Sunday, 30 December 2007

2007 - Tahun Yang Berlalu

Dalam masa kurang daripada 48 jam, 2007 akan berakhir. Banyak yang berlaku pada tahun ini, seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Seperti biasa, sejarah dunia penuh dengan pelbagai peristiwa pahit manis. Isu kenaikan harga minyak mentah mencecah 100USD setong, isu ekonomi dalaman Amerika Syarikat dan kejatuhan nilai dollar sebagai matawang utama pasaran dunia, isu "nuklear" di Iran, pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang menjelang tiba, bencana alam di Indonesia, kemelut Iraq, Lebanon, Palestin, Darfur dan kemunculan gergasi ekonomi India dan China yang semakin kukuh telah mewarnai 2007. Yang terbaru, tragedi pembunuhan Benazir Bhutto. Sedihnya, sekali lagi dunia Pakistan bergelut dalam suasana "perang saudara". Siapa yang bersalah? Siapa yang menjadi mangsa? Siapa yang berjaya? Siapa yang terpedaya?

Di Malaysia, tentunya kemelut politik menjadi perhatian. Isu ekonomi yang semakin mencengkam golongan pendapatan rendah dan sederhana semakin membahang. Kerja bagai nak rak tapi duit untuk memenuhi kehidupan yang sederhana terasa benar belum mencukupi. Isu-isu perkauman dan agama juga semakin menjadi-jadi di Malaysia. Isu "racism" di universiti tempatan, isu lagu Negaraku diolah, isu HINDRAF, penggunaan nama Allah di dalam kitab Injil, isu murtad dan isu pengebumian hangat diperkatakan sepanjang 2007. Ada yang mengambil kesempatan, ada yang benar-benar memperjuangkan keadilan. Isu sosial juga tidak berkurang. Kes rogol, bunuh, buang anak, kecurian etc semakin lama semakin menjadi. Isu hak asasi manusia untuk bersuara juga mula mendapat tempat di kalangan ramai orang terutamanya penduduk bandar. BERSIH menjadi simbol kepada harapan bahawa masih ada di kalangan rakyat Malaysia yang patriotik menyuarakan ketidakpuashatian dengan prestasi kerajaan yang sedia ada.

Pelbagai reaksi masyarakat kita dapati tentang BERSIH. Ada yang takut nak borak pasal BERSIH kerana takut terbawak dengan isu politik. Pada saya, kesedaran dan peningkatan kepekaan tentang keadaan masyarakat adalah satu budaya yang positif dan membawa banyak kebaikan kepada masyarakat dan negara. Sebaliknya, apabila kepekaan sebegini dikongkong dan ditindas, hasilnya lahir umat yang hanya mementingkan diri dan keluarga sendiri dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku di negaranya. Umat yang seperti ini, sebenarnya akan mencorakkan diri mereka ke arah kehancuran tanpa disedari.
Berbalik kepada tahun 2007, secara keseluruhan... sekali dipandang, seakan-akan tidak ada penyelesaian dengan kemelut dunia ini. Sekali dilihat, semakin mual rasanya dengan isu-isu yang melanda. Semakin bosan dengan masalah yang ada. Rasa nak muntah dan nak campak jer suratkhabar ke TV.
Mungkin itu sebabnya ramai yang suka menghabiskan masa di TV/wayang menonton filem bikinan Hollywood atau membaca majalah picisan tentang artis popular atau berdansa di kelab malam sampai ke 4-5 pagi. Hanya sebagai penghilang stress dengan suasana dunia yang semakin kelam. Suasana sosio ekonomi yang terlalu membebankan. TV, wayang, kelab malam, majalah picisan, novel asmaradana etc hanya menjadi tempat untuk melampiaskan perasaan gundah gulana - satu medan alternatif untuk escape dari realiti hidup.
Atau sebenarnya tempat dan bahan-bahan tersebut adalah penyebab kepada kemelut dunia sekarang? Akibat dari terlalu lalai dengan candu dunia hiburan menghasilkan umat yang berfikiran dangkal, berjiwa lemah, terlalu suka berhibur, lahirnya sikap endah tak endah, budaya kurang ajar, hedonis, pembaziran dan taksub. Umat yang sedia ada tidak mahu berjuang memperbaiki nasib kerana sudah selesa dengan environment yang sedia ada.

Jawapannya adalah salah satu, bergantung kepada which school of thought we're raised as.
Kita tidak boleh memaksa sesiapa menerima pegangan kita.
Sikap toleransi, hanya bermakna apabila disertai dengan unsur faham dan redha.
Pada diri saya, penerangan yang kedua adalah penyebabnya.
Saya hanya mampu menjelaskan agar manusia jelas pegangan saya,
Jangan dicari konfrontasi, kerana hasilnya pasti rugi.
Terang dan jelaskan prinsip, pasti dihormati.
Prinsip yang hanya dijadikan slogan tanpa bukti, ramai yang benci.
Kalau dah salah, lebih baik mengaku dan mengundur diri.
Yang pasti, tahun 2008 menjanjikan suasana kontrovesi.
Pasti tak cukup modal menulis di sini.
Akhirul kalam, moga terus menjadi iktibar buat semua dan diri.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2008.