Sunday, 28 March 2010

Ada Apa Pada Nama – United Kingdom

Dalam hal ini, nama telah menyatukan beberapa negara yang sering berperang sesama mereka. Bermula dengan penyatuan England, Wales dan Scotland pada 1707, diikuti dengan Ireland pada 1800 (pada tahun 1922 Ireland keluar dari United Kingdom, namun sehari kemudian Ireland Utara pula keluar dari Ireland dan bersatu semula dengan United Kingdom). Nama kerajaan ini asalnya agak panjang – United Kingdom of Great Britain & Northern Ireland, tapi dipendekkan menjadi UK atau Britain.


Udahla nama pun panjang, sejarah negara ini pun agak panjang. Namun, secara ringkasnya kejatuhan khilafah uthmaniyyah dan penaklukan begitu banyak negara pasti terkait dengan negara ini. Sejarah rantau Asia, Australia, Amerika Utara pasti tersentuh oleh kerajaan United Kingdom ini. Ironiknya, negara yang dahulunya bergaduh sesama sendiri apabila bersatu pernah menjadi sebuah empayar yang begitu kuat di mata dunia.


Atas unsur apakah negara yang bergaduh ini bersatu? Percubaan penyatuan Scotland dan England, sama ada melalui peperangan atau usaha diplomasi mengambil masa beratus tahun. Akhirnya, kedua-dua negara bersatu atas dasar muslihat politik dan ekonomi negara pemerintah masing-masing. Penyatuan yang berlaku itupun tidak diterima secara menyeluruh terutama rakyat Scotland. Itulah adat manusia, bukan mudah untuk menyatukan 2 negara, pasti mengambil masa beratus tahun kalau tunjang penyatuan negara itu tidak meliputi perubahan dasar di dalam masyarakat itu sendiri.


Nah, kita bayangkan dan kenangkan pula sejarah awal umat Islam di Madinah. Aus dan Khazraj sudah berperang dan bergaduh selama hampir 120 tahun dan akhirnya bersatu dengan satu usaha pembersihan aqidah dan penyatuan ummah oleh Rasulullah saw. Peperangan terakhir antara Aus dan Khazraj adalah perang Buath yang telah menyaksikan kematian pemimpin besar kedua-dua kabilah pada perang tersebut berlaku hanya beberapa tahun sebelum hijrah rasulullah saw ke madinah. Aus dan Khazraj ini bukanlah 2 negara besar seperti England dan Scotland. Mereka hanya kabilah yang duduk di satu kawasan bernama Yathrib. Apabila aqidah menerangi jiwa dan hati, permusuhan yang ada hilang begitu sahaja. Tidak perlu berbincang di parlimen. Tidak perlu perkongsian dan pertukaran kuasa antara 2 kabilah tersebut. Tidak perlu rakyat mengundi membuat pilihan. Hanya atas dasar aqidah tauhid islamiyyah – mempercayai bahawa Allah swt itu Esa, rasul saw adalah rasul terakhir dan hari kebangkitan pasti ada.


Penyatuan Aus dan Khazraj, telah menjadi batu loncatan untuk terwujudnya negara Islam Madinah Munawwarah. Setelah terbentuk negara Madinay melalui satu perlembagaan bernama sahifah madinah, syiar Islam berkembang hampir ke 2/3 benua di dunia. Empayar Islam dan hadharah Islamiyyah menjadi penaung serta obor cahaya kemanusiaan selama beratus tahun. Empayar-empayar Parsi dan Rom Timur tewas dengan kekuatan empayar Islam hanya selepas 15-20 tahun kewafatan Rasulullah saw. Empayar China dan Jepun, saling berhubung bersama Empayar Islam manakala India menjadi taklukan kerajaan Mogul Islam. Kerajaan-kerajaan Eropah dan Rom Barat, selepas tewas beberapa kali di dalam perang salib akhirnya menceduk ilmu dari tamadun Islam melalui pertemuan semasa perang salib di Asia Barat dan toleransi kerajaan Islam di Sepanyol.


Barat yang sekian lama berada di dalam arus kegelapan dan tidak tahan diasak oleh struktur pemerintahan feudal dan gereja, mula mencari jalan keluar. Bermula dengan penterjamahan ilmu di Italy, diikuti dengan perkembangan empayar kristian Spain, Portugal, Belanda dan akhir sekali Britain yang tercetus dari Renainsance, gerakan Reformation dan akhirnya Industrial Revolution….seterusnya menjadi sejarah dunia.


Kesemuanya saling berkait. Tapi apa yang menarik, empayar dari UK inilah yang akhirnya menewaskan dan memecahkan empayar Turki Othmaniyyah. Hanya dengan desakan dan muslihat Lawrence of Arabia, negara-negara Arab memulakan penentangan bersenjata terhadap saudara seagama. Kesatuan atas dasar politik ini akhirnya memecahkan kesatuan atas dasar aqidah. Sebuah negara yang hanya bersatu atas dasar nama berjaya menewaskan sebuah empayar yang bersatu adas dasar tauhid. Empayar-empayar barat ketika itu penuh dengan perancangan dan wawasan untuk memperbesarkan tanah jajahan di samping merampas harta kekayaan tempatan.


Mungkin dalam banyak-banyak nama, nama negara inilah yang paling tragis dalam sejarah Islam. Ia hanya membuktikan, sesebuah kesatuan walaupun batil tetapi terancang, pasti dapat menewaskan kesatuan yang benar tetapi tidak berwawasan. Semoga nama UK ini, menjadi iktibar kepada negara-negara Islam untuk kembali bersatu. Mungkin sudah sampai masa, negara-negara Islam bersatu semula, bukan sahaja di atas kertas dan perhimpunan kosong tetapi melalui pembentukan gerakan yang berwawasan berdasarkan aqidah tauhid Islamiyyah. Satu gerakan tajdid yang merangkumi keseluruhan lapisan masyarakat dan meletakkan agenda serta program Islah yang jelas dan mudah difahami umat.


Mungkin pada waktu itu, satu istilah negara baru pula akan digunapakai – e.g. United Islamic Nation atau الإسلامية المتحدة‎ دولة. 


Mana-mana negara Islam yang mahu bersatu dengan gerakan ini, harus memastikan sekurang-kurangnya dasar pentadbiran negara serta program pembinaan masyarakat dibina atas perancangan yang bersesuaian dengan struktur dan budaya masyarakat setempat. Kita bina sistem kewangan dan mata wang tersendiri. Kita bina sistem pendidikan tersendiri. Kita bina sistem politik dan pemilihan pemimpin secara tersendiri. Kita bina sistem ketenteraan dan kehakiman tersendiri. Kita bina kekuatan media massa yang tersendiri. Kita bina kekuatan industri tersendiri. Kita bina satu sistem sosial yang matlamat utama adalah mencari keredhaan Allah swt. Kita bina semula tamadun yang telah hilang sinarannya akibat cinta dunia dan perasaan takutkan mati. Negara-negara lain, tidak harus berasa terancam dengan kewujudan الإسلامية المتحدة‎ دولة  kerana matlamat negara baru ini, tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan alam. Hak-hak kemanusiaan sama ada lelaki mahupun wanita, arab atau bukan arab, kanak-kanak mahupun orang tua pasti terjamin di bawah sistem Islam yang adil dan saksama.


Kita bina satu sistem hidup yang kesemuanya, atas dasar Islam yang jelas dan paksi yang nyata. Barulah ada makna pada nama kesatuan Islam yang ingin dibentuk tersebut. Saya yakin, kesatuan ini akan muncul semula dan usaha harus bermula dengan penerapan nilai Islam pada individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam. Apabila masyarakat sudah membudayakan nilai Islam ini, maka Insya-Allah akan terbentuk negara Islam yang akhirnya pasti membawa ke arah daulah Islamiyyah. Moga, saya dan keluarga dapat hidup melihat ia menjadi kenyataan. Moga saya dan keluarga, menjadi salah seorang yang menyumbang ke arah usaha islah ini.


Ada apa pada nama? Kali ini, nama sangat bermakna. Ia adalah impian dan wawasan. Ia adalah cita-cita dan kehidupan. Ia adalah matlamat dan hakikat kemerdekaan.

Wednesday, 17 March 2010

Ada Apa Pada Nama – Houston

Dalam banyak-banyak tempat yang saya tulis dalam blog ini, Houston memang nama orang. Houston diberi nama sempena nama General Sam Houston. Apabila bercakap tentang beliau, perkara pertama yang saya ingat adalah lakonan Dennis Quaid dalam cerita “The Alamo” yang melakonkan watak General Sam Houston.

Kita sering memandang Amerika sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berprinsip. Mungkin ini adalah kesan dari cerita-cerita yang sering dipaparkan di kaca TV yang mempamerkan hero atau heroin yang sering mengorbankan kesenangan dan berjuang mendapatkan keadilan dan hak-hak asasi mereka. Hampir kesemua genre filem Hollywood pasti ada tersembunyi prinsip-prinsip kemanusiaan sama ada filem aksi, adventure, drama, sejarah, peperangan dan biopic. Cerita kanak-kanak pasal Fat Camp pun diletakkan unsure membela diri dan berani kerana benar. Dalam cerita Hollywood, mereka yang dikatakan pejuang kelihatan cool walaupun pakai kilt, pakai baju yang sama berbulan-bulan dan pakai topi senget-senget kerana yang penting, hidup perlu ada prinsip. Kebanyakan pembikin filem Hollywood apabila membuat filem, mahu ada suatu mesej yang sampai kepada audience di samping berhibur. Agak berbeza sedikit dengan cerita di Malaysia, filem dibikin untuk berhibur bukan menyampaikan mesej. Kalau ada mesej pun, agak sama – cinta tak mengenal darjat.

Kenapa begini? Adakah kerana sejarah Amerika dipenuhi dan bermula dengan revolusi serta mereka yang berjuang dan hidup sebegitu? Mungkin juga. Peperangan di Alamo mungkin menjadi salah satu tema inspirasi perjuangan mereka. Kekalahan askar mereka berjumlah ratusan selepas 13 hari dikepung oleh  askar Mexico yang seramai 1500 orang di bawah pimpinan President General Antonio López de Santa Anna. Akhirnya kekalahan tersebut berjaya ditebusi ketika peperangan San Jacinto apabila General Sam Houston menewaskan askar-askar Mexico yang sama hampir 6 minggu setelah peristiwa di Alamo. Peperangan tersebut dikatakan berlangsung hanya 18 minit hasil dari serangan mengejut General Sam Houston sejumlah hampir 900 orang dan satu kesilapan Santa Anna – tidak meletakkan sentry pada waktu serangan. Sejak peperangan tersebut, kisah Alamo dan San Jacinto sering di bibir sejarawan Amerika Syarikat khususnya mereka yang berasal dari Texas.  

Persoalannya, mengapa kita tidak begitu? Mengapa kita tidak pula berbangga dengan sejarah umat Islam sendiri? Bukankah seharusnya sirah perjuangan rasul SAW dijadikan semangat untuk kita terus berjuang? Kisah halangan terhadap dakwah Islam sewaktu 13 tahun pertama di Mekah harus dijadikan peringatan bahawa perjuangan Islam itu mengambil masa yang panjang. Peristiwa perang Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar, Hunain, Muktah, Yarmuk dan pelbagai lagi harus menjadi pendorong dan pembakar semangat. Sebelum orang kata, itu kat bumi Arab…maka saya katakana tengoklah para pejuang nusantara pula. Tidak lupa juga sejarah perjuangan negara kita. Jangan hanya difokuskan kepada perjuangan menuntut kemerdekaan semasa Dato’ Onn sahaja tetapi juga perjuangan Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Tok Bahaman, Mat Kilau, Dol Said, Mat Salleh, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong, Syarif Masahor, Dato’ Sagor, Tengku Anom dan ramai lagi. Sejarah kita dihiasi dengan mereka yang hidup berprinsip, berani, berdisiplin dan tegas. Sejarah kita dihiasi dengan mereka yang berjuang bermati-matian demi agama dan tanah air. Mengapa sejarah-sejarah sebegini tidak dipaparkan? Mengapa cerita sebegini tidak ditayangkan? Ramai yang akan kata, “penonton di Malaysia takder selera sangat tengok cerita-cerita sebegini. Tak caya tengok karya Dato’ Jins Samsudin pasal Pasir Salak.” Mungkin betul, tapi jangan lupa cerita Bukit Kepong. Kejayaan cerita tersebut sampai masa saya sekolah rendah selalu berlakon jadi pejuang dan askar di Bukit Kepong dan mengacau sesiapa rakan kami yang muka macam peniup trumpet askar komunis dalam cerita tersebut. Kenapa cerita sebegini dengan teknologi zaman 80an boleh berjaya meninggalkan kesan yang positif?

Sudah sampai masanya kita menjadi umat yang “principle centred”. Kita harus keluar dari politik sentimen ini ke arah politik BERPRINSIP. Kita harus keluar dari belengu definisi Melayu yang sempit  yakni UMNO itu Melayu, Melayu itu UMNO kepada definisi yang lebih luas.

Ingin saya pinjam kata-kata akhi Aminuddin di blognya,

“Melayu yang kita inginkan ialah Melayu yang mempunyai semangat patriotik seperti Tun Razak dan Tun Dr Ismail, yang mati tanpa meninggalkan sebarang harta, kita mahu Melayu yang memperjuangkan islam seperti Dr Burhanudin Helmi yang sanggup di penjara di atas prinsip yg di perjuangkan, kita mahu Melayu yang kental semangatnya seperti Mat Kilau yang sanggup bekorban segala harta utk menentang penjajah, kita mahu Melayu seperti Syeikh Abdul Hadi yang menyerapkan semangat jihad di kalangan belia tetapi kemudiannya di tentang inggeris, kita mahu Melayu seperti Tok Kenali yang alim lagi zuhud, kita mahu Melayu yang pintar seperti Pendita Zaaba, kita mahu Melayu yang pakar seperti Prof Ahmad Ibrahim yang melakarkan perlembagaan islam untuk negara Brunei.”

Baru bermakna nama yang diberi. 

Thursday, 11 March 2010

Penat Namun Kembali Bersuara

Alhamdulillah, dapat juga kembali bersuara dalam blog ini. Sengaja saya pilih agar tidak menulis untuk jangka masa 4-5 bulan ini, kerana agak sibuk dengan tugas rasmi di pejabat. Namun, hari ini saya ambil masa untuk menulis kerana tugasan rasmi agak banyak dah selesai dan nak masuk gear 1 balik untuk blog ini.

Banyak perkara berlaku dalam tempoh masa 4-5 bulan ini. Isu-isu yang timbul, tidak kurang sensasinya. Kalau nak kupas satu-satu, rasa tak keruan teman. Dari isu lompat parti, isu penyalahgunaan kuasa, isu nama Allah, isu ustaz-ustaz tak bertauliah, isu pembuangan bayi yang masih berleluasa, isu pukul kanak-kanak di tadika dan banyak lagi membuatkan kita rasa malas dan lemah hendak melayan kerenah masyarakat. Sudahlah rakyat seakan-akan hilang pedoman, pemimpin pulak bagai ikan haruan, harapkan pagar pagar makan padi. Mengaku berprinsip tetapi malu meletakkan jawatan malah angkuh kononnya beliau jagoan masyarakat.

Mungkin, untuk saya kembali bersuara ini cukup saya nukilkan keluhan Allahyarham Mustafa As-Sibaei rahimahullah. Keluhan beliau, mungkin dah beberapa dekad berlalu (beliau kembali ke rahmatullah 3 Oktober 1964)


ثَوْبُ إِغْرَاءِ الشَّيْطَانِ
Selubung Godaan Syaitan

يَقُوْلُ مُصْطَفَى اَلسِّبَاعِيُّ رَحْمَةُ اللهِ عَلَيْهِ
Maka berkata Mustafa As-Sibaei rahimahullah
إِنِّيْ لاَ أَخْشَى عَلَى نَفْسِيْ أَنْ يُغْرِيْنِي الشَّيْطَانُ بِالْمَعْصِيَةِ مُكَاشَفَةً.. وَلَكِنَّيْ أَخْشَى أَنْ يَأْتِيَنِيْ بِهَا مُلَفَّعَةً بِثَوْبٍ مِنَ الطَّاعَةِ..

Sesungguhnya aku tidak takut ke atas diriku godaan syaitan melalui kemaksiatan yang terbuka, tetapi apa yang aku takutkan akan didatangiku dengan membawa kemaksiatan yang diselubungi dengan ketaatan
يُغْرِيْكَ الشَّيْطَانُ بِالْمَرْأَةِ عَنْ طَرِيْقِ الرَّحْمَةِ بِهَا.. وَيُغْرِيْكَ بِالدُّنْيَا عَنْ طَرِيْقِ الْحَيْطَةِ مِنْ تَقَلُّبَاتِهَا..
Syaitan menggodamu dengan wanita atas alasan kasih sayang kepadanya….dan menggodamu dengan dunia atas alasan agar tidak diperkotak-katikkan olehnya
وَيُغْرِيْكَ بِمُصَاحَبَةِ الأَشْرَارِ عَنْ طَرِيْقِ اْلأَمَلِ فِيْ هِدَايَتِهِمْ.. وَيُغْرِيْكَ بِالنِّفَاقِ لِلظَّالِمِيْنَ عَنْ طَرِيْقِ الرَّغْبَةِ فِيْ تَوْجِيْهِهِمْ..
Dan ia menggodamu agar bersahabat bersama mereka yang keji dengan alasan memberi petunjuk kepada mereka…dan menggodamu agar bersikap talam dua muka ke atas orang yang zalim dengan alasan agar dapat mempergunakan mereka
وَيُغْرِيْكَ بِالتَّشْهِيْرِ بِخُصُوْمِكَ عَنْ طَرِيْقِ اْلأَمْرِ بِالْمَعْرُوْفِ وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ.. وَيُغْرِيْكَ بِتَصْدِيْعِ وِحْدَةِ الْجَمَاعَةِ عَنْ طَرِيْقِ الْجَهْرِ بِالْحَقِّ..
Dan ia menggodamu agar menghebahkan keburukan lawanmu kononnya demi kebaikan amar ma’ruf nahi mungkar….dan menggodamu untuk memecah-belahkan jemaah kononnya dengan alasan berani menyuarakan kebenaran
وَيُغْرِيْكَ بِتَرْكِ إِصْلاَحِ النَّاسِ عَنْ طَرِيْقِ الاِشْتِغَالِ بِإِصْلاَحِ نَفْسِكَ.. وَيُغْرِيْكَ بِتَرْكِ الْعَمَلِ عَنْ طَرِيْقِ الْقَضَاءِ وَالْقَدَرِ..
Dan ia menggodamu agar meninggalkan islah (memperbaiki masyarakat) dengan alasan sibuk memperbaiki diri sendiri…dan menggodamu agar meninggalkan amal dengan alasan ini ketentuan qada’ dan qadar
وَيُغْرِيْكَ بِتَرْكِ الْعِلْمِ عَنْ طَرِيْقِ الاِنْشِغَالِ بِالْعِبَادَةِ.. وَيُغْرِيْكَ بِتَرْكِ السُّنَّةِ عَنْ طَرِيْقِ اِتِّبَاعِ الصَّالِحِيْنَ..
Dan ia menggodamu agar tidak menuntut ilmu dengan alasan sibuk beribadah…dan menggodamu agar meninggalkan sunnah dengan alasan mengikuti mereka yang saleh
وَيُغْرِيْكَ بِالاِسْتِبْدَادِ عَنْ طَرِيْقِ الْمَسْؤُوْلِيَّةِ أَمَامَ اللهِ وَالتَّارِيْخِ.. وَيُغْرِيْكَ بِالظُّلْمِ عَنْ طَرِيْقِ الرَّحْمَةِ بِالْمَظْلُوْمِيْنَ..

Dan ia menggodamu agar “autocratic” ketika menjalankan tugas dengan alasan akan dipertanggungjawab di sisi Allah dan pandangan sejarah….dan ia menggodamu melakukan kezaliman dengan alasan memberikan kerahmatan bagi mereka yang dizalimi


Sama-samalah kita renung