Monday 2 June 2008

Susahnya Mendidik Anak Zaman Sekarang - Part 2

Kita dan anak-anak kita merupakan dua generasi yang berbeza. Begitu juga kita sendiri dengan ibu ayah kita. Zaman mereka, berbeza dengan zaman kita. Cara hidup kita tidak sama dengan cara hidup mereka. Teringat cerita ayah saya yang berumur 20an ketika kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Ayah menceritakan bagaimana susahnya kehidupan zaman tersebut dan bagaimana waktu tersebut tak kurang jugak yang bersembunyi di hutan. Masuk di hutan, jumpa pulak keluarga-keluarga lain. Kenderaan dan alat mainan waktu tersebut sudah tentu berbeza. Tak payah mimpi la dapur gas, TV berwarna, laptop, internet etc etc. Walaupun nilai kebendaan berbeza apa yang pasti, dari segi nilai hidup, masih sama. Apatah lagi kita yang beragama Islam, garis panduan kehidupan sebagai muslim jelas. Sumber nilai-nilai keimanan kita masih sama, Al-Quran dan As-Sunnah. Anak-anak harus beriman kepada Allah, menghormati ibu bapa, berdisiplin, tidak menipu etc etc. Itulah garis panduan kehidupan.

Cuba bayangkan zaman para sahabat dan salafussoleh. Kehidupan mereka zuhud dan mereka sering mengelak untuk hidup bermewah. Kita bayangkan pula, apa agaknya nilai kemewahan zaman dulu terutama di padang pasir. Rumah yang dianggap sebesar istana pun sudah pasti takde kipas apatah lagi aircond. Paling tinggi pun, ada la hamba yang tukang kipaskan. Itupun, tak ler laju mana. Silap gaya, bulu ayam kipas tuh masuk hidung masa tidur. Kalau malam, pasti bergelap sebab elektrik belum ada. Dapur gas memang confirm takde. TV tak yah cerita la. Jadi, apa sangat la nilai kemewahan zaman sahabat tersebut. Itupun dianggap mewah. Itupun mereka sering berdoa supaya dunia tidak dijadikan tujuan hidup mereka yang kekal. Walhal, rumah yang mewah pada zaman dahulu mungkin dianggap macam "reban ayam"untuk orang zaman sekarang. Walhal, agaknya kalau para salafussoleh zaman tersebut tengok setinggan yang ada dish Astro zaman sekarang mesti dah rasa ini satu kemewahan yang melampau. Belum tengok rumah kos rendah untuk rakyat. Jadi, nilai materialisme berubah namun kita sebaliknya sudah pasti bercita-cita ingin memiliki nilai keimanan yang sama dengan mereka.

Kita boleh la umpamakan perhubungan antara nilai keimanan dan materialisme ini seperti petrol dan evolusi kenderaan. Bahan bakar ini secara semulajadi tidak berubah, masih sama. Mungkin hasil penyulingan yang lebih baik menghasilkan bahan bakar yang lebih bermutu, pokoknya komponen asalnya masih sama - hydrocarbon. Namun, kenderaan yang menggunakan petrol ini berbeza. Dari kereta yang berbentuk kotak, mungkin 2 tempat duduk, 2-3 gear sahaja pada zaman dulu kepada bentuk yang lebih aerodynamic, interior yang lebih selesa dan gear automatic pada zaman sekarang. Dari segi fizikal, ada peningkatan yang ketara. Walaupun peningkatan yang ketara, yang pasti, "darah" yang mengalir dalam kenderaan-kenderaan yang berasaskan petrol tersebut masih hydrocarbon. Pendek kata, nilai materialisme berbeza tapi nilai keimanan masih sama.

Persoalannya sekarang, kalau nilai-nilai keimanan ini masih sama kenapa anak-anak muda zaman sekarang berbeza dengan kita zaman dahulu? Malah jika kita bawa soalan ini kepada persoalan global, kenapa generasi umat Islam sekarang berbeza dengan generasi umat Islam terdahulu? Adakah kerana perbezaan dari segi material yang menyebabkan nilai hidup kita berbeza dari ibu bapa kita? Adakah kerana anak-anak kita ada Play Station atau Wii menyebabkan nilai-nilai keimanan mereka berbeza? Adakah kita perlu membuang alat mainan mereka untuk mereka mendapat nilai keimanan yang sama? Malah, agaknya lebih ekstrem suruh mereka duduk dalam khemah di tengah padang pasir untuk mencapai keimanan para salaf? Sudah pasti tidak.

Apa jawapannya? Andaikata kita umpamakan Quran dan sunnah itu "petrol", mungkin jawapan dalam bentuk tamsilan yang mudah, setiap generasi nampak gayanya tidak mengisi dari petrol stesyen yang sama. Andaikata para sahabat "mengisi" stesyen minyak langsung dari Rasul saw - dalam erti kata 100% petrol, kita mungkin isi minyak dari stesyen minyak 20% petrol dan 80% air manakala generasi sekarang mungkin isi minyak dari stesyen minyak 10% petrol dan 90% air. Maknanya, nilai-nilai keimanan kita tidak semestinya sama dengan nilai-nilai keimanan anak-anak kita mahupun ibu bapa kita. Jadi, isunya bukan isu material kerana "nature" material itu berubah. Isunya bukan juga isu nilai-nilai keimanan kerana sumber nilai keimanan itu masih sama, Al-Quran dan As-Sunnah. Yang berbeza adalah dari mana kita mendapatkan nilai-nilai keimanan ini. Dari sumber yang sahih (Quran dan Sunnah) atau kita campur adukkan dengan nilai-nilai lain dari sumber yang berbeza pula?

Saya rasa contoh yang jelas, adalah pengalaman saya dengan anak saya malam semalam. Biasanya saya tak pernah menidurkan anak dengan membaca buku kepada mereka. Paling tinggi pun, saya ingatkan mereka membaca doa tidur dan 2 kalimah syahadah sebelum tidur. Entah mengapa, tetiba anak sulung saya malam semalam bawa 3-4 keping buku ke tempat tidur beliau dan meminta saya bacakan buku tersebut untuk beliau tidur. Terkejut juga saya. Saya tanya beliau dari mana beliau dapat idea ini? Jawapannya, dari Barney kat TV. Kuat betul pengaruh Barney nih. Sedang saya upload gambar barney nih pulak, anak perempuan saya pulak excited sambil sebut, "Barney, Barney" dan nyanyi lagu Barney.


Terkejut juga saya. Saya tak marah dan saya tak katakan salah bacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur, tapi mesej utama yang nak disampaikan adalah begitu mudah anak-anak menceduk amalan dari TV sahaja. Mujur itu amalan yang baik. Bagaimana pula amalan yang kurang baik? Itu baru satu "stesyen minyak", bagaimana pula "stesyen minyak" di internet, supermarket dan sekolah?

Itulah yang sebenarnya saya maksudkan dengan "stesyen minyak". Stesyen minyak adalah apa yang kita dan anak-anak kita dengar dan lihat di rumah kita, sekolah kita, masjid kita, majalah kita, shopping complex kita, kawan-kawan kita, suratkhabar kita, blog kita, TV yang kita tonton, persekitaran kita, radio yang kita dengar, novel yang kita baca etc etc. Zaman para sahabat, sumber "petrol" mereka adalah dari Rasul saw. Mereka boleh lihat dan dengar Rasulullah saw secara langsung. Jadi, nilai Islam itu hidup di masjid, rumah, padang, pasar, medan perang dan di sekeliling tempat. Para anak dan remaja pula melihat individu-individu berjiwa Islam ini bergerak dalam kehidupan seharian. "Stesyen minyak" yang 100% bekalan "petrol" didapati di merata tempat. Walhal, zaman kita ini diri kita sendiri belum pasti boleh bekalkan 100% "petrol" untuk anak-anak kita di rumah kita. Apatah lagi di sekolah, pasar, masjid, majalah, suratkhabar, novel dan lain-lain lagi. Yang menyulitkan lagi keadaaan, media "stesyen minyak" anak-anak zaman sekarang semakin canggih seperti internet, handphone, panggung wayang, DVD dan macam-macam lagi.

Itulah yang menyebabkan kita semakin susah mendidik anak-anak kita. Udahlah diri sendiri tak tentu, anak-anak di zaman kini dan akan datang dikelilingi dengan "input" dari pelbagai arah. Di dalam rumah kita sendiri pun tidak tentu kita dapat kawal input anak-anak kecil ini. Oleh itu, sebaik-baiknya, dalam usia yang kecil, kita dedahkan anak-anak kita kepada biah islamiyyah atau suasana islamiyyah, bermula di rumah. Di samping anak-anak kita, kita bina diri kita juga melalui penglibatan dalam ceramah, usrah dan kelas. Kita juga sebaiknya mengenali kawan-kawan anak kita dan cuba dalami kecenderungan mereka. Kita harus mendidik anak-anak dengan prinsip-prinsip asas - keimanan kepada Allah, berbuat baik dan mentaati kedua ibu bapa, meyakini Allah memerhati gerak geri kita setiap masa, melaksanakan solat, meyakini Islam sebagai cara hidup, jangan bersikap sombong dan jangan menipu. Moga-moga, apabila jelas prinsip hidup ini, dapat kita bekalkan sedikit ketahanan mental dan emosi untuk anak-anak kita menangkis budaya negatif di kaca TV, dada akhbar dan paparan internet. Tidak lupa juga kita harus sering berdoa dan memanfaatkan peluang untuk bersama dengan anak-anak kita apabila mempunyai keluangan masa.
Moga-moga, usaha kita yang sedikit tersebut membawa berkat.