Itulah persoalan yang selalu timbul dalam pemikiran saya. Penat jugak nak fikir bagaimana caranya untuk mengoptimakan potensi ummah. Seperti doktor yang ingin mendiagnos penyakit apa yang pesakitnya ada, seorang doktor melihat simptom yang ada. Maka, saya ala-ala doktor tak bertauliah ini melihat 2 simptom ketara -
- apabila tiba pilihanraya, ramai yang tak tau nak undi sapa.
- dalam situasi 2 calon bertentangan dan kedua-duanya bukan Islam, nak undi sapa?
Ada di kalangan umat Islam di Malaysia, begitu risau nak undi calon bukan Islam di tempatnya. Mungkin kerana takut rosak aqidahnya. Hakikatnya, pada pandangan saya takut hantu lagi merosakkan akidah, jumpa bomoh agar keluarga si anu dilanda haru biru lagi merosakkan akidah, mintak nombor ekor kat pokok lagi merosakkan, minta kebenaran penjaga hutan sebelum masuk hutan lagi merosakkan akidah dan perkara-perkara syirik yang seumpama dengannya.
Yang jelas, seorang muslim harus tahu ke mana dia mahu pergi. Harus sedar ke mana dia mahu bawa diri, keluarga dan masyarakatnya. Harus faham, bahawa keadilan adalah nilai yang sejagat dan bukan nilai eksklusif. Buktinya, para sahabat berhijrah ke Habsyah, negara bukan Islam tetapi pemerintah yang adil dari terus tinggal di Mekah dalam keadaan diperkotak-katikkan oleh bangsa mereka sendiri. Dari pemahaman dan kesedaran ini, baru dia mampu menilai erti hak dan kebenaran.Inilah dikatakan umat yang berprinsip. Tidak mudah dibawa dengan emosi dan arus media massa kerana beliau jelas apa peranan yang harus dimainkan. Tidak mudah dibeli dengan rasuah berupa kain pelikat atau baja seguni kerana beliau sedar, prinsip lebih utama. Keadilan dalam Islam adalah luas dan tidak mengenal sempadan, baik batas bangsa, kesukuan, etnik, bahasa, warna kulit, berbagai status (sosial, ekonomi, politik), dan bahkan batas agama sekalipun.
Keadilan ini harus diterapkan secara "tegas" tanpa ada kecenderungan terhadap bangsa mahupun bahasa. Keadilan Islam hanya mengenal dua batas, yaitu "kebenaran" dan "kebatilan". Keadilan akan selalu memihak kepada yang benar, dan akan selalu menentang yang salah tanpa membataskan diri dengan unsur-unsur yang sempit seperti bangsa, kesukuan dan status.
Ini bermakna, kita membantu mereka yang dizalimi dan kita menghalang pihak yang zalim dari terus berlaku zalim. Sekalipun yang dizalimi itu bukan seagama dan yang melakukan kezaliman itu sebangsa atau seagama dengan kita.
Zalim itu harus dilihat dengan ertikata yang lebih luas, mencakupi sistem sosio ekonomi, pendidikan, kehakiman, media massa, pembangunan, penguatkuasaan undang-undang dan kebebasan bersuara.
Oleh itu, kajilah manifesto pilihanraya semua pihak dan nilailah yang mana satu paling hampir kepada matlamat Islam yang dikehendaki Allah swt dan RasulNya - contohnya, yang mana satu akan membolehkan pendakwah Islam yang ikhlas dan sahih bergerak lebih bebas untuk menerangkan kepada masyarakat prinsip-prinsip Islam. Hitunglah prestasi calon dan parti yang lalu dengan kaca mata yang objektif - yakni yang mengotakan janji mereka dan tidak melaungkan slogan-slogan kosong semata-mata. Nilailah keikhlasan calon dan parti - sama ada mahu berkuasa untuk terus merampok hasil negara dan berkongsi kekayaan sesama kerabat sahaja atau memastikan hak-hak rakyatnya sentiasa terjaga terutama yang miskin, yatim dan tidak berkeluarga. Sebarkan kesedaran ini kepada ahli keluarga terdekat, rakan sekerja, rakan sesurau, masyarakat sekampung, ahli sekedai - agar wujud kepekaan dan sikap ambil berat terhadap suasana yang sebenarnya dan tidak duduk berpeluk tubuh memerhatikan segalanya berlaku begitu sahaja.
Apabila umat ini menjadi umat berprinsip dan dipraktikkan secara meluas, barulah kreativiti, inovasi, kebolehan dan tenaga umat Islam di Malaysia akan menjadi tunggak kekuatan umat Insya-Allah.