Sunday, 26 October 2008

Penghayatan Doa Dalam Ibadat Haji

Ketika mengarang topik ini, langit kelam dan mendung. Kilat kelihatan dan guruh berbunyi. Berdentam-berdentum. Terasa macam kat kampung la pulak. Tunggu saat jer nak hujan. Namun, realiti cepat menjelma...rupanya masih kat AlKhor, Qatar. Aiseh, hilang mahsyuk sebentar. Guruh mungkin kedengaran tapi hujan belum tentu. Nih yang pepatah melayu cakap, "Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan". Agaknya orang melayu zaman dulu ambik pengalaman kat padang pasir kut.
Teringat doa yang dibaca oleh Abdullah Ibn Zubair apabila guruh kedengaran. "Maha Suci Allah, dengannya guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya beserta para malaikat kerana takut dengan (keagungan)Nya." Itulah hidup sebagai orang Islam. Dari bangun pagi, gosok gigi, pakai baju, tengok cermin, keluar rumah, masuk rumah, "turn on" computer, seterika baju, makan, minum, masuk tandas, keluar tandas sampai tidur balik, dipenuhi dengan doa dan tasbih kepada Allah swt. Itu semuanya perkara kecil, tapi tidak ditinggalkan oleh Rasul saw dan para sahabat yang menghayati Islam.
Apatah lagi dalam perkara yang lebih besar seperti menunaikan haji. Sudah pasti ada titipan dari Rasul saw. Sudah pasti ada doa yang apabila dihayati, penuh dengan pendidikan dan sentuhan nurani.
"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada Mu dalam perjalanan ini kebaikan, taqwa dan amal yang Engkau redhai.
Ya Allah, Engkaulah sahabat di dalam perjalanan ini dan Engkau jugalah khalifah (pengganti) di kalangan ahli kami, harta kami dan anak kami.
Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ini dan dekatkanlah jaraknya kepada kami.
Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dari kesusahan perjalanan, kedukaan pandangan dan keburukan dalam perjalanan pulang dari ahli keluarga dan harta."

Ya, sejuk hati ini apabila membaca doa ini. Kita benar-benar merasakan kelemahan diri dan memerlukan perlindungan Allah dari segala yang boleh menggugat dalam perjalanan kita. Dari kepenatan dan bahaya semasa pergi dan kembali.
Di dalam perjalanan ini, kita harus merasakan kita akan menjadi tetamu Allah dan semua orang yang berada di sana, jutaan manusia kesemuanya tetamu Allah. Maka harus diambil peluang ini untuk mendidik diri agar bergaul mesra dengan adab sopan dan lemah lembut, kasih sayang dan tolong menolong. Yang kuat, menolong yang lemah. Tiada caci maki dan berbual kosong. Elakkan pertengkaran. Itu yang sebaik-baiknya. Namun kita tau, melalui cerita yang kita dengar dari rakan dan ahli keluarga yang telah menunaikan fardhu haji, bermacam kerenah akan kita temui. Bukan senang. Kalau kat rumah, mungkin kita kekadang terlepas lalu marah kat anak-anak yang dah berapa kali kita nasihat. Tapi kat Mekah, sewaktu menunaikan fardhu sekali seumur hidup ini, harus lebih berhati-hati. Kita hanya mampu berdoa, Allah swt memasukkan kita ke dalam golongan yang sabar menghadapi dugaan dan cabaran.
Orang yang menghantar pergi, mengucapkan doa kepada si musafir, "Semoga Allah membekalkan taqwa kepada mu" atau "Jangan lupakan kami dalam doamu". Manakala si musafir membalas dengan berkata, "aku menumpangkan mu kepada Allah yang tidak akan hilang tumpangan yang ada padanya."
Maha Suci Allah, yang menjadikan deen ini sesuatu yang harmonis. Teringat saya di pasar ikan Alkhor, dua pakcik arab ini bertemu. Rasa adalah dua minit mereka saling bertanya khabar dan mendoakan sesama mereka dan ahli keluarga mereka. Begitu juga saya dengan rakan-rakan Arab. Kami saling mendoakan sesama kami. "Semoga Allah berkati mu. Semoga Allah berkati keluarga mu. Semoga Allah menghidupkan hati kamu dan keluarga kamu." Terjelma perasaan cinta sesama saudara seIslam. Nak dengki pun tak sampai hati.
Kalau kita kat mesia, "assalamualaikum, pekabo? Apa citer? Wat per? Gi mana? Gamaknyer..."Maka bermulalah cerita dan gossip liar, dari bila Shah Rukh Khan dapat Dato' kepada bila konsert sure heboh nak sampai kampung. Mungkin pasal tulah kuat sikit bab dengki kat mesia nih. Kita tak mendoakan sesama saudara kita dengan kata-kata penuh kemuliaan dan kemaafan. Tapi, agaknya kalau kita buat camtulah, ada lak orang Melayu sensitif yang terasa, "Apa kome ingat keluarga teman tak mulia, tak yah le kome nak mendoakan teman. Kome tuh pun bukan baik sangat." Agaknya ler kut kalau dalam bahasa Perak, hopefully tak ler.
Habis kita saling berdoa dengan rakan dan ahli keluarga, kita pun menaiki kenderaan. Tak kira la bas ker, kapal terbang ker, motorsikal ker....tapi lidah kita harus berdoa, "Maha Suci Allah, yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya kami akan kembali kepada tuhan kami." Orang zaman dulu tak terpikir besi terbang, besi bergerak etc etc. Tapi, Allah swt telah memberikan kita kebijaksanaan melalui kurniaan aqal, lalu kita memahami konsep fizik dan sunnatullah alam ini. Lalu kita gunakan kemampuan kita dan kita berjaya menguasai sesuatu yang pasti dianggap mustahil 100 tahun dahulu.

Apabila tiba waktunya, setelah mula berniat haji/umrah, maka bermulalah talbiah. "Ku sambut seruan Mu Ya Allah! Ku sambut seruan Mu, ku sambut seruan Mu! Tidak ada sekutu bagi Mu. Ku sambut seruan Mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan hanyalah bagiMu. Tidak ada sekutu bagi Mu."

Begitu mendalam makna talbiah tersebut. Satu pengakuan, satu pengisytiharan yang mengungkapkan perasaan sebenar seorang Muslim, aku datang Ya Allah. Aku datang Ya Allah. Aku menyambut seruan Mu Ya Allah. Tidak ada tuhan hanya Engkau Ya Allah! Segala kekuasaan adalah milik Mu. Aku datang Ya Allah. Jiwa mana tak tersentuh mendengarkan rayuan ini. Rayuan seorang hamba yang ingin mengetuk "pintu" rumah Allah, moga-moga Allah menerima kehadiran kita sebagai tetamunya. Kalimah ini diulang-diulang dengan penuh perasaansehingga meresap makna tauhid uluhiyyah ke dalam jiwa. Pada waktu itu kita semakin merasakan bahawa kita sangat-sangat memerlukan Allah swt. Allah dengan mudah sahaja menghalang kita ke Baitullah, sebagaimana Allah telah halang Abrahah menyerang kota Mekah. Namun dengan izin Allah, dengan rahmat Allah, dengan kebesaran Allah - kita dibenarkan menjadi tetamu Tuhan Yang Maha Agung, Maha Perkasa, Maha Bijaksana. Maha Suci Allah! Tuhan Sekalian Alam.

Banyak lagi doa-doa yang ma'thur yang harus diucapkan sepanjang menunaikan ibadat umrah/haji ini. Tidak mahu saya kupaskan kesemuanya. Namun, kemuncak munajat dan doa adalah semasa kita berada di Arafah! Tidak ada tempat lain. Tidak ada masa lain. Ini hanya dikhususkan di Arafah. Hanya dikhususkan sekali seumur hidup. Dikhususkan hari ke sembilan zulhijjah, antara waktu Zohor dan Maghrib dan tempat di Arafah. Namun, pada waktu tersebut, dalam masa yang mungkin tidak lebih dari 5 jam, ibadah yang disunatkan hanya berdoa kepada Allah. Hanya berdoa kepada Allah. Hanya berdoa kepada Allah yang menciptakan kita. Inilah masa untuk mengadu. Inilah masa untuk memohon dengan seikhlas-ikhlasnya. Dan apakah doa yang lebih baik selain dari memohon Allah Yang Maha Pengasih akan rahmatnya, agar kita sekeluarga terselemat dari siksa api neraka lalu dimasukkan ke syurga? Bukankah ini masanya untuk kita berdoa, agar Allah swt mengampunkan dosa-dosa kedua ibu bapa kita? Tok dan nenek kita? Bapa saudara dan ibu saudara? Mertua kita? Keluarga kita? Anak-anak dan cucu kita? Suami isteri kita dan tidak lupa diri kita? Seluruh umat Islam keseluruhannya? Ini bukan masa berdoa untuk dapatkan ferrari. Ini bukan masa berdoa supaya cepat kaya. Ini bukan masa berdoa agar dapat tanah besar untuk buat rumah idaman. Ini bukan masa untuk kita berdoa penyanyi kesayangan kita menang Akademi Fantasia. Ini masa berdoa untuk mendapat rahmat dan redha Allah. Untuk mendapat keampunan Allah. Untuk hidup dalam iman, untuk mati dalam iman, untuk bangkit dalam keadaan beriman kepada Allah. Untuk selamat dari siksa kubur dan api neraka. Untuk selamat dari fitnah masih ad-dajjal. Inilah masanya! Jangan dilepaskan peluang ini. Pohonlah kepada Allah agar kita tidak terlepas peluang ini.

"There is no day in which Allah frees greater number of His slaves from the Hellfire than the
Day of `Arafah." [Reported by Muslim]

Moga Allah swt memasukkan kita ke dalam golongan tersebut. Maha Suci Allah, Tuhan Sekalian Alam. Kami datang Ya Allah, kami datang Ya Allah. Kami datang Ya Allah.

Sambungan - Perjalanan ke Mekah, jasad dan nurani