Program ceramah Ustaz Abdullah Yasin bermula dari 30 Jan 2008 sehingga 3 Fe
b 2008. Bermula dari rumah saya 30 Jan malam dan berakhir di Souk Waqif 3 Feb 2008 malam, kehadiran pendengar dan kedahagaan umat Islam Malaysia dan Indonesia terhadap ilmu Islam seakan-akan tidak putus. Rasa kesian juga pada Ustaz. Tapi mungkin kerana kecintaan beliau untuk berkongsi dan menyampaikan ilmu, tidak kelihatan langsung penat dan lelah beliau. Penyampaian beliau dalam bidang tafsir dan penekanan beliau dalam aqidah yang sahih seakan-akan menyuntik semangat baru dalam jiwa kaum ibu dan bapa untuk menimba ilmu tanpa henti. Bermula dengan penyampaian tentang Hakikat Dua Kalimah Shahadah dan menerangkan kepada masyarakat bahawa Islam Agama Ilmu Bukan Agama Warisan. Ustaz kemudiaannya menyambung tentang Kewajipan Umat Islam Terhadap AlQuran dan menyentuh tentang peranan Aqidah Sebagai Pemangkin Akhlah Mulia. Penutup sesi, ustaz menyentuh perasaan ahli yang hadir tentang peri pentingnya manusia melakukan Taubat Nasuha dan mengawasi alaman yang akan menjadi Pemusnah Aqidah dan Amal.
Ternyata, aqidah yang ditekankan adalah persoalan pokok dan harus dijadikan fokus utama dakwah, bukan hanya tertumpu kepada perkara furu' dan cabangan fiqh yang sering menjadi sumber pertikaian bagi mereka yang tidak ingin berlapang dada. Rata-rata umat Islam begitu asyik dengan cara solat, jenis solat, rukun solat, bacaan solat lalu lupa bahawa solat hanya merupakan proses untuk kearah ketakwaan dan bukannya input atau output dalam pembentukan insan. Input adalah pengabdian diri kepada Allah manakala output adalah tingkah laku yang tercermin dari ketakwaan yang terbentuk. Dengan lain kata, manusia terlampau menumpukan fizikal solat Rasul saw tetapi tidak mengambil kira jiwa solat Rasul saw. Maka, siri program Ustaz Abdullah Yasin harus mempunyai kesinambungan lalu diterjemahkan dalam erti makna yang lebih praktikal. Di sinilah Ustaz Hasrizal memainkan peranan.
Penat tapi seronok. Pengisian kesemuanya bermakna dan alhamdulillah meresap ke hati. Namun, sesi ceramah ini tidak dapat dijayakan tanpa bantuan tenaga dan hasil infaq kesemua ahli masyarakat muslim Malaysia. Kesungguhan mereka yang dari AlKhor, keikhlasan mereka yang dari Dukhan, komitmen dari mereka yang menetap di Doha, sifat kerjasama mereka yang berada di Dubai dan tidak lupa pengorbanan keluarga ustaz Abdullah Yasin dan Ustaz Hasrizal untuk membenarkan suami/ayah mereka berdakwah di sini, hanya boleh dibalas oleh Allah swt.