Friday 10 January 2014

Mengapa Asyik Bangkitkan Isu Aqidah?


- Semasa akhir tahun 80an dan awal 90an apabila pelbagai projek mega diumumkan seringkali kedengaran dalam ceramah umum tentang bahaya pembangunan ekonomi tanpa diseimbangkan dengan pembangunan rohani. Apabila Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991, ramai di kalangan para ulama yang menegur mengatakan bahawa pembangunan material yang berlebihan tanpa meletakkan Islam sebagai panduan akan merugikan umat untuk jangka masa yang panjang.

- Andaikata zaman tersebut mempunyai internet, sudah pasti kritikan-kritikan tersebut sudah berada di dalam rakaman alam maya.

- 23 tahun sudah berlalu…amaran-amaran yang diberikan oleh para ulama dan ustaz terdahulu semakin menjadi realiti. Gejala sosial makin menjadi-jadi dan cara hidup hedonisme dan cinta materialisme secara berlebihan semakin ketara.

- Saya tidak mengatakan bahawa peningkatan taraf hidup dan projek-projek mega ekonomi tersebut tidak membawa keuntungan kepada rakyat. Tidak! Namun saya mengatakan bahawa apabila hanya ekonomi menjadi fokus tanpa meletakkan aqidah sebagai paksi, kemajuan yang tercapai tidak mampu dipelihara oleh tamadun tersebut.

- Mungkin kata-kata almarhum Syeikh Ramadhan al-Buthi rahimahullah di dalam kitab Fiqh Sirah lebih tepat dalam menerangkan hal ini.

- "Tidak ada erti hidup tanpa agama, tidak ada erti hidup sekiranya agama sudah hancur, malah penghidupan tanpa agama lambat laun akan musnah dan binasa. Sekiranya agama dapat mengambil tempatnya dalam tiap hati sanubari manusia, suruhannya dapat dipraktikan di dalam masyarakat, percayalah bahawa segala apa yang dikorbankan demi kesucian agama itu tidak hilang begitu saja malah bangsa itu dianggap segagah-gagah bangsa dan kesucian agamanya tidak dicerobohi.

- Ini adalah undang-undang Tuhan di muka bumi ini sejak dahulu lagi, di mana kekuatan rohani merupakan bekalan pelindung dan ‘azimat untuk mengawasi dan mengawal kedaulatan dan keutuhan kebendaan setiap bangsa yang tinggi akhlaq, ‘aqidah kepercayaannya yang sihat dan penghidupan kemasyarakatannya yang harmoni, maka suasana kebendaannya juga turut seimbang dan kukuh. Bangsa yang pincang, masyarakat yang akhlaqnya sudah runtuh dan ‘aqidah pegangan sudah tidak ada lagi maka percayalah suasana material dan sumber kekayaannya juga akan turut runtuh menjunam ke dasar kehancuran yang menyeluruh.

- Kemungkinan engkau akan bertemu dengan satu bangsa di mana pemasyarakatannya sudah pincang dan perjalanan rohaninya sudah tempang tetapi masih lagi tegak dan gagah ekonomi dan materialnya. Sebenarnya bangsa ini dalam perjalanan ke jurang kehancuran. Mungkin engkau tidak nampak dan rasa perjalanannya ini kerana umur manusia terlalu singkat, perjalanannya menuju ke jurang kehancuran ini dapat dilihat dan mata sejarah sahaja dan sejarah sahaja yang menjadi saksi.

- Kemungkinan juga engkau akan bertemu dengan suatu bangsa yang begitu merosot ekonominya
kerana mempertahankan ‘aqidah kepercayaannya yang suci dan ingin membina sebuah masyarakat yang adil dan sihat. Percayalah masa kemerosotan ekonomi ini tidak akan berlarutan dan di dalam beberapa masa yang singkat sahaja, bangsa ini akan bangun menyuburkan penganjur ideologinya akan membimbing tangan rakyat jelatanya untuk membangunkan semula kemajuan ekonomi dan tidak berapa lama terlihatlah satu bangsa yang kuat pegangannya dalam ‘aqidah dan ekonominya kembali stabil, iaitu satu bangsa yang lemah tetapi kembali kuat dan makmur kerana mempertahankan kedaulatan agamanya.

- Kita tidak akan dapat suatu contoh yang sihat tentang ‘alam manusia dan penghidupan kecuali di dalam ‘aqidah kepercayaan Islam sahaja. Ini ialah kerana Islam agama Allah untuk seluruh hambaNya, begitu juga kita tidak akan dapat suatu sistem masyarakat yang tersusun rapi kecuali Islam saja yang sanggup merangka dan rnenyusun sistem dan penencanaan masyarakat yang adil. Oleh itu maka antara teras—teras da’wah Islamiyyah ialah mengorbankan harta benda, negara dan penghidupan seluruhnya demi mempertahankan kedaulatan Islam. Pengorbanan demikian akan memberi jaminan kepada keselamatan kekayaan negara dan penghidupan rakyatnya."

- Adakah kita mahu mengulangi kesilapan yang sama 23 tahun yang lepas dan mengabaikan topik aqidah semata-mata apabila disentuh oleh orang politik kepartian dari parti lawan, ia menjadi busuk dan kelihatan palsu? Saya berharap jawapan kita tidak. Semoga menjadi peringatan buat diri, teman dan keluarga.

Wallahua’lam.