Thursday, 21 August 2008

Tokyo Camii - Hanya Jika....

Tajuk di atas bukan tajuk cerita anime dan dialih suara dengan suara latar doraemon tuh. Andaikata ada yang berharap sedemikian, harap maaf. Tajuk di atas adalah berkenaan satu bayangan dan harapan yang saya perolehi semasa saya di Jepun. Dah lama teringin nak tulih pasal pengalaman kat Jepun, tapi apabila saya terbaca blog akhi Ustaz Hasrizal tentang pengalaman beliau di Jepun dan sejarah perhubungan kerajaan Turki Othmaniyyah dan Jepun (http://saifulislam.com/?p=2556), maka tetiba naik la semangat nak menulis cerita saya. Terkenang la pulak masa saya di Jepun bulan ramadhan 2006. Tersenyum simpul saya mengenangkan bagaimana ia bermula. Maka bermulalah satu cerita.....

Alkisahnya dah lama jugak saya teringin ke Jepun. Malah, masa di sekolah menengah pilihan kedua saya lepas belajar bahasa Arab adalah belajar bahasa Jepun (memang ada 2 pilihan jer pun). Ayah saya sendiri prefer saya belajar bahasa Jepun, maklumla, masa tuh Dasar Pandang Ke Timur. Infact, masa placement test saya dapat bahasa Jepun...cuma dengan muka penuh kesian saya minta Ustaz supaya saya dimasukkan ke dalam kelas bahasa Arab. Agaknya arwah ustaz tengok muka saya dia pun kasik can la. Niat di hati bagaimanapun apabila ada peluang saya akan belajar bahasa Jepun, hanya untuk memenuhi impian ayahanda tercinta.

Maka ketika saya di universiti, saya ambik satu subjek elektif (6 credit points) belajar bahasa Jepun. 3 bulan jer...tapi memang enjoy sebab sensei very supportive plus seronok tengok bermacam bangsa belajar bahasa Jepun. Sensei infact berharap saya meneruskan pembelajaran Japanese language course as a second degree tapi apakan daya....takde masa beb dan sponsor tak tanggung kalau second degree. Dalam hati saya memang berharap nak sebab I know that would make my father very happy.
Akhirnya, dengan izin Allah tahun 2006 bulan Ramadhan saya ke Jepun. Orang pertama saya bagitau di Malaysia adalah ayah saya sendiri. Sempat ler beraya kat sana. Hanya Allah jer tahu kesusahan berpuasa di sana...memang mencabar. Mujur la banyak students dan family yang kita sempat berkenalan. Sempat jugak berjumpa dengan "jawok" yang banyak membantu terutama perkenalkan tempat yang boleh makan tanpa banyak was-was. Tapi, kekadang bila balik dari office terpaksa la bukak puasa sorang-sorang kat bilik yang sangat kecik tuh. Masih terkenang makanan-makanan yang saya simpan kat almari buat bekalan berpuasa. Terasa sayu di hati. Kekadang, saja nak tambah feeling pasang ler lagu raya. tsk tsk...masjid agak jauh so terpaksa terawih sorang diri.

Ada beberapa perkara yang mengagumkan dan saya pasti ramai yang berkongsi pandangan tentang ini, masyarakat Jepun lebih Islamik dari orang muslim sendiri! Bila saya tanya member-member arab saya, diaorang pun setuju. Diaorang pun kagum macammana orang Jepun begitu berdisiplin dan very customer oriented. Sampai jadi bahan lucu sesama kami kalau tunggu train waktu yang sama kita akan perasan orang yang sama menunggu keretapi setiap kali. Baju jer berbeza. Bahasa tuh tak yah cakap la. Puas berbuih cakap English last skali sure cakap Jepun gak. Order fish fillet pun tunjuk-tunjuk jer. Keluar masuk kedai mesti satu pekerja kedai menjerit apa ntah. Yang dekat store pun menjerit gak. Apa yang saya faham dari student-student kat sini itu maksudnya selamat datang dan please come again. Masa mengira dan pulangkan duit pun disebut dan dikira kuat-kuat duit yang akan dipulangkan. Tuh belum cerita pengalaman dengan toilet bowl diaorang. Punya la canggih nak tekan butang pun takut sebab takut tersalah target. Udahla instruction in Japanese.

Sistem pengangkutan awam tak yah cakap ler. Canggih, maju, tepat dan jitu. Sempat la saya naik shinkansen (bullet train) untuk ke Kyoto. Kira ngalir air mata la gak merasa naik bullet train tuh sebab terpaksa berdiri almost all the way from Tokyo to Kyoto sebab tak tau camner nak beli tiket with confirmed seat. Ingatkan sorang-sorang jer berdiri tapi ramai gak berdiri. Rasa kalau negara Arab buat bullet train antara Saudi, Qatar, Kuwait, UAE, Oman etc saya rasa perhubungan antara negara-negara Islam ini akan menjadi lebih akrab, sekurang-kurangnya seperti negara Eropah. Masyarakat akan lebih mudah bergerak dan mungkin ekonomi menjadi semakin kukuh kerana resources negara-negara yang berbeza ini dapat dihubungkan dengan lebih cepat. Apatah lagi nak pergi umrah atau haji. Hujung minggu jer naik bullet train pergi Mekah. Kan ke mudah? Duit negara rasa cukup kut nak buat bullet train. Kalau tak bullet train pun, sumpit train pun jadik.
2 benda yang saya tak dapat lupakan adalah pengalaman berqiyamullail bersama students kat sana dan menziarahi masjid Camii. Alhamdulillah, sempat la 3-4 kali berqiyamullail dengan students kat sana. Terasa berisi ramadhan di Jepun. Student pulak seronok melayan orang yang dah bekerja nih, tambahan lagi dari Middle East. Bila saya menziarahi students kat rumah diaorang, terasa bersyukur belajar kat Australia. Rumah mereka, seperti mana-mana rumah Jepun agak sempit. Perabut pun simple. Walhal kami kat Australia, rumah macam dah boleh duduk 10-15 tahun kat sana. Dalam kes saya, rumah di Melbourne siap digelar Sri Perdana II sebab nampak exclusive & ada garage lagik. Namun, apa yang saya pasti students-students Jepun nih memang hebat. Bukan kerana kefasihan mereka berbahasa Jepun tapi ilmu IT setiap sorang diaorang nih sangat mendalam. Rasa kalau pasang komputer sendiri tuh, tutup mata pun boleh siap. Tak payah beli komputer, beli parts komputer jer cukup.

Dan pengalaman yang paling saya hargai adalah lawatan saya ke Masjid Camii di Yoyogi Uehara (http://www.tokyocamii.org/english/info/index.html). Saya mencari masjid tuh sorang-sorang berdasarkan tips student-student tuh. Takut gak tersesat apatah lagi handphone saya tak boleh pakai kat sana. Namun, tekad nak tengok masjid tuh sangat menebal. Bukan kerana masjid tuh mempunyai reka bentuk masjid dari Turki, tetapi masjid tersebut adalah simbol betapa akrabnya hubungan Turki dan Jepun, dan semuanya bermula dengan kisah pelayaran Ertugrul, ketika Khalifah terakhir Islam Sultan Abdul Hamid II memulakan hubungan diplomasi dengan Maharaja Mutsihito Meiji. Menjadi bukti bahawa Islam adalah ajaran universal dan bukan berdasarkan paksaan. Menjadi bukti bahawa apabila manusia bebas memilih, Islam lebih mudah tersebar.

Saya sering terbayang, andaikata empayar Islam Turki Othmaniyyah tidak hancur pada tahun 1924, mungkin pada hari ini Islam akan tersebar luas di Jepun. Mungkin umat manusia di Jepun lebih mengenali matlamat hidup mereka di atas muka bumi ini. Mungkin mereka tidak lagi menjadi workaholic dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Mungkin mereka akan menjadi the "perfect" muslim dengan disiplin, tatatertib bertunjangkan aqidah Islamiyyah dan bukan kerana prinsip "Customer is Always Right". Mungkin gerakan dakwah di rantau Asia Timur ini semakin meluas dan menjangkau Korea, Taiwan, Sakhalin etc. Ya, mungkin sejarah rantau Asia berubah sama sekali, malah mungkin sejarah dunia berubah. Namun, takdir Allah menetapkan perhubungan ini hanya mula terjalin ketika empayar Islam Turki Othmaniyyah di ambang kejatuhan.

Itulah perancangan Allah. 2 ramadhan telah berlalu. bayangan saya hanya tinggal bayangan. Tanggungjawab umat Islam masa kini adalah berusaha untuk memastikan bayangan tersebut menjadi kenyataan. Harapan saya, suatu hari umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, lalu dakwah Islamiyyah kembali subur di bumi Jepun. Harapan saya, terjalin kembali hubungan yang telah dimulai oleh Khalifah Islamiyyah Sultan Abdul Hamid II di atas satu landasan, fayakunuddinu kulluhu lillah - maka kembalilah segala cara hidup, kembali kepada Allah.