Dunia kerja memang suatu yang pelik. Dulu, di sekolah menengah saya sering mendapat nasihat dari abang-abang senior - "hayatilah masa student nih, lepas nih...bila dah kerja, kehidupan berbeza."
Masa saya masih budak hingusan tersebut, tak berapa faham maksud abang-abang tadi. Malah, dulu rasa tak sabar nak memulakan dunia kerja. Nak dapat gaji, earn a living, support keluarga, bina keluarga, balik pukul 4petang, hujung minggu berprogram dan seterusnya. Maka, bila dapat tawaran biasiswa melanjutkan pendidikan ke luar negara, syukur tak terhingga kerana ia merupakan langkah pertama untk menjamin kerja.
Ya, itulah mentaliti yang ditanam dalam masyarakat kita - "menjamin kerja". Terimalah apa sahaja asalkan belakang hari dapat kerja. Jika didalami lagi, kerja-kerja "kesukaan" orang Malaysia bila mendengar - engineer dan doktor. Itu sudah cukup untuk membuat orang kampung rasa kagum. Tambahan kalau syarikat tersebut syarikat multinasional dan kerja yang banyak berjalan-jalan ke luar negara. Makin dikagumi.
Bila mula bekerja - excited sesangat. Rasa tak sabar untuk menonjolkan imej dan karisma yang positif pada rakan kerja. Rasa dalam diri macam dah layak jadi CEO walhal baru nak masuk office jadi seed executive. Hari demi hari, realiti hidup semakin tampak.
Gaji diperolehi tapi simpanan bulanan rasa tak sampai 10% dari hasil kerja sebulan. Kadang-kadang, negatif pun ada. Sumbangan terhadap dakwah dan sedekah dari segi duit juga mula berkira-kira. Bukannya sebab tak mahu, tapi tak mampu. Tambah-tambah lagi baru mulai membina gerbang perkahwinan. Tekanan sesetengah pihak agar membelanjakan duit yang besar datang dari pelbagai arah. Mujurlah masa tu kerja jauh - kurang sikit dengar suara-suara sumbang. Bila dah berkahwin, hidup berjauhan dengan isteri dan anak-anak. Pulang kerja tak payah ceritalah. Kadang-kadang pulang jam 1am. Kadang-kadang, weekend, tak balik rumah. Bila tanya boss adakah ini cara hidup bekerja di syarikat ini? Jawapan yang mudah - jika ingin berjaya, ya.
Mana nilai keluarganya? Mana nilai kualiti kehidupan? Mana sumbangan terhadap masyarakat? Mana erti kehidupan jika tidak memberi? Masa yang diisi, hanya untuk memastikan duit terus masuk ke tabung/poket shareholder. Hidup bertungkus-lumus, bulan ke bulan, tahun ke tahun, yang terjaga - hanyalah mesin yang menjana tenaga di kilang. Diri sendiri dan keluarga, tak terjaga. Mungkin mendapat kepuasan naik gaji tengah tahun atau naik pangkat atau syarikat berjaya melobosi Fortune 500 - tapi bottom line anak dan isteri serta masyarakat terkorban. Nah! Mana neraca kehidupan? Mana priority hidup?
Dalam masa berlalu, kita mula memikirkan ke mana nak dibawa hidup ini? Sejauh mana harus dibawa dengan arus kapitalisme ini? Jalan mana harus dilalui? Jika jawapannya tidak tau, maka mana-mana jalan yang kita pilih akan membawa kita ke sana...pokoknya, kita harus tahu apa yang kita mahu!
Jadi, persoalannya, yang mana satu pilihan kalbu untuk dipilih? Kepuasan bekerja? Gaji yang tinggi? Bidang yang diminati? Atau terima realiti - dan melakukan perubahan pada company?
Saya pasti, tidak ada jalan yang definitif. Kalau ditanya 100 orang, pasti ada sekurang-kurangnya 100 macam jawapan. Masing-masing memberi jawapan berdasarkan pengalaman sendiri. Jadi, sebelum kita kupas dengan pengalaman sendiri, kita kembali semula kepada neraca hidup. We go back to basics. Kita kembali ke fundamental...mengapa kita berada di sini. Mengapa kita diciptakan. Jika pemahaman berbeza dari titik ini , maka kita bersetuju sahaja untuk berbeza.
MENGAPA KITA LAHIR KE DUNIA INI?
Menghuraikan tajuk di atas ini sahaja mungkin mengambil masa yang lebih lama, tapi saya kira lebih baik saya mengambil jalan mudah - sebagai hamba Allah, sebagai khalifah Allah dan menunaikan amanah Allah.
Amanah Allah terhadap diri sendiri, terhadap anak dan isteri, terhadap ibu bapa dan sanak saudara, terhadap masyarakat setempat, terhadap negeri dan negara, terhadap negara-negara jiran dan akhirnya seluruh dunia. Ada prioritynya. Ada keutamaan dan turutan. Tidak boleh tidak, harus diikuti.
SOALAN-SOALAN CEPUMAS
Sekarang kita nilai. Ambil masa seminit dua dan fikirkan, bayangkan - apa sebenarnya diri ini mahu? Apakah ukuran kejayaan yang ingin dimiliki? Apa kita mahu anak-anak dan keluarga kita rasa terhadap kita? Apa yang kita mahu apabila berumur 50 tahun?
Adakah kepuasan bekerja? Cukup setakat makan gaji dan pulang ke rumah setiap hari asalkan aku rasa puas dengan kerja. Bagaimana pula bila mula tidak puas? Apa harus dilakukan?
Adakah gaji yang tinggi? Mengapa mahukan gaji yang tinggi? Kerana ingin dihormati? Kerana ingin hidup mewah dan bersenangan? Kerana ingin membantu yang tidak berkemampuan?
Atau kita ingin mempelopori bidang yang diminati? Adakah kita sanggup kerja dengan gaji yang tidak tetap? Adakah kita sanggup menangung risiko tidak berpendapatan selama berbulan-bulan? Adakah kita sudah bersedia mentally dan financially?
Atau terima realiti - biarlah. Takpelah. Oklah. Apa salahnya kita terus berkhidmat lalu melakukan perubahan pada company? Mengorbankan masa untuk kebaikan diri dan syarikat. Akhirnya, rakyat pasti mendapat untung dari kekayaan company ini. Bukankah ini amanah Allah swt jua? Bukankah ini juga harus dijaga? Sapa yang nak jaga kalau bukan kita?
Itulah dunia kerja. Itulah soalan-soalan yang seringkali memeningkan kepala jalan mana yang harus dilalui. Nah! Kalau direnung betul-betul, tiadak ada satupun persoalan-persoalan di atas benar-benar menjawab mengapa kita lahir ke dunia. Tidak menjawab, satu pun sekurang-kurangnya amanah terhadap diri, isteri dan keluarga. Tidak menjawab, "the basic question of our existence in life". Bagaimana hati dapat merasa tenang. Bagaimana dapat merasa puas. Bagaimana diri dapat merasa redha.
Untuk para daei terutama yang bekerja secara professional, mahu tidak mahu soalan-soalan ini akan menjelma di awal career mereka. Mahu tidak mahu, terpaksa dilalui. Mahu tidak mahu, terpaksa mencari jawapan sendiri kerana tiada pembimbing. Malahan, ada yang lemas dan karam kerana tidak berjumpa jalan keluar. Mahu tidak mahu, mula terngiang-ngiang kata-kata abang senior 10-15 tahun dahulu, "hayatilah masa student nih, lepas nih...bila dah kerja, kehidupan berbeza."