Thursday, 28 February 2008

Pulang Penuh Bermakna Kembali Penuh Harapan

Alhamdulillah & Insya-Allah, saya sekeluarga akan pulang bercuti ke Malaysia malam ini. Saat yang dinanti-nantikan. Dah lama tak balik, ada la setahun lebih gak. Dah ada macam-macam dalam perancangan. Nak buat itulah, nak buat inilah, nak jumpa itulah, nak jumpa inilah. Kira, tak cukup masa dibuatnya. Selain dari berjumpa dengan keluarga tercinta dan sahabat handai, yang paling bermakna adalah mengundi untuk pilihanraya kali ini.


Tahun 1999, saya tak layak mengundi lagi atas sebab-sebab teknikal walaupun dari segi umur dah layak. Rasa kecewa juga tahun tuh kerana tak dapat bersama dengan rakan-rakan di Malaysia. Laungan reformasi masih kedengaran. Tahun 2004, saya tak dapat mengundi sebab menghadiri conference di bumi Qatar. Masih terngiang-ngiang dalam pemikiran saya dan rakan-rakan tekan refresh button nak tau results pilihanraya dari Internet booth di Sheraton Hotel. Berebut-rebut pergi internet booth. Akhirnya sedih walaupun tak terkejut dengan keputusan pilihanraya tahun tersebut.


Tahun 2008, akhirnya saya dapat mengundi jua Insya-Allah. Rakan-rakan dah bagi hint bila pilihanraya dan Alhamdulillah kena pulak dengan perancangan keluarga. Kali ini, saya dapati Barisan Rakyat lebih berstrategi dalam bertindak. Semuanya tepat pada masanya. Internet telah digunakan sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan dan sedikit sebanyak membuka mata masyarakat yang celik IT tentang kepincangan masyarakat. Bukan sahaja blog dan website biasa, tapi medium seperti Facebook, Friendster, Myspace suma nya dijadikan platform. Makin ramai generasi muda mula sedar kepentingan bersuara dan melahirkan pendapat. Tersenyum saya apabila melihat gelagat anak muda begitu bersemangat menyokong dan turun padang masa penamaan calon Nurul Izzah bagi kawasan Lembah Pantai.

Mungkin ramai yang hairan, kenapa saya terlampau banyak menulis pasal politik? Kata nak focus dakwah jer? Kenapa harus melibatkan diri dalam politik? Kenapa harus mengambil endah tentang politik?

Di dunia ini ada satu landasan umpama spektrum pelangi. Di hujung satu landasan, terdapat manusia yang hanya menjaga kepentingan sendiri. Di hujung satu lagi spektrum terdapat manusia yang ikhlas menjaga hak-hak masyarakat. Itulah yang membezakan kita dan haiwan. Kita mempunyai pilihan nak berada di spektrum mana.
Dalam hal politik pun sama. Namun, manusia sering men”generalize”kan mereka yang bergiat dalam politik hanya berada di hujung landasan yang penuh korupsi dan kekotoran.
Kebanyakan manusia memandang politik dengan kaca mata yang hitam lagi dikaburi dengan pelbagai tujuan yang kotor, diselaputi dengan kehendak hawa nafsu, dendam kesumat dan hasad dengki.
Namun mereka ini lupa, terdapat satu lagi hujung landasan yang kedapatan manusia yang ikhlas. Di hujung spectrum di sebelah lain inilah, terdapat manusia yang benar-benar ikhlas berjuang untuk masyarakat. Apakah hujung landasan tersebut?
Islam telah mewajibkan umat Islam berterus terang menyatakan kebenaran, menyuruh kepada ma’ruf, melarang kemungkaran, tidak mengakui kezaliman seorang yang zalim sekalipun dari ahli keluarga sendiri, tidak tunduk kepada yang mengamalkan korupsi, bersuara menentang pemerintah yang tidak adil. Maka atas sebab-sebab itu Islam mewajibkan kesedaran politik dan bertindak atas batasan-batasan yang dibenarkan. Selagi itulah Islam memberikan hak kepada umat Islam untuk mengkritik ketua, pemerintah, raja, pemimpin, panglima, menteri, pembesar, pegawai dan setiap yang berkuasa di kalangan mereka. Ini adalah nilai-nilai universal dan menerobosi sempadan geografi, bangsa dan agama.
Inilah hujung landasan yang berlawanan dengan definisi yang sering distigmakan oleh kebanyakan manusia.

Namun, andaikata masih ada yang tak mahu menerima ada yang ikhlas berjuang untuk keadilan saksama, biarkanlah. Andaikata berjuang untuk memastikan keadilan tertegak dikatakan gimik politik, maka biarlah apa orang kata. Andaikata berjuang untuk memastikan kekayaan sama rata dan suara mereka yang miskin dibawa ke parlimen dikatakan gimik politik, maka biarlah apa orang kata.

Andaikata berjuang untuk memastikan rakyat hidup bersatu padu, dalam keadaan tenteram, aman damai dan berkurangnya jenayah itu satu gimik politik, maka biarlah apa orang kata.
Andaikata berjuang untuk memastikan media berlaku adil dalam membuat laporan, pendidikan yang lebih berkesan untuk generasi muda, pemulihan sistem kehakiman dan jentera polis itu satu gimik politik, maka biarlah apa orang kata kerana nama tidak penting, yang penting hanyalah isi dan tujuan yang jelas.

Maka jika mereka yang mengundi ini dan menulis blog-blog seumpama ini dikatakan politikus dan terpedaya dengan fitnah pembangkang, maka Alhamdulillah merekalah sebenarnya politikus yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kerana di sebelah hujung spectrum ini wujudnya manusia yang berlawanan – mereka yang benar-benar menceburi politik untuk kepentingan sendiri dan melupakan amanah mereka terhadap masyarakat.

Nah, mereka yang di tengah landasan harus mengambil keputusan, yang mana satu pilihan kalbu. Kerana sekalipun tidak mahu mengundi, yang rugi nanti pastilah keluarga dan diri sendiri. Kalau tak percaya, tanyalah Treebeard of Fangorn, watak pokok dalam siri Lord of The Rings – The Two Towers. Pokok-pokok dalam Lord of The Rings pun akhirnya terjun dalam kancah politik kerana tau kezaliman itu pasti akan dirasai oleh mereka yang neutral. Kalau pokok Treebeard pun akhirnya menentang parti Saruman, masakan kita tidak mampu melakukan. Pada awalnya mereka tak mahu terbabit dengan politik Middle Earth tapi akhirnya mereka berjuang bermati-matian sampai ada yang terbakar lalu "shahid" akibat panahan orcs-orcs Saruman. Sempat la baling sebuah batu kat orcs-orcs tuh.


Ala kulli hal, maka jawapan kepada persoalan awal tadi, kenapa saya banyak sangat menulis isi-isi politik, jawapan yang jelas adalah ini kemampuan saya pada masyarakat dan ini adalah pilihan saya. Saya ingin berada di hujung spektrum bersama mereka yang ikhlas membantu masyarakat tanpa mengira warna kulit atau bahasa. Sekurang-kurangnya, kalau anak-anak saya dah besar nanti dan terjumpa site ayahnya, taula apa pendirian ayahnya nanti. Moga-moga, menimbulkan faham kepada anak-anak saya nanti. Cita-cita saya, hanya ingin melihat Malaysia ini negeri yang beragama dan tempat istirehar bagi orang-orang yang memerlukan. Saya hanya ingin melihat Malaysia menjadi negara yang mempunyai kehormatan, kekuatan dan kedaulatan yang jelas. Impian saya, ingin melihat keadilan tertegak di bumi Malaysia. Sistem pendidikan yang kukuh, sistem kehakiman yang telus, media massa yang tidak mementingkan berita sensasi semata-mata dan kehidupan yang bermakna.

Selamat menunaikan kewajipan. Selamat mengundi dan memilih calon yang terbaik. Salam perjuangan. Moga hari esok, menjanjikan suasana yang lebih baik buat negara kita Malaysia.