Tuesday, 7 April 2009

Pilihanraya Penuh Keinsafan - Hadiah Buat DS Najib?

7 March 2009. Rasanya seluruh rakyat Malaysia menantikan keputusan pilihanraya dengan penuh debaran. Bagi penyokong BN, mereka pasti merasakan sebarang kemenangan sebagai satu petanda bahawa rakyat sudah mahu menerima BN semula dengan pertukaran Perdana Menteri. PM yang baru juga telah memulakan beberapa gerakan yang agak "drastik" dengan pembebasan 13 tahanan ISA, pelesenan semula 2 suratkhabar yang di"tarik" beberapa hari sebelum itu dan beliau sendiri turun padang untuk mendengar rintihan rakyat. Apatah lagi mantan PM (Tun Dr Mahathir & bukan Pak Lah) yang masuk UMNO semula dan turun padang untuk tolong berkempen menarik semula rakyat agar menyokong BN. Media utama seperti biasa pula tidak henti-henti memuji perubahan baru ini dan menggambarkan akan ada perubahan besar terutama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Apatah lagi beberapa bahagian PKR yang dibubarkan sehari dua sebelum pilihanraya tidak membantu keadaan. Isu derhaka juga diperbesar-besarkan. Semua petanda-petanda ini secara logiknya boleh menolong BN untuk memenangi semula kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Paling kurang pun, majoriti PR seharusnya berkurang.


Jam 11pm waktu Malaysia, keputusan rasmi keluar. Dengan pengundi yang keluar mengundi sebanyak 70%, majoriti Pakatan Rakyat bertambah dari keputusan pilihanraya 2008. Majoriti di Bukit Gantang bertambah dari 1566 kepada 2789 manakala majoriti di Bukit Selambau juga bertambah dari 2362 kepada 2403. Yang kat Sarawak tuh saya tak kira sangat sebab Sarawak nih unik sket.

Mungkin kalau dilihat dari satu sudut, andaikata perubahan-perubahan yang diceritakan awal tadi tidak berlaku mungkin BN akan kalah lagi besar ler gamaknya....mungkin majoriti PR boleh sampai 5000. Mungkin dari satu sudut pula perubahan-perubahan yang ada tadi sebenarnya tidak "tackle the actual root cause and underlying problem". Ini hanya dapat diatasi jika diaorang nih pergi kursus Root Cause Failure Analysis gamaknya.
Mulai esok hari, pelbagai alasan akan bergema dari parti BN khususnya UMNO. PR main politik kotor la, PR main taktik jahat la, PR main emosi rakyat la, PR buat janji kosong la dan macam-macam lagi.

Mungkin kita juga akan dengar alasan DS Najib baru lagi memerintah, tak sampai seminggu...apa la peluang beliau boleh buat. Kita patut bagi beliau peluang. Kat situ sendiri sebenarnya satu hujjah bagi PR. Rakyat (at least penduduk 2 Bukit ini) seakan-akan taknak bagi peluang kat DS Najib nampak gayanya.

Mungkin kita juga akan dengar alasan, ini kesan tinggalan dari Pak Lah. Rakyat masih terasa kesan pemerintahan beliau. Tak boleh salahkan BN atau sesiapa.Hujjah di sebaliknya adalah rakyat sudah boleh membaca internet dan suratkhabar serta tahu dari radio dan televisyen dan sedia maklum perubahan Presiden UMNO dan peralihan kuasa dari Pak Lah kepada DS Najib akan berlaku sejak tahun lepas lagi. Jadi, rakyat sudah boleh menilai sama ada mereka benar-benar mahu BN atau PR selepas peralihan kuasa.

Apapun alasan, BN masih menyangka pilihanraya yang lepas hanya satu ralat dan rakyat akan sedar mereka masih perlukan BN. Itulah sebenarnya antara masalah BN. Mereka masih menyangka dan duduk di awangan. Mereka tak tau fakta sebenarnya. Benar, ada ramai rakyat yang masih menyokong mereka namun tidak kurang juga rakyat yang menolak mereka. Mereka seakan tak mahu dengar rintihan rakyat yang lebih 1/3 dari jumlah rakyat Malaysia ini.

Seperti biasa, kita akan mendengar selepas ini BN akan mengkaji kekalahan-kekalahan ini dan memperbaikinya di masa akan datang. Sejak kekalahan dari Pilihanraya umum ke 12 2008, pilihanraya kecil di Pulau Pinang, Terengganu dan kini Kedah dan Perak, kajian-kajian tersebut nampaknya masih belum selesai. Bak kata cerita zaman 60an dulu, "berapa kali mau kaji daaa?"

Kalau dulu, Pak Lah dituntut secara tidak langsung untuk dipertanggungjawabkan. Kali ini, sapa pulak mangsa? Patutla Pak Lah lepas letak jawatan tak pergi langsung melawat 2 Bukit ini. Kalau beliau muncul kat bukit-bukit nih, nanti BN kalah sure beliau dipersalahkan lagi. Boleh tahan gak Pak Lah nih boleh baca masalah ini.

BN sebenarnya masih tak sedar bahawa majoriti rakyat sudah menolak ketidakadilan dan perjuangan kepartian, majoriti rakyat sudah menolak sistem pemerintahan dari parti yang terkenal dengan pecah amanah dan rasuah, majoriti rakyat sudah menolak konsep "double standard" di dalam pemerintahan yang sedia ada, majoriti rakyat sudah menolak sikap bongkak dan takbur di kalangan pemerintah yang sedia ada, majoriti rakyat menolak konsep politik yang hanya berdasarkan serangan peribadi dan bukan atas dasar ideologi politik itu sendiri. Majoriti rakyat sudah mual dengan masalah yang sedia ada.

Jangan lupa pula bahawa PR sendiri sebenarnya masih ada kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki. Diizinkan Allah swt, akan saya kupas dengan lebih dalam lagi hal ini. Namun, kemenangan PR sebenarnya kali ini dan pada masa ini membawa satu mesej yang penting kepada BN secara amnya...majoriti rakyat masih menolak perubahan sedia ada BN. Moga-moga pilihanraya ini menjadikan pimpinan Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan paduka-paduka Sultan insaf bahawa kuasa yang ada itu hanya sementara. Allah swt melalui tangan rakyat akan menaikkan sesiapa yang beliau kehendaki dan menurunkan sesiapa yang beliau kehendaki.

Khususnya buat DS Najib, saya rasa beliau mungkin sudah menerima banyak hadiah dan ucapan tahniah (termasuk dari saya sendiri - kat blog ni je lah. Tak de cable nak ucap tahniah secara direct) sebagai tanda penghargaan atas perlantikan beliau sebagai PM. Tak kurang ucapan tahniah dari perwakilan UMNO yang sebulat suara memilih beliau. Namun, "hadiah" dari 2 Bukit ini seharusnya beliau pahatkan di hati beliau dengan simen konkrit yang keras, bahawa walaupun beliau menang di dalam pemilihan UMNO, kuasa sebenar terletak di tangan rakyat dengan izin Allah swt. Moga-moga DS Najib mengambil iktibar dan tangkas melakukan perubahan selepas menerima hadiah yang terbaik ini andaikata beliau benar-benar ikhlas mahukan kebaikan untuk umat dan negara yang tercinta ini. Dari Allah swt kita datang, kepada Allah swt kita akan dikembalikan.