Friday 26 December 2008

Soalnya Aqidah - Anda Pasti Dengan Aqidah Anda?

Bayangkan kita berada dalam siri Who Wants To Be A Millionaire versi Malaysia dan Jalaluddin Hassan tanya soalan tersebut kepada kita, "Anda pasti dengan aqidah anda?", apa agaknya kita nak jawab. Apabila tiba masanya, bukan Jalaluddin Hassan yang tanya tapi Malaikat Mungkar Nakir yang bertanya, "Ma Rabbuka?" atau "Siapa Rabb kamu?". Mampukah kita menjawab?
Persoalan aqidah ini memang satu persoalan yang penting khususnya umat Islam di Malaysia. Ini kerana syllabus kebangsaan pada pandangan saya tidak menjawab dan mendidik anak-anak Islam dengan konsep aqidah yang shahih. Oleh itu, terjadilah pencemaran aqidah yang lahir darinya kekeliruan apabila anak-anak tersebut membesar. Di satu pihak, kita akan dapati mereka yang terlampau “protective” tentang Islam sampai kitab lain tidak boleh menggunapakai bahasa Melayu. Di satu lagi pihak pula kita akan dapati satu golongan yang sympathetic lalu dengan secara tidak sengaja umpamanya mengucapkan selamat hari natal kepada rakan/ahli keluarga yang beragama kristian.

Di sinilah penerangan tentang aqidah secara menyeluruh itu penting.

Hari Natal atau Krismas. Ini satu perbincangan yang menarik. Saya suka mengumpamakan ia seperti menegur abang kita yang gian main Play Station, adakah kita akan mengukuhkan ketagih beliau dengan join beliau main Play Station atau kita tegur dia dengan baik dan biarkan dia? Sudah pasti kita tak reinforce dengan bermain bersama, sebab nanti kita pulak gian nak main Play Station. Tapi setelah kita tegur abang kita kita biarkan dia dengan amalan dia. Jangan ganggu dia. Begitu juga tentang krismas. Setelah kita terangkan prinsip kita, biarkan mereka dengan sambutan mereka.

Apakah prinsip kita? Nabi Isa AS lebih dekat dengan kita dari mereka. 25 Disember bukan tarikh lahir beliau. Pokok krismas (dipercayai berasal dari kepercayaan orang German sebelum kedatangan Kristian), bapa krismas (ada yang mengatakan ia adalah Santa Claus yang berasal dari Sinterklaas atau St Nicolas manakala ada pula mengatakan ia watak yang dicipta sebagai percubaan menentang gerakan Puritan yang mengkritik sambutan Krismas pada abad ke 17) dan tarikh krismas (tarikh tersebut adalah perayaan Roman untuk Dies Natalis Solis Invicti atau Hali Kelahiran Sol Invictus, "Unconquered Sun") seumpama menghina Nabi Isa AS kerana ketiga-tiga unsur tersebut tiada kena mengena dengan Nabi Isa AS sama ada secara langsung atau tidak langsung. Search atau google sahaja internet tentang asal usul krismas, kita akan dapati ia berkait rapat dengan ajaran pagan Rome atau German daripada ajaran Nabi Isa AS sendiri.

Ada yang berkata kita masyarakat majmuk, harus bersikap toleransi. Rasulullah saw adalah orang yang paling tolerant atas muka bumi ini. Adakah terdapat dalam sirah mahupun hadith rasul saw bagaimana baginda mengucapkan Selamat Hari Natal kepada orang Nasrani di zamannya sedangkan kalau difikirkan rasulullah saw yang paling layak mengucapkannya dari segi kedudukan rasul? Jawapannya tiada.

Ada yang berkata Nabi Isa AS pengasas agama Kristian maka kita tidak layak membela beliau? Masakan tidak, sedangkan Nabi Isa AS merupakan salah seorang rasul yang wajib dipercayai dan andaikata sesiapa di kalangan umat Islam tidak mempercayai beliau maka terkeluar beliau dari aqidah Islam? Maka sewajibnya kita tidak memberi ucapan Selamat Hari Natal kepada mereka kerana tarikh 25 Disember itu tidak ada kaitan langsung dengan Nabi Isa AS malah kalau bahasa kasar sedikit, satu penghinaan kepada Nabi Isa AS.

Ada yang berkata bahawa mereka boleh mengucapkan selamat hari raya kepada kita, kenapa kita tidak boleh? Jawapannya andaikata ucapan selamat hari raya itu tidak mengganggu ajaran mereka maka biarkan kerana itu hak mereka. Bagi mereka amalan mereka bagi kita amalan kita.

Ada yang berkata masakan ucapan semudah Selamat Hari Natal menyebabkan kita tersongsang dari aqidah? Masakan tidak, bukankah ucapan tersebut secara tidak langsung mengiktiraf bahawa Nabi Isa AS lahir pada 25 Disember? Bukankah ucapan tersebut secara tidak langsung mengiktiraf Nabi Isa AS setanding dengan Allah swt? Bukankah ucapan tersebut secara tidak langsung mengatakan bahawa Allah beranak? Nauzubillahi min dzalik. Maha Suci Allah swt dari segala perkara bidaah tersebut.

Ini tidak bermakna kita menyiksa mereka, menghina mereka, mencaci mereka, memaksa mereka etc. Tidak, jauh sekali. Malah, kita harus terus menghormati mereka dan amalan mereka. Ini bermakna kita memberikan mereka ruang untuk mengamalkan agama mereka. Ini bermakna kita jangan mengganggu amalan dan tradisi mereka. Andaikata amalan tersebut merupakan sebahagian amalan mereka, biarkan. Mereka ada hak. Itulah sunnah rasul saw. Selagi sesuatu perkara tidak membabitkan aqidah kita secara langsung atau tidak langsung, maka mereka bebas menjalankannya.

Ada di kalangan kita yang takut penggunaan nama Allah atau bahasa Malaysia di dalam Old dan New Testaments akan mengelirukan kita. Mengapa harus takut? Kitab tersebut ada dalam bahasa Arab tidak pulak mengelirukan orang di si Timur Tengah. Malah, mereka secara langsung boleh melihat betapa jauhnya struktur bahasa Arab terjemahan testament versus AlQuran. Mereka yang takut seakan-akan tidak yakin dengan agama sendiri. Mengapa tidak yakin? Kerana persoalan aqidah tidak dijawab dan dikupas secara menyeluruh, tepat dan jelas. Andaikata dasar ketuhanan dan Ilah diterangkan secara jelas, saya yakin tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan kitab testament dibuat di dalam bahasa Melayu. Malah, saya lihat ini sebagai peluang untuk berdakwah kepada mereka konsep ketuhanan yang sebenar. Bahawa Allah itu Satu, Allah itu Esa dan Allah tidak menyerupai sesuatu makhluk.

Semua agama yang ada ingin menyembah Allah swt, yang Maha Mencipta. Namun, ada antara agama-agama ini merekacipta atau mengaitkan makhluk sebagai pengantara/orang tengah/etc atau memberi kuasa kepada individu dengan kuasa ketuhanan. Ini yang salah. Ini yang tak betul. Mereka mengaitkan Allah swt tanpa ada approval dari Allah swt. Mereka mencipta pelbagai inovasi tentang Tuhan, manakala Islam diturunkan untuk membetulkan aqidah manusia tentang konsep ketuhanan bahawa Allah itu Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak perlu ada pengantara untuk memohon ampun atau meminta pertolongan. Tuhan mereka adalah Allah, sebagaimana tuhan kita adalah Allah.
Kita harus berusaha membersihkan dan mengukuhkan aqidah kita dengan ajaran Islam yang sebenar. Ini boleh dilakukan di peringkat individu atau berkumpulan. Malah, khutbah Jumaat boleh digunakan sebagai platform untuk menerangkan hal ini dengan lebih jelas. Kelas dan perbincangan tentang perbandingan agama harus diperbanyakkan. Ini boleh dilakukan melalui program-program Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk (DDMM) anjuran salah satu NGO (JIM)di Malaysia. Persoalan aqidah bukan soal main-main dalam Islam dan harus dilakukan oleh mereka yang benar-benar berilmu di dalam hal ini. Alhamdulillah di Qatar, setakat ini 2 khutbah Jumaat telah menyentuh tentang sambutan krismas. Mahu tidak mahu, penerangan tentang aqidah secara menyeluruh dan jelas harus dilakukan supaya apabila tiba masanya soalan seumpama itu ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nakir, kita dengan yakin menjawab "Allahu Rabbi".

Maha Suci Allah, Tuhan Sekalian Alam.