Al-Quran, atau wahyu tidak memusuhi pancaindera dan aqal. Tidak sama sekali. Masakan boleh berlawan, sedangkan pancaindera, aqal dan wahyu berasal dari Tuhan Yang Satu. Sama sekali tidak akan bertentangan. Apa yang tidak dapat dirasa atau dilihat oleh deria pancaindera, kita terokai dan kaji melalui aqal. Apa yang tidak tercapai oleh aqal, dijangkau oleh wahyu.
Sebagai insan, kita dilengkapkan dengan 2 unsur asas - jasmani dan roh. Tanpa roh, badan kita pasti kaku dan terkulai layu. Biasanya orang dah kebumi gitu. Tanpa jasmani pulak, orang kampung panggil hantu. Walaupun realitinya ramai jugak hantu yang berjasad dan ber"ruh" berjalan atas muka bumi sekarang nih.
Ala kulli hal, rata-rata di dunia ini Allah swt telah menciptakan pelbagai sumber dan sunnah untuk menghidupkan jasmani kita, sama ada fizikal, aqal atau emosi. Tidaklah sia-sia Allah jadikan siang bertukar malam dan malam berganti siang. Tidaklah sia-sia Allah jadikan laut yang terhampar luas. Tidaklah sia-sia Allah jadikan bintang-bintang di langit. Tidaklah sia-sia Allah jadikan ikan-ikan segar di lautan, sungai dan tasik dan pelbagai hiasan indah di lautan dalam. Tidaklah sia-sia angin yang bertiup dan awan yang bergerak. Malah, tidaklah sia-sia Allah jadikan dinosour berjuta tahun dahulu yang fosilnya bertukar menjadi petroleum. Kalau tidak takdelah saya sekeluarga berhijrah ke bumi Qatar nih. Malah, mungkin kita takkan sampai ke era moden seperti yang kita alami sekarang ini.
Kalau dari segi fizikal Allah swt dah bagi bekalan sebanyak-banyaknya, masakan Allah swt tak hantar bekalan untuk rohani? Masakan Allah swt membiarkan umat manusia ini terpinga-pinga mencari kebenaran? Masakan Allah swt tidak menghantar "link" dan pedoman untuk umat manusia ini? Masakan Allah swt tidak memberikan "guideline" untuk hidup di atas muka bumi ini.
Jawapannya pasti ada. Itulah wahyu. Wahyu ini penuh dengan seruan-seruan memanggil fitrah agar kembali kepadanya. Wahyu memberi berita gembira dan memberi makna kepada manusia dalam memenuhi tuntutan kehidupan.
"Dialah yang menurunkan air dari langit bagimu, yang daripadanyalah kamu minum, dan daripadanyalah jadi tumbuh-tumbuhan, yang kamu pergunakan untuk ternakanmu makan. Dan ia tumbuhkan dengan (air) itu zaitun, kurma, anggur dan bermacam-macam buah untukmu, sesungguhnya dalam hal yang demikian itu ada tanda-tanda (bukti kebenaran) bagi kaum yang mau berfikir" An-Nahl 10-11
"Dan Dia tundukkan malam dan siang, matahari dan bulan (guna kepentinganmu) dan bintang-bintang itu ditundukkan dengan perintah-Nya; sesungguhnya dalam yang demikian itu ada tanda-tanda (bukti-bukti kebenaran) bagi kaum yang mahu berfikir" An-Nahl 12
"Dan apa-apa yang Dia jadikan untuk kamu di bumi, dengan bermacam-macam warna, sesunggunya dalam hal itu ada tanda (bukti kebenaran) bagi kaum yang mahu ingat dan sedar." An-Nahl 13
"Dan sekiranya kamu mahu menghitung nikmat Allah itu, tidaklah kamu dapat menjumlahnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" An-Nahl 18
Gunalah nikmat-nikmat Allah swt ini sebaik-baiknya untuk perkembangan jasmani kerana fitrah manusia sebegitu. Nafsu kita berkehendakkan begitu. Yang dilarang adalah aktiviti-aktiviti yang melampau-lampau dan merosakkan jasmani, fitrah, jenis, keturunan, hidup perseorangan atau bermasyarakat.
Namun manusia itu tetap bernama manusia. Tak kira melayu ker, cina ker, india ker, omputeh ker, Arab ker, sumanya mudah lupa terutama sekali berkaitan dengan Rabb kita. Tuhan semua bangsa melayu, cina, india, kadazan, iban, bidayuh, omputeh, arab etc ini hanya Satu, Allah Yang Maha Esa. Takdak lain dah. Dan manusia yang bernama manusia ini, lupa bahawa kita semua ini adalah bersaudara.
Tambah-tambah umat akhir zaman nih. Manusia kini telah lalai dengan unsur-unsur fizikal dan kekayaan dunia ini, sedangkan mereka lupa fitrah rohani mereka menghajatkan wahyu. Manusia mudah bermegah dan menyombong dengan pencapaian fizikal, ibarat seorang anak yang baru diajar mengira sampai sepuluh lalu menyombong mengatakan tidak ada angka atas sepuluh itu.
Manusia kini mudah dilalaikan dengan permainan yang sedia ada, hiburan yang bersepah-sepah, fesyen yang berubah-ubah, internet yang penuh dengan maklumat sampai lupa perlunya mereka kepada makanan "rohani". Bayangkan anak kecil kita tak makan sehari sebab tengok TV dan main game seharian, isy...punya la terhegeh-hegeh kita nak suapkan mereka. Itupun mungkin kita tak risau sangat sebab tau malam tiba pasti anak-anak kecil ini mesti nak minum susu. Ada la bekalan karbohidrat dan protein buat hari yang seterusnya. Mana bekalan rohani kita? Alangkah baiknya kalau kita pun terhegeh-hegeh memastikan bekalan rohani seharian kita sentiasa cukup.
Lantaran, apa yang terkandung di wahyu untuk mengetuk pintu aqal manusia yang lalai ini? Apa yang terkandung di dalam wahyu agar manusia kembali kepada wahyu?
Peringatan tentang tujuan dan matlamat hidup atas muka bumi ini. Peringatan bahawa semua kurniaan Allah swt di dunia ini jangan diabaikan dan dilupakan malah kesemuanya kurniaan Allah ini adalah untuk dinikmati, namun jangan sekali-kali dijadikan tujuan hidup. Kurniaan Allah swt ini adalah untuk dinikmati, disyukuri dan diguna pakai untuk beramal soleh. Dalam pada itu, ada lagi hidup sesudah mati yang bernama hidup akhirat.
Itulah peringatan tentang akhirat dan hari pembalasan. Kurniaan Allah di dunia ini harus digunakan untuk mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat. Janganlah kita lalai dengan kejayaan di dunia, kerana nasib kita di akhirat belum pasti. Janganlah kita tergila-gilakan kehidupan dunia sampai mengorbankan segala-galanya.
Teringat saya kisah diskusi orang Atheist dengan ilmuan Islam zaman dulu. Orang atheist tuh cakap, "buat apa la korang nih percaya Allah itu ada, kan ke susah hidup korang nih? Penuh peraturan. Tengok kami...buat apa yang kami mahu." Jawapan ilmuan Islam tersebut, "Buat apa kamu nak risau pasal kami...andaikata kepercayaan engkau benar tuhan takde dan akhirat tidak ada, kami tak rugi kerana kami masih menjalankan hidup kami tanpa perasaan kesal, kami tidak menyakiti sesiapa, kami menghormati ibu bapa, jiran tetangga kami dan hidup kami penuh kebaikan. Kematian kamu dan kami berakhir begitu sahaja. Yang patut kamu risau adalah jika kepercayaan kami benar...Allah itu wujud dan hari pembalasan itu ada. Kematian kamu dan kami, hanyalah permulaan kepada kehidupan baru. Apa alasan kamu kemudian?"
Pada waktu hari pembalasan suma resit-resit amalan kita keluar....dari sekecil-kecil zarah amalan sekalipun. Moga-moga Allah swt mengampunkan dan merahmati kita apabila tiba masa hari penyesalan tiada berguna itu nanti.