Tuesday 1 September 2020

Parti Anak Muda dan Dinamik Politik Norma Baharu

Membaca laporan akhbar tentang usaha Syed Saddiq ingin menubuhkan parti anak muda agak menarik perhatian. Pada petang 31 Ogos, Syed Saddiq berjaya mengumpulkan hampir 30 tokoh-tokoh anak muda - mereka yang berjaya sama ada di medan sosial seperti Syed Azmi dan beberapa pengasas dunia keusahawanan seperti CEO HartaBumi, CEO FatHopes Energy, CEO TheLorry dan CEO Arba Travel. Mereka berbincang di Kelab Sultan Sulaiman (KSS) hampir 3 jam di bawah nama Rundingan Muda Malaysia. 

Mengadakan pertemuan pada tarikh kemerdekaan 31 Ogos di Kelab Sultan Sulaiman membawa maknanya tersendiri. Mungkin Syed Saddiq ada sebab tersendiri memilih lokasi KSS dan tarikh tersebut. Namun, Kelab Sultan Sulaiman mengingatkan saya tentang sejarah kesatuan melayu itu sendiri - yang akhirnya dengan izin Allah membuahkan kemerdekaan tanahair pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya asas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.


Kesatuan Melayu

Ringkasnya, pada 1 Mac 1946, Hari Perpaduan Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Ini diikuti dengan Kongres Melayu Se-Malaya pertama selama 3 hari, disertai hampir 200 orang terdiri daripada 41 wakil pertubuhan dan kesatuan sosial Melayu di serata pelusuk negeri termasuk dari Singapura. Antara wakil persatuan yang hadir, adalah Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy sendiri daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan 6 bulan lebih awal (17 Oktober 1945), sebuah parti yang dianggap berhaluan “kiri”. Selain daripada PKMM dan sebuah pertubuhan lain (saya tak jumpa nama persatuan ini), 39 pertubuhan yang lain sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah parti politik orang-orang Melayu di peringkat nasional. Ini menjadi titik tolak kepada penubuhan UMNO ketika Kongres Melayu yang ketiga di Istana Besar Johor Bahru, 11 Mei 1946.

Sumber: http://pesanan-pesanan.blogspot.com/2008/09/melayu-adalah-masyarakat-induk-malaysia_24.html


Penyertaan PKMM pada Kongres Melayu Se-Malaya pertama ini menarik kerana akhirnya PKMM dianggap musuh politik UMNO sebelum merdeka. Slogan PKMM adalah “Malaya Merdeka” manakala slogan UMNO, pada mulanya “Hidup Melayu” ditukarkan kepada “Merdeka” pada tahun 1951. Seperti yang dinukilkan oleh Allhyarham Dr Burhanuddin Helmy di dalam penulisan beliau “Perjuangan Kita”, walaupun pada awalnya PKMM hadir di Kongres Melayu yang pertama atas semangat kesatuan Melayu, namun PKMM mengambil keputusan untuk mengasingkan diri daripada parti UMNO kerana jiwa perjuangan kedua-dua belah parti berlainan landasan. Namun, Allahyarham mengharapkan umat Melayu bersatu padu pada suatu masa.


Politik Tradisional

UMNO, PAS dan secara unjuran parti Bersatu sendiri pada saya adalah parti politik tradisional. Proses pemilihan wakil memerlukan pencalonan dan persetujuan dari pelbagai pihak. Ada parti yang akan membiarkan pimpinan negeri untuk memilih wakil. Ada parti pula yang mahu pusat yang menentukan. Akibatnya, jika anak muda sendiri tidak aktif di dalam gerakan politik tersebut, maka tiada anak muda yang akan terpilih. Anak muda akan dikesampingkan kerana mereka sendiri tidak aktif dalam parti tersebut. Jika ada anak muda sekalipun, mereka perlu memberi keutamaan kepada yang lebih berpengalaman dan berumur kerana mereka yang berpengalaman ini telahpun mendapat sokongan daripada akar umbi parti. 


Sistem pemilhan yang panjang ini telah menjadi darah daging parti, kerana parti-parti ini, khususnya PAS dan UMNO telah melalui proses dan pengalaman yang panjang dan perit sejak sebelum sejarah kemerdekaan negara. Wakil-wakil ini perlu mendapat sokongan akar umbi untuk benar-benar terpilih. Andaikata ada perseteruan, terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi untuk menyelesaikannya, seperti yang berlaku di UMNO antara Datuk Seri Bung Mokhtar dan Datuk Rahman Dahlan baru-baru ini.


Manakala kesatuan dan permuafakatan ketiga-tiga parti Melayu/Islam dan kerjasama bersama parti Pribumi GPS di Sarawak akan memberikan mereka kelebihan besar pada PRU akan datang. Tambahan, kemenangan kerjasama MN/PN baru-baru ini di Slim menambahkan lagi keyakinan mereka. Andaikata parti-parti ini mencalonkan muka-muka baru dan anak-anak muda yang bersih dari skandal-skandal politik, ini mungkin akan menarik lebih ramai pengundi-pengundi muda. 


PKR dan DAP pula saya kira parti yang agak pragmatik. Mereka lebih mudah meletakkan anak-anak muda ketika bertanding di parlimen. Malah, ketika PRU14 18% daripada ahli-ahli Parlimen mereka berusia sekitar 20-39 tahun berbanding hanya 4% daripada BN. Saya tidak terkejut pilihanraya seterusnya mereka akan terus mentrampilkan anak-anak muda sebagai wakil mereka kerana sistem pencalonan mereka kelihatan lebih kemas berbanding parti-parti tradisional. 


Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/438194



Gerakan Muda

Berbalik kepada gerakan anak muda ini. Tiada siapa yang akan dapat menjangkakan sama ada Parti Baru Anak Muda ini akan berjaya atau tidak, kerana politik di tanahair sangat dinamik. Parti Bersatu 5 tahun dahulu pun tiada siapa yang menjangka akan mengemudi negara pada waktu kritikal seperti sekarang. Malah, tidak pula dijangka apabila TSMY dipecat beliau dari UMNO beliau akan kembali menjadi PM pula. Hari ini, Tan Sri Anuar Musa pula umumkan bahawa Bersatu, UMNO (BN) dan PAS telah bersetuju untuk meletakkan satu lawan satu dengan PH lalu satu jawantakuasa akan ditubuhkan untuk pembahagian kerusi. 


Berkenaan parti anak muda, darah muda yang mengalir di dalam diri saya melihat ini sebagai suatu perkembangan positif yang harus diambil kira secara serius oleh parti2 tradisional seperti PAS dan UMNO mahupun Bersatu. Anak-anak muda seangkatan saya mahukan perubahan. Kami serik dengan kebanyakan ahli-ahli politik di kedua-dua belah pihak yang begitu lama berada di pentas politik negara sejak kami di bangku sekolah lagi - pada tahun 80an. Ketika kebanyakan Fortune 500 dikepalai oleh mereka yang berumur sekitar 35-54 dan 25 daripada syarikat tersebut mengaut keuntungan lebih daripada GDP beberapa negara di dunia, lebih daripada separuh ahli parlimen kita sudahpun berumur 56 tahun ke atas. 


Sumber: https://hbr.org/2014/04/how-old-are-silicon-valleys-top-founders-heres-the-data



Di era digital, ramai di kalangan anak-anak muda yang mahukan “disruptive politics”. Mereka tidak mahu mengikut arus biasa yang memerlukan seseorang melalui proses yang begitu sukar untuk menjadi ketua cawangan, ketua bahagian dan seterusnya menjadi wakil di Dewan Undangan Negeri mahupun ahli Parlimen. Mereka hanya mahukan seseorang yang bersih menjadi suara mereka dalam membicarakan isu-isu kemanusiaan, pekerjaan, kebebasan dan hak sebagai rakyat. Pola pemikiran mereka bukan lagi terikat kepada “economic security”, tetapi “economic freedom” dan seterusnya “economic humanity”. Mereka tidak mahu terikat kepada politik identiti.


Di mata anak-anak muda ini, era digital memperbolehkan jurang bandar dan luar bandar ini dirapatkan. Era digital telah memperbolehkan pendemokrasian dan penyebaran maklumat lalu seorang petani muda moden yang berada di Ranau dapat memberikan sumbangan pemikiran kepada pertemuan Rundingan Anak Muda di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Apabila anak-anak muda yang mempunyai aktivisme politik yang tinggi gagal mendapat tempat di dalam parti-parti tradisi seperti UMNO, PAS mahupun Bersatu, mereka akan beralih arah dan mahu bergerak di dalam gerakan baharu yang lebih terbuka dan agresif dalam menaikkan anak-anak muda sebagai ahli DUN atau Parlimen. Ini masa kita. Ini masa anak muda. Itulah slogan mereka.


Andaikata gerakan anak muda ini mengatur strategi dengan bijak, mereka mampu untuk ke hadapan. Saya melihat mereka mempunyai potensi besar. Jika saya berada di tanahair, saya juga berminat untuk membantu gerakan ini kerana saya melihat potensinya amat cerah. Namun, gerakan ini harus ikhlas dalam menjawab beberapa persoalan yang berlegar ketika ini.


Cabaran Gerakan Muda

Di Thailand dan France, gerakan anak muda seperti Future Forward/Move Forward dan La République En Marche berjaya kerana identiti nasional mereka sudah jelas. Teras identiti mereka sama. Manakala di Malaysia, sekalipun identiti nasional jelas berteraskan kebudayaan rakyat rantau ini dan agama Islam seperti gagasan Kongres Kebudayaan 1971, ia seakan-akan belum ada persepakatan dan tidak dipersetujui pihak-pihak tertentu. Oleh itu, untuk bergerak ke hadapan, beberapa persoalan perlu diperjelaskan.


- Antara siri persoalan pertama, apakah definisi gerakan muda? Siapa yang dikategorikan muda? Adakah bawah 50an masih dikira muda? Adakah mereka yang berasa jiwa muda dan perasan muda boleh menyertainya? Apa pula akan terjadi apabila seseorang sudah melangkaui umur tersebut? Apakah platform untuk mereka?

- Siri persoalan kedua, apakah identiti yang akan dibawa gerakan muda ini? Sejauh mana keterikatan gerakan muda ini dengan Pakatan Harapan? Jika masih terbawa dengan pola pemikiran PKR dan DAP, mengapa tidak sertai sahaja parti-parti yang sedia ada? Adakah gerakan ini akan bertanding di kerusi-kerusi Bersatu tempohari atau akan bertanding di kawasan-kawasan kartel Azmin ketika mereka bersama PKR dahulu? Atau adakah gerakan ini tidak akan bertanding untuk PRU15 tetapi akan “berkempen” secara tidak langsung untuk Pakatan Harapan? 

- Siri persoalan ketiga, bagaimana gerakan ini menjana dana? Apakah ada pihak yang berkepentingan memberikan sumbangan untuk gerakan ini? Jawatankuasa yang menggerakkan gerakan muda ini harus telus dalam perkara ini agar tidak timbul kemusykilan bahawa gerakan ini dibayangi pihak tertentu.

- Siri persoalan keempat, apakah pendirian gerakan muda ini dalam isu-isu sensitif di negara kita? Daripada isu pendidikan sekolah vernakular kepada isu identiti nasional.


Akhir kata, kejayaan Kongres Melayu pada 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman adalah di atas dasar kebangsaan yang tinggi ketika menentang pembentukan Malayan Union. Ia merupakan perjumpaan yang mengimpikan gerakan kesatuan Melayu di peringkat kebangsaan. Ia adalah gerakan yang meletakkan kelangsungan umat Melayu Islam sebagai masyarakat induk dan masyarakat teras di tanahair ini. Perjumpaan tersebut, mengumpulkan wakil-wakil persatuan dari pelbagai pola pemikiran untuk bersama-sama menggerakkan kesatuan umat ke arah kemerdekaan negara.


Andaikata gerakan muda ini mengambil pendekatan yang sama, mengumpulkan anak-anak muda dari pelbagai pola pemikiran dan menolak prejudis politik terlebih dahulu, menolak ketaksuban terhadap tokoh politik tertentu, meletakkan identiti yang jelas berpaksikan perlembagaan negara dan berteraskan kebudayaan Melayu Islam, saya kira ia boleh sahaja menjadi kuasa ketiga yang akan memberikan tekanan untuk parti-parti politik sedia ada melakukan perubahan yang sesuai dengan tuntutan zaman. Andaikata mereka tidak terikat dengan PH mahupun MN/PN, mereka mampu menjadi alternatif baharu bagi anak-anak muda yang benar-benar dahagakan perubahan bukan atas dasar ketaksuban kepada individu atau parti, tetapi atas dasar kecintaan kepada negara.


Wallahua’lam.