Baru-baru ini, polis memaklumkan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia keseluruhan jenayah pada tahun 2007 meningkat sebanyak 7% di Malaysia secara purata. Antaranya;
- Jenayah ganas meningkat 13.4 peratus.
- Kes rogol naik 30 peratus
- Rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus
- Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus
- Pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus
- Pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus
- Curi motosikal meningkat 3.2 peratus
- Curi kereta naik 11.4 peratus
- kecurian lain naik 5.1 peratus
Belum sampai sebulan tahun 2008 dan tahun 1428 H, pagi ini saya baca Utusan Malaysia 2 berita jenayah perhatian saya, isu penculikan Sharlinie yang berusia 5 tahun dan isu pembunuhan ADUN Negeri Johor di lif bangunan MIC Johor.
Bercampur baur perasaan yang timbul. Malu pun ada, takut pun ada, kecewa pun ada, marah pun ada. Malu, sebab kita tak mau negara kita dijaja sebagai negara yang diwarwarkan Islam Hadhari tapi jenayah yang terjadi macam tak kenal had dan hari. Takut, sebab anak-anak sendiri masih kecil dan bila nak balik bercuti di Malaysia nanti benda yang sama terjadi, nauzubillah. Kecewa, sebab saban hari macam takde penyelesaian dengan kes-kes jenayah kat Malaysia. Kalau pembesar negara pun boleh terancam, nih kan pulak rakyat marhaen yang hidupnya takder pengawal atau pagar setinggi Tembok Cina. Polis memang semakin hari tak cukup tangan nak menyelesaikan kes-kes ini. Kes Nurin belum selesai, datang pulak kes lain. Marah, sebab seakan-akan takde orang ingin bertanggungjawab terhadap situasi negara yang semakin buruk.
Kalau isu minyak masak, kewibawaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dipersoalkan. Kalau isu AP, Menteri Perdagangan menjadi perhatian. Isu tol dan jalan raya, Menteri Kerja Raya yang disoal. Isu keselamatan dalam negeri, siapa? Isu perasaan kurang selamat untuk membiarkan anak bermain di taman permainan depan rumah siapa yang bersalah? Isu takut dirompak apabila berjalan di siang hari di tengah-tengah orang ramai sapa yang patut main peranan? Isu takut rumah disamun bila pulang bercuti raya sapa yang harus mengambil peranan?
Kalau tiada sesiapa yang mahu memandang serius untuk menangani isu ini, maka tak hairanlah jiran tepi rumah saya yang beragama Islam di kampung pun (kampung jer, tak pergi tengah bandar) dah mula bela beberapa ekor anjing untuk mengawal rumah sebab rumah dia 2 kali dipecah masuk. Satu kali dia diikat oleh pencuri. Tak hairanlah kereta kawan saya di sebuah taman perumahan boleh dicuri ditengah-tengah malam sedangkan pagar rumah dah dikunci. Tak hairan seorang kawan sekerja saya mati dibunuh berhampiran rumahnya sendiri.
Masyarakat harus mengambil serius isu ini. Peningkatan kadar jenayah hanyalah simptom-simptom masyarakat di Malaysia yang sedang tenat menghadapi banyak masalah sosio-ekonomi. Ini semua berkait rapat dengan isu pengangguran, pendatang asing, kenaikan kos sara hidup dan keruntuhan institusi keluarga. Berkait rapat dengan hakikat rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Berkait rapat dengan hakikat yang berkuasa dan berduit boleh lepas begitu sahaja. Berkait rapat dengan kemerosotan kualiti pendidikan negara dan syllabus matapelajaran yang caca merba dan hanya fokus dengan nilai-nilai sains dan fizikal semata-mata. Berkait rapat dengan isu perundangan negara. Berkait rapat dengan isu media yang hanya fokus dengan isu-isu komersil dan sensasi lalu lupa tanggungjawab sosial mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni.
Kesemuanya kait-mengait. Ia umpama jam tangan. Jarum jam, hanya bergerak baik apabila semua komponen jam tersebut berfungsi. Tetapi, apabila satu komponen sahaja gagal berfungsi dengan baik, contohnya gear sahaja, maka seluruh jam tak berfungsi dengan baik. Itu baru satu komponen, bayangkan banyak komponen, tak ke haru. Macam tuh jugak situasi di negara kita. Semuanya berkait rapat. Apabila komponen-komponen ini rosak, maka keadaan negara semakin rosak. Dan kalau situasi ini dibiarkan....
Runsing, runsing kepalaku runsing,
Belum dikira isu politiking,
Lama-lama moral rakyat semakin kering,
Jalanan penuh dengan orang samseng.
Runsing, runsing kepalaku runsing.