Saturday, 14 February 2009

What A Hectic Month

  1. Bulan Januari 2009 dan 2 minggu pertama Februari yang berlalu memang agak sibuk. Pada hari-hari awal bulan Januari, mula-mulanya agak lapang. Apatah lagi baru balik Haji dan semangat tahun baru (Hijriyyah dan Masihiyyah), rasa Insya-Allah kerja dan hidup akan jadi lebih tersusun. Entah macammana, tetiba kesibukan melanda diri. Rasa tercungap pun ada. Bukan sahaja dari segi peribadi, tetapi perkembangan isu di Gaza dan tanahair juga mengambil masa.
  2. Tentang isu Gaza, telah saya terangkan agak panjang lebar pada penerangan yang lepas, Untukmu Gaza
  3. Alhamdulillah, dalam kesibukan tersebut masih berjaya mengisi diri dengan pengisian dari para penceramah handalan. Dari Ustaz Zamberi, Dr Yusuf Qardhawi, Syeikh Yusuf Estes, Ustaz Lukman Landy dan Ustaz Hussein Yee. Walaupun secara fikrah dan harakah mereka berbeza, saya tetap yakin matlamat kesemua mereka semua sama, mencari keredhaan Allah swt.
  4. Dalam pada itu, perkembangan isu tanahair juga agak melelahkan. Dari by-election di Kuala Terengganu, politik caca merba di negeri kelahiran saya Perak Darul Ridzuan, by election yang bakal diadakan di Perak dan Kedah...saya dapat merasakan rakyat mungkin makin mual dengan politik tanah air. Secara peribadi, saya agak kecewa dengan apa yang terjadi di Perak, tetapi saya menaruh keyakinan yang tinggi dengan perancangan Allah swt dan merasakan ini adalah yang terbaik.

  5. Selain dari membuktikan kepentingan tarbiyyah dan perlu ada pemilihan yang tepat dalam memilih calon untuk menjadi wakil rakyat, jika difikirkan dengan lebih panjang, saya berpendapat hikmah yang paling besar adalah parti Islam berjaya mentrampilkan calon yan berkaliber. Calon tersebut boleh diterima oleh masyarakat bukan Islam. Ini membuka peluang di masa akan datang jika parti Islam tersebut atau mana-mana pertubuhan Islam ingin berdikari dan bertanding atas prinsip pertubuhan itu sendiri.

  6. Kerumitan di Perak juga seharusnya menjadi pengajaran bahawa prinsip perjuangan itu harus dihayati dengan sepenuhnya oleh ahli pertubuhan tersebut. Kelemahan 3 orang wakil rakyat, telah berjaya menumbangkan sebuah kerajaan. Begitulah adat perjuangan. Kelemahan pasukan pemanah di atas bukit Uhud, juga menyebabkan umat Islam "tewas" di bumi Uhud.

  7. Apa yang berlaku di Perak, meyakinkan saya bahawa tidak ada jalan keluar dari kemelut di Malaysia selain pertentangan antara jahiliyyah dan hak secara langsung. Namun, sebelum pertentangan langsung ini boleh berlaku, kejahilan yang menutupi mata hati umat Islam di Malaysia melalui topeng assabiyyah harus dirungkai.

  8. Dalam tempoh masa ini juga, saya alhamdulillah selesai membaca 2 buku, Palestine: Yesterday, today and tomorrow karangan Tariq Al-Suwaidan dan Fafirru ilallah (Flee to Allah) oleh Abu Zar AlKalamouni.

  9. Pada saya, buku Palestine oleh Tariq Suwaidan membuka mata saya tentang sejarah Palestin secara menyeluruh. Kezaliman puak zionis memang tidak dinafikan. Umat manusia terutama umat Islam harus ingat bahawa tanah Palestine adalah tanah terjajah. Proses penjajahan tersebut berlaku sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu sebelum holocaust yang sering diwarwarkan untuk menjustifikasikan kependudukan mereka di Palestin. Pada saya, buku tersebut harus berada di setiap rumah orang Islam sebagai peringatan terhadap sejarah umat Islam.

  10. Buku yang kedua, Flee to Allah pada saya cuba menyentuh jiwa manusia melalui pengamatan diri. Buku ini saya rasa cuba menggabungkan konsep yang diutarakan oleh La Tahzan dan buku motivasi barat seperti dari Dale Carnegie. Walaupun daripada bahasa terjemahan tidak sebaik La Tahzan, beberapa saranan dari buku tersebut boleh diambil dan dijadikan pengajaran.

  11. Insya-Allah saya merasakan bahawa bulan Febuari dan Mac akan serancak bulan Januari ini. Moga-moga, kita tidak mensia-siakan waktu dan peluang yang ada.