Wednesday 27 May 2020

Arak dan Kemalangan


1. Ada dua isu di sini. Isu pertama adalah isu arak manakala isu kedua adalah isu memandu di dalam keadaan memabukkan. Penulisan kali ini, agak panjang dari kebiasaan, lebih kepada isu memandu di dalam keadaan memabukkan.

2. Pada tahun ini sahaja, terdapat 7 mangsa meninggal dunia akibat pemandu mabuk yang dilaporkan di media. Ini sudah melebihi rekod kematian maut untuk tahun 2018 dan 2019 yang merekodkan 3 dan 5 kematian berkaitan mabuk/dadah. Mangsa-mangsa tidak bersalah pada tahun 2020 seperti yang dilaporkan media adalah:

a. 10 Feb 2020 - Allahyarham Khairizul Mohamad Nor, 39 tahun, menjadi mangsa rempuhan pemandu mabuk di km 140.2 Lebuhraya Utara Selatan. Manakala isteri beliau, Allahyarhamah Zuriana Hasan, juga mangsa tidak bersalah akibat kemalangan yang sama, meninggal dunia selepas koma hampir dua bulan. Pasangan meninggalkan 5 anak yang kini yatim piatu.
b. 11 Feb 2020 - Allahyarham Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21 tahun dan Allahyarham Mohd Amin Najmi Azaman, 19 tahun, menjadi mangsa rempuhan pemandu mabuk di  km 13 Jalan Lingkaran Luar Butterworth.
c. 15 Feb 2020 - Allahyarham Abdul Salam Saad, 34 tahun, menjadi mangsa tidak bersalah akibat pemandu mabuk di km 17.5 tol Pajam lebuhraya LEKAS.
d. 3 May 2020 - Allahyarham Sarjan Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun, menjadi mangsa tidak bersalah akibat pemandu mabuk di tol Kajang Selatan lebuhraya LEKAS.
e. 26 May 2020 - Allahyarham Herman Kamarudin, 41 tahun, menjadi mangsa tidak bersalah akibat pemandu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan.

3. Kesemua mangsa, kecuali Allahyarhamah Zuriana, meninggal dunia di tempat kejadian. Kes-kes di atas, tidak lagi dikira kes-kes mabuk yang tidak mengakibatkan kematian, yang mengikut statistik kebiasaannya 30% daripada jumlah kadar kemalangan di Malaysia.

4. Pemandu-pemandu mabuk yang merempuh mangsa-mangsa tersebut, akan dan telah didakwa di bawah Akta 44(1)(B) Akta Pengangkutan Jalan (1987) dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara tiga hingga sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM8000 dan tidak lebih RM10000 tahun. PH seperti yang dilaporkan oleh aseanpost mahu menggubal akta tersebut dengan meningkatkan tempoh hukuman kepada 20 tahun penjara dan denda RM100000. Apapun, ketika perbicaraan, andaikata peguam pembela para pemandu mabuk tersebut berkebolehan, kemungkinan mereka akan terlepas dengan hukuman yang ringan.

5. Persoalannya sekarang, adakah hukuman-hukuman tersebut mencukupi untuk mencegah agar kemalangan yang serupa berlaku? Adakah hukuman-hukuman tersebut setimpal dengan sikap cuai pemandu mabuk tersebut? Adakah hukuman-hukuman tersebut, mampu meredakan kesengsaraan dan kemarahan keluarga mangsa?

6. Saya rasakan tidak dan kerajaan harus lebih serius untuk menangani isu ini. Kemalangan-kemalangan yang mengakibatkan kematian orang awam sebegini tidak harus berulang. Andaikata kegagalan terdahulu berulang, ia hanya membuktikan bahawa kerajaan kini tiada beza dengan kerajaan terdahulu dan tidak mempunyai iltizam politik untuk melakukan perubahan yang lebih berkesan. Kerajaan harus lebih proaktif, melihat kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada sidang parlimen pada bulan Julai ini untuk menggubal akta yang sedia ada.

7. Apakah bentuk pencegahan dan penguatkuasaan yang harus dilaksanakan? Semua pihak harus memainkan peranan.

8. Untuk Kementerian Pengangkutan, antara yang boleh diambil kira:
- Menurunkan had alkohol di dalam darah (BAC) daripada 80 mg/100 ml (0.08%) kepada had yang lebih rendah. Negara China, Norway dan Sweden mempunyai nilai BAC yang terendah, 0.02%. Satu kajian mendapati memandu dengan had alkohol di dalam darah melebihi 0.04% meninggikan kebarangkalian terlibat dalam kemalangan. Had akta kita sudahpun melebihi nilai BAC ini.
- Hukuman harus dipecahkan kepada tiga kategori - hukuman memandu melebihi BAC, hukuman memandu melebihi BAC dan terlibat dalam kemalangan, hukuman memandu melebihi BAC dan menyebabkan kematian di dalam kemalangan
- Hukuman harus berdasarkan kandungan alkohol di dalam darah. Lebih tinggi kandungan, lebih teruk hukuman dikenakan. Manakala hukuman denda harus berdasarkan pendapatan pesalah. Di Norway, pesalah yang ditangkap dalam keadaan mabuk dan memandu (belum terlibat dalam kemalangan) harus membayar denda minimum 1.5 daripada gaji bulanan. Kalau beliau CEO dan gaji beliau RM100,000 sebulan, maka denda minima yang harus dibayar adalah RM150,000.
- Manakala kemalangan yang mengakibatkan kematian harus dikenakan hukuman yang lebih berat dari peruntukan akta sekarang.  Hukuman denda harus dipertingkatkan untuk mengurangkan beban kewangan keluarga mangsa. Hukuman penjara harus dipertingkatkan kepada penjara seumur hidup ataupun hukuman mati yang harus dimasukkan di bawah Akta Jenayah sepertimana pendekatan negara Taiwan. Ini kerana pemandu mabuk tersebut menghancurkan keluarga, membahayakan keadaan dan tidak berperikemanusiaan apabila mengambil keputusan untuk memandu di dalam keadaan berbahaya.

9. Manakala Kementerian-kementerian lain harus memainkan peranan lebih proaktif untuk membantu pencegahan memandu di dalam keadaan mabuk dengan mengambil kira saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pengalaman negara-negara lain terutama negara Scandinavia seperti:
- Mempertingkatkan kadar cukai atau lesen ke atas penjualan alkohol. Hasil cukai tersebut digunakan untuk kempen-kempen mempertingkatkan kesedaran bahayanya memandu di dalam keadaan mabuk.
- Semua pihak yang terlibat dalam penjualan arak secara langsung diwajibkan untuk memantau pelanggan mereka agar tidak memandu dalam keadaan mabuk. Ini boleh dilakukan contohnya dengan mengambil kunci kereta pelanggan yang kelihatan terlalu mabuk dan menyerahkan kepada “designated driver” jika ada atau memanggil teksi.
- Untuk memastikan semua pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan, Akta juga harus dipinda untuk mengenakan hukuman kepada penjual atau kawan-kawan pemandu yang secara langsung menjual atau bersama dengan pemandu sebelum kemalangan. Ini akan memastikan penjual dan rakan-rakan pemandu bersikap lebih proaktif untuk tidak membenarkan pembeli atau kawan-kawan mereka memandu di dalam keadaan mabuk.
- Mengurangkan tempoh waktu kedai-kedai yang menjual arak ketika hari-hari bekerja (Ahad-Khamis).
- Mempertingkatkan kesedaran berkenaan bahayanya memandu di dalam keadaan mabuk dan menyediaan bantuan untuk mereka yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada alkohol.
- Mengenali “zon-zon panas” dan mempertingkatkan pemeriksaan pernafasan (Random Breath Testing) di “zon-zon panas” terutama di malam minggu untuk memastikan kadar alkohol pemandu di bawah had yang dibenarkan. Di Australia, peningkatan RBT membantu mengurangkan kadar kemalangan akibat alkohol sebanyak 23%.

10. Ada banyak lagi saranan yang boleh diambil dari negara-negara lain. Pelajaran itu ada bagi pihak kerajaan andaikata mereka benar-benar serius dalam menyelesaikan masalah ini. Isu arak adalah isu besar manakala isu memandu dalam keadaan mabuk jika tidak dicegah adalah berbahaya kepada masyarakat, memusnahkan kebahagiaan keluarga, memecah-belahkan jiran tetangga, memusnahkan harta benda tanpa mengira agama mahupun bangsa.

11. Semoga tiada lagi kematian-kematian berulang daripada mangsa rempuh pemandu mabuk selepas usaha memperketatkan perundangan dan pencegahan yang lebih drastik. Benarlah kata-kata Saidina Uthman ra.

اجْتَنِبُوا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا أُمُّ الْخَبَائِث -
Jauhilah khamar (arak) kerana ia adalah ibu segala kemaksiatan.

Wallahua’lam.