Friday 23 July 2010

Kesatuan Umat – Tidak Perlu Pembubaran Parti

Rata-rata sekarang semua mulai berbicara semula berkenaan penyatuan umat Islam di Melayu.

Beberapa kupasan menarik yang saya jumpa:

1.                   - Ustaz Harussani
“Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.”

“Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.”

“Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.
Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63

"Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

2.                   - Dr Ridhuan Tee
“Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.”

“Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.”

“Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?”

“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh. Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita.” 

3.                   - Ustaz Nasrudin Hassan An-Tantawi
“Ringkasnya , dunia hari ini khasnya negara kita juga perlukan surat atau risalah Rasulullah saw ini iaitu Aslim Taslam . Ianya sesuai dihantar sewaktu UMNO dan BN ghairah mengajak PAS bersatu . Saya kata : Pelan Damai untuk ummat ini ialah Islam atau dalam erti kata lain ialah Aslim Taslam . Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Pastinya ia merupakan seruan kepada semua bukan terhenti antara PAS dan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat dalam negara ini dan juga semua parti dan NGO .

Dengan itu , saya berlepas diri ini dengan apa jua percubaan siapa jua untuk memesongkan dan menyalah tafsirkan maksud saya dalam Pelan Damai yang saya cadangkan kepada seluruh ummat Manusia dalam negara ini . Pelan saya mudah :Aslim Taslam : Islamlah nescaya kamu selamat . selebihnya : 
No Islam No Talk

Begitulah beberapa bahagian yang saya ambil dari penerangan 3 tokoh di atas.

Alhamdulillah dengan niat ikhlas mereka yang mahukan umat ini bersatu.

Majlis Kesatuan Islam Peringkat Kebangsaan
Sama ada kupasan-kupasan di atas hanya strategi atau mainan politik, kita harus melihat ini dengan minda terbuka. Pada pandangan saya, seperti entri-entri peribadi sebelum ini saya menyokong sepenuhnya penyatuan umat Islam melayu di dalam satu platform yang khusus. Dari sudut geo-politik negara Malaysia, kedudukan Islam bergantung kepada kesatuan ini.

Pada saya, tidak perlulah ambil keputusan drastik dengan membubarkan parti-parti politik terbesar bangsa melayu untuk menyatukan umat ini. Seruan ini pada saya tidak praktikal, terlalu beremosi dan hanya menimbulkan lebih banyak permasalahan pada waktu ini. Kesatuan umat ini sebenarnya mudah terbina hanya melalui pembentukan satu majlis gabungan umat Islam peringkat kebangsaan di atas platform Islam. Penaung secara tidak langsung adalah DYMM Yang Dipertuan Agung dan anggota utama adalah dari majlis tertinggi kedua-dua parti, tokoh Islam yang berpengaruh dari parti lain atau NGO lain, majlis penasihat terdiri dari para ulama dan tokoh ilmuan Islam tempatan. Dasar majlis gabungan ini ringkas dan mudah, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Apabila sudah terbentuk kesatuan, janganlah menjumudkan konteks majlis ini dengan membincangkan tentang hukuman memakai baju Manchester United, yoga, isu bertudung atau berjanggut, isu fiqh baca Yasin malam jumaat dan amalan nisfu syaban dan perkara-perkara dari segi awlawiyyatnya (keutamaannya) adalah kecil berbanding dengan isu-isu seperti pembuangan anak, isu hak asasi manusia dan akta ISA dari segi Islam, isu pecah amanah, isu korupsi, isu pembaziran dana negara, isu penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. 

Objektif awal majlis kesatuan ini sekurang-kurangnya dari 3 asas:
·         Tanggungjawab pemerintah dari sudut Islam
·         Menghormati aspirasi rakyat dari sudut Islam
·         Memelihara perpaduan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia

Selepas berbincang tentang isu, bentuk langkah penyelesaian yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Langkah-langkah penyelesain dan aspek perbincangan sekurang-kurangnya merangkumi 3 aspek – aspek sosial, politik dan ekonomi.

Entri-entri yang lepas saya memfokuskan kepentingan perpaduan umat dari segi politik dan sosial. Entri kali ini, saya akan menyentuh kepentingan perpaduan umat Islam dari segi ekonomi.

Asas Ekonomi Islam
Asas terpenting ekonomi Islam adalah harta yang halal dan baik sebagai tunggak kehidupan. Islam mengajar kita mencari rezeki yang halal. Zuhud di dalam Islam tidak bererti sanggup hidup dalam kemiskinan dan melarat. Zuhud di dalam Islam bererti jangan terlalu mengejar dunia, pembaziran atau menggunakan harta untuk tujuan kemaksiatan dan mengkufuri nikmat Allah. Konsep Islam,

فسير في لأرض واستبق الخيرات
“Maka berjalanlah atas muka bumi mencari pencarian kehidupan dan berlumba-lumbalah beramal kebajikan”
Konsep Islam bukan sebaliknya, yakni  berlumba-lumbalah di atas muka bumi dalam mengejar pangkat, harta dan kemewahan manakala berjalanlah dengan perlahan dalam beramal kebajikan.

Antara asas ekonomi Islam adalah bekerja bagi yang mampu dan mentadbir urusan kewangan mengikut lunas Islam. Islam menggalakkan manusia bekerja malah bagi yang berkemampuan, wajib bekerja. Islam inginkan umatnya mahir dan berprofesional atau itqan dari konteks Islam. Islam mengecam umatnya yang menganggur sekalipun alasan untuk tujuan beribadat. Islam mengecam umatnya yang menyalahtafsirkan konsep tawakkal kepada Allah swt. Rezeki, berkait dengan usaha yang berterusan. Pentadbiran urusan kewangan sama ada personal finance atau corporate finance harus terbina dan memelihara kepentingan individu atau masyarakat.

Antara asas ekonomi Islam adalah memastikan keperluan asasi rakyat dibina di dalam negara oleh rakyat atau syarikat tempatan. Tanah dan asset, sistem pengangkutan, perhubungan, makanan asasi seperti daging, gula, garam dan sebagainya harus disokong sama ada melalui pembangunan industri kecil atau besar. Begitu banyak tanah yang terbiar, begitu banyak pemilikan tanah di ibukota dimiliki oleh rakyat negara luar tanpa kawalan yang jelas, begitu banyak keperluan rakyat diimport dari negara jiran.

Antara asas ekonomi Islam adalah mengembangkan industri pertanian, perladangan, penternakan, perusahaan besar atau perusahaan kecil serta membina kepakaran di dalam negara oleh rakyat tempatan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa di samping menjalin hubungan akrab dengan negara Islam lain.

Antara asas ekonomi Islam adalah melaksanakan sistem cukai dan zakat serta pengagihan kekayaan dengan adil dan saksama. Islam menghalang konsep monopoli dan penimbunan harta yang menghalang aliran matawang secara rasional. Islam menetapkan konsep zakat yang jelas bagi memastikan aset individu dan masyarakat sentiasa bersih dari sifat tamak haloba. Islam memastikan konsep cukai tidak membebankan rakyat. Islam mahu sebarang dasar perubahan ekonomi tidak drastik dan membebankan masyarakat terutamanya yang masih tidak berkemampuan. Mungkin salah satu cara adalah mengenakan cukai import yang tinggi kepada kereta mewah kerana pembelinya adalah dari golongan kaya manakala kereta-kereta biasa tidak perlu dikenakan cukai import yang tinggi agar memudahkan sesiapa yang berpendapatan kecil serta sederhana merasai kereta yang berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Alangkah indahnya, apabila ekonomi islam terlaksana…maka sikap yang diambil oleh pemerintah mencerminkan keadilan sistem ekonomi Islam. Apabila menyebut keindahan ekonomi Islam, terkenang saya kepada kehidupan khalifah rasulullah saw saidina Abu Bakr dan Saidina Umar radiallahuanhuma. Terkenang cerita Saidina Abu Bakar ra yang masih memerah susu kambing sekalipun sudah menjadi khalifah umat yang mampu menewaskan tentera Parsi dan Rom. Terkenang cerita Saidina Umar ra ketika terserempak dengan seorang Yahudi dalam keadaan meminta sedekah. Saidina Umar ra, menegurnya kenapa meminta sedekah. Apabila Saidina Umar ra mengetahui ketidakupayaan yahudi tersebut mencari rezeki, khalifah umat ini mengucapkan sesuatu yang menyentuh hati,

ما أنصفناك يا هذا، أخذنا منك الجزية قوياً وأهملناك ضعيفاً، افرضوا له من بيت
المال ما يكفيه
“Alangkah tidak adilnya kami kepada engkau, kami ambil jizyah ketika engkau kuat dan kami abaikan engkau ketika lemah. Berikanlah kepadanya sumbangan Baitul Mal yang secukupnya”

Apakah ada demonstrasi keadilan dan bersifat kemanusiaan yang lebih baik dari ini?

Perlaksanaan Prinsip-prinsip Islam Melalui Kekuatan Perpaduan Umat

Kesatuan umat tidak perlu pembubaran parti-parti yang sedia ada. Permuafakatan dapat dibina melalui unit-unit kecil yang bersatu. Oleh sebab itulah, Islam pada peringkat awal menyatukan aqidah terlebih dahulu. Apabila kita sudah cukup pengalaman bekerjasama atas prinsip persaudaraan, barulah dapat dibina perpaduan yang mutlak.
Ekonomi prinsip Islam hanya dapat terlaksana apabila umat Islam mempunyai kekuatan. Antara pra-syarat kekuatan adalah kesatuan umat. Di dalam konteks geo-politik di Malaysia, ini bermakna umat melayu yang beragama Islam.

Kita tahu di mana kedudukan ekonomi kita. Kita sedar di mana kedudukan politik kita. Kita insaf di mana kedudukan sosial kita. Namun tahu, sedar dan insaf belum mencukupi. Melakukan pengislahan dalam keadaan umat Islam berpecah dengan dikotomi politik juga menyebabkan umat ini terdedah kepada ancaman musuh Islam yang bersatu. Saya yakin dan pasti, ramai di kalangan umat Islam sama ada di dalam PAS, PKR atau UMNO serta non-partisan mencintai agama Islam.

Yang tinggal, hanyalah untuk kita berlumba ke arah kebaikan sistem Islam secara syumul. Yang tinggal, hanyalah perpaduan umat.

Fikir-fikirkanlah. Wallahua’lam.