Saturday 19 December 2020

2020 - Satu Refleksi

Tahun 2020 akan berlalu dalam masa beberapa hari. Begitu banyak krisis yang berlaku. Daripada krisis pandemik COVID-19, krisis sosio-ekonomi dan krisis politik, kesemua yang berlaku mengucar-ngacirkan kehidupan harian rakyat.

Yang paling mengusarkan, krisis politik itu sendiri.

Sebelum tumbangnya kerajaan PH pada 24 Feb 2020 dengan perletakan jawatan Tun M sebagai PM, ramai menaruh harapan dengan kerjasama Muafakat Nasional. Permuafakatan 2 parti terbesar Melayu di Malaysia, mampu mengubah lanskap politik negara setelah sekian lama berseteru. Ramai yang cintakan kedamaian dan keadilan, mahu melihat terjalinnya persepakatan ini agar suara majoriti umat Islam terbentuk dalam satu kesatuan. Tiada lagi pertelingkahan. Tiada lagi perselisihan.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Namun, setelah hampir 10 bulan, ada di kalangan rakyat mula merasakan tiada beza antara PH dan PN. Perselisihan antara parti yang sering kelihatan antara parti-parti komponen PH, mula kelihatan antara UMNO dan Bersatu. Malah, kedengaran pula suara-suara apa gunanya MN kalau pembahagian kerusi adalah antara PN dan BN? Krisis politik di Sabah dan Perak, tambahan suara-suara tuntutan di Kelantan, Terengganu dan Johor memperlihatkan bahawa koalisi politik di Malaysia masih lagi bersifat terlalu dinamik. Apa sahaja kemungkinan pasti berlaku. Malaysia juga sudah hilang hala tuju yang jelas. Tahun Malaysia dijangka mencapai Wawasan 2020, bertukar menjadi tahun kecaluruan. Ironiknya, ia berlaku oleh tangan yang mengimpikan visi itu sendiri. 

Hakikatnya, rakyat tidak mahu melihat lagi pergelutan politik kerana kuasa. Rakyat juga tidak mahu ahli-ahli politik veteran kekal menanam cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri. Rakyat juga tidak mahu ahli-ahli politik yang dibebani dengan skandal-skandal politik yang tidak berkesudahan menjadi pemimpin.

Namun, apa yang saya perhatikan, pemimpin-pemimpin muda sendiri tidak mampu menyaingi ketokohan pemimpin-pemimpin veteran tersebut. Ketokohan pemimpin-pemimpin veteran, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, sama ada UMNO, PAS, PKR, DAP masih jauh meninggalkan pemimpin-pemimpin muda yang sedia ada. Pemimpin-pemimpin muda di dalam parti nasionalis dan islamis masih belum berjaya menambat hati Malaysia “heartland” seperti Tun M, Dato’ Seri Najib dan Tuan Guru Haji Hadi.

Satu sudut, kita inginkan pemimpin muda namun di satu lagi sudut, pemimpin-pemimpin muda masih belum mempunyai kekuatan akar umbi seperti pemimpin-pemimpin veteran.

Apakah jalan keluar? Secara peribadi, saya tidak mahu objektif kesatuan MN terbantut dan tergendala. Satu kerugian besar kepada umat dan civil nationalism apabila ini berlaku. Namun situasi kini terlalu dinamik dan sukar untuk kita jangka apakah bentuk kesatuan politik yang akan menjelma sempena PRU15 nanti. Manakala PN itu pada pandangan saya serupa seperti BN. Bezanya parti PPBM yang menjadi tunjang PN tidak mempunyai suara majoriti tetapi mahu kekal menjadi parti dominan.

Kalau bentuk kesatuan politik masih belum jelas, maka sebagai rakyat biasa kita harus memperjuangkan isu-isu dasar dan polisi. 

Isu-isu ekonomi dan pelaburan.

Isu kos sara hidup.

Isu perumahan.

Isu peluang pekerjaan.

Isu keadilan terhadap Allahyarham Adib

Isu ketelusan Tabung Haji.

Masyarakat sudah lemas dengan isu-isu politik kerana perkara yang sering diperdebatkan serta kuasa yang sering menjadi rebutan tiada kaitan dengan realiti kehidupan seharian. Ahli-ahli politik seakan-akan terpisah dari dunia masyarakat di sekeliling mereka. Kesusahan rakyat yang hilang sumber rezeki, kepayahan mereka yang tidak bergaji mencari sesuap nasi setiap hari, kerunsingan pasangan ibu bapa memikirkan nasib anak-anak bersaing mencari pekerjaan yang semakin mengecil, impian mahasiswa yang baru mendapat ijazah untuk mencari pekerjaan serta pelbagai isu lagi.

Hakikatnya, masih ramai yang hidup susah. Mereka inginkan ahli-ahli politik seperti Ebit Lew yang kelihatan begitu gigih membantu mereka yang hidup dalam kesusahan. Mereka mahukan ahli-ahli politik yang asli atau “authentic”, ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan. Mereka mahukan ahli-ahli politik yang mampu menyuarakan isu-isu rakyat serta memberikan penyelesaian yang praktikal.

Mereka mahukan pemimpin yang jelas halatujunya tanpa berkompromi terhadap identiti asal Malaysia berteraskan kesultanan berperlembagaan dan kontrak sosial yang murni. Mereka mahukan pemimpin yang jelas kiblatnya serta mampu menyatukan pelbagai bentuk kepelbagaian di tanahair ini tanpa mengorbankan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Mereka mahukan pemimpin yang menyatu-padukan, bukan memecah-belahkan.

Moga-moga tahun mendatang, akan lahir pemimpin sebegini di tanahair tercinta.