Saturday, 18 October 2008

Menjalani Ibadah Haji – Satu Seni

Insya-Allah, setelah hampir dua tahun menunggu tidak sampai 5 minggu akhirnya saya dan isteri akan berangkat ke Mekah menunaikan ibadah haji. Setakat ini, pengurusan kuota dan visa nampak positif. Malah, kuota pulak semakin bertambah. Jadi, di dalam masa sebulan lebih ini, saya akan menumpukan penulisan tentang persiapan mental menunaikan ibadah haji. Insya-Allah, akan saya kupas berdasarkan apa yang saya belajar dan baca. Andaikata selamat, Insya-Allah sebaik selepas pulang akan saya kupas berdasarkan pengalaman sendiri. Moga Allah swt mempermudahkan perjalanan kami ini nanti Insya-Allah.

Apabila bercerita tentang haji, tidak lupa kita akan khutbah wida’ Rasul saw. Dari segi kontemporari, kita akan dapati banyak peribadi yang terpengaruh secara langsung setelah melalui ibadah haji. Antara yang yang saya baca biografi Muhammad Asad, Malik El-Shabbaz dan Jeffrey Lang. Bagi kita yang berasal dari nusantara, tak kurang jugak cerita-cerita yang menghampiri dunia ghaib yang sering kita dengar. Saya tidak mau menafikan, tetapi saya juga tidak mahu mengiakan. Bukan apa, pada saya sudah cukup petunjuk dari ajaran quran dan sunnah maka tidak perlu kita bercerita begitu banyak tentang perkara-perkara ghaib. Kalau kita ikut jer sunnah Nabi saw, pasti terpelihara. Tak perlu kita masukkan dalam kepala pemikiran kita cerita-cerita ghaib terutama dari perawi majalah Mustika dan seangkatannya macammana orang buat dosa tak boleh sampai kaabah ler, orang buat nih kena nih la, nampak “makhluk Allah” kat gua Hira’ ler etc etc.

Andaikata Tanah Haram itu hanya untuk orang-orang yang tak pernah buat dosa, nescaya saya rasa takkan ada manusia yang dapat sampai Mekah terutama orang zaman sekarang, sebab manusia mana yang tak pernah berdosa? Jangan. Jangan kita takut sangat pada Mekah sampai anggap Mekah yang berkuasa ajaib dan takut pergi Mekah takut terkena atau ternampak benda ajaib. Ada pulak yang punya perangai kat mekah jangan buat tak senonoh tapi tempat lain takper. Seakan-akan kat Mekah jer tak leh buat dosa. Paris ker, New York ker, Miami ker, Dubai ker, Bahrain ker, Abu Dhabi ker….takper. Bak kata CSI Las Vegas, whatever is done in Vegas stays in Vegas (lebih kurang cam tulah bunyinya). Seakan-akan dia lebih takut bumi Mekah dari Allah yang memelihara Mekah al-Mukarramah dan menciptakan alam semulajadi ini. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini.

Berdebar lah jugak rasanya. Walaupun dah 2 kali pergi umrah. Apabila bercerita tentang haji, saya buat masa ini hanya boleh membayangkan perasaan pada ketika itu. Dikelilingi oleh jutaan dan lautan manusia. Hanya dapat membayangkan betapa kerdilnya kita di sisi Allah. Dalam kita dok bergaduh, dalam kita duk bertelingkah, dalam kita duk berebut harta, pangkat, wanita dan menghabiskan tenaga untuk dunia – apabila tiba musim haji suara kita tenggelam dalam kesesakan manusia. Semua hanya fikirkan nasib diri sendiri. Semua masa tuh nak jaga diri sendiri. Semuanya pada waktu itu berhimpun atas tujuan yang satu. Tidak ada beza Saudi dari Qatari. Tidak ada beza Kuwaiti dan Iraqi. Tidak ada beza mereka yang berasal dari India, China atau Malaysia. Hilang segala pergelutan. Hilang segala pertempuran. Mereka datang dari segenap penjuru bumi. Di sana, Allah memuliakan para jemaah haji. Allah tidak menghampakan mereka yang ikhlas. Allah menerima taubat mereka. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Memperkenankan doa mereka. Menurunkan sakinah dan ketenangan di dalam hati mereka. Semoga Allah memasukkan kita di dalam golongan yang ikhlas ini.

Allah swt itu suci dan Allah tidak akan menerima kecuali yang suci. Barangsiapa hendak menunaikan haji, harus berusaha berlandaskan rezeki yang halal, bersih dari segala yang haram dan syubhat hingga segala perbekalan untuk fardhu haji dipastikan dari hasil gaji atau perolehan yang halal. Ini mendidik kita agar terus mendapatkan rezeki melalui pintu yang halal dan bukannya melalui sumber yang haram. Mereka berkumpul di Mekah semata-mata kerana Allah. Bebas dari segala kesibukan dunia. Tiada panggilan telefon yang mengganggu. Tiada sms yang lucu. Tiada email yang memeningkan kepala. Para jemaah haji harus menghayati ibadah haji dengan perasaannya, hatinya, akalnya, segala tubuh dan anggotanya. Diserahkan segala-galanya kepada Allah – waktu, usaha, harta dan keluarga. Mereka meninggalkan kemudahan seakan-akan mereka yang meninggal dunia menemui Penciptanya. Mandinya seperti mayat yang dimandikan. Ihramnya seperti orang yang dikapankan. Segala hutang piutang dan dosa ingin dibereskan sebelum berangkat. Segala nikmat ditinggalkan demi taat kepada Allah. Segala maksiat dijauhkan semata-mata kerana keredhaan Allah. Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan ini.

Sambungan – Penghayatan Doa Dalam Ibadat Haji