Friday 10 December 2010

Isu Ketuanan Melayu

  • Perbincangan isu ketuanan melayu semakin rancak di alam maya ini. Saya tidak mahu mengupas panjang, cukuplah saya letakkan asas pemahaman saya sendiri tentang isu ketuanan melayu.
  • Isu ketuanan melayu ini memerlukan pemahaman dan bentuk perbincangan yang lebih konstruktif. Pada saya, pertama sekali kena letakkan benchmark apa yang dimaksudkan dengan istilah ketuanan melayu. 
  • Andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan umat Islam kekal sebagai peneraju kepemimpinan politik di tanahair, kita setuju. Andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan orang melayu beragama Islam menunjangi sektor perbankan Islam, ekonomi Islam, pendidikan, pertahanan dan sosio-ekonomi di tanahair, kita setuju. 
  • Andaikata yang dimaksudkan dengan ketuanan melayu adalah mengajak dan berdakwah kepada majoriti umat Islam di tanahair yang rata-rata berbangsa melayu agar tidak dominan di dalam "sektor" yang menghasilkan Mat Rempit, penagih dadah, keciciran sekolah, pengangguran, pelacuran, kemiskinan tegar dan perpecahan antara satu sama lain, kita setuju.
  • Namun, apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memastikan hanya segelintir umat melayu kaya melalui sistem penindasan tidak telus, kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan bererti menzalimi bangsa lain yang tidak beragama Islam, ini kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu yang dimaksudkan bererti kita mendiskriminasikan kaum-kaum lain di tanahair dalam kerangka sistem pemerintahan sekarang, ini kita tidak setuju. Apabila ketuanan melayu bererti kita tidak menghormati cara hidup bangsa lain, meminggirkan bangsa lain dan meniru mirip penindasan apartheid, Nazism, zionism etc, kami bangkang sekeras-kerasnya. 
  • Andaikata ketuanan melayu dimaksudkan sebagai mengagung-agungkan bangsa melayu mengatasi agama Islam, kami tolak sama sekali. Andaikata ketuanan melayu menolak hak-hak asasi bangsa-bangsa lain di tanah air, ini kita tidak setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna membiarkan pemimpin Islam yang zalim menguasai tampuk pemerintahan, ini kita tidak setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna Islam eksklusif untuk bangsa melayu, ini kita tolak seratus peratus.
  • Namun, andaikata ketuanan melayu yang dimaksudkan adalah memperjuangkan dan menaikkan martabat orang Melayu yang seagama, supaya ia menjadi satu bangsa yang kuat, maju, bersatu dan disegani di tanah air, ini kita setuju. Andaikata ketuanan melayu bermakna menjadikan bangsa melayu beragama Islam sebagai bangsa utama yang menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, ini kita setuju. 
  • Sama ada ini digunakan sebagai talian hayat oleh sesebuah parti politik, terpulanglah kepada parti tersebut. Moga prinsip-prinsip yang dinyatakan adalah jelas. Wallahua'lam.