Tuesday, 4 December 2007

Renungan - Gunung versus Manusia






Setiap kali kita merenung akan kejadian alam terutama setelah sekian lama sibuk bekerja di pejabat, sesekali kita menarik nafas lega panjang....



Mula terdetik dalam hati dan fikiran, "Subhanallah".



Itulah reaksi saya bila melihat kawasan pergunungan Rocky buat pertama kali. Ta'jub dengan kebesaran ciptaan Allah swt. Begitu hebat, sehingga saya yang tak berapa pandai nak tangkap gambar landskap, kalau tangkap gambar secara sembrono pun, nampak macam profesional hasilnya. Walhal, bukan kerana saya yang pandai tangkap, tapi kerana imej objek yang ditangkap tersebut memang cantik landskapnya.



Apabila dah melalui pengalaman tersebut, fikiran mula terbawa-bawa, betapa kerdilnya diri kita ini. Sentiasa memberikan alasan sibuk untuk menenangkan diri dan mengadu kepada Ilahi. Sentiasa merasakan diri dan kekayaan yang diberikan oleh majikan atau perniagaan itu sudah mencukupi untuk melalui hidup di muka bumi ini.



Apabila dah melihat landskap tersebut, baru mulai terfikir...sejauh mana kita hendak menentang sunnatullah lalu meninggi diri dengan kehendak Ilahi, akhirnya tetap akan mati ditelan bumi jua. Namun, ciptaan Allah yang tampak mudah dan indah ini, masih tersergam kukuh, mencabar keegoan manusia yang merasakan dirinya sudah berkuasa. Pemimpin-pemimpin yang berkuasa silih berganti, namun tanda kekuasaan Allah swt ini kekal seadanya.



Gunung-gunung inilah yang ditawarkan Allah swt kuasa sebagai khalifah, namun masih merendah diri merasakan dirinya tidak layak mentadbir. Manusia, berbekalkan akal jualah yang akhirnya bersedia menerima tugasan tersebut, tanpa disedari bahawa mentafbir berpandukan akal tanpa iman membawa kepada kebinasaan.



Kadang-kadang, malahan selalu...manusia di abad ini tenggelam dalam hutan bangunan di bandar kosmopolitan, lupa tentang wujudnya alam ciptaan Allah swt yang sangat indah mengelilingi bandar-bandar tersebut.



Kita lupa mengambil bekalan daripada alam ciptaan Allah swt ini. Kita begitu sibuk mencari sesuap nasi, sehingga lupa mengambil barang sejenak merenung ciptaan Allah swt. Mengabil iktibar dari ciptaan tersebut lalu mengingatkan kita akan matlamat kita yang sebenar di atas muka bumi ini.



Namun, ada pula sekelompok manusia yang sering melawat ke kawasan semulajadi ini, sekalipun ta'jub dengan keindahan alam, tidak mampu mengaitkan keindahan tersebut dengan Yang Maha Pencipta. Malahan, ada yang menggantikan dengan teori evolusi sebagai alternatif kepada tuhan. Mereka tidak segan silu menamakan kuasa tersebut, "mother nature" sedangkan apa yang mereka sebenarnya perlakukan adalah mengganti nama sahaja. Fungsinya masih sama.


Yang menariknya, tak banyak negara Islam yang punyai landskap-landskap yang indah ini. Kalau ada, mungkin boleh dikira - Turki, Oman, Malaysia etc.


Tapi, tiada usaha secara langsung dari pihak kerajaan atau sekurang-kurangnya jabatan agama Islam, meletakkan poster atau papan tanda mengaitkan keindahan alam semulajadi ini dengan ayat-ayat al-Quran.


Mungkin, ada baiknya kalau di puncak gunung kinabalu, cameroon highlands, Teluk Cempedak, Tasik Cini etc, selain diadakan kawasan rehat bagi yang penat mendaki, berjalan, hiking etc...apalah salahnya diletakkan papan tanda terjemahan dari mutiara-mutiara Al-Quran yang meminta umat manusia mengaitkan kesemua alam semulajadi ini dengan ciptaan Allah.


Malah, kalau nak fikir lagi jauh, letakkan papan tanda mengingatkan manusia akan ancaman dan azab Allah 200 meter dari kelab malam, pusat pelacuran, kasino etc. Ala-ala label merokok membahayakan kesihatan, maka kita pamerkan label berzina memecahbelahkan keluarga, berjudi punca pergaduhan, minum arak merosakkan akal etc. Kalau orang yang pergi ke situ pun, sekalipun tak mengambil iktibar, mungkin mengambil gambar di tepi papan tanda yang tak pernah dibuat orang. Ataupun poster "senyum itu sedekah" diletakkan di kaunter-kaunter jabatan kerajaan dan "membazir itu amalan syaitan" di kedai kopi dan canteen fi tepi office. Bunyi mudah, tapi saya pasti ada yang terasa.


Barulah lengkap proses amar ma'ruf nahi mungkar. Baru boleh mendabik dada inilah Hadharah Islamiyyah. Tapi, itulah manusia. Begitu sibuk dengan bekerja, lalu lupa merenung walau sejenak akan kejadian alam. Lupa tadabbur tugas sebenar beliau. Lupa menilai, yang masa di atas muka bumi, hanya sebentar. Lupa menarik nafas panjang, kerana merasa masih ada peluang berbuat demikian di esok hari.