Tuesday, 4 December 2007

Every step is a journey

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Alhamdulillah, selesai sudah satu matlamat. Senang je sekali difikirkan, tapi nak menyiapkannya mengambil masa yang sangat lama. Hampir lebih satu tahun!

Waktu saya tiba di Doha Mei tahun lepas dan setelah pindah ke AlKhor hujung bulan 6, saya bermatlamat hendak menyiapkan satu blog khas, dalam bahasa Inggeris - rumusan hidup di Jenan. Pada waktu yang sama, ingin menulis beberapa pandangan tentang perjalanan hidup di Qatar. Niatnya, apabila lengkap penulisan hingga ke tingkatan 5, maka Insya-Allah maksudnya saya sudah bersedia untuk menulis dengan lebih serius dan harapannya, agar siap dalam hujung tahun 2006.

Tetapi, Allah sahaja yang mengetahui. Dalam sedar tak sedar, dah hujung tahun 2007. Hanya 26 posting sahaja dalam blog tersebut! Kesilapannya, saya sendiri tak mampu berdisiplin dengan masa yang terluang.

Benarlah kata salah seorang bijaksana seperti di atas, sekalipun seseorang itu boleh mengatasi beribu musuh dalam medan perang, kemenangan yang sejati adalah apabila seseorang itu dapat menguasai dirinya sendiri.

Mungkin saya tidak dapat menulis dengan konsisten, tetapi saya berdoa kepada Allah sekurang-kurangnya ini akan menjadi batu loncatan saya untuk mencapai cita-cita yang lebih tinggi.

Saya akhiri posting kali ini dengan sajak dari Ustaz Fauzi, yang saya kira jika dihayati, pasti membakar semangat "lelaki-lelaki" tulen yang masih dibuai lena...termasuk diri saya sendiri.

http://satuperkongsian.wordpress.com/kenangan/

Setiap hari bingkisan dari syurga tiba
Mengulangi tentang rindunya pada kuntuman rijal
Mengapa kuntum mekar tidak lagi menghiasi taman?
Di dunia kelopak demi kelopak layu berguguran
Dimamah deretan anai-anai tribulasi zaman
Setiap dekad belum lagi menjadi piala perjuangan
Sebaliknya menjadi takungan air mata
Yang mengalir di pipi perlahan melihat satu demi satu
Bolos pada jaring-jaring robek dimakan tikus

Lukah yang ditanam selama ini tidak lagi seperti semalam
Jerat yang dipasang juga tidak bingkas
Setiap kali pulang hanya diburu kesepian
Di tengah hiruk pikuk mertua dan anak-anak
Dunia semakin tenat
Tetapi sepatu rijal belum lagi kedengaran
Pulang membawa pesanan yang dikirim
Umat masih tertinggung di tangga
Dengan dua tangan bertupang dagu
Mengintai andainya kelihatan
Langkah pulang seorang rijal
Taman syurga semakin riuh dengan bisikan malaikat
Bisikan ingin tahu yang sungguh-sungguh
Siapakah tetamu syurga esok hari
Kerana hari ini dunia mengiklankan kehilangannya
Di sana-sini pada dinding dan tembok tembok
Terpampang pemidang jelas
Bagi siapa yang melintasi dan menatapinya
‘RIJAL TELAH HILANG’

~~~~~~~
Akhir kalam, tidak teringinkah kita menjadi rijal tersebut?
Tidah bercita-citakah kita mengembalikan maruah deen yang mulia ini?
Tidak rindukah kita melihat keadilan Islam tertegak kembali?
Tidak cemburukah kita melihat aktivis-aktivis kemungkaran mengorbankan segala masa dan harta benda untuk mempertahankan idealisme mereka?
Tidak mahukah kita, menjadi salah satu rantai dalam mempertahankan kebenaran?

Ya, saya pasti jika ditanya...semua orang pasti jawab ya. Persoalan terakhirnya, jika itu yang kita mahu, mengapa masih berpeluk tubuh? Mengapa ilmu di dada masih di takuk lama? Mengapa tidak mahu membuka pemikiran, mendalami pemahaman dan memperbaharui amalan?

Inilah cabaran kita di era ini.