Tuesday, 8 January 2008

Bekalan Telur vs Bekalan Minyak - Peluang Beramal


Ketika sambutan Eidul Adha dan Hari Natal baru-baru ini, Qatar menghadapi krisis bekalan telur tidak mencukupi. Sekali baca, macam kelakar jer tapi bagi yang hidup di Qatar, terasa merana. Telur dijual secara senyap-senyap dan berharga lebih kurang 1QR sebiji. Waktu tuh, mencari telur macam nak cari sewa rumah kurang dari RM300 kat tengah-tengah KL. Terpikir kejap, macammana la bekalan telur boleh tak cukup dan betapa pentingnya sesebuah negara wajib mempunyai industri bahan asasi yang mencukupi terutama sekali dari segi pertanian dan bahan kegunaan seharian. Lebih-lebih lagi jika bekalan import luar negara terjejas oleh faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, masalah tuh tak ketara sangat sekarang walaupun harga telur masih mahal. Bersyukur bagi yang balik malaysia bercuti waktu tuh.

Di negara kita pulak, krisis baru pulak dihadapi. Bekalan minyak masak tiba-tiba hilang dan tidak mencukupi. Macammana boleh tak cukup? Macam-macam alasan dikemukakan dan sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Daya Saing Sawit telah berbincang (Utusan Malaysia 8 Januari 2008) bagi memastikan kekurangan bekalan minyak masak dapat diatasi. Di sesetengah tempat, pembelian minyak kelapa sawit dihadkan sebanyak 5 kg sahaja. Ada sesetengah pekedai meminta pembeli menunjukkan kad pengenalan untuk membeli minyak masak.

Kalau tadi isu telur kerana industri penternakan dan pertanian dalam negeri tak mencukupi, minyak masak pulak apa sebabnya? Bukan kita antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia? Maksudnya bukan takat cukup untuk dalam negeri, malah boleh dieksport ke merata tempat lagi. Apapun alasannya, saya rasa faktor utama adalah sifat tamak manusia itu sendiri. Mungkin ada peniaga yang menyimpan minyak masak secara stok untuk mendapat keuntungan berlebihan. Mungkin ada pengilang yang hanya eksport ke luar negara sebab lebih banyak hasilnya apabila menjual di pasaran antarabangsa. Mungkin tiba-tiba ramai pengguna minyak masak beli minyak masak secara berlebihan sebab takut harga minyak akan naik lagi. Pokoknya, waktu-waktu macam nih, suma hanya pentingkan diri sendiri. Tak kira la sapa. Lu lu gua gua. Itulah konsepnya. Bila terjadi macam nih, baru terasa.

Betapa buruknya perangai tamak nih. Perangai tamak inilah yang membuahkan perasaan hasad dengki. Sikap tamak inilah menyebabkan ramai orang merana, ramai orang difitnah dan ramai yang merasai kesempitan hidup. Kalau difikirkan, mungkin lojik bekalan minyak masak nih berkurang tiba-tiba di Malaysia sebab kat sana maaf cakap, ramai sangat orang pendengki. Mungkin ini antara simptomnya. Apakah lawan sikap tamak nih?

Alhamdulillah, teringat 1 peristiwa di Qatar masa kekurangan telur. Dah nak balik setelah menziarahi rumah kawan, tetiba sebelum balik kawan bagi sedozen telur. "Eh, kenapa nih? kat rumah aku ada lagi", soal saya bila dapat sedozen telur. Dia jawab, "Anggaplah ini rezeki." Terasa sejuk hati. Alangkah indahnya perasaan sebegini. Tiada hasad dengki atau tamak haloba. Teringat bagaimana sebaik-baik sedekah adalah barang yang kita hargai. Waktu kekurangan telur, kita sedekah telur. Waktu kekurangan minyak masak, kita sedekah minyak masak. Terasa indah ajaran Islam nih. Hidup berkongsi dan saling memberi.

Mungkin ini sesuatu yang harus difikirkan. Mungkin sapa yang ada disana harus ambik kesempatan. Tanya jiran, cukup minyak tak? Masa nih tanam sikap berjimat cermat. Kurangkan masakan yang penuh berminyak tuh. Tanamkan budaya pemakanan sihat. Kurangkan belanja di kedai mamak. Jangan lagi makan mee goreng mamak pukul 2 pagi kat kedai nasi kandar di Bukit Bintang. Masa nih antara waktu terbaik bagi kesedaran. Patutnya, khutbah Jumaat hentam orang pasal sikap tamak nih. Mudah, tapi itulah ajaran Islam. Baru orang tertarik, baru orang nampak praktikalnya Islam. Baru orang berminat mempelajari dan mengamalkan Islam. Baru hilang sikap tamak dan dengki. Baru cukup bekalan minyak masak dalam apa jua keadaan Insya-Allah. Kan ker senang?