Di dalam ilmu fizik, ada satu sunnatullah yg tidak boleh dielak, "for every action there will always be an opposite and equal reaction". Memandangkan ini ditemui oleh Newton's, ia dipanggil Newton's Third Law of Motion.
Begitu juga apabila bermuamalah dengan manusia dalam konteks sosial. Setiap tingkah laku yang ekstrim, akan menghasilkan tindak balas yang ekstrim. Bezanya, dalam ilmu fizik ia boleh diukur secara mutlak manakala ilmu sosial tiada formula pengukur.
Contohnya, apabila ada pihak yang membangkitkan isu syiah tetapi tidak menjawab isu ketirisan ekonomi, pasti ada pihak yg akan menjawab dengan satu lagi ekstrim bahawa isu pembaziran adalah lebih merbahaya utk rakyat daripada isu syiah.
Hakikatnya isu syiah dan isu ketirisan ekonomi kedua-duanya penting. Penyelesaiannya berkait rapat dengan identiti dan falsafah pengurusan sesebuah negara.
Andaikata kita berpegang mahukan Malaysia sbg sebuah negara Islam, maka kedua-dua isu tersebut harus diselesaikan berpandukan prinsip Islam. Setiap individu adalah pemimpin dan umat Islam beriman bahawa segala perbuatannya akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Maka setiap insan berdasarkan keimanan tersebut berlumba-lumba melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran semata-mata untuk mencari keredhaan Allah swt. Sistem sosial dan ekonomi terbatas berdasarkan ajaran Islam. Hak individu dan masyarakat terjamin melalui syariah Islam.
Andaikata ada yang berpegang mahukan Malaysia sebuah negara liberal demokratik, maka penyelesaiannya akan mengikut prinsip sistem tersebut. Hak setiap individu terjamin dari sebarang tindakan kerajaan sekalipun tindakan individu tersebut akan menjejaskan keharmonian masyarakat atau menghina Islam. Manakala kerajaan akan menentukan bagaimana bentuk perjalanan ekonomi yang terbaik utk negara.
Andaikata kita berpegang mahukan Malaysia sebuah negara sosial demokratik, maka penyelesaiannya juga harus mengikut prinsip sistem tersebut. Kerajaan akan melaksanakan sistem ekonomi berdasarkan polisi “welfare state” di dalam kerangka kapitalisme. Manakala neraca moral masyarakat Malaysia akan ditentukan oleh kehendak golongan majoriti.
Banyak lagi sistem politik dan ekonomi yang wujud di luar sana. Sistem-sistem tersebut dicipta berdasarkan lojik akal manusia yang terhad. Sistem-sistem tersebut saling wujud sebagai tindakbalas antara satu sama lain. Demokrasi lahir akibat pertentangan terhadap golongan monarki dan oligarki yang memerintah secara kuku besi. Kapitalisme lahir setelah feudalisme tiba akhir hayatnya. Kelahiran kapitalisme di barat pula mewujudkan sistem sosialisme di sebelah timur. Satu demi satu, manusia mencipta sistem baru dalam menguruskan ekonomi dan permasalahan politik mereka. Tiada langsung yang meletakkan fokus terhadap permasalahan akhlak. Fokus hanyalah materialisme (cari kekayaan) dan hedonisme (penuhi kepuasan nafsu) semata.
Islam adalah jawapan kepada segala sistem ciptaan manusia tersebut dan pada waktu yang sama meletakkan piawai akhlak kemanusiaan. Islam menawarkan cara hidup komprehensif dan sederhana dalam menangani segala permasalahan dalam hidup dari masuk tandas menggunakan kaki kiri sampailah kepada prinsip hubungan perdagangan antarabangsa. Prinsip Islam jelas dalam berhadapan dengan isu syiah, ketirisan ekonomi, penyalahgunaan kuasa, LGBT, liberalisme, gejala sosial, peningkatan kadar jenayah, kos sara hidup tinggi etc.
Persoalannya, jalan mana yang perlu kita pilih? Ia berbalik kepada Newton's Third Law of Motion tadi.
Kalau mahukan pemerintah berakhlak mulia, tawadhu' dan tegas seperti Saidina Umar ra, janganlah kita pula berlagak takbur, penuh hasad dengki dan pentingkan diri sendiri seperti Abu Jahal akhlaknya.
Andaikata "every action has an equal and opposite reaction", maka setiap pemimpin adalah cerminan dari rakyatnya.
Mungkin kata-kata Imam Ibnu Qayyim AlJawzi rahimahullah di dalam kitab Miftaah Daarus-Sa’aadah, 1/177-178 lebih tepat dalam hal ini:
“Sesungguhnya di antara hikmah Allah Ta’ala dalam keputusan-Nya memilih para raja, pemimpin dan pelindung umat manusia adalah sama dengan amalan rakyatnya bahkan perbuatan rakyat seakan-akan adalah cerminan dari pemimpin dan penguasa mereka. Jika rakyat lurus, maka akan lurus juga penguasa mereka. Jika rakyat adil, maka akan adil pula penguasa mereka. Namun, jika rakyat berbuat zalim, maka penguasa mereka akan ikut berbuat zalim. Jika tampak tindak tanduk penipuan di tengah-tengah rakyat, maka demikian pula hal ini akan terjadi pada pemimpin mereka. Jika rakyat menolak hak-hak Allah dan enggan memenuhinya, maka para pemimpin juga enggan melaksanakan hak-hak rakyat dan enggan menerapkannya. Jika dalam muamalah rakyat mengambil sesuatu dari orang-orang lemah, maka pemimpin mereka akan mengambil hak yang bukan haknya dari rakyatnya serta akan membebani mereka dengan tugas yang berat. Setiap yang rakyat ambil dari orang-orang lemah maka akan diambil pula oleh pemimpin mereka dari mereka dengan paksaan.
Dengan demikian setiap amal perbuatan rakyat akan tercermin pada amalan penguasa mereka. Berdasarkah hikmah Allah, seorang pemimpin yang jahat dan keji hanyalah diangkat sebagaimana keadaan rakyatnya. Ketika masa-masa awal Islam merupakan masa terbaik, maka demikian pula pemimpin pada saat itu. Ketika rakyat mulai rusak, maka pemimpin mereka juga akan ikut rusak. Dengan demikian berdasarkan hikmah Allah, apabila pada zaman kita ini dipimpin oleh pemimpin seperti Mu’awiyah, Umar bin Abdul Aziz, apalagi dipimpin oleh Abu Bakar dan Umar, maka tentu pemimpin kita itu sesuai dengan keadaan kita. Begitu pula pemimpin orang-orang sebelum kita tersebut akan sesuai dengan kondisi rakyat pada saat itu. Masing-masing dari kedua hal tersebut merupakan konsekuensi dan tuntunan hikmah Allah Ta’ala."
Fikir-fikirkanlah.
Wallahua’lam.