jenayah akan bertambah. Kadar kemaksiatan akan meningkat. Manusia akan mula mencari jalan keluar melalui alternatif tidak halal seperti merompak, samun, perjudian dan pelacuran.

Dalam suasana kelam sebegini, kita tidak seharusnya berputus asa. Tidak seharusnya kita putus harapan dengan Allah swt. Tarbiyyah diri harus diteruskan. Nafsu harus ditundukkan. Seruan kebenaran diteruskan. Bukan dengan jalan mencari ilmu sahaja. Bukan dengan filosof-filosof kosong sahaja. Bukan dengan membaca buku sahaja. Bukan dengan melancong ke Meditarranean atau ke kepulauan yang indah sahaja. Bukan dengan memuaskan nafsu semata-mata. Tetapi dengan hakikat dan kenyataan. Tak cukup hanya dengan menjaga amanah ketika bekerja tetapi perangai luar pejabat macam syaitan. Teringat saya di dalam cerita American Gangster, ketika bekas isteri polis itu berkata lebih kurang bunyinya, "You don’t take money for one reason: to buy being dishonest about everything else.......You think you’re going to heaven because your “honest.” You’re not. You’re going to the same hell as the crooked cops you can’t stand. "

Ya, janganlah kita menyangka apabila kita beramal dengan satu dua perkara sunnah kita akan masuk syurga....kerana mungkin kita masih ada beberapa sifat dan akhlak jahiliyyah yang nauzubillah akan menyebabkan kita tersungkur ke neraka. Itulah yang menyebabkan kekadang kita akan melihat sesetengah orang Islam yang solat bukan main tapi baju dan mulut berbau busuk ketika solat berjemaah. Kita akan dapati manusia yang seakan-akan bertakwa kepada Allah tetapi tidak menjaga hubungan dengan ahli keluarganya. Terlampau sibuk beribadat samapi terlupa mendidik anak-anaknya dengan nilai keimanan dan akhlak Islamiyyah. Terlampau nak jaga sunnah ikut rasul tetapi seukir senyuman pun tak mampu beri kepada rakan atau jiran. Inilah kepentingan tarbiyyah.

Tarbiyyah harus diteruskan dan ini bererti perubahan harus menyeluruh. Muwassofat tarbiyyah harus merangkumi segala aspek dan juzuk kehidupan manusia. Dengan melawan bisikan ammarah tersebut. Dengan menentang nafsu dan kehendak diri yang luar batasan iman. Dengan mengingati harga diri dan erti kehidupan selepas kematian. Dengan beramal dengan amalan Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan memahami tujuan dan matlamat hidup. Dengan membaca, memahami, menghayati dan beramal dengan Al-Quran. Dengan berzikir kepada Allah swt dengan zikir yang diamalkan rasulullah saw. Dengan berjihad melakukan perubahan. Dengan menyeru kepada kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Dengan tunduk kepada Allah swt.
Mungkin ada yang akan bertanya, apa kena mengena dengan situasi negara dengan tarbiyyah? Saya ungkapkan semula kata-kata yang terngiang ketika menunaikan fardhu haji tempoh hari, “Kita harus berfikiran jauh, namun beramal seperti Nabi dengan mengambil langkah-langkah kecil”. Visi kita besar, untuk memperbaiki situasi di Malaysia namun langkah yang diambil harus bermula dengan langkah-langkah kecil........kerana akhirnya, Allah swt tidak akan bertanya kepada kita apa kejayaan yang kita perolehi semasa kita hidup, tetapi apakah langkah-langkah yang kita ambil untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Dari Allah swt kita datang, kepada Allah swt kita akan kembali.
Pikir-pikirlah bersama.